Wednesday 31 July 2019

SARAWAK TOLAK CADANGAN UNTUK MENYERAGAM AKTA KERAJAAN TEMPATAN


TIADA kompromi kerana ianya adalah termaktub di dalam kuasa autonomi bagi Sarawak seperti yang telah dimeterai di dalam Perjanjian Malaysia 1963. Kuasa autonomi itu akan dipertahankan biarpun Putrajaya mahukan ianya diseragamkan bagi membolehkan satu pilihanraya kerajaan tempatan diadakan.

Untuk pengetahuan semua, pentadbiran kerajaan tempatan adalah dibawah bidang kuasa autonomi Kerajaan Sarawak dan mana mungkin kita boleh menyerahkan atau mengubahnya sewenang-wenangnya sebegitu sahaja. Ianya seumpama sejarah lama berulang kembali. Nawaitu pada awalnya sebegitu baik namun lama-lama ianya akan tersasar dari haluan yang sebenar. Kita haruslah belajar dari krsilapan yang lepas bagaimana pada awalnya kita 'percaya".

Kita mahukan apa yang "terhakis" dikembalikan dan bukan sekali "menghilangkan" sesuatu yang sememangnya sudah milik kita.

Pautan berita penuh:


TUDUH DAHULU PERIKSA KESAHIHAN KEMUDIAN


DUA hari yang lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan iaitu YB Zuraida Kamaruddin membuat pernyataan yang sama sekali tidak boleh diterima apabila menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak tidak memberikan perkhidmatan yang professional di dalam pemberian elaun Tuai Rumah. Dikatakan beliau menerima informasi oleh beberapa orang Tuai Rumah yang mendakwa mereka tidak mendapat elaun kerana mereka dipilih oleh Pakatan Harapan bukannya Kerajaan Sarawak.  

Pautan adalah seperti berikut:


Dan tuduhan daripada YB Zuraida itu disanggah oleh YB Datuk Amar Douglas Unggah di dalam kenyataan medianya sejurus selepas ianya ditularkan oleh pihak media.  Menurut YB Datuk Amar Douglas segala hal mengenai elaun Tuai Rumah sememangnya selama ini telah dilakukan secara professional. Beliau secara terbuka menyelar tindak tanduk seorang menteri persekutuan yang langsung tidak beretika kerana membuat tuduhan rambang tanpa memeriksa kesahihan berita terlebih dahulu.  

Kenyataan media daripada YB Datuk Amar Douglas adalah seperti berikut:

===============================

PRESS STATEMENT FROM YB DATUK AMAR DOUGLAS UGGAH

Reference is made to the press statement by the Minister of Housing and Local Government Zuraida Kamaruddin today who had called on the Sarawak State Government to handle the allowance for "Tuai Rumah"  professionally.

She had accused the government of not paying them their monthly allowances as they were “not recognised just because they are appointed by Pakatan Harapan (PH) representatives.”

She had been allegedly told this by the so-called Persatuan Kebajikan Rumah Panjang Bintulu.

I wish to assure the minister that the appointment of "Tuai Rumah" in Sarawak has always been professionally done.

We have our own terms and conditions to follow. As long as they meet them, we have no problem in appointing them.

My advice to Zuraida is to meet and discuss with the state government.

Then she can get the clarifications to enlighten her on the procedures and not  just taken in by unfair allegations.

I have contacted the Resident Bintulu Division who has confirmed that all LEGALLY appointed Tuai Rumah in the division have been paid their allowances REGULARLY.

They are paid through the payroll system which started in the state since 2013. They will receive their allowances regularly each month until the expiry of their appointments.

Like I have said at the onset, Zuraida is most welcome to seek official clarifications before making her allegations to the media just to tarnish the image of the state government.

YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas
Deputy Chief Minister and Minister of Modernisation of Agriculture, Native Land and Regional Develooment, Sarawak

==================

Mungkin sudah kesipuan kerana membuat tuduhan rambang lantas YB Zuraida cuba membuat pembetulan itupun masih lagi cuba menegakkan benang yang basah dan beliau sendiri dikatakan akan berjumpa dengan KM Sarawak untuk membincangkan hal tersebut.  

Pautan berita penuh seperti berikut:


Hakikatnya sebagai seorang menteri peringkat Persekutuan, YB Zuraida tidak boleh hanya membuat tuduhan sembrono semata-mata untuk kelihatan hebat dan mempolitikkan serba-serbi hanya untuk memalukan Kerajaan Sarawak seperti tidak pandai membuat kerja.  Budaya fitnah memfitnah dan menuding jari tanpa alasan yang jelas dan hanya bersumberkan fakta “hear and say” menjadi amalan. Masuk ke rumah orang dan langsung tidak hormat tuan rumah sebenarnya umpama si kaduk naik junjung.  Inilah yang dinamakan walau sudah menjadi pemerintah tetapi perangai tetap pembangkang selama-lamanya.  Siapa yang tidak professional sebenarnya?

