Wednesday 30 December 2015

TOPIK "PALING HANGAT" DI DALAM MEDIA SOSIAL DI SARAWAK 2015

Tahun 2015 akan melabuhkan tirainya di dalam masa beberapa jam lagi. Dan menjelmalah 2016 yang akan memberikan seribu satu harapan kepada kita sebagai rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya.  
Di dalam corat coret kita menghitung kedatangan 2016, baik untuk kita mengimbau apa yang menjadi “trending” di media sosial di dalam tempoh 12 bulan ini.  

1. Januari 2015 
Pada bulan ini sahaja, ramai pengguna media sosial sentiasa peka dengan keadaan saudara-saudara di utara Sarawak contohnya di Limbang dan Lawas yang ditimpa bencana banjir. Banyaklah juga sekolah-sekolah ditutup dan disinilah kita akan melihat penggunaan hastag #PrayForLimbang dan sebagainya oleh anak-anak Sarawak bagi mengatakan solidariti mereka atas kepayahan mereka menghadapi bencana ala mini. 

2. Februari 2015
Suka duka pemergian tokoh politik Negara iaitu Mursyidul Am PAS Allahyarham Nik Aziz juga turut mewarnai dunia media sosial. Di Sarawak, tidak pernah kurang yang mengkagumi beliau kerana keperibadiannya yang baik, Biodata hidup mengenai allahyarham mewarnai dunia media sosial untuk. Dan di bulan ini juga ramai yang berkongsi mengenai kesihatan Mantan Perdana Menteri Republik Singapura iaitu Lew Kuan Yew yang dikhabarkan tidak sihat.  

3. Mac 2015
Isu GST yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015 memenuhi ruang media sosial di seluruh Malaysia dan tidak terkecuali di Sarawak. Pada masa ini pelbagai respon yang rata-ratanya tidak berpuashati atas cadangan itu. Pelbagai pandangan mengenai GST termasuk pemahaman mengenai GST yang bakal dilaksanakan itu turut menjadi antara viral di dunia maya. 

4. April 2015
1 April 2015 bermulalah perlaksanaan GST di seluruh Negara. Di ketika ini lain pula yang menjadi persoalan para pengamal media sosial. Pelarasan daripada peniaga-peniaga pula menjadi hal yang utama. Pelbagai aduan daripada orangramai dijadikan viral di media sosial termasuklah di Sarawak. 
Dan apabila AIFFA 2015 dilangsungkan di Kuching, kelibat Datuk Jackie Chan pula menjadi viral. Dan cadangan daripada Datuk Jackie hendak membuat filem mengenai Sarawak menjadi antara yang popular dikongsikan oleh pengamal media sosial di Sarawak. 

5. Mei 2015
Video yang memaparkan tentang hujah daripada Datuk Johari Abdul iaitu MP bagi Sungai Petani di Parlimen Malaysia menjadi sangat popular di Sarawak apabila beliau secara beraninya memperkatakan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia adalah “Equal Partner” semasa penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Pada ketika itu beliau mengatakan “4S” telah menubuhkan Malaysia iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Singapura. Video ini telah menjadi viral dan disokong oleh mana-mana rakyat Sarawak kerana inilah realitinya.

6. Jun 2015
Malaysia telah dikejutkan dengan kejadian gempa bumi di Sabah iaitu secara mengkhusus kawasan di Gunung Kinabalu yang menyaksikan gegarannya adalah di skala richter 6.0. Korban nyawa dari pelancong dan juga malim gunung telah menyaksikan hampir semua rakyat Malaysia turut sama merasainya. Maka bermulalah hastag #Pray For Sabah yang membawa makna tersendiri untuk tragedi ini.  

7. Julai 2015
Bulan Julai adalah bulan kemerdekaan bagi Sarawak dan pada bulan ini juga terdapat beberapa perhimpunan yang telah dianjurkan oleh mereka yang bergelar Sarawak 4 Sarawakian dan juga Sarawak Nasionalis. Ramai yang memberikan pelbagai pandangan pro kontra mengenai ini.  

8. Ogos 2015
Di Malaysia isu Jerebu sentiasa menjadi topik hangat apatah lagi di Sarawak yang terlalu dekat dengan bumi Kalimantan. Di sepanjang Ogos telah menyaksikan banyak hal mengenai Jerebu menjadi perhatian masyarakat Sarawak. Apakan tidak kerana pada masa ini juga beberapa sekolah dan juga bahagian-bahagian di