Thursday 29 June 2017

PRU KE-14 : PBB DEMAK LAUT SIAGA






CORAT coret Pilihanraya Umum Malaysia semakin terasa apabila banyak jentera parti di seluruh negara telah mula mengatur pelbagai strategi untuk menghadapinya.  Walaupun untuk konteks Sarawak, musim pilihanraya hanya meliputi pengundian bagi kawasan parlimen kerana untuk pilihanraya negeri sudahpun selesai pada tahun 2016 lagi.  

Walaupun begitu PRU mahupun PRN bukanlah pokok persoalannya kerana walau di dalam apa jua misi untuk Barisan Nasional mengungguli pucuk pemerintahan di Putrajaya akan tetap berjalan seperti biasa.  Begitulah juga kesiap siagaan untuk cawangan PBB Demak Laut yang dipimpin oleh ADUN Demak Laut iaitu YB Dr. Hazland Abang Hipni.  Umpama sediakan payung sebelum hujan begitulah perumpamaan di dalam membicarakan kaedah pengurusan tadbir yang lebih dinamik bagi ranting PBB Demak Laut ini.  

Luasnya kawasan DUN Demak Laut sememangnya tidak boleh dinafikan maka untuk itu sejak awal-awal lagi, beliau bersama jentera PBB Demak Laut telah mengambil langkah drastik dengan membahagikan ranting PBB Tabuan Hilir kepada tiga bahagian.  Kesemuanya dilakukan bagi memastikan sebarang isu yang tampil lebih mudah dan senang diselesaikan serta mendapat perhatian yang lebih cepat berbanding sebelum ini.  

Selain itu, perlaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk DUN Demak Laut juga terus rancak berlangsung seperti yang dirancangkan sebelum ini.  Kesemuanya dilakukan bagi memastikan untung nasib rakyat di Demak Laut sentiasa diutamakan sejajar dengan apa yang menjadi keutamaan kerajaan Barisan Nasional Sarawak selama ini.  


Nota: Teaser artikel sekitar Majlis Rumah Terbuka ADUN Demak Laut pada 2 Syawal yang lepas. 

Tuesday 27 June 2017

VIOLET YONG (DAP) KEHABISAN MODAL


AGAKNYA sudah tiada isu yang hendak diketengahkan sehingga duit raya di ketika Majlis Rumah Terbuka Bersama Ketua Menteri Sarawak baru-baru ini menjadi salah satu serangan basi bagi seorang pemimpin DAP Sarawak iaitu Violet Yong.  Tanpa memahami apakah makna “duit raya” di dalam konsep tradisi sambutan Hariraya maka beliau boleh membuat tuduhan sembrono keatas kepimpinan Sarawak.  

Di laman sosialnya beliau berlagak angkuh seolah-olah nilai duit raya yang dikatakan hanya RM10 berbanding RM50 untuk golongan OKU yang hadir pada majlis tersebut di ketika pemerintahan Ketua Menteri sebelumnya iaitu Allahyarham Tok Nan pula diperbandingkan. Bukanlah nilai yang seharusnya dimanipulasi oleh Violet Yong kerana hakikatnya Kerajaan Negeri Sarawak sejak dari dahulu lagi tidak pernah melupakan golongan OKU yang sentiasa dibantu.  

Mungkin kerana sudah tidak mampu menerima serangan balas warga netizen atas “kebodohannya” itu akhirnya memaksa Violet Yong “membuang” postingnya sendiri di laman sosialnya.  Lain kali berfikir dahulu sebelum membuat apa-apa kerana di dalam dunia media sosial ini walau “didelete” posting “printscreen” tetap ada untuk menjadi rujukan.  

Ingin juga bertanya apakah sumbangan Violet Yong mahupun DAP Sarawak di dalam membantu golongan OKU di Sarawak selama ini? Tepuk dada tanya iman. 