#SarawakDiutamakan

Tuesday 30 July 2019

PENGUMUMAM PERPINDAHAN IBUKOTA INDONESIA KE KALIMANTAN OGOS INI


TAHUN ini khabar angin yang mengatakan Republik Indonesia akan memindahkan ibukotanya ke Pulau Borneo iaitu Kalimantan menjadi antara berita yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat dunia. Ini kerana umum mengetahui betapa tuntutan untuk mencari ibukota yang baharu terlalu mendesak tatkala Kota Jakarta, ibukotanya sekarang sudah tidak mampu menampung jumlah kepadatan penduduk,  kesesakan lalulintas dan masalah-masalah yang lain.  Ditambahlagi sudah ada desas-desus bagaimana rakyat Indonesia di Kalimantan menuntut wilayah mereka tidak ketinggalan dari arus pembangunan yang selama ini berpusat di Pulau Jawa sejak mereka merdeka pada tahun 1945.

Dalam pada itu menurut Presiden Indonesia yakni Jokowi menyatakan segala kajian yang teliti masih lagi dilakukan dan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru.  Dan difahamkan setakat ini, beliau sudah melawat dua kawasan di Kalimantan yang berpotensi sebagai ibukota Indonesia yang baharu iaitu Bukit Soeharto di Kabupaten Kutai Kartanegara yang terkenal dengan sejarah berdirinya kerajaan kuno terawal di Borneo iaitu Kerajaan Kutai dan Kabupaten Gunung Mas, Kalimantan Tengah.  

Berdasarkan kepada desas-desus cerita perpindahan ibukota Indonesia ini sudah disahihkan di Kalimantan namun tempatnya secara mengkhusus hanya akan diumumkan pada bulan Ogos ini oleh Presiden Indonesia sendiri.

Sekiranya benar seperti yang dikatakan sudah tentu Sarawak Bumi Kenyalang adalah wilayah Malaysia yang paling banyak menerima lebih-lebih lagi di dalam sosioekonominya.  


Pautan berita penuh:


PRO REFORMIS 98 DESAK AZMIN DIKENAKAN TINDAKAN DISIPLIN



NAMPAK gayanya PKR Sarawak turut terpalit dengan ceritera pertelingkahan dalaman antara kem Anwar dan Azmin apabila Pro-Reformis 98 yang kebanyakan daripada mereka kalah sewaktu pemilihan peringkat majlis tertinggi Sarawak tempohari telah bersatu menyatakan pendirian mereka mengenai kes Azmin yang seperti tidak diambil peduli oleh jawatankuasa disiplin parti.  

Menurut mereka adalah tidak adil untuk membiarkan Azmin boleh melakukan sesukahati biarpun telah melanggar undang-undang parti.  Dan untuk itu Azmin Ali harus diambil tindakan disiplin dengan segera.  Terdahulu daripada itu beberapa hari yang lepas, Baru Bian sebagai Pengerusi PKR Sarawak turut telah mengeluarkan kenyataan media mengenai sokongan mereka ke atas Azmin Ali yang ditandatangani oleh 21 cabang daripada 30 cabang yang ada.  

Rupa-rupanya sembilan cabang yang tidak menyokong itu adalah daripada kumpulan Pro Reformis 98 yang mana telah menunjukkan secara terbuka akan sokongan mereka ke atas DSAI.  


Pautan berita penuh:


Monday 29 July 2019

YANG DIPERTUAN AGONG MALAYSIA KE XVI


MERAFAK sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah atas pertabalan Baginda sebagai Kebawah Duli Yang Dipertuan Agong Malaysia yang ke XVI.

Daulat Tuanku.

LEBIH BAIK “MENGASINGKAN DIRI” DARI MENJADI ULUN MALAYA UNTUK 56 TAHUN LAGI!


MAKAN malam Pakatan Harapan baru sahaja selesai malam tadi dan diceritakan ramai pemimpin-pemimpin pusat PH mendatangi Sarawak konon-kononnya membawa 1001 “harapan yang tidak pasti” sepertimana mereka menabur janji dengan manifesto bukan satu kitab suci ketika PRU ke-14 yang lalu.  Dalam pada itu ucapan Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Timbalan Presiden PPBM malam tadi ada menyatakan bahawa rakyat Sarawak “rugi” kerana GPS iaitu kerajaan pemerintah yang sedia ada mengasingkan diri daripada menyertai kem PH.  

