Monday 30 April 2018

KENDERAAN CALON BN P195 KENA PECAH


AMAT jarang kita mendengar hal seperti ini berlaku di Sarawak ketika pilihanraya kerana kita, Orang Sarawak sering berkata kita berpolitik matang selama ini. Biar berbeza politiking namun kawan tetap kawan.
Tetapi kejadian yang berlaku semalam iaitu ke atas kenderaan rasmi calon P195 Bandar Kuching, Kho Teck Wan yang sengaja dipecahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab langsung tidak mencerminkan budaya politik matang itu sama sekali.
Satu laporan polis sudah dibuat bagi membenarkan pihak polis membuat siasatan seterusnya menangkap mereka yang bertanggungjawab.

YUSUF ABDUL WAHAB


YUSUF ABDUL WAHAB
Calon BN P206 Tanjung Manis

SETELAH pengunduran penyandangnya iaitu Puan Norah Abd Rahman dari mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Manis yang telah diwakili sejak di tahun 2008 lagi, muncul satu nama yang mungkin asing bagi kita tetapi tidak bagi warga Tanjung Manis itu sendiri yang sudah sahih akan bertanding pada PRU ke-14 ini.  Calon yang sebenarnya sudahpun mengetahui asam garam penghidupan masyarakat di Tanjung Manis lebih-lebih lagi di DUN Semob.

Yusuf Abdul Wahab nama diberi adalah calon baru untuk P206 Tanjung Manis yang akan bertanding atas tiket Barisan Nasional pada PRU ke-14 ini.  Beliau yang berusia 54 tahun ini dilahirkan pada tanggal 10 Disember 1963 dan dibesarkan di Kampung Paloh, Tanjung Manis. Atas kecemerlangan pendidikannya juga, anak Melanau ini mampu meneruskan pengajiannya sehingga berjaya merangkul Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari University of Nebraska-Omaha, Nebraska, USA.

Sebagai seorang Pengarah kepada sebuah syarikat kejuruteraan di Sarawak iaitu Jurutera Perunding Wahba sudah tentu kepakarannnya dituntut di dalam menjadikan Parlimen Tanjung Manis untuk lebih berdaya saing pada masa hadapan. Pembangunan infrastruktur, pendidikan serta menaiktaraf sosioekonomi masyarakat setempat adalah antara bidang yang sentiasa mendapat tempat dihati beliau untuk dimajukan sekiranya terpilih kelak.  

#PRU14
#CalonBNSarawak 

Saturday 28 April 2018

KHO TECK WAN


KHO TECK WAN
Calon BN Parlimen P195 Bandar Kuching

KECIL molek orangnya tetapi mempunyai visi yang cukup besar sekiranya terpilih. Antara manifesto dibawah “Hebat Kuching”, beliau memperjelaskan 10 aspirasi yang ingin beliau zahirkan antaranya adalah menyelesaikan masalah banjir di Bandar Kuching yang berlarutan agak lama sejak Kuching dibawah DAP serta menubhkan lebih banyak Pusat Program Lepas Sekolah.  Jika difikirkan ianya bukanlah aspirasi yang beliau sengaja buat-buatkan sebaliknya sebagai Councilor kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan sejak di tahun 2016, Bandar Kuching sudah banyak dijelajahinya dan permasalahan ini sudah tentu beliau dalami betul-betul.

Calon Barisan Nasional Parlimen 195 Bandar Kuching adalah Kho Teck Wan yang mewakili SUPP, salah satu parti komponen BN Sarawak. Berusia 41 tahun dan digambarkan sebagai wanita yang tahan lasak kerana antara salah satu minatnya adalah melakukan senaman lasak seperti hiking dan sebagainya.  Berkelulusan peringkat Sarjana (Anugerah Dekan) TCom Management, Network Engineering dan Sarjana Muda Kepujian di dalam Biosystem Engineering dari Universiti Oklahoma State University, Stillwater Oklahoma USA.  

Tidak pernah kekok berbahasa Melayu memandangkan beliau dilahirkan, dibesarkan serta bersekolah di kawasan Melayu itu sendiri.  Merupakan alumni Sekolah Tunku Ampuan Durah, Seremban, Negeri Sembilan serta SRK Sungai Apong, Kuching, Sarawak sudah tentu cukup untuk menggambarkan betapa adab dan warisan Melayu itu sentiasa menjadi sebahagian daripada dirinya.  Ianya terbukti tatkala melihat beliau melakukan “walkabout” di Kampung Sri Maimunah di Kuching langsung tiada kekoknya menghulurkan kedua tangan menyampai salam mengikut adab orang Melayu.  

