Saturday 22 December 2018

PENANGAN LETUSAN GUNUNG BERAPI ANAK KRAKATAU


MENJELANG tengahmalam tadi tanggal 22 Disember 2018,  kita dikejutkan dengan berita duka nun di kawasan pantai sekitar Selat Sunda yang mana menyaksikan rakyat Indonesia di sana dilanda tragedi tsunami. Menurut berita mutakhir yang diwar-warkan sehingga jam 12.00 tengahari tadi dipercayai lebih daripada 60 orang terkorban sementara lebih dari 500 orang mengalami kecederaan sementara banyak yang rosak.  
Pakar geografi Indonesia menyatakan bahawa tsunami tanpa “alarm” yang melanda Selat Sunda malam tadi adalah dipercayai berpunca daripada letusan awal gunung berapi Anak Krakatau yang ada di Selat Sunda.  
Menurut sejarah, Gunung Krakatau adalah antara gunung berapi yang pernah meletus di Selat Sunda iaitu tanggal 26 Ogos 1883.  Bencana letusan Krakatau telah mengorbankan hampir 36,000 orang pada waktu itu. Biarpun gunung berapi Krakatau telah musnah namun masih ada lagi gunung-gunung berapi kecil yang masih aktif seperti gunung berapi Anak Krakatau.  
  

Thursday 20 December 2018

SARAWAK SEBAGAI MEDAN DAKWAH???



BEBERAPA hari yang lepas, Menteri Pendidikan Malaysia iaitu Dr. Mazlee Malik mengeluarkan kenyataan bagaimana seorang guru itu turut bertindak sebagai pengantara medan dakwah di dalam tugasannya.  Ianya dikeluarkan bagi menjawab sessi di dewan rakyat yang mana berkisar kepada persoalan kekurangan guru-guru agama di sekolah-sekolah di Sarawak dek kerana ramai guru berasal dari Semenanjung Malaysia memohon untuk berpindah.

Tindakan Dr Mazlee yang tampil dengan respons sebegitu rupa akhirnya memakan diri sendiri kerana rakyat Sarawak tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik menyelar beliau kerana langsung tidak memahami sensitiviti kepelbagaian kaum dan agama di Sarawak.  Dan tatkala menerima banyak respons negatif, sekali lagi Dr. Mazlee tampil dengan kenyataan “pusingan U” bagi mempertahankan dirinya bahawa apa yang dimaksudkan sebagai medan dakwah itu adalah guru-guru menjadi pengantara kepada kebaikan dan bukan sama sekali untuk menyerap dan mempengaruhi pelajar-pelajar memeluk Islam.

Hakikatnya biar apa jua alasan Dr. Mazlee waima kesalahan intepretasi menurut beliau adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal.  Ini kerana perkara ini timbul tatkala kita berbicara mengenai kekurangan guru agama dan sekiranya rakyat Sarawak mempunyai kefahaman mengenai “medan dakwah” itu sudah tentu berkisar tentang dakwah-dakwah agama Islam.  Dr. Mazlee seharusnya peka dengan setiap butir bicaranya demi menjaga keharmonian Sarawak yang pelbagai kaum dan agama di Sarawak.  

Mungkin Dr. Mazlee kurang jelas bahawasanya di Sarawak TIADA AGAMA RASMI di dalam perlembagaannya yang berlainan sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.  Natijah dari setiap bicara seorang Menteri Pendidikan mungkin akan memberi impak kepada sekolah-sekolah kerajaan selepas ini kerana adanya ketakutan di kalangan ibubapa untuk membenarkan anak-anak mereka ke sekolah kerajaan kerana akan dipengaruhi untuk memeluk Islam.

Sebagai seorang yang terpelajar dan lebih-lebih lagi seorang berpangkat Menteri Pendidikan harus peka dengan sensitiviti rakyat.  Adalah dinasihatkan agar Dr. Mazlee merujuk kembali Manifesto PH pada PRU lepas iaitu Manifesto ke 43 yang cukup jelas menyatakan bahawa Kerajaan PH sekiranya berkuasa akan terus menghormati kebebasan beragama di Sarawak.  