Pautan adalah seperti berikut:


Tindakan parti-parti tempatan yang membentuk Gabungan Parti Sarawak keluar dari Barisan Nasional seepas kekalahan BN pada PRU ke-14 yang lalu ada sebabnya yang mana ianya dilakukan agar suara-suara dan tuntutan rakyat Sarawak akan lebih besar untuk didengar di peringkat pusat terutama sekali melibatkan tuntutan autonomi dan beberapa hal yang bertindih melalui Perjanjian Malaysia 1963.  

Dan dek kerana itulah GPS tampil dengan moto “Sarawak Diutamakan” yang mana ianya mengkhusus untuk menyatakan bahawa di dalam apa jua yang dilakukan oleh GPS adalah semata-mata dari rakyat dan Sarawak Bumi Kenyalang.  Dengan tidak menyertai mana-mana gabungan dan pakatan dari luar Sarawak maka GPS sudah tentu dengan lebih mudah untuk membentuk polisi, keputusan dan perancangan tanpa campurtangan pihak luar.  

Belajar dari kesilapan yang lepas ketika dibawah Barisan Nasional dahulu yakni sejak di tahun 1970 apabila parti pemerintah Sarawak mulai bergabung dengan BN di peringkat pusat menyaksikan berapalah sangat pembangunan yang dibawa.  Dengan terikat tangan dan kaki tatkala berada di kerusi pro-BN banyak dasar-dasar serta kehendak rakyat Sarawak terpaksa dilakukan seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan sesekali berselerakkan.  Natijahnya jurang pembangunan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak itu sendiri begitu ketara biarpun hakikatnya Sarawak adalah penyumbang ekonomi Malaysia sejak dari dahulu lagi.  

Jika hendak berkata rakyat Sarawak “rugi” juga adalah tidak benar sama sekali kerana sejak GPS memilih untuk “bersendirian” maka pembangunan infrastruktur Sarawak tetap diteruskan malah lebih rancak daripada dahulu.  Ini kerana biarpun Putrajaya yang dipegang oleh PH mendabik dada bahawa mereka tidak seperti BN dahulu tetapi mereka adalah “kembar tidak seiras”.  Lihatlah bagaimana cara “keadilan” ala PH yang dengan sewenang-wenangnya memotong belanjawan pembangunan untuk Sarawak biarpun ianya sudah diperuntukkan sejak zaman BN memerintah.  Atas alasan negara hendak “bangkrap” konon tetapi boleh pula memberikan berbilion-bilion untuk projek-projek infrastruktur di negeri-negeri lain.  

Makanya Sarawak dibawah GPS telah menggunakan mekanisma yang lebih baik untuk memastikan pembangunan infrastruktur Sarawak terus berkembang dengan dana sendiri apabila mencari alternatif pendapatan sendiri seperti cukai jualan petrol dan gas melalui OMO 1958. Dengan hasil penjanaan ekonomi sendiri maka kerana itulah belanjawan Sarawak 2019 adalah belanjawan yang paling besar pernah Sarawak adakan iaitu hampir RM11 bilion kesemuanya.  Dan ianya langsung bukan sama sekali menyebabkan rizab Sarawak itu berkurangan kerana mempunyai surplus perbelanjaan saban tahun.  Dan sudah tentu pengiraan untuk jumlah pendapatan Sarawak itu bukanlah seperti Menteri Kewangan Malaysia, LGE yang mengira berdasarkan prinsip matematik budak sekolah tadika iaitu Sarawak akan muflis dalam masa tiga tahun seperti yang beliau dakwa.

Bila berkata mengenai soal integriti pula mungkin Sarawak dibawah kepimpinan GPS yang memilih untuk “bersendirian” itu adalah satu kerajaan yang gila. Ini kerana belum ada lagi satu kerajaan negeri yang berani tampil meminta pihak SPRM untuk bersama-sama dengan pengurusan kerajaan negeri bagi memastikan soal pemberian projek dan tender itu berlandaskan yang betul dan beretika.  Memilih untuk “bersendirian” tapi membenarkan badan dari Pusat untuk menggodek kelemahan sekiranya ada adalah satu tindakan berani mati.  

Malah bukan sahaja itu, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan, Belia dan Sukan Sarawak misalnya turut menjemput seorang YB PH untuk bersama-sama di dalam kementerian mereka selama enam bulan iaitu YB Violet Yong dari DAP agar segala hal mengenai perbangunan pelancongan Sarawak dapat diangkat bersama.  Pernahkah ada satu kementerian kerajaan yang membuka pintu seluas-luasnya kepada “musuh” untuk masuk ke dalam rumahnya sebelum ini? Ini sudah cukup membuktikan bahawa kerajaan GPS itu berani bertindak kerana mereka berada di landas yang betul dan bukannya seperti yang PH Sarawak gembar-gemburkan sebelum ini.  