Dari segi karier pula, Miss Kho sebelumnya merupakan anak Sarawak yang berkelana di negara orang agak lama iaitu hampir 10 tahun mencari rezeki di USA sebagai pakar pengaturcaraan komputer.  Dek kerana permintaan keluarga, akhirnya beliau pulang untuk berbakti di Sarawak dan menjawat tugasan Storage Area Networking and Disaster Recovery Consultan untuk sebuah firma antarabangsa.  

Berbicara dari segi politik pula sebenarnya sudah menjadi asam garam di dalam hidupnya.  Ini kerana kedua ibubapanya adalah antara pendokong kuat SUPP selama ini malah telah bersama-sama dengan mantan MP Padungan seperti Datuk Song Swee Guan, Datuk Song Kheng Hui serta banyak lagi.  Dan dikala itulah anak kedua daripada lima beradik ini turut sama-sama membantu kedua ibubapanya di dalam arena politik.  

Bukan sembrono calon yang ditampilkan oleh BN Sarawak malah mempunyai jiwa yang tulen di dalam memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira bangsa mahupun agama.  Pembangunan dari semua peringkat umur dan jantina turut menjadi misi pentingnya bagi menjadikan Bandar Kuching sebagai satu hub digital di Sarawak seperti apa yang diwar-warkan oleh Kerajaan Sarawak selama ini.

Kecil-kecil si cabik geronong. 

Wednesday 25 April 2018

DATUK SERI DR. WAN JUNAIDI BIN TUANKU JAAFAR


DATUK SERI DR. WAN JUNAIDI BIN TUANKU JAAFAR
Calon BN P193 Santubong

DARI seorang anggota polis hutan berpangkat Inspektor yang pernah menggadaikan nyawanya demi maruah anak bangsa tatkala Sarawak masih lagi dibawah ancaman komunis sekitar tahun 1970an sehingga beliau sendiri pernah berbalas tembakan dengan mereka.  Jika sudah berani sebegitu apalah sahaja dunia politik bagi beliau yang walau di dalam usianya 72 tahun sudah mewakili Sarawak di Parlimen Malaysia sejak lima penggal yang lalu.  Bermula dari Parlimen Batang Lupar dan seterusnya berpindah ke Parlimen Santubong.

Selain daripada tersohor namanya antara “bujang berani” anak Sarawak, beliau juga merupakan seorang Peguam yang bertauliah.  Di peringkat persekutuan, beliau pernah menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Timbalan Menteri di Kementerian Dalam Negera dan sebelum Parlimen Malaysia dibubarkan adalah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia.  

Sebagai salah seorang ahli politik senior di Sarawak, sudah tentu Datuk Seri Dr. Wan Junaidi telah meletakkan penanda aras yang tinggi di sepanjang perkhidmatan beliau selama ini.  Dek kerana kecemerlangan perkhidmatan itulah juga menyaksikan beliau dinominasikan semula sebagai calon Barisan Nasional bagi menggalas suara akar umbi ke Parlimen.  Usia itu bukan faktor penentu untuk menyajikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.  