SARAWAK TETAP TIDAK LAKSANA CUKAI PELANCONGAN 1 OGOS INI


DITANGGUHKAN pelaksanaannya pada 1 Ogos 2017, begitulah yang diperkatakan oleh Menteri Pelancongan Malaysia dan Kebudayaan Malaysia iaitu Datuk Seri Mohd Nazri Aziz.  Alasan beliau kerana mekanisma pemungutan cukai tersebut masih lagi belum disiapkan sepenuhnya.  
Namun itu kata Menteri yang bertanggungjawab di pihak Putrajaya yang sudah tentu tidak senada dengan apa yang akan diperkata oleh Kerajaan Negeri Sarawak itu sendiri.  Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari pula tetap dengan pendiriannya tidak akan melaksanakan cukai pelancongan itu pada 1 Ogos ini untuk konteks Sarawak selagi segala perundingan antara Sarawak dan Putrajaya tidak menemui titik akhirnya.  
Pendirian ini diambil berdasarkan pungutan cukai itu hak Persekutuan tetapi pelancongan itu adalah dibawah “Residual List” Kerajaan Negeri Sarawak.  Walaupun terpaksa akur dengan RRU Cukai Pelancongan tersebut namun masih banyak yang perlu diperhalusi lebih-lebih lagi sudah ada perjanjian antara pihak hotel dan pelancong yang telah dibuat lebih dahulu daripada itu.  Ditambahlagi sudah dari awal-awal lagi ada sekumpulan pelancong dari China yang telah membatalkan rombongan mereka ke Sarawak atas kerana mahu mengelak daripada cukai pelancongan yang dicipta oleh pihak persekutuan tersebut.  
Untuk rekod, dengan perlaksanaan dasar cukai pelancongan ini kelak adalah dinyatakan bahawa setiap pelancong warga asing akan menggunapakai cukai tersebut waima mereka menginap di hotel-hotel bertaraf dibawah 5 bintang sekalipun.  Manakala untuk pelancong tempatan iaitu warga Malaysia hanya tertakluk sekiranya mereka menginap di hotel bertaraf 5 bintang dan keatas manakala 3 bintang dan kebawah tidak perlu membayarnya.  
Hakikatnya tidak perlu tergesa-gesa melaksanakannya tanpa memikirkan implikasinya terhadap sektor pelancongan di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya.   

Sunday 25 June 2017

BAHANA TETAMU TIDAK DIUNDANG





KEMERIAHAN menyambut hariraya pertama bertukar menjadi episod ngeri bagi sebuah keluarga di Bintulu semalam. Niat baik seorang tuan rumah menerima seorang tetamu tidak diundang malah tidak dikenali langsung memungkinkan segalanya.

Dikatakan tetamu itu secara tiba-tiba mengamuk lantas menerkam salah seorang anak tuan rumah. Kemudian beliau terus cuba melarikan diri lantas dikejar oleh tuan rumah dan penduduk yang mendengar jeritan memohon pertolongan dari tuan rumah.

Menurut jangkaan awal adalah difahamkan bahawa suspek itu di dalam pengaruh dadah. Beliau diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.

Friday 23 June 2017

SALAM AIDILFITRI 2017


Kata Al-Ghazali : yang jauh itu WAKTU, yang dekat itu MATI, yang besar itu NAFSU, yang berat itu AMANAH, yang mudah itu BERBUAT DOSA, yang panjang itu AMAL SOLEH,  yang indah itu SALING MEMAAFKAN.


Selamat Menyambut Hariraya Aidilfitri.


Maaf Zahir dan Batin.




PENGHASILAN CUKAI PELANCONGAN LANGSUNG KE SARAWAK


SAMADA suka atau tidak ceritera mengenai cukai pelancongan telah dimuktamadkan apabila Kerajaan Negeri Sarawak menerimanya untuk digunapakai di Sarawak. Mungkin ramai yang kecewa kerana rata-rata rakyat Sarawak tidak mahu ianya dilaksanakan tetapi mengambilkira keberuntungannya kelak kepada pembangunan di Sarawak mungkin ianya satu langkah yang bijak.

Musyawarah antara PM Najib dan dua Ketua Menteri iaitu KM Sarawak dan KM Sabah memungkinkan bahawa setiap penghasilan cukai pelancongan yang dikutip ini nanti akan disalurkan langsung kepada kedua-dua kerajaan negeri. Untuk konteks Sarawak sudah tentu ini akan menambah sumber pendapatan bagi meneruskan legasi pembangunan di Sarawak tanpa campurtangan dari Putrajaya.

Ada baiknya juga bila pemimpin Sarawak "banyak cakap" dan bukannya hanya menurut kata sahaja waima RRU Cukai Pelancongan sudah diluluskan di peringkat Parlimen. Ini kerana setidak-tidaknya kita berjaya menjadikan ia antara sumber pendapatan negeri dari membiarkan ianya disalurkan ke Sarawak dengan pelbagai projek yang dibawah bidangkuasa Persekutuan.

Situasi menang-menang.

DUN SARAWAK DAN KES DR TING KE MAHKAMAH RAYUAN


TIADA PRK Pujut, begitulah epilog cerita mengenai ADUN Pujut iaitu Dr. Ting yang mana pada sidang kedua sessi 2017 telah dipecat keanggotaannya oleh DUN Sarawak kerana dikatakan mempunyai dua kewarganegaraan. Tidak berpeluk tubuh begitu sahaja ADUN DAP membawa pensabitan beliau ke Mahkamah Tinggi pula.