Rasanya tindakan GPS untuk bersendirian itu lebih baik kerana sekiranya bersama satu kerajaan yang sentiasa goyah sana sini ditambahlagi dengan keadaan politik dalaman yang terumbang ambing akan lebih merugikan rakyat Sarawak.  Dengan cantas mencantas demi mengejar kedudukan di dalam parti ditambahlagi dengan parti gabungan terbelah dua kerana punya kem-kem tersendiri bilakah masa untuk memikirkan untung nasib rakyat.  

Ini belum lagi ditambah dengan menteri-menteri persekutuan PH yang mengemukakan dasar pelik-pelik di peringkat persekutuan hanya untuk menunjukkan mereka hebat yang mana akhirnya menunjukkan kedangkalan mereka sendiri.  

Rugikah rakyat Sarawak jika mempunyai seorang menteri persekutuan yang seumpama “kick ganja” berfantasi dengan kereta terbang?

Rugikah rakyat Sarawak jika mempunyai menteri yang boleh mengira berapa jumlah ikan kembung di lautan dan meminta para nelayan menanam nenas di belakang rumah?

Rugikah rakyat Sarawak jika mempunyai seorang menteri persekutuan yang lebih mementingkan kasut hitam daripada dasar pendidikan negara?

Rugikah rakyat Sarawak jika mempunyai seorang menteri persekutuan yang lebih memilih untuk menjadi pelakon daripada memikirkan ekonomi negara?

Rugikah rakyat Sarawak jika mempunyai seorang menteri yang meminta rakyat meminum minyak sawit sesudu setiap hari untuk menambah kebijaksanaan?

Atau rugikah rakyat Sarawak jika faktor pencemaran dan gas beracun yang terjadi di Johor itu disebabkan oleh tahi burung merpati?

Apa yang benar-benar merugikan rakyat Sarawak sekarang adalah mempunyai dua orang menteri persekutuan dari PH Sarawak yang langsung tidak berfungsi untuk memenangkan rakyat Sarawak.  Menteri persekutuan yang menjaga pembangunan infrastruktur Malaysia hanya mampu menjadi pak angguk-angguk, geleng-geleng tatkala belanjawan untuk Sarawak dipotong dan seterusnya seorang menteri barangan dari Sarawak yang gah berkata sekiranya PH memerintah peringkat pusat royalti 20% minyak akan diberikan kepada parti pemerintah Sarawak tanpa syarat dan tanpa melompat mati.  Akhirnya bersembunyi di sebalik pintu menelan air liur basi apabila Perdana Menteri Malaysia sendiri berkata Petronas boleh muflis jika memberikan 20% royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak.  

Hakikatnya, apa yang dilakukan oleh pemerintah Kerajaan Sarawak sekarang iaitu GPS yang memilih untuk “bersendirian” dan hanya akan menyokong Kerajaan Pusat apabila ianya melibatkan kepentingan Sarawak adalah satu yang benar.  Biarlah kita bersendirian daripada terus menjadi “ulun Malaya” untuk 56 tahun lagi.  Sejarah yang lepas sudah cukup untuk kita jadikan sempadan.  

Berakit-rakit dahulu, berenang-renang ke tepian.
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Mansang terus Mansang Sarawak dibawah Kerajaan GPS.  Jangan diulang kesilapan yang lepas.  

#Sarawakdiutamakan

Sunday 28 July 2019

AZMIN “HILANG” DI MAJLIS MAKAN MALAM PH SARAWAK


MALAM tadi berlangsung Majlis Makan Malam Pakatan Harapan di Kuching, Sarawak yang menyaksikan ramai pemimpin parti-parti gabungan pembentuk Pakatan Harapan hadir untuk memeriahkan suasana.  Lim Kit Siang, Mat Sabu, Mukriz Mahathir, Muhyiddin Yassin, Zuraida, Dato Seri Anwar Ibrahim, Baru Bian, Chong Chieng Jen serta ramai lagi yang berada di Semenanjung Malaysia sanggup meluangkan masa meninggalkan bebanan tugas mereka untuk “terbang” ke Sarawak bagi bersama-sama dengan penyokong-penyokong mereka.

Dalam pada itu, ramai yang tercari-cari ke manakah menghilangnya Azmin Ali iaitu Timbalan Presiden Parti Keadilan Sarawak di dalam satu majlis yang bersejarah bagi Pakatan Harapan pada kali ini.  Memandangkan makan malam ini begitu penting kerana melibatkan segala jentera persediaan bagi menghadapi Pilihanraya Negeri Sarawak yang berkemungkinan diadakan 2 tahun lagi.  

Perkelahian dalaman antara pucuk pimpinan PKR bukanlah satu rahsia lagi malah ianya sudah disahihkan oleh Datin Seri Wan Azizah baru-baru ini.  Cerita ceriti kem Anwar dan kem Azmin memenuhi media massa dek kerana satu video hubungan songsang terlarang yang didakwa adalah Azmin Ali dan pengakunya Haziq Abdullah bin Abdul Aziz, bekas Ketua AMK Cabang Santubong.  