#PRU14
#CalonBNSarawak 

RITA SARIMAH INSOL


RITA SARIMAH INSOL

 Calon BN P214 Selangau
PENCALONANNYA sebagai wanita Dayak pertama yang dinominasi untuk mempertahankan P214 Selangau menempa sejarahnya tersendiri.  Ini kerana amat jarang mana-mana parti politik di kalangan kaum Dayak yang gemar menampilkan calon wanita untuk mewakili mereka baik di pilihanraya umum mahupun negeri.  Dan percaturan daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) mungkin mempunyai maknanya tersendiri lebih-lebih lagi suara-suara kaum hawa di Sarawak yang kuat melaungkan untuk mereka diberi banyak peluang di dalam politik.  
Pemilihan beliau bukanlah sembrono memandangkan Rita Sarimah Insol adalah Pengerusi Sarakup Indu Dayak (SIDS) hampir 17 tahun bagi cawangan Bintulu.  Sudah tentu beliau mempunyai karismanya tersendiri sehingga mampu bertahan sebegitu lama.  Selain itu beliau turut merupakan Ahli Majlis Adat Istiadat Sarawak dan Timbalan Presiden Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak.  
Berusia 56 tahun merupakan isteri kepada Timothy Gima Uji dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dengan tiga cahayamata.  Berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) Undang-undang dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Heriot Watt Edinburgh, United Kingdom.  Memulakan kerjayanya sebagai Majistret dan seterusnya terjun ke dunia korporat apabila menjadi Ketua Penasihat Perundangan Bintulu Port Holdings Berhad.
Selepas isu paling kontroversi beberapa hari yang lepas apabila penyandang Parlimen Selangau sebelum iaitu Datuk Joseph Entulu Belaun dipecat daripada PRS serta merta ekoran daripada tindakan beliau yang membelakangi parti tersebut menyaksikan calon BN P214 Selangau ini akan ditentang oleh antara nama yang cukup besar di dalam kancah politik Sarawak iaitu YB Baru Bian (ADUN Ba’kelalan) dari Parti Keadilan.  Dalam pada itu corat coret dunia politik menjelang “rakyat Malaysia memilih” turut bertiup kencang mengatakan mungkin penyandang sebelumnya yang sudah tidak mempunyai parti politik untuk bernaung akan tampil sebagai calon bebas di P214 Selangau kelak.  

#PRU14
#CalonBNSarawak 

SENARAI CALON PARTI AMANAH SARAWAK DI PRU KE-14



SERENTAK dengan pengumuman calon-calon untuk Parti Keadilan malam tadi, turut diwar-warkan adalah para calon bagi pihak Parti Amanah di Sarawak.

Calon-calonnya adalah seperti berikut:

1. P193 Santubong - Mohamad Fidzuan Zaidi
2. P197 Kota Samarahan - Sopian Julaihi
3. P200 Batang Sadong - Othman Mustapha
4. P201 Batang Lupar - Narudin Mentali
5. P206 Tanjong Manis - Mohad Fadila Sabali
6. P207 Igan - Andri Zulkarnaen Hamdan

Seperti yang sedia maklum logo yang akan digunakan nanti adalah logo Parti Keadilan sementara DAP Sarawak akan menggunakan lambang parti mereka sendiri.

#PRU14
#CalonPH 

SENARAI CALON PARTI KEADILAN SARAWAK PADA PRU KE-14


SEBENTAR tadi telah diumumkan senarai penuh calon-calon yang akan mewakili Parti Keadilan Sarawak. Ianya adalah seperti berikut:
1.   P194 Petra Jaya - Datuk Dr Nor Irwan Ahmad Nor
2.   P198 Puncak Borneo - Willie Mongin
3.   P202 Sri Aman - Norina Utot
4.   P203 Lubok Antu - Nicholas Bawin
5.   P204 Betong - Noel Bucking
6.   P205 Saratok - Ali Biju
7.   P210 Kanowit - Satu Anchom
8.   P213 Mukah - Abdul Jalil Bujang
9.   P214 Selangau - Baru Bian
10. P216 Hulu Rajang - Abun Sui Anyit
11. P218 Sibuti - Jemat Panjang
12. P219 Miri - Dr Michael Teo
13. P220 Baram - Roland Egan
14. P221 Limbang - Dr Ricardo Baba
15. P222 Lawas - Danny Piri

WUJUDKAH LAGI 'ADENAN FEVER' PADA PRU KE-14?


TIDAK lama lagi kita akan membuat pilihan dan mengundi untuk Pilihanraya Umum ke 14. Persoalan sekarang berlegar di kepala penulis adakah masih mood "Adenan Fever" buat pengundi di Sarawak untuk PRU 14 kali ini?
Umum kita mengetahui antara faktor kemenangan besar BN Sarawak adalah disebabkan faktor "Adenan Fever". Boleh dikatakan faktor "Adenan Fever" ketika itu ibarat satu virus yang merebak ke seluruh Sarawak.
Semua rakyat Sarawak pada ketika itu sangat suka dan tertarik dengan Allahyarham Tok Nan disebabkan beberapa faktor seperti personaliti dan karektor Tok Nan yang banyak memajukan dan membuat perubahan untuk negeri Sarawak khususnya dalam berjuang menuntut hak Autonomi Sarawak dari kerajaan pusat.
Apa yang menariknya faktor "Adenan Fever" itu juga telah menyebabkan beberapa kerusi yang dimiliki oleh parti pembangkang khususnya di kawasan majoriti kaum Cina berjaya ditawan oleh BN Sarawak dan ianya menjurus kepada kemenangan besar BN Sarawak pada ketika itu.
Namun itu dulu. Ianya telah menjadi satu lipatan sejarah. Persoalan sekarang mampukah BN Sarawak yang ditunjangi oleh CM Abang Jo mengulangi semula sejarah itu? Seperti yang kita maklum sasaran CM Abang Jo untuk PRU 14 kali ini adalah untuk memenangi 29 kerusi dari 31 kerusi yang dipertandingkan di Sarawak. Persoalan sekarang mampukah sasaran tersebut direalisasikan? Sama-sama kita nantikan pada 9 Mei nanti. - AJ