Sabtu lepas pula ternyata kemenangan memihak kepada Dr Ting apabila pihak hakim sebulat suara menyatakan bahawa DUN Sarawak tidak mempunyai hak untuk memecat seorang Adun jadi adalah wajib untuk memulangkan semula DUN Pujut kepada beliau. Walaupun terpaksa menerima hakikat kekalahan ini namun tidak bermakna DUN Sarawak hanya menelan bulat-bulat segalanya.

BErtindak daripada itu dinyatakan bahawa hal ini akan dipanjangkan di peringkat mahkamah tinggi pula untuk dibuat sidang rayuan. Semoga akan ada titik penghujung itu isu ini. Kerana jika dibiarkan terus berlanjutan tanpa pemimpin sudah tentu rakyat di DUN Pujut yang akan menerima kepayahannya kelak.

2 JURUTERBANG TERKORBAN JET PEJUANG TUDM TERHEMPAS




DIKALA tidak lama lagi akan merayakan sambutan Hari Lembaran, semalam kita menerima perkhabaran duka apabila sebuah jet pejuang milik TUDM terhempas di kawasan hutan berpaya antara sempadan Trengganu dan Pahang. Dikatakan jet pejuang jenis Hawk 108 ini berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan kira-kira jam 11 pagi dan hilang dari radar sekitar jam 11.30 pagi.

Ekoran daripada kejadian itu satu gerakan mencari dan menyelamat diaktifkan di titik akhir mereka dikatakan hilang. Akhirnya 3 jam kemudian bangkai pesawat ditemui di kawasan berpaya Chukai, Kemaman, Trengganu. Turut ditemui 2 jenazah juruterbang iaitu Mejar Hasri Zahari, 31 tahun dan Mejar Yazmi Mohamed Yusuf, 39 tahun.

Salam takziah diucapkan kepada seluruh warga TUDM dan kedua-dua keluarga juruterbang yang terkorban. Al-fatihah. Amin.

PAPAGOMO DIASAK ANAK SARAWAK SEHINGGA NYAHAKTIF FB



SEORANG blogger yang terkenal dengan tulisannya yang berbentuk provokasi iaitu Papagomo telah "menghilang diri" dari dunia media sosial baru-baru ini. Asakan demi asakan dari blogger anak-anak Sarawak dan juga warga netizen Sarawak telah menyebabkan beliau kecut perut sehingga melenyapkan diri.

Biarpun begitu perbuatan provokasi beliau yang cuba mengapi-apikan keutuhan hubungan Orang Semenanjung dan Sarawak serta menghina Kerajaan Negeri Sarawak tidak dibiarkan begitu sahaja. Setakat jam 12.00 tengahmalam semalam hampir 12 laporan polis dibuat di seluruh Sarawak.

Begitulah hendaknya untuk mengajar blogger biadap dan bodoh sombong seperti beliau. Syabas anak-anak Sarawak.

PAPAGOMO CUBA MENANGGUK DI AIR YANG KERUH







DALAM dua tiga hari ini dunia maya Malaysia digegarkan dengan cerita kebiadapan seorang Menteri Persekutuan yang begitu bongkak dengan kenyataannya seolah-olah dialah yang maha hebat di dalam Malaysia ini. Ini kerana yang diperkotak-katikkan oleh Menteri Persekutuan itu adalah Menteri yang membarisi Kabinet Kerajaan Negeri Sarawak. Usahlah cuba menegakkan benang yang basah kerana secara realitinya ia benar-benar berlaku dan video yang tular itu menjadi saksi dan mana-mana rakyat Sarawak sudah tentu marah dan terluka atas kenyataan bongkak itu.

Umpama menangguk di air yang keruh tampil pula seorang yang bergelar Sir Azri atau Papagomo yang sedaya upaya untuk menghidupkan bara yang kian malap di dada rakyat Sarawak setelah Menteri Pelancongan Sarawak sendiri tidak melatah beliau dibuat sebegitu rupa malah Menteri Persekutuan itu juga turut senyap tanpa bicara sehingga sekarang. Bukan hanya di laman fb malah ketaksuban Papagomo untuk meraih populariti murahan turut dimasukkan di dalam FB Live serta banyak lagi. Sebegitu sekali beliau berusaha gigih untuk tuduhan songsang beliau dan merapu “barang kapunden” didengar oleh warga netizen di seluruh Malaysia.