Selain itu pada 27 Julai 2019, Baru Bian selaku Pengerusi MPN Sarawak turut mengeluarkan kenyataan media bahawa PKR Sarawak memohon agar segala pertelingkahan dalaman PKR dilupakan seketika dan persediaan harus diutamakan untuk PRN Sarawak kelak. Menariknya di dalam kenyataan itu hanya ditandatangani dan disokong oleh 21 ketua-ketua cabang manakala sembilan lagi tidak mempunyai status.  Untuk rekod, PKR mempunyai 30 cabang di Sarawak.  

Apakah yang berlaku sebenarnya kerana jika diikutkan Azmin tiada mempunyai masalah menghadiri segala majlis yang dianjurkan di peringkat pusat dan mengapa acara di Sarawak yang menghimpunkan kesemua ahli gabungan PH DILUPAKAN.  Apakah benar seperti khabar angin sebelum ini bahawa Azmin Ali sudah merajuk dan ingin angkat kaki dari PKR samada menubuhkan parti yang baharu atau menyertai Gerakan.  Sama-sama kita tunggu. 

JANGAN MALAYSIA SEUMPAMA TEBU…. - ABG JO, 28/7/2019, KAPIT-


KETIKA merasmikan GPS Zon 11 di di Rumah Robert Nyumbang, Nanga Sebatu, Kapit hari ini, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari berucap menyatakan Sarawak tidak mahu Malaysia seumpama tebu, manis di pangkal tawar di hujung.  Dek kerana itu setiap rakyat Sarawak harus bersatu di dalam Gabungan Parti Sarawak mempertahankan Sarawak, ibu pertiwi.

Berita penuh seperti pautan ini:

Saturday 27 July 2019

CHONG CJ - DARI “SARAWAK NASIONALIS” KEPADA ULUN MALAYA


UMPAMA kera mendapat bunga begitulah Chong Chien Jen MP DAP Kota Sentosa, Pengerusi DAP Sarawak merangkap Timbalan Menteri KPDNKK Malaysia yang secara tiba-tiba seperti baru sedar dari mimpi tatkala mencadangkan agar definisi Hari Sarawak di dalam gazette dipinda.  

Pautan adalah seperti berikut:


Jika kita menggodek cerita lama iaitu ketika Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem menjadi Ketua Menteri Sarawak iaitu pada tanggal 22 April 2016 itulah Allahyarham telah mengumumkan untuk 22 Julai diangkat dan dimartabatkan semula sebagai tarikh bersejarah untuk mengenang jasa-jasa pejuang kemerdekaan Sarawak dari penjajahan Koloni British.  Kerana pada hari itulah Sarawak mulai melangkah ke era berkerajaan sendiri.  

Pautan berita dan ucapan penuh ada disini:


Dan hal ini telah diluluskan di dalam mesyuarat kabinet Sarawak pada Mac 2016 dengan dipersetujui sebulat suara untuk ianya diwartakan pada tanggal 16 Mei 2016 di Dewan Undangan Negeri Sarawak.  Tidakkah pada masa itu Chong merupakan ADUN bagi Kota Sentosa yang turut berada di dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak mendengar apa yang berlaku dan mengapa beliau “tidak peduli” ketika ianya diwartakan sebagai “Hari Kemerdekaan”.  

Pada masa itu mungkin ramai mengetahui bahawa Chong BUKANLAH Menteri Persekutuan dan DAP itu sendiri bukannya pemerintah Kerajaan Malaysia makanya beliau boleh sahaja mengiyakannya lebih-lebih lagi beliau antara mereka yang terbabit bersama di dalam rali Kemerdekaan Sarawak pada tanggal 22 Julai 2015 yang dianjurkan bersama oleh Sarawak For Sarawakian. (sila lihat bukti bergambar). Beliau bersama barisan DAP Sarawak sehati sejiwa menggunakan segala kepakaran untuk memujuk hati rakyat Sarawak pada waktu itu bahawa beliau juga adalah “Sarawak Nasionalis”.  

Malah pada ketika itu, Chong Chien Jeng adalah antara insan yang menyokong dan mempersendakan Kerajaan Sarawak dibawah BN pada masa itu UNTUK TIDAK MERAYAKAN SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN 31 OGOS saban tahun yang DIKATAKANNYA BUKAN TARIKH SIGNIFIKASI DENGAN SARAWAK.  