PUAN HAJJAH RUBIAH WANG


PUAN HAJJAH RUBIAH WANG
Calon BN P197 Kota Samarahan

ANTARA muka lama yang terus diberikan kepercayaan untuk mempertahankan Parlimen Kota Samarahan yang dimenanginya pada Pilihanraya Umum 2013, Puan Hajjah Rubiah binti Wang bukanlah satu nama yang asing di dalam arena politik Sarawak.  Seorang wanita tetapi berjaya mewakili satu kawasan parlimen yang besar sememangnya sesuatu yang harus dibanggakan oleh kita semua.

Menyelusuri langkah pertama beliau sebagai ahli politik di Sarawak bermula tatkala beliau masih lagi menjadi Pegawai Daerah Asajaya pada tahun 2006.  Dek kerana minatnya pada alam politik ditambahlagi mungkin ini satu kaedahnya untuk menaikkan martabat rakyat di Kota Samarahan lantas beliau melepaskan jawatan sebagai penjawat awam Sarawak dan bertanding atas tiket Barisan Nasional.  Pada PRU 2013 menyaksikan beliau telah mendapat sokongan dari rakyat di Kota Samarahan dengan mengalahkan calon dari PAS iaitu Abang Ahmad Kerdee bin Abang Masagus dengan jumlah undi sebanyak 24,202 berbanding PAS yang hanya 6,801 undi pada ketika itu.  

Pemegang Ijazah Sarjana Muda dan Kepujian Sains Sosial dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini pernah menjadi seorang guru dan dek kerana itulah beliau digambarkan sebagai antara ahli politik yang amat menitikberatkan ilmu pendidikan.  Ini kerana beliau percaya hanya dengan ramai rakyat yang berilmu lebih-lebih lagi di kawasan Parlimen Kota Samarahan maka akan memudahkan lagi kawasan itu dimajukan.  

Setakat ini seperti yang diketahui melalui status media sosial, Kota Samarahan dijangka akan mengadakan pertandingan empat penjuru iaitu dari kem Barisan Nasional, PAS, Pakatan Harapan dan Bebas.  

#PRU14
#CalonBNSarawak  

Tuesday 24 April 2018

DATUK PROFESSOR DR. SIM KUI HIAN


DATUK PROFESSOR DR. SIM KUI HIAN
Calon BN P196 STAMPIN

MUNGKIN dia merupakan calon baru untuk bertanding di peringkat Parlimen namun si empunya diri bukanlah ahli politik yang baru kita kenal di Sarawak.  Ini kerana di ketika PRN ke-11 pada tahun 2016 telah memenangi DUN Batu Kawa seterusnya telah dilantik sebagai salah seorang Menteri Kabinet Kerajaan Negeri Sarawak dibawah portfolia Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan SARAWAK.  Selain itu kerana berlatarbelakangkan sarjana perubatan menyaksikan beliau juga yang bertanggungjawab untuk sebarang hal kesihatan di Sarawak.  
Datuk Professor Dr Sim Kui Hian yang juga Presiden Sarawak United People’s Party (SUPP) adalah antara ahli politik di Sarawak yang “bersuara besar dan tegas” di dalam memastikan hak-hak autonomi Sarawak yang “hilang” dikembalikan semula.  Sebagai legasi keturunan kepada seorang mantan menteri kanan iaitu Mendiang Tan Sri Datuk Amar Sim Kheng Hong sudah tentu beliau begitu memahami perjuangan orang terdahulu.
Selain dari dunia politik yang didalaminya, beliau juga gah namanya sebagai antara pakar kardiologi di Malaysia dan sehingga sekarang masih lagi mengungguli carta di dalam memberikan ceramah dan sumber rujukan mengenai kardiologi di universiti tempatan mahupun luar negara.  
Seperti corat-coret dunia politik Sarawak yang semakin bertiup kencang menjelang “rakyat Malaysia Memilih” 9hb Mei 2018 ini, dijangka beliau akan ditentang oleh Pengerusi DAP Sarawak iaitu Chong Chien Jen yang berpindah dari mempertahankan Parlimen Bandar Kuching untuk ke Stampin.  Sudah tentu pertembungan mereka di satu kawasan parlimen yang sama (sekiranya terjadi) amat menarik untuk kita ketahui keputusannya.  

