Friday 23 June 2017

PAPAGOMO CUBA MENANGGUK DI AIR YANG KERUH







DALAM dua tiga hari ini dunia maya Malaysia digegarkan dengan cerita kebiadapan seorang Menteri Persekutuan yang begitu bongkak dengan kenyataannya seolah-olah dialah yang maha hebat di dalam Malaysia ini. Ini kerana yang diperkotak-katikkan oleh Menteri Persekutuan itu adalah Menteri yang membarisi Kabinet Kerajaan Negeri Sarawak. Usahlah cuba menegakkan benang yang basah kerana secara realitinya ia benar-benar berlaku dan video yang tular itu menjadi saksi dan mana-mana rakyat Sarawak sudah tentu marah dan terluka atas kenyataan bongkak itu.

Umpama menangguk di air yang keruh tampil pula seorang yang bergelar Sir Azri atau Papagomo yang sedaya upaya untuk menghidupkan bara yang kian malap di dada rakyat Sarawak setelah Menteri Pelancongan Sarawak sendiri tidak melatah beliau dibuat sebegitu rupa malah Menteri Persekutuan itu juga turut senyap tanpa bicara sehingga sekarang. Bukan hanya di laman fb malah ketaksuban Papagomo untuk meraih populariti murahan turut dimasukkan di dalam FB Live serta banyak lagi. Sebegitu sekali beliau berusaha gigih untuk tuduhan songsang beliau dan merapu “barang kapunden” didengar oleh warga netizen di seluruh Malaysia.

Dakwaan Papagomo yang menyatakan orang Sarawak menghina orang semenanjung pun tidaklah diketahui di mana datangnya. Ini kerana apa yang tular sekarang adalah reaksi rakyat Sarawak yang bangkit membantah keceluparan dan kebiadapan seorang Menteri Persekutuan dan BUKANNYA untuk seluruh saudara sejajar di Semenanjung Malaysia. Samada Papagomo itu sengaja untuk menjadi buta, pekak atau bisu tidaklah diketahui kerana jika diperhatikan setiap luahan ketidakpuasanhati itu sememangnya dikhususkan untuk Menteri Persekutuan tersebut. Yang pasti orang Sarawak mengetahui bahawa bukan semua orang Semenanjung berperangai kurang ajar seperti Menteri Persekutuan tersebut. Siapa makan cili dialah terasa pedaskan!

Untuk konteks RUU Cukai Pelancongan pula yang Papagomo cuba kaitkan dengan mengatakan ianya sudah dipersetujui dan mengapa ada pemimpin Sarawak yang mengeluarkan kenyataan “bodoh” sebenarnya telah berjaya membuktikan betapa “ceteknya ilmu” si Papagomo di dalam memahami konsep pembentukan Malaysia itu sendiri. Ya tidak dinafikan RUU sudahpun diluluskan di dalam Parlimen TETAPI ianya masih tidak cukup lagi kerana adanya percanggahan.

Ini kerana wahai Papagomo, keberadaan Negara Malaysia yang kita sayangi ini semua adalah dibentuk oleh empat entiti iaitu Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Sarawak, North Borneo (Sabah) dan Singapura (Keluar pada tahun 1965). Dan disinilah adanya Perjanjian Malaysia 1963 yang ditandatangani dengan penuh kesyukuran dan berhemah bagi membentuk sebuah Negara yang besar ini.

Malah dirasakan Papagomo sendiri pernah mengalami betapa adanya kuasa-kuasa “ajaib” yang dipegang oleh Sarawak dan Sabah pada PRN Sarawak ke-11 2016 yang mana menyaksikan Papagomo sendiri walau rakyat Malaysia namun DITIDAKKAN untuk memasuki Sarawak pada ketika itu. Itu adalah atas Kuasa Imigresen Sarawak yang tidak membenarkan mana-mana individu “blacklisted” yang boleh menganggugugat keharmonian Sarawak dibenarkan memasuki Sarawak. Cepat betul Papagomo melupakan saat dirinya hanya mampu mundar-mandir di dalam balai ketibaan Kuching International Airport yang akhirnya dihantar pulang ke Semenanjung Malaysia pada penerbangan yang seterusnya tanpa sempat merasakan keenakan memakan laksa Sarawak dan membawa pulang ikan terubuk masin buat buahtangan keluarga di Semenanjung kan!.

Ketahuilah wahai Papagomo bukan itu sahaja kuasa yang tidak sama malah undang-undang juga turut berbeza. Di dalam Perjanjian Malaysia itu telah tercatit bahawa bahawa sebarang penguatkuasaan cukai yang melibatkan Sarawak mahupun North Borneo hendaklah terlebih dahulu dibincangkan dengan Dewan Undangan Negeri masing-masing sebelum ianya dilaksanakan. Dan ianya juga turut menyatakan bahawa sebarang cukai yang dikutip di Sarawak dan North Borneo hendaklah 40% penghasilannya dipulangkan kepada kedua-dua negeri pembentuk ini.

Manakala isu Pelancongan sebagai “Federal List” seperti yang digembar-gemburkan oleh Menteri Persekutuan bermulut celupar itu hanya dimasukkan pada tahun 1994. Perlulah diingatkan bukan semudah itu membuat semakan samada itu dimasukkan sebagai “Federal List” atau “State List” kerana ianya harus dibincangkan diperingkat negeri yang menandatangani Perjanjian Malaysia 1963. Kerana menurut kefahaman Menteri Pelancongan Sarawak yang juga seorang pengamal Undang-undang menyatakan bahawa Pelancongan itu selagi tidak mendapat persetujuan daripada DUN Sarawak mahupun Sabah maka ianya akan jatuh kepada “Residual List”.