Pautan adalah seperti berikut:

https://www.theborneopost.com/2016/09/01/chong-sarawak-should-stop-celebrating-national-day-on-aug-31/

Itu dahulu tetapi setelah pemerintahan bertukar tangan dan PH memerintah lantas beliau sudah seumpama sesumpah yang boleh sahaja bertukar warna demi survival maka begitulah Chong Chieng Jen yang sekarang dari pro Sarawak Nasionalis menjadi pro Malaya atau terma kita ULUN MALAYA.  Apa yang pasti Chong dan rakan-rakannya dalam DAP Sarawak begitu takut dengan bayangan sendiri kerana mereka tahu bahawa tarikh 22 Julai itu berjaya membuatkan rakyat Sarawak bersatu padu lantas agenda mereka untuk “memalayakan” Sarawak gagal.  

Lihatlah bagaimana sewaktu sidang parlimen yang lepas, ketakutan DAP Sarawak atas kebangkitan rakyat Sarawak yang menuntut hak cuba mereka sekat dengan membawa persoalan tersebut ke Dewan Rakyat.  Soalan daripada MP Lanang dari DAP Sibu menjadi saksi bahawa mereka sengaja melakukannya dengan jawapan secara bertulis daripada Perdana Menteri Malaysia.  

Pautan adalah seperti berikut:

Hakikatnya tiada apa yang salah pada terma tersebut kerana ianya adalah tinggalan Tok Nan yang membuatkan kita sedar akan hak-hak kita yang terhakis yang hanya boleh dilakukan sekiranya rakyat Sarawak bersatu padu dibawah bendera Sarawak untuk menidakkan kebatilan yang ada selama ini.  Chong sengaja menjadikan ianya satu isu seolah-olah Sarawak hendak merdekakan dan menuduh GPS hendak membawa Sarawak ke arah itu sedangkan apa yang GPS lakukan adalah untuk menuntut apa yang hak sahaja. Tidak lebih tidak kurang.  

Ianya telah disahihkan oleh Ketua Menteri Sarawak bahawa SARAWAK TETAP BERSAMA MALAYSIA dan begitu juga Allahyarham Tok Nan yang berulangkali berucap dengan nada yang sama.  

Pautan adalah seperti berikut:


Jadi kesimpulannya, “what is done is done” tidak perlu untuk kita menongkah arus dan menjadi talibarut hanya demi untuk survival politik yang berkepentingan seperti Chong Chien Jeng.  Pewartaan itu adalah tinggalan legasi Tok Nan yang diwariskan kepada kita sebagai rakyat Sarawak untuk kita semua bersatu padu dan mengenang sejarah lepas tentang jerih perih pejuang yang terdahulu.  Jika hendak betulkan sejarah banyak lagi yang hendak diperbetulkan malah sistem pembelajaran pendidikan yang sedia ada sekarang pun langsung tidak menceritakan sejarah Sarawak yang sebenar sehingga generasi Sarawak sendiri keliru.

Lebih baik Chong teruskan kerja sebagai Timbalan Menteri Persekutuan dan menunaikan segala janji manisfesto selama ini.  Kemanakah menghilangnya janji 20% royalti yang hendak dikembalikan kepada rakyat Sarawak tanpa syarat konon yang sekarang masih lagi sorong papan tarik papan mereka lakukan.  Dan begitu juga janji 50% hasil cukai yang nak mencium bau pun masih belum ada.  Dah lebih setahun memerintah apakah pula PH yang parti Chong bawa untuk faedah bersama rakyat Sarawak.  Sampai hendak membaikpulih sekolah-sekolah daif Sarawak pun didesak disuruh membayar hutang dahulu umpama “Ah long”.  

Rakyat Sarawak tidaklah sebodoh seperti yang Chong dan kuartet Malayanya fikirkan.  Mereka mengetahui yang mana satu betul dan yang mana satu tidak.  

Sungei Sarawak jangan dituba
Mun dituba ikan sik mati
Urang Sarawak jangan dicoba
Mun dicoba SIK TAKUT MATI ..

Psst..terma urang Sarawak ya sik digunapakai untuk Chong dan kuartetnya sebabnya dah jadi ULUN MALAYA!

#SarawakDiutamakan

Thursday 25 July 2019

ANAK BIDAYUH SARAWAK MENANGI BIASISWA PALING BERPRESTIJ DI EROPAH


TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu begitulah bidalan lama orang tua kita dulu-dulu apabila berbicara soal tuah yang mungkin juga kerana kelayakannya sememangnya sukar untuk dinafikan.  Seorang anak Bidayuh kelahiran Kuching yakni Amelia Roziman, 40 tahun yang juga Ketua Pegawai Operasi (CEO) Business Event Sarawak berjaya menempatkan dirinya sebagai anak Sarawak yang berjaya memperoleh biasiswa paling berprestij di Eropah untuk ke European School of Management and Technology di Berlin, Jerman bagi Program Transisi Eksekutif.

Sesungguhnya ini merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan besar buat golongan wanita di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya lebih-lebih lagi kaum Bidayuh.  Bukanlah senang untuk mendapatkan biasiswa tersebut kerana calon-calonnya bukanlah sembarangan diambil malah persaingan adalah di peringkat pemilihan global.