#PRU14
#CalonBNSarawak 

DATO SERI HAJJAH NANCY BINTI SYUKRI


DATO SERI HAJJAH NANCY BINTI SYUKRI 
Calon BN P200 Batang Sadong 

TERKENAL dengan jolokan “Iron Lady” kerana yang empunya diri cukup hebatsebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang lima portfolio sekaligus. Dari seorang peguam bertauliah terjun ke dunia politik dan akhirnya terpilih menjadi Ahli Parlimen Batang Sadong pada tahun 2008 atas tiket Barisan Nasional.

Dahulu kita hanya mampu berimaginasi bagaimana kalau suatu hari nanti Parlimen Batang Sadong boleh dihubungi dengan jaluran jalanraya dan jambatan dan sekarang ianya menjadi satu kenyataan apabila Jambatan Batang Sadong siap dibina dengan jayanya. Sekaligus mampu memangkin pertumbuhan ekonomi yang drastik untuk kawasan tersebut.
Penyandang Parlimen Batang Sadong ini biarpun wanita tetapi di sepanjang karier beliau telah berjaya membuktikan dunia politik itu tidak mengenal apa jantina sekalipun selagi masih ada tekad dan usaha untuk memajukan rakyat. Keluarga itu penting dan begitulah juga rakyat di Parlimen Batang Sadong adalah keluarga bagi dirinya biarpun berlainan bangsa dan agama selagi kita ORANG SARAWAK.

Monday 23 April 2018

LUKANISMAN BIN AWANG


LUKANISMAN BIN AWANG
Calon BN  P218 Sibuti

MUNGKIN menyahut seruan generasi baru yang mahukan lebih banyak peluang untuk menampilkan barisan ahli politik di kalangan anak muda menyebab strategi Barisan Nasional Sarawak pada PRU ke-14 menampilkan seorang anak muda yang baru menjangkau 36 tahun usianya. Sekaligus pencalonan penuh dramatik ini menjadikan dirinya calon termuda di dalam Barisan Nasional Sarawak bagi mempertahankan Parlimen Sibuti (P218) yang sebelumnya diwakilil oleh Datuk Haji Ahmad Lai Bujang yang memohon untuk tidak dicalonkan semula.
Sedikit informasi di dalam kita cuba mengenal saudara Lukanisman bin Awang iaitu putera tunggal dari tiga orang adik-beradik kepada Awang Sauni bin Haji Pengiran Anis dan isterinya. Lahir pada tanggal 1hb Februari 1982 di Kampung Dagang, Miri. Berbangsa Melanau dan sebelum ini pernah bertugas sebagai Pegawai JASA di Miri sebelum menjadi Pegawai Khas kepada mantan Ahli Parlimen Sibuti. Bekas penuntut di sebuah sekolah yang terkenal di dalam melahirkan ramai ahli politik di Sarawak iaitu Kolej Tunku Haji Bujang di Miri, Sarawak dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dan Kepujian Polisi dan Sains Teknologi dari Universiti Malaya. Kaya dengan senyuman, peramah orangnya dan sentiasa merendah diri serta suka berjenaka adalah antara karektor beliau yang paling disenangi oleh rakan dan taulan. Masih lagi bujang orangnya dan mungkin selepas ini mesti ramai yang sedang mengintai di sebalik tabir ingin menjadikan beliau sebagai menantu atau “imam” di dalam keluarga.
Pencalonan seorang anak muda seperti saudara Lukanisman sudah tentu baik untuk Sarawak sekiranya beliau terpilih kelak. Biarpun usianya muda tetapi di dalam kancah politik Sarawak amnya dan kawasan sekitar Miri termasuk Sibuti, ianya sudah menjadi asam garam di dalam hidupnya. Sudah sampai waktunya Sarawak diwakili oleh barisan anak muda yang mempunyai pandangan yang sama tetapi pendekatan yang berbeza di dalam merealisasikan misi dan visi kerajaan selama ini samada di peringkat negeri mahupun persekutuan.
#PRU14
#CalonBNSarawak 