Dakwaan Papagomo yang menyatakan orang Sarawak menghina orang semenanjung pun tidaklah diketahui di mana datangnya. Ini kerana apa yang tular sekarang adalah reaksi rakyat Sarawak yang bangkit membantah keceluparan dan kebiadapan seorang Menteri Persekutuan dan BUKANNYA untuk seluruh saudara sejajar di Semenanjung Malaysia. Samada Papagomo itu sengaja untuk menjadi buta, pekak atau bisu tidaklah diketahui kerana jika diperhatikan setiap luahan ketidakpuasanhati itu sememangnya dikhususkan untuk Menteri Persekutuan tersebut. Yang pasti orang Sarawak mengetahui bahawa bukan semua orang Semenanjung berperangai kurang ajar seperti Menteri Persekutuan tersebut. Siapa makan cili dialah terasa pedaskan!

Untuk konteks RUU Cukai Pelancongan pula yang Papagomo cuba kaitkan dengan mengatakan ianya sudah dipersetujui dan mengapa ada pemimpin Sarawak yang mengeluarkan kenyataan “bodoh” sebenarnya telah berjaya membuktikan betapa “ceteknya ilmu” si Papagomo di dalam memahami konsep pembentukan Malaysia itu sendiri. Ya tidak dinafikan RUU sudahpun diluluskan di dalam Parlimen TETAPI ianya masih tidak cukup lagi kerana adanya percanggahan.

Ini kerana wahai Papagomo, keberadaan Negara Malaysia yang kita sayangi ini semua adalah dibentuk oleh empat entiti iaitu Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Sarawak, North Borneo (Sabah) dan Singapura (Keluar pada tahun 1965). Dan disinilah adanya Perjanjian Malaysia 1963 yang ditandatangani dengan penuh kesyukuran dan berhemah bagi membentuk sebuah Negara yang besar ini.

Malah dirasakan Papagomo sendiri pernah mengalami betapa adanya kuasa-kuasa “ajaib” yang dipegang oleh Sarawak dan Sabah pada PRN Sarawak ke-11 2016 yang mana menyaksikan Papagomo sendiri walau rakyat Malaysia namun DITIDAKKAN untuk memasuki Sarawak pada ketika itu. Itu adalah atas Kuasa Imigresen Sarawak yang tidak membenarkan mana-mana individu “blacklisted” yang boleh menganggugugat keharmonian Sarawak dibenarkan memasuki Sarawak. Cepat betul Papagomo melupakan saat dirinya hanya mampu mundar-mandir di dalam balai ketibaan Kuching International Airport yang akhirnya dihantar pulang ke Semenanjung Malaysia pada penerbangan yang seterusnya tanpa sempat merasakan keenakan memakan laksa Sarawak dan membawa pulang ikan terubuk masin buat buahtangan keluarga di Semenanjung kan!.

Ketahuilah wahai Papagomo bukan itu sahaja kuasa yang tidak sama malah undang-undang juga turut berbeza. Di dalam Perjanjian Malaysia itu telah tercatit bahawa bahawa sebarang penguatkuasaan cukai yang melibatkan Sarawak mahupun North Borneo hendaklah terlebih dahulu dibincangkan dengan Dewan Undangan Negeri masing-masing sebelum ianya dilaksanakan. Dan ianya juga turut menyatakan bahawa sebarang cukai yang dikutip di Sarawak dan North Borneo hendaklah 40% penghasilannya dipulangkan kepada kedua-dua negeri pembentuk ini.

Manakala isu Pelancongan sebagai “Federal List” seperti yang digembar-gemburkan oleh Menteri Persekutuan bermulut celupar itu hanya dimasukkan pada tahun 1994. Perlulah diingatkan bukan semudah itu membuat semakan samada itu dimasukkan sebagai “Federal List” atau “State List” kerana ianya harus dibincangkan diperingkat negeri yang menandatangani Perjanjian Malaysia 1963. Kerana menurut kefahaman Menteri Pelancongan Sarawak yang juga seorang pengamal Undang-undang menyatakan bahawa Pelancongan itu selagi tidak mendapat persetujuan daripada DUN Sarawak mahupun Sabah maka ianya akan jatuh kepada “Residual List”.

Jadi disini wahai Papagomo yang bijaksana, tiada salahnya Menteri Pelancongan Sarawak dan juga pemimpin Sarawak “banyak cakap” kerana mereka ini adalah tiang seri kepada hak Sarawak iaitu salah satu pembentuk kepada Negara Malaysia. Hal seperti ini harus diperjelaskan dahulu dan sekiranya tidak membawa kepada apa-apa keuntungan kepada Sarawak maka kita berhak menolaknya. Penolakan bersebab kerana mana mungkin kita hendak menambah lagi cerita mengenai cukai-cukai ini kerana Sarawak baharu sahaja hendak menyerlah dalam dua tiga menjak ini.