Jadi disini wahai Papagomo yang bijaksana, tiada salahnya Menteri Pelancongan Sarawak dan juga pemimpin Sarawak “banyak cakap” kerana mereka ini adalah tiang seri kepada hak Sarawak iaitu salah satu pembentuk kepada Negara Malaysia. Hal seperti ini harus diperjelaskan dahulu dan sekiranya tidak membawa kepada apa-apa keuntungan kepada Sarawak maka kita berhak menolaknya. Penolakan bersebab kerana mana mungkin kita hendak menambah lagi cerita mengenai cukai-cukai ini kerana Sarawak baharu sahaja hendak menyerlah dalam dua tiga menjak ini.

Sekarang mari kita berdiskusi mengenai Pan Borneo Highway dan PM Najib Razak. Kami gembira kerana setelah menunggu selama 54 tahun baharulah Pan Borneo Highway itu benar-benar dilaksanakan. Ketahuilah bahawa janji untuk membuat Pan Borneo Highway itu telah tertera sejak di Rancangan Malaysia Pertama lagi iaitu di ketika pemerintahan ayahanda PM Najib Razak berkuasa. Namun atas sebab-sebab tertentu ianya hanya benar-benar dilaksanakan di ketika PM Najib berkuasa. Apa yang berlaku pada PM yang sebelumnya tidaklah diketahui kerana nampaknya lebih memusat kepada kecemerlangan di bumi Semenanjung Malaysia.

Tetapi kami orang Sarawak tetap bersabar walau hanya mampu melihat KLCC didirikan, jalinan lebuhraya dari timur ke barat, utara dan selatan melingkari peta Semenanjung Malaysia. Penghasilan ekonomi Malaysia pula adalah dikorek dari bumi kami iaitu melalui timbunan “emas hitam” melalui telaga-telaga minyak dan gas yang disedut. Kami biarkan ianya dirompak dengan meninggalkan sedikit “sisa” buat kami melangsungkan kehidupan seadanya.

Dan bukan itu sahaja wahai Papagomo, kerajaan Barisan Nasional yang ada sekarang tidak akan kukuh pemerintahannya jika tidak kerana undi Barisan Nasional Sarawak. Dikala bumi Semenanjung Malaysia, geo-politiknya kian dikikis kepercayaannya kepada parti-parti sekutu BN tetapi tidak bagi Sarawak dan Sabah. BN Sarawak misalnya masih menjadi pelopor bagi memastikan bahawa BN Malaysia itu berkuasa di peringkat persekutuan. Jadi adakah salah jika PM Najib ingin membalas budi atas kesetiaan kami. Tiada yang percuma di dunia ini wahai Papagomo malah anda sendiri sudah tentu bukan menulis sebegini rupa jika tidak dibayar ribuan ringgit kan!.

Siapa pula Tan Sri Bustari ini yang disebut-sebut oleh saudara sebagai seorang yang boleh memberi tunjukajar kepada pemimpin-pemimpin di Sarawak malah pemilih Pan Borneo Highway? Tidakkah anda tahu bahawa sebarang kuasa pemerintahan adalah tertakluk kepada budi bicara seorang Ketua Menteri. Pernahkah anda dengan seorang ahli perniagaan boleh memberitahu kerajaan apa yang hendak dibuat. Sekolah mana pernah anda belajar ni wahai papagomo?????

Dan untuk yang terakhirnya ingin saya menyatakan tidaklah usah untuk memainkan isu perkauman dengan orang Sarawak. Ini kerana kami di sini cukup terkenal dengan kesepaduan kami malah sudah terbukti di peringkat nasional mahupun internasional toleransi kaum dan agamanya. Minoriti menjadi pemerintah bukan satu isu besar kerana kami sentiasa sepakat mengatakan bahawa asalkan untung nasib rakyat terbela itulah sandaran pemimpin kami. Tiada ketuanan bangsa mahupun agama. Kaum Melayu Sarawak dan juga Kaum Melanau juga 2 kaum yang berbeza malah masyarakat Dayak itu terdiri daripada banyak etniknya. Jadi fahami dahulu cara kami berpolitik tidak seperti apa yang anda halusinasikan selama ini.

Jadi wahai Papagomo, sekiranya anda tidak mampu membantu untuk meredakan “sengketa” ini biarlah mereka yang lebih bijaksana bermusyawarah untuknya. Jika dahulu Papagomo tidak kami sambut dengan sempurna kali ini kami berjanji akan mengadakan sambutan besar kedatangan anda ke Sarawak.

Bermula tapak kaki anda menginjak keluar dari beylon kata orang Sarawk, akan kami taburkan bertih jagung (popcorn) biar anda mendengar sendiri bunyi kehancuran bertih jagung itu dipijak. Ini kerana ianya adalah simbol betapa hancurnya hati kami rakyat Sarawak apabila ada yang menginjak maruah kami sebagai anak Sarawak.

Wahai Papagomo, usahlah ditambah luka yang parah dengan cerita yang entah-entah.

Sekian.

-Anak Sarawak-

No comments:

Post a Comment