CALON BN SARAWAK PRU KE-14

AKHIRNYA yang dinanti-nantikan sudahpun menjelma apabila Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sarawak mengumumkan calon-calon yang akan bertanding untuk PRU ke-14 kali ini.  Tiada lagi rahsia dan segalanya terserah kepada calon-calon untuk bertingkah sepanjang kempen apabila hari penamaan calon akan bermula pada tanggal 28hb April 2018 ini.  

Untuk PRU ke-14 ini, Barisan Nasional akan bertanding di kesemua kerusi parlimen yang mana menyaksikan 16 calon merupakan penyandang parlimen manakala 15 lagi adalah calon muka baru.  Dari segi pembahagian kerusi pula menyaksikan PBB mendapat 14 kerusi, SUPP 7 kerusi, PRS 6 kerusi dan PDP 4 kerusi.  Dari jumlah keseluruhan juga menyaksikan ada pertambahan pada bilangan kaum wanita yang akan bertanding atas tiket Barisan Nasional iaitu seramai 6 orang kesemuanya.  

Senarai calon-calonnya adalah seperti berikut:

Calon Parlimen Mas Gading (P192) - Anthony Nogeh Gumek (BN)

Calon Parlimen Santubong (P193) - Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN)

Calon Parlimen Petra Jaya (P.194) - Datuk Fadillah Yusof (BN)

Calon Parlimen Kuching (P.195) - Kho Teck Wani (BN)

Calon Parlimen Stampin (P.196) - Datuk Dr Sim Kui Hian

Calon Parlimen Kota Samarahan (P197)- Rubiah Wang (BN)

Calon Parlimen Puncak Borneo (P.198) - Genot Anak Sinel @Jeannoth Sinel (BN)

Calon Parlimen Serian (P199) - Datuk Richard Riot Jaem (BN)

Calon Parlimen Batang Sadong (P200) - Nancy Shukri (BN)

Calon Parlimen Batang Lupar (P201) - Rohani Abdul Karim (BN) 

Calon Parlimen Sri Aman (P.202) - Masir Kujat (BN)

Calon Parlimen Lubok Antu (P203) - Robert Pasang Alam

Calon Parlimen Betong (P.204)- Robet Lawson Chuat (BN)

Calon Parlimen Saratok (P205) - Jagah @Subeng Anak Mula (BN)

Calon Tanjung Manis (P206) - Yusuf Abdul Wahab (BN)

Calon Parlimen Igan (P.207) - Ahmad Johnie Bin Zawawi (BN)

Calon Parlimen Sarikei (P.208) - Huang Tiong Sii (BN)

Calon Parlimen Julau (P.209) - Datuk Joseph Salang Gandum (BN)

Calon Parlimen Kanowit (P210) - Aaron Ago Dagang (BN)

Calon Parlimen Lanang (P.211) - Kong Sieng Chiu @Kelvin Kong

Calon Parlimen Sibu (P.212) - Wong Kee Yew @Andrew Wong

Calon Parlimen Mukah (P.213) - Hanifah Hajar Taib (BN)

Calon Parlimen Selangau (P214) - Rita Sarimah Anak Patrick (BN)

Calon Parlimen Kapit (P.215) - Datuk Alexander Nanta Linggi (BN)

Calon Parlimen Hulu Rajang (P.216) - Wilson Ugak Kumbong (BN)

Calon Parlimen Bintulu (P.217) - Datuk Seri Tiong King Sing (BN)

Calon Parlimen Sibuti (P.218) - Lukanisman Bin Awang

Calon Parlimen Miri (P.219) - Dato Sebastian Ting (BN)

Calon Parlimen Baram (P.220) -Anyie Ngau (BN)

Calon Parlimen Limbang (P.221) - Hasbi Habibollah (BN)

Calon Parlimen Lawas (P.222) - Datuk Henry Sum Agong (BN)



#PRU14