Tuesday 12 January 2016

TAMAN NEGARA KUBAH, KUCHING, SARAWAK


LOKASINYA hanya kira-kira 22 km dari ibukota Kuching, Sarawak dan taman Negara ini diwujudkan pada tahun 1989 namun hanya dibuka pada umum sekitar tahun 1995. 
Keluasannya adalah sekitar 2,230 hektar dan dipenuhi dengan flora serta fauna dan juga beberapa pemandangan yang menarik seperti puncak Serapi yang merupakan puncak tertinggi di Taman Negara Kubah dengan ketinggian 990m dari paras laut.

Setiap taman Negara itu mempunyai keunikannya yang tersendiri dan begitu juga Kubah kerana disinilah berhimpunnya semua spesis tumbuhan palma yang dikatakan antara yang terbaik pernah ada di dunia. 

Dan ianya sudah lama diakui dunia melalui seorang ahli botani terkenal di dunia iaitu Odoardo Beccari yang menulis buku bertajuk Wanderings In The Great Forest Of Borneo yang tinggal di Sarawak pada tahun 1865 hingga 1868.

Di sebalik keindahan taman Negara ini mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Taman Negara Kubah ini merupakan antara taman Negara yang terkenal di kaca mata dunia suatu waktu dahulu.

Apakan tidaknya, sekitar tahun 1987, di lokasi Taman Negara Kubah inilah pernah menjadi latar belakang kepada dua filem Hollywood iaitu yang berjudul Farewell To The King yang mana teraju utamanya adalah Nick Norte.

Kemudian di kawasan Kubah ini juga pada tahun 2003 menjadi lokasi penggambaran sebuah filem berjudul “The Sleeping Dictionary” yang dilakonkan oleh artis tersohor Hollywood iaitu Jessica Alba.

Inilah antara keunikan Taman Negara Kubah yang mungkin bagi kita biasa-biasa sahaja tetapi sebenarnya menyimpan seribu satu khazanah yang tinggi nilainya. 




No comments:

Post a Comment