Tahniah anak Sarawak dan semoga terus berjaya didalam bidang yang diceburi.

Pautan berita penuh:

KAD WARGA EMAS BAKAL DIPERKENALKAN DI SARAWAK


WARGA emas di kalangan rakyat Sarawak yang berumur 60 tahun ke atas bakal menerima satu kad khas yang dinamakan Kad Warga Emas yang dijangka akan diberikan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.  Ianya diwar-warkan oleh Dato Sri Fatimah Abdullah yang merupakan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak.  

Menurut beliau, kad ini bukan hanya sekadar kad semata-mata sebaliknya mempunyai banyak keistimewaan seperti insurans, rawatan di klinik atau hospital, diskaun penerbangan dan pengangkutan awam dan hal-hal lain yang akan diperhalusi kelak.

Pautan berita penuh seperti berikut:


Tuesday 23 July 2019

AZMIN SEMBURIT!!! -FARHASH, SETPOL DSAI-


TAMBAH menarik status terkini kes video hubungan intim songsang yang didakwa melibatkan seorang menteri kanan Persekutuan.  Setelah hampir 11 individu ditahan untuk membantu siasatan siapakah dalang disebalik penularan video tersebut, hari ini kira-kira jam 5.30 petang menyaksikan Setiausaha Politik Datuk Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat dibebaskan daripada tahanan setelah remannya berakhir.  

Pembebasan beliau disambut oleh penyokong-penyokong PKR daripada pelbagai cabang di seluruh negara yang membawa sepanduk-panduk mengarah kepada sokongan mereka untuk DSAI menjadi bakal Perdana Menteri.  Ketika mengakhiri ucapan beliau sejurus selepas dibebaskan laungan lantang daripada Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak telah menarik perhatian ramai iaitu AZMIN SEMBURIT!

Apakah yang cuba untuk dinyatakan oleh anak muda ini sememangnya wajar untuk kita ambil perhatian biarpun pihak berkuasa telahpun mengeluarkan kenyataan bahawa video itu tulen cuma tidak boleh mengenalpasti siapakah dua individu di dalam video tersebut.  

Pautan berita penuh seperti berikut:

https://www.malaysiakini.com/news/485110?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

PERSEKUTUAN MAHU BERI KE TIDAK! -DATUK FATIMAH ABDULLAH-



KENYATAAN Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mahukan Kerajaan Sarawak membayar hutang terlebih dahulu sebelum mula membaikpulih sekolah-sekolah daif di Sarawak terus mendapat perhatian daripada ahli-ahli politik Sarawak.  Kecewa dan merasakan Kerajaan Persekutuan cuba bermain tarik tali begitulah yang diluahkan oleh Datuk Fatimah Abdullah iaitu Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak yang juga ADUN Dalat dari PBB (GPS).  

Menurut beliau, isu ini sudah diheret terlalu lama dan tiada kesudahannya jika alasan demi alasan diutarakan. Beliau turut mempersoalkan apakah nawaitu Persekutuan itu ikhlas mahu memberi atau tidak peruntukan bagi membaikpulih sekolah daif di Sarawak.

Berita penuh seperti pautan ini:

https://dayakdaily.com/usah-sorong-tarik-dalam-peruntukan-baik-pulih-sekolah-daif-fatimah/?fbclid=IwAR0xICGODi_0SuziV5NL4z9GFh-Mmv7fP6UuwxTw1ugP7h0Z1AgrxcGGQTQ

ANAK SARAWAK DILANTIK MENTERI PENASIHAT DI SURUHANJAYA TINGGI MALAYSIA ISLAMABAD PAKISTAN



 

TIADA yang lebih membanggakan bagi kita semua apabila seorang lagi anak Sarawak berjaya mendapat kepercayaan untuk berkhidmat di luar negara. Yang dimaksudkan adalah anak Sarawak iaitu Encik Deddy Faisal Ahmad Salleh yang merupakan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Malaysia.
Tadi, beliau membuat kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud di kediaman rasminya bagi memaklumkan perpindahan beliau sebagai Menteri Penasihat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad Pakistan.
Deddy Faisal merupakan antara anak Sarawak yang memainkan peranan besar di dalam pembebasan 40 orang anak Sarawak yang terlibat di dalam kes pemerdagangan manusia di Cambodia beberapa bulan yang lepas.
Tahniah dan selamat menjalankan tugas Encik Deddy Faisal.

INI MALAYSIA BAHARU ATAU KERAJAAN YG BERTUNJANGKAN IDEOLOGI KOMUNIS ALA STALIN??