Sekarang mari kita berdiskusi mengenai Pan Borneo Highway dan PM Najib Razak. Kami gembira kerana setelah menunggu selama 54 tahun baharulah Pan Borneo Highway itu benar-benar dilaksanakan. Ketahuilah bahawa janji untuk membuat Pan Borneo Highway itu telah tertera sejak di Rancangan Malaysia Pertama lagi iaitu di ketika pemerintahan ayahanda PM Najib Razak berkuasa. Namun atas sebab-sebab tertentu ianya hanya benar-benar dilaksanakan di ketika PM Najib berkuasa. Apa yang berlaku pada PM yang sebelumnya tidaklah diketahui kerana nampaknya lebih memusat kepada kecemerlangan di bumi Semenanjung Malaysia.

Tetapi kami orang Sarawak tetap bersabar walau hanya mampu melihat KLCC didirikan, jalinan lebuhraya dari timur ke barat, utara dan selatan melingkari peta Semenanjung Malaysia. Penghasilan ekonomi Malaysia pula adalah dikorek dari bumi kami iaitu melalui timbunan “emas hitam” melalui telaga-telaga minyak dan gas yang disedut. Kami biarkan ianya dirompak dengan meninggalkan sedikit “sisa” buat kami melangsungkan kehidupan seadanya.

Dan bukan itu sahaja wahai Papagomo, kerajaan Barisan Nasional yang ada sekarang tidak akan kukuh pemerintahannya jika tidak kerana undi Barisan Nasional Sarawak. Dikala bumi Semenanjung Malaysia, geo-politiknya kian dikikis kepercayaannya kepada parti-parti sekutu BN tetapi tidak bagi Sarawak dan Sabah. BN Sarawak misalnya masih menjadi pelopor bagi memastikan bahawa BN Malaysia itu berkuasa di peringkat persekutuan. Jadi adakah salah jika PM Najib ingin membalas budi atas kesetiaan kami. Tiada yang percuma di dunia ini wahai Papagomo malah anda sendiri sudah tentu bukan menulis sebegini rupa jika tidak dibayar ribuan ringgit kan!.

Siapa pula Tan Sri Bustari ini yang disebut-sebut oleh saudara sebagai seorang yang boleh memberi tunjukajar kepada pemimpin-pemimpin di Sarawak malah pemilih Pan Borneo Highway? Tidakkah anda tahu bahawa sebarang kuasa pemerintahan adalah tertakluk kepada budi bicara seorang Ketua Menteri. Pernahkah anda dengan seorang ahli perniagaan boleh memberitahu kerajaan apa yang hendak dibuat. Sekolah mana pernah anda belajar ni wahai papagomo?????

Dan untuk yang terakhirnya ingin saya menyatakan tidaklah usah untuk memainkan isu perkauman dengan orang Sarawak. Ini kerana kami di sini cukup terkenal dengan kesepaduan kami malah sudah terbukti di peringkat nasional mahupun internasional toleransi kaum dan agamanya. Minoriti menjadi pemerintah bukan satu isu besar kerana kami sentiasa sepakat mengatakan bahawa asalkan untung nasib rakyat terbela itulah sandaran pemimpin kami. Tiada ketuanan bangsa mahupun agama. Kaum Melayu Sarawak dan juga Kaum Melanau juga 2 kaum yang berbeza malah masyarakat Dayak itu terdiri daripada banyak etniknya. Jadi fahami dahulu cara kami berpolitik tidak seperti apa yang anda halusinasikan selama ini.

Jadi wahai Papagomo, sekiranya anda tidak mampu membantu untuk meredakan “sengketa” ini biarlah mereka yang lebih bijaksana bermusyawarah untuknya. Jika dahulu Papagomo tidak kami sambut dengan sempurna kali ini kami berjanji akan mengadakan sambutan besar kedatangan anda ke Sarawak.

Bermula tapak kaki anda menginjak keluar dari beylon kata orang Sarawk, akan kami taburkan bertih jagung (popcorn) biar anda mendengar sendiri bunyi kehancuran bertih jagung itu dipijak. Ini kerana ianya adalah simbol betapa hancurnya hati kami rakyat Sarawak apabila ada yang menginjak maruah kami sebagai anak Sarawak.

Wahai Papagomo, usahlah ditambah luka yang parah dengan cerita yang entah-entah.

Sekian.

