Thursday 10 December 2015

INDAHNYA CAHAYA KRISMAS DI SARAWAK



Memetik kata-kata dari dua individu mengenai toleransi kaum dan agama. 

“… Saya tidak melihat adanya sebarang masalah jika terdapat umat Islam yang turut sama menyambut perayaan rakan daripada kaum dan agama lain. Ini kerana ianya mampu menyuburkan keakraban toleransi dan hormat-menghormati antara satu sama lain…” – Sultan Ibrahim, Sultan Johor –
“..Kita harus saling menghormati agama antara satu sama lain. Masing-masing ada kepercayaan dan pegangan agama sendiri dan itulah keunikan yang ada di sini. Jangan campuradukkan agama dengan politik seperti yang diamalkan di tempat lain kerana itu bukan amalan kita..” – TSDP Adenan Haji Satem –

Dua petikan kata-kata ini sudah cukup menggambarkan betapa pentingnya kita hidup bertoleransi di antara satu sama lain lebih-lebih lagi kita di Malaysia amnya, Sarawak mahupun Johor khususnya terdiri daripada masyarakat majmuk yang mempunyai pelbagai latar belakang kaum dan agama yang berbeza.

Jadi pada mereka yang sering melontarkan segala tohmahan berlandaskan segala nas agama dan dangkal politik seharusnya merasa malu kerana hati dan perasaan kaum serta agama orang lain juga harus dijaga apabila berbicara.

Apabila berbicara mengenai sekitar sambutan menjelangnya perayaan Krismas di Sarawak sudah tentu sekarang begitu rancaknya Bandar-bandar utama di Sarawak dengan hiasan Krismas yang mewarnai pusat-pusat membeli belah.

Maka kita akan melihat gedong-gedong membeli belah seperti bermandikan cahaya malah tidak terlampau untuk mengatakan sambutan beserta dengan hiasan seperti ini membuatkan kita berasa seolah-olah di Negara Eropah yang mana sambutan Krismasnya adalah perayaan utama mereka.

Bukan itu sahaja, sudah menjadi tradisi di Sarawak akan diadakan “Christmas Parade” di Bandar-bandar besarnya yang sudah tentu menonjolkan segala budaya dan warisannya masyarakat Sarawak itu sendiri.

Dan yang lebih menyeronokkan ianya juga turut disertai oleh pelbagai bangsa dan agama. Inilah indahnya bumi Sarawak dan tidak perlu untuk seseorang itu pergi jauh-jauh “sampei nikik bilun” hanya hendak merasa sambutan Krismas itu sendiri.

Di Sarawak, penganut agama Kristian sudah tentu mula mencongak persiapan mereka untuk menyambut Hari Krismas. Jadi, bijak-bijaklah berbelanja dengan penuh kesederhanaan mengikut apa yang termampu.

Untuk semua masyarakat Sarawak sama-samalah kita memeriahkan suasana Hari Krismas ini kerana ianya juga menunjukkan kita sebagai satu bangsa yang unggul.

Bersatulah kita sebagai anak Malaysia.



Nota:  Gambar yang disertakan merupakan caption suasana terkini menjelang Krismas di pusat membeli belah The Springs.

No comments:

Post a Comment