BETAPA kurang ajarnya seorang Menteri Kewangan bilamana niat baik Kerajaan Sarawak yang tampil untuk membantu Persekutuan dimanipulasi oleh beliau.  Lebih memedihkan ianya berlaku pada tanggal 22 Julai yang kita raikan bagi mengenang Sarawak yang sedang menuju ke arah berkerajaan sendiri sepatutnya berikanlah kata-kata ucapan yang baik-baik dari satu rakan sejajar pembentuk Malaysia sebaliknya lain pula dilafazkan.

Sombong, bongkak, “Aku Tuan Sarawak Kuli” itulah ayat yang mampu untuk menggambarkan ertikata lain apa yang diucapkan oleh seorang Menteri Kewangan LGE kepada Kerajaan Sarawak tatkala beliau berlagak seperti ‘Ah Long” menuntut Sarawak membayar hutangnya dahulu sebelum Persekutuan mula menyalur dana untuk membaikpulih sekolah-sekolah daif di Sarawak.

Pautan kenyataan beliau adalah seperti berikut:


Jika diikutkan konon-konon sebagai seorang “Akauntan Bertauliah” jenis mekanisma perbankan apakah yang digunapakai oleh seorang Menteri Persekutuan untuk berkata sebegitu rupa sedangkan hakikatnya selama ini mengetahui bahawa Sarawak biarpun berhutang dengan Persekutuan telah membayar balik setiap hutangnya mengikut jadual. Ianya telah diperjelaskan sejak di akhir tahun 2018 lagi apabila isu yang serupa ditimbulkan.

Pautan adalah seperti berikut:


Namun tatkala hati sudah hitam walau sudah disuap dengan fakta, LGE tetap sombong lebih-lebih lagi demi untuk memburukkan reputasi Kerajaan Sarawak dibawah GPS maka LGE yang mana parti politiknya yang sejak kebelakangan ini begitu “mendambakan” Sarawak sanggup untuk berkata sedemikian rupa.

Adakah kerana Sarawak mempunyai rizab yang banyak maka LGE boleh memanipulasi pembayaran hutang-hutang Sarawak selama ini dan baharulah sekolah-sekolah daif di Sarawak hendak dibaikpulih yang sudah terang-terangan adalah DIBAWAH TANGGUNGJAWAB PERSEKUTUAN SELAMA KE HARI INI? Yang GAGAL adalah Kerajaan Persekutuan bukannya Kerajaan Sarawak!
  
Madu yang diberi, tuba yang dibalas begitulah perumpamaan yang lebih tepat untuk pihak Persekutuan sekarang yang mana tugas untuk sekolah-sekolah daif itu adalah dibawah tanggungan mereka tetapi atas dasar tanggungjawab dan tidak mahu ada lagi mana-mana anak Sarawak yang bersekolah di dalam keadaan yang tidak menyenangkan bagi menimba ilmu, Kerajaan Sarawak dibawah DP Abang Johari sanggup mendahulukan kos RM1 bilion dengan cara timbalbalik hutang.

Jika Persekutuan terus bersikap mereka adalah “abang besar” yang Sarawak patut takutkan buat apalah kita ini membentuk Malaysia bersama-sama.  Kami simpan rizab kami dengan berhemah untuk masa hadapan Sarawak dan dek kerana kami sudah diketahui ada rizab maka Persekutuan pun ingin merasa sekalilah.  Sudahlah minyak dan gas kami diperah sebaik mungkin kemudian Malaya yang banyak memakan isi sedangkan kami hanya merasa tulang sahaja sejak dari dulu, apakah tiada langsung pengorbanan rakyat Sarawak ini diambilkira??   

Dengan pelbagai alasan janji-janji pembangunan untuk Sarawak daripada Persekutuan pun sewenang-wenangnya dipotong tetapi yang peliknya untuk negeri-negeri lain boleh pula disalurkan bermacam-macam projek sehingga memaksa Kerajaan Sarawak mencari alternatif membiayai sendiri segala kos bagi memastikan Sarawak akan terus “sustain” dari aspek pembangunan agar tiada jurang yang ketara lagi antara Malaya dan Sarawak

Isu sekolah daif-daif di Sarawak janganlah dipolitik kerana ini adalah isu bersama.  Tindakan LGE itu sebenarnya benar-benar menghina generasi pelajar di Sarawak. Adakah benar-benar ikhlas untuk menangani isu sekolah-sekolah daif di Sarawak yang sedari dulu tiada jalan penyelesaian atau semata-mata hanya untuk menjadi penyedap mulut sahaja. Gah berkata akan menghormati Sarawak seperti yang termaktub pada perjanjian yang asal tetapi tindak tanduk LGE langsung tidak mencerminkan usaha beliau ke arah itu.   

Adakah Malaysia Baru yang dicanang-canangkan benar-benar Malaysia yang baharu atau satu KERAJAAN YANG BERTUNJANGKAN IDEOLOGI KOMUNISME ZAMAN STALIN??