-Anak Sarawak-

SARAWAK KELUAR DARI MALAYSIA TOURISM BOARD


KRONOLOGI kenyataan kurang ajar dari Menteri Pelancongan Malaysia yang memperkotak-katikkan kewibawaan Menteri Pelancongan Sarawak menuju ke kemuncaknya apabila baru sebentar tadi satu sidang media sudah dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Dinyatakan bahawa berkuatkuasa dengan serta merta, Sarawak menarik diri dari menganggotai Malaysia Tourism Board.

MENTERI “GENGSTER” JADI RAJA PEMBULI!


BETAPA kurang ajarnya seorang Menteri Persekutuan yang mendabik dada tanpa menghormati seorang Menteri di Sarawak sebagai hanya baru setahun jagung, banyak soal dan sebagainya mengenai isu cukai pelancongan sememangnya sesuatu yang tidak wajar dilakukan. Yang pasti seorang Menteri itu walau dia muda atau tua adalah merupakan suara kepada rakyat yang mengundi beliau.

Apa yang dikeluarkan oleh Menteri Pelancongan Sarawak iaitu YB Datuk Abdul Karim adalah benar dan amat relative dibawah bidang kuasa kementeriannya. Itulah tanggungjawabnya dan wajar untuk beliau suarakan bahawa cukai pelancongan yang hendak dilestarikan itu jika tidak membawa apa-apa keuntungan Sarawak tidak harus dilaksanakan. Tetapi bagi Menteri Pelancongan Malaysia pula iaitu Datuk Nazri Aziz seperti raja pembuli dengan cuba merendah-rendahkan serta melakukan serangan peribadi terhadap Menteri Pelancongan Sarawak langsung tidak menghormati kesepakatan BN Malaysia selama ini.

Yang pasti kenyataan Datuk Nazri Aziz sudah menjadi tular di Sarawak dan rakyat Sarawak seia sekata akan tetap berdiri di belakang Menteri Sarawak sendiri kerana ianya adalah hak rakyat Sarawak untuk menyuarakan pendirian mereka terhadap sebarang bentuk polisi yang Kerajaan Persekutuan hendak lakukan. Siapa pula Datuk Nazri Aziz untuk cuba menutup mulut waima beliau bangga mengatakan bahawa beliau menteri “senior” di dalam Kabinet Malaysia. Jika jadi menteri senior pun tetapi tiada adab dan budi bicara baik tidak payah.

Orang berbudi kita berbahasa tetapi jika orang membuli, selaksa rakyat Sarawak akan melawannya. Salahkah menyuarakan hak kami rakyat Sarawak?

SARAWAK TUBUH SYARIKAT CARIGALI MINYAK DAN GAS SENDIRI


PERUNDINGAN mengenai isu royalti minyak sudah tentu antara yang menjadi keutamaan sejak di Sarawak dipimpin Allahyarham Tok Nan lagi. Malah sehingga pucuk pimpinan bertukar tangan dengan sekarang diterajui oleh KM Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari ianya turut diteruskan.

Disebalik perundingan yang penuh diplomasi ini juga, KM Sarawak Abang Jo turut mengwar-warkan bahawa satu pendekatan baru telah diambil antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan pihak Petronas. Pada kali ini, Kerajaan Sarawak akan menubuhkan sebuah syarikat minyak dan gas yang diterajui oleh anak-anak Sarawak sendiri. Syarikat milik Kerajaan Negeri Sarawak ini kelak akan bersama-sama memainkan peranannya di kerja-kerja eksplorasi minyak dan gas di wilayah Sarawak.

Sudah tentu ini adalah satu perkhabaran yang gembira buat kita semua kerana selain mengwujudkan peluang pekerjaan untuk anak Sarawak malah juga akan menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi kepada Sarawak itu sendiri. Tiada siapa boleh menafikan bahawa anak Sarawak juga selama ini sudah terserlah kepakaran mereka di dalam kerjaya yang berkaitan dengan industri gas dan minyak di dunia.

Selain itu, sudah namanya minyak dan gas itu dikorek hasilnya di bumi Sarawak jadi biarlah syarikat Sarawak yang diungguli oleh anak Sarawak sendiri turut merasa keuntungannya kelak dengan bersama-sama merebut peluang di dalam Petroleum Arrangement Contractors (PAC). Sememangnya kita mampu cuma selama ini peluang itu tidak diberikan.

Syabas Kerajaan Negeri Sarawak dibawah kepimpinan KM Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg.

