PENGANAN Jala itulah sejenis kuih tradisional yang sinonim dengan etnik Iban di Sarawak. Ianya merupakan kuih “wajib ada” apabila ada sebarang perayaan yang berhubungkait dengan etnik Iban Sarawak seperti Hari Gawai.
Selain dari kuih tradisional ini merupakan identiti bagi etnik Iban di Sarawak, tidak kurang juga popularnya penganan jala ini di kalangan etnik pribumi di Sabah namun mungkin namanya agak berbeza. Walaupun begitu, jangan sesekali terkeliru bahawa kuih jala ini serupa dengan roti jala yang popular di bumi Semenanjung Malaysia kerana cara pembuatannya amat berlainan sama sekali.
Jika dilihat dari segi pembuatan penganan jala ini boleh dikatakan ianya masih lagi dijaga keaslian pembuatannya. Ini kerana banyak kuih-kuih tradisional seperti kuih bahulu telah melalui transformasi yang lebih bersifat komersial sehingga kadang-kadang ada sesetengahnya sudah kehilangan “umph” jika dibandingkan dengan cara pembuatan kuih tradisional mengikut cara datuk nenek kita dahulu.
Untuk penganan jala pula ianya masih lagi dikekalkan seperti penggunaan pembuatnya yang diperbuat daripada tempurung kelapa. Tempurung kelapa yang sudah dibersihkan akan ditebuk lobang ditengah-tengahnya. Kemudian barulah proses pembuatan pemegang yang menggunakan sebatang kayu kecil yang juga diperbuat daripada buluh kebiasaannya. Panjang pemegang itu pula diantara 28cm – 33 cm terpulang kepada kesesuaian si pembuat itu nanti.
Kedengarannya begitu mudah sekali tetapi sebaliknya pembuatan kuih tradisi ini merupakan satu proses pembuatan kuih yang menuntut kesabaran serta ketelitian. Ini kerana bukan mudah untuk memastikan kesempurnaan pada kuih tradisional ini. Teknik untuk mengetuk acuan agar boleh mencipta bentuk fizikal kuih yang bersilang-silang seakan-akan sarang semut atau jala ini juga menuntut satu kerja yang mengkhusus.
Jika sudah pakar untuk membentuk fizikal kuih jala memerlukan kepakaran apatah lagi untuk proses menggoreng pula. Ini kerana tahap kepanasan minyak juga perlu dijaga agar setiap kuih jala yang digoreng adalah benar-benar masak serta ranggup tetapi tidak hangus. Jadi sudah tentu kerja-kerja pembuatan seperti ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang benar-benar pakar dan bukan hanya untuk suka-suka sahaja.
No comments:
Post a Comment