Cakap siang, pandang-pandang dan cakap malam, dengar-dengar wahai Dr. Mazlee.  Rakyat Sarawak lebih mengutamakan keharmonian daripada segalanya yang sehingga ke hari ini cukup sukar untuk diganggugugat seperti tempat lain di Malaysia.  Cubit paha kiri, seluruh peha kanan rakyat Sarawak terasa. Ingat itu!


Monday 17 December 2018

ADIB MENINGGAL DUNIA


TIADA kata yang mampu diungkap atas perkhabaran duka yang baru kita terima iaitu kembalinya ke rahmatullah seorang anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib bin Mohd Kassim yang menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 9.41 malam ini di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Sesungguhnya Allah lebih menyayangi Allahyarham setelah bertarung dengan kecederaan parah dek selepas insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada tanggal 27 Novmber 2018 yang lalu. Amatlah diharap agar si pembuat angkara akan dibawa ke muka pengadilan dan didakwa seberat-beratnya kerana tiada kompromi atas hal yang berlaku ini.

Salam takziah untuk seluruh keluarga Allahyarham dan juga semua anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan para syuhada dan ambiya.

Alfatihah. Amin.

Friday 14 December 2018

ANAK SARAWAK JUARA WBPF KE-10



TANPA kita sebagai rakyat Sarawak sedari ada seorang anak Sarawak kelahiran Jaong, Sri Aman secara diam-diam telah mengukir nama Malaysia dan Sarawak di peringkat dunia semalam iaitu Buda Anchah, seorang atlit bina badan yang telah mengungguli Kejohanan World Bodybuilding Physique Sports Federation siri ke-10 berlangsung di Chiangmai, Thailand.  Beliau memenangi pingat emas peringkat umur 40-49 tahun di kejohanan tersebut.  Sekaligus turut melakar sejarah peribadi yang dilakukannya ketika kejohanan yang sama di Budapest, Hungary pada tahun 2013.  

Salam tahniah untuk Buda Anchah atas kejayaan ini.  Kami berbangga atas kegigihan anda.  

BARU BIAN "HILANG" LAGI!


SELEPAS tidak menghadiri mesyuarat pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat peringkat pusat tempohari, kali ini Menteri Kerja Raya Malaysia yang juga Ahli Parlimen Selangau iaitu Baru Bian turut "lesap" buat kali kedua. Mesyuarat parti yang dijadualkan hari ini jam 3 petang turut dihadiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Hilton ternyata gagal memikat hati beliau untuk menghadirinya.

Setakat ini tidaklah diketahui apakah pula alasan beliau namun menurut sumber dalaman, mesyuarat di Kuching sekarang diadakan dalam situasi tegang lebih-lebih lagi desas-desus menyatakan kemungkinan besar Larry Sng yang akan mengambilalih kepimpinan tertinggi PKR Sarawak. Dalam pada itu turut dinyatakan bahawa MP Miri iaitu Dr. Michael Teo Yu Keng turut menawarkan diri sendiri bagi jawatan tersebut.

Yang pasti, kehilangan Baru Bian untuk kali ini seperti sudah ada tanda-tanda pemberontakan dalaman di dalam pentadbiran PKR Sarawak. Baru Bian merupakan calon 'favourite' akar umbi PKR Sarawak. Sama-samalah kita tunggu apa kesudahannya kelak.

-RP-

Thursday 13 December 2018

PENGGUNAAN SLIP KERTAS PUTIH IMIGRESEN SARAWAK ITU “HARAM”!


