Friday 12 October 2018

SARAWAK TOLAK JAWATANKUASA KHAS MA63


PADA dasarnya Sarawak mengalu-alukan usaha Kerajaan Persekutuan untuk menyemaksemula Perjanjian Malaysia 1963 seperti apa yang dilaungkan oleh rakyat Sarawak mahupun Sabah sejak kebelakangan ini.  Ianya adalah satu misi seperti apa yang dipelopori oleh Allahyarham Tok Nan dan kemudian diteruskan oleh penyandang selepasnya iaitu Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari. 

Namun begitu ditengah-tengah keterujaan untuk menerima cadangan ahli jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 yang telah ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia yang mana turut menggariskan bahawa sebarang keputusan hanya akan diwar-warkan selepas enam bulan diadakan, ada beberapa hal yang perlu diperkirakan semula sehingga memungkin Sarawak dibawah Ketua Menterinya Abang Johari menolak senarai ahli jawatankuasa Khas MA63 seperti yang dicadangkan.  

Untuk rekod, senarai cadangan nama yang membarisi jawatankuasa khas MA63 adalah seperti berikut iaitu:

1.  Tun Dr. Mahathir bin Mohamed, Perdana Menteri Malaysia ke-7 (Pengerusi)
2.  Datuk Liew Vui Keong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang)
3.  Lim Guan Eng, Menteri Kewangan
4.  Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi
5.  Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia
6.  Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri
7.  Anthony Loke, Menteri Pengangkutan
8.  Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Zohari, Ketua Menteri Sarawak
9.  Baru Bian, Menteri Kerjaraya
10. Datuk Seri Mohd Shafiee Apdal, Ketua Menteri Sabah
11. Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa
12. Tommy Thomas, Ketua Peguam Negara
13. Datuk Seri Ismail Bakar, Ketua Setiausaha Negara
14. Professor Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi, Akademik Undang-undang.  

Bila kita melihat kepada senarai ini sahaja sudah cukup menyajikan bahawa jawatankuasa khas ini langsung tidak mencerminkan “roh” sebenar Perjanjian Malaysia 1963.  Ada asasnya kepada penolakan ini kerana hakikatnya jauh sebelum penubuhan Malaysia yang berlaku pada tanggal 16 September 1963 turut mempunyai Inter-Government Committee (IGC) yang dibentuk pada tahun 1962 iaitu mempunyai wakil-wakil yang setara daripada United Kingdom, Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan North Borneo (Sabah).  

Jadi, dimanakah menghilangnya wakil-wakil yang setara daripada Sabah dan Sarawak sekiranya hanya dua wakil yang disenaraikan dengan menidakkan keberadaan Peguam Kerajaan Sarawak. Dan dua wakil dari Sarawak dan Sabah pula adalah mereka yang mewakili Kerajaan PH di dalam kabinet Persekutuan. Seharusnya Sarawak mahupun Sabah semestinya diwakili oleh Ketua Peguam mereka dan juga ahli parlimen malah adun yang mewakili parti pemerintah wilayah tersebut.  Ini bukanlah jawatankuasa khas MA63 sebaliknya merupakan jawatankuasa khas kabinet kerajaan PH.  

Perlulah diketahui bahawasanya Perjanjian Malaysia 1963 itu merupakan satu perjanjian antarabangsa yang berdaftar di Pertubuhan Bangsa Bersatu pada tanggal 21 September 1970 dengan nombor pendaftarannya 10760.  Ianya tidaklah boleh sewenang-wenangnya dipinda tanpa melibatkan pemegang amanahnya yang mana langsung tiada wakil daripada Kerajaan British itu sendiri sepertimana IGC 1962.   

Penolakan Kerajaan Sarawak adalah sesuatu yang wajar memandangkan suara dan keputusan serta penilaian daripada Sabah, Sarawak mahupun Malaya seharusnya seimbang kerana disinilah nanti kita mampu melihat semula mana-mana yang “telah hilang” selama ini. Kita tidak mahu selepas keputusan penilaian dikeluarkan masih ada lagi yang pincang tidak seperti yang kita mahukan iaitu memartabatkan kembali Perjanjian Malaysia 1963 yang asalnya.

Komposisi jawatankuasa khas MA63 ini seumpama bahtera senget sebelah!

“Anang Malaysia tuk sebaka tebu, manis di pun tabar di ujung”. -Tun Jugah-