KUTIPAN CUKAI ADALAH HAK SARAWAK BUKAN PUTRAJAYA


BELUM lagi reda dengan pelbagai isu mengenai cukai yang dikenakan di Malaysia, timbul pula idea “bernas” daripada mereka yang di Putrajaya. Kali ini berkuatkuasa pada 1 Ogos 2017 ini, untuk seluruh Malaysia iaitu setiap mereka yang melancong akan dikenakan bayaran tambahan semaksima RM20 bagi setiap malam mereka menginap di bilik hotel bertaraf lima bintang dan keatas.

Disebalik penguatkuasaan ini semua, mungkin Putrajaya sudah “terlupa” bahawa untuk isu mengenai cukai yang digunapakai di Sarawak dan Sabah sebenarnya adalah dibawah bidangkuasa kedua-dua kerajaan negeri ini. Dan ianya adalah hak Sabah mahupun Sarawak untuk mengutip cukai di dalam negerinya dan bukannya Persekutuan. Ianya termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang menjadi “ibu” kepada dokumentasi pembentukan Malaysia 54 tahun dahulu.

Berdasarkan kepada ini juga, Kerajaan Sarawak melalui kepimpinan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg telah menyatakan ketegasannya bahawa Sarawak tidak akan berkompromi dan tidak akan membenarkan Putrajaya menggunapakai cukai pelancongan tersebut di Sarawak. Putrajaya harus menghormatinya apa yang sudah dipersetujui selama ini.

WONG CHING YONG (SUPP) DISIMBAH ASID


KITA dikejutkan dengan satu lagi berita buruk semalam apabila Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Dudong iaitu Wong Ching Yong cedera disimbah asid oleh orang yang tidak dikenali. Kejadian malang yang menimpa beliau menyebabkan beliau mengalami kesan-kesan melecur di bahagian muka dan badan.

Menurut laporan, dinyatakan kejadian tersebut berlaku di Lorong Tuanku Osman 4, Sibu iaitu kira-kira jam 12.15 tengahari. Dikatakan beliau pada masa itu sedang berjalan seorang diri menuju ke arah keretanya yang diletakkan di kawasan parkir di kawasan tersebut. Tindakbalas beliau yang menoleh sewaktu namanya dipanggil telah mengundang malang apabila dua orang lelaki yang tidak dikenali tiba-tiba menyimbah asid ke arahnya dan berlalu pergi selepas kejadian.

Buat masa sekarang, Wong Ching Yong sudahpun diterbangkan ke HUS untuk rawatan lanjutan setelah beliau usai kejadian cuba mendapat rawatan di sebuah pysat perubatan swasta di Sibu. Pihak polis masih lagi menyiasat dan menjejaki mereka yang bertanggungjawab. Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaaan.

DEKODER PERCUMA UNTUK PENERIMA BR1M


TIDAK dinafikan di dalam arus zaman moden sekarang, tv interaktif dengan pelbagai genre sentiasa mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Bagi yang mampu sudah tentu akan melanggan tv swasta yang menyajikan pelbagai rancangan untuk semua. Tetapi untuk yang tidak mampu maka akan hanya duduk menonton apa yang ada disediakan oleh kerajaan.

Sejajar dengan waktu juga melihat kepada persaingan di dunia media sekarang, baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib telah melancarkan televisyen terrestrial digital (DTT) atau turut dikenali sebagai MyFreeView. Apa yang menyeronokkan mengenai MyFreeView ini adalah ianya juga turut menyajikan pelbagai bentuk rancangan dengan definisi yang lebih tinggi serta percuma.

Bagi memberi ruang kepada seluruh rakyat Malaysia menonton siaran ini turut diwar-warkan bahawa decoder percuma akan diagihkan kepada hampir 4.2 juta isi rumah yang menjadi penerima BR1M di seluruh Malaysia.

AZIZ ISA HINA PERJUANGAN ALLAHYARHAM TOK NAN


BERDASARKAN pengamatan jelas sememangnya ramai rakyat Sarawak tanpa mengira kaum, agama dan perbezaan politik mahukan jasa Allahyarham Tok Nan diingati dengan menamakan beberapa tempat dan lokasi di Sarawak bersempena dengan nama Allahyarham Tok Nan. Bukan sedikit cadangannya malah baru-baru ini di ketika sidang DUN Sarawak penggal kedua 2017, Dato Idris Haji Buang iaitu ADUN N16 Muara Tuang turut mencadangkan hal yang serupa sewaktu mesyuarat berlangsung.