DALAM dua hari ini tular mengenai penggunaan passport dan kertas slip putih yang menjadi antara hak autonomi Imigresen Sarawak jika ingin melawat Sarawak bagi rakyat Malaysia. Difahamkan kesedaran mengenai “salahlaku” penggunaan kertas slip putih bagi rakyat Malaysia bukan warga Sarawak memasuki Sarawak dengan diberikan kertas slip putih bermula apabila seorang warga netizen memuatnaik statusnya di laman mukabuka sebelumnya.  

Terpanggil menjawab segala yang dirasakan agak bercanggah dengan proses yang sepatutnya, seorang menteri kanan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk James Jemut Masing tegas menyatakan bahawa penggunaan pasport hendaklah digunapakai semula.  Dan kenyataan itu adalah seperti di dalam pautan ini:


Dalam pada itu adalah difahamkan bahawasanya penggunaan slip kertas putih diberikan kepada rakyat Malaysia bukan warga Sarawak bermula sekitar tahun 1986 iaitu pada ketika itu adanya kemudahan Feri Malaysia yang belayar dari Malaya ke Sarawak dan Sabah.  Dan turut dinyatakan bahawa ianya dibuat sedemikian rupa bagi menggalakkan industri pelancongan tempatan pada masa itu kerana tidak mahu membebankan rakyat Malaysia yang perlu untuk mempunyai pasport jika ingin memasuki Sarawak pada ketika itu.  Dengan hanya memberikan kad pengenalan Malaysia sewaktu di pintu masuk maka satu slip putih akan diberikan kepada yang bukan warga Sarawak yang mana mempunyai tempoh-tempoh tertentu untuk berada di Sarawak.  Dan ianya digunapakai sehingga ke hari ini.  

Apa yang memusykilkan, sekiranya penggunaan slip kertas putih ini digunapakai selama hari ini TIDAKKAH ianya melanggar kuasa autonomi Imigresen Sarawak yang mana sudah tercatit proses penggunaan passport seperti yang tertera di dalam Perjanjian Malaysia 1963.  Ditambahlagi mana mungkin atas sebab-sebab tertentu ianya secara sengaja atau tidak sengaja diubah mahupun dipinda isi kandungan dan pautannya kerana Perjanjian Malaysia 1963 itu sendiri adalah satu perjanjian antarabangsa yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tanggal 21 September 1970 dengan nombor pendaftaran 10760.  

Dan lagi tambah memeningkan kepala selama ianya berlangsung TIDAK PERNAH pindaan ini diwar-warkan kepada rakyat Malaysia umumnya dan Sarawak khususnya kerana ia hanya melibatkan pihak Imigresen dan kerajaan sahaja.  Dari tahun 1986 sehinggalah ke hari ini tiada bukti Hansard Parlimen mahupun usul Dewan Undangan Negeri Sarawak yang menyentuh hal tersebut.  

Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa pindaan menggunakan slip kertas putih dari pasport Malaysia adalah satu yang HARAM dari segi undang-undang.  Jadi andaikata ramai rakyat Sarawak mahukan ianya digunapakai semula ada kebenarannya kerana kita menyentuh soal autonomi yang cukup jelas disebutkan di dalam roh penubuhan Malaysia yang dibentuk oleh Malaya, Sabah dan Sarawak (setelah Singapura menarik diri pada tahun 1965).  

Jangan dipandang sebelah mata atas hal ini kerana kita sedia maklum banyak pindaan-pindaan yang dibuat tidak sama seperti asal perjanjian. Dahulu mungkin rakyat Sarawak alpa namun sekarang kita cukup jelas hak-hak kita. Ahli politik Sarawak samada dari parti pemerintah atau pembangkang harus memainkan peranan mereka untuk mengembalikan ia seperti asalnya walau apa jua alasan. Manakala di pihak persekutuan pula dituntut untuk memulangkannya jika benar-benar menyatakan akan menghormati Perjanjian Malaysia 1963 yang asal.  Undang-undang itu tetap undang-undang. Jangan kita biarkan pisang berbuah dua kali.

-RP-