Namun sebaliknya yang berlaku kepada anak didik DAP iaitu Abdul Aziz bin Isa, calon DAP yang “over confident” pada PRN ke-11 2016 telah tersungkur layu tidak bermaya di tangan Team Adenan pada ketika itu. Melalui laman portal Malaysia Insight, beliau dengan sinisnya cuba memperkotak-katikkan cadangan yang juga sebenarnya impian besar rakyat Sarawak pada ketika ini iaitu untuk menukar nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Adenan Satem.

Keceluparan beliau yang sering tampil dengan kenyataan songsang sebenarnya telah menghina perjuangan Tok Nan selama ini. Hanya ingin menjadi “hero DAP” maka berani menyamakan apa yang berlaku kepada mantan ADUN Pujut yang telah dilucutkan kesahihannya sebagai ADUN pada mesyuarat lepas. Ini merupakan dua hal yang langsung tidak sama yang mana beliau sepatutnya tahu membezakannya.

Keangkuhan Abdul Aziz cukup menggambarkan betapa dangkalnya beliau dengan sensitiviti rakyat Sarawak selama ini. Tidakkah beliau tahu bahawa dengan mengusulkan cadangan tersebut seperti yang dilakukan oleh ADUN Muara Tuang di DUN Sarawak maka ianya akan direkodkan dan tindakan harus diambil apabila wakil DUN menyetujuinya. Bukankah itu lebih professional serta mengikut prosedur kerana pengurusan sebuah lapangan terbang bukannya hakmilik dan bidangkuasa Kerajaan Negeri Sarawak. Sebaliknya ianya melibatkan diplomasi antara dua pihak bagi membenarkan ianya berlaku.

Ingin juga bertanya apakah pula jasa Aziz Isa kepada Sarawak selama ini selain seumpama anjing yang menyalak bukit. Bertindak mengejar populariti murahan kerana sudah kehilangan taring apabila usai kekalahan terus suram karier politiknya. Hormatilah perjuangan Allahyarham Tok Nan dan jangan hanya tahu berpolitik sepanjang masa tetapi tidak tahu yang mana satu keutamaannya.

“JAMBATAN EMAS” KUCHING HAMPIR SIAP


BAGI merancakkan lagi sektor pelancongan di kawasan “segitiga emas” Kuching, pihak Kerajaan Negeri Sarawak telah berusaha sedaya upaya untuk menyerlahkan lagi keunikan Bandaraya Kuching dari segi pelancongan. Jambatan Emas misalnya yang melibatkan kos sebanyak RM35 juta adalah salah satu mercu tanda yang akan menjadi penghias Tebingan Kuching tidak lama lagi.
Buat masa sekarang, jambatan yang menghubungkan Tebingan Kuching dengan DUN Sarawak ini sudah hampir 99% siap dan Cuma menunggu beberapa perkara teknikal bagi menjengah majlis perasmiannya. Dan usah khuatir salah satu lagi tarikan pelancongan yang sudah seirama dengan Tebingan Kuching dan Sungai Sarawak iaitu Perahu Tambang tidak akan dihilangkan kerana ianya juga menunjukkan keunikan Kuching sejak ratusan tahun dahulu.

Thursday 1 June 2017

PERPADUAN DAN TOLERANSI KAUM DI DALAM SAMBUTAN GAWAI DAYAK






CUBIT paha kanan, paha kiri pun terasa begitulah pepatah Melayu lama di dalam kita berbicara soal perpaduan dan toleransi antara kita. Ini kerana bidalan lama ini cukup sinonim dengan masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Boleh dikatakan hampir setiap rakyatnya mempunyai keluarga daripada pelbagai keturunan dan bangsa yang sentiasa menjadi keunikan dari dahulu sehinggalah sekarang. 

Hakikatnya sambutan perayaan Gawai Dayak di Sarawak bukanlah untuk masyarakat Dayak di Sarawak sahaja sebaliknya untuk kesemua orang Sarawak.  Jadi janganlah menghairankan sekiranya apabila musim “pulai menoa” untuk perayaan Gawai juga melibatkan mereka dari kaum dan agama yang berbeza.  Berkumpul bersama sanak-saudara jauh atau dekat itu salah satu daripada kemeriahan sambutannya tanpa sedikitpun mencacatkan adat dan warisan masyarakat Dayak di Sarawak. 

Inilah kekuatan negeri Sarawak Bumi Kenyalang sehingga mampu menjadi antara contoh negeri terbaik di Malaysia apabila berkata mengenai perpaduan dan toleransi kaumnya. Pertahankanlah ia sampai bila-bila. 



Nota Teaser: Sekitar sambutan perayaan Gawai Dayak bagi keluarga Encik Edward Taji di Kampung Semeba, Kuching semalam. Keluarga yang terdiri dari perkahwinan campur Iban dan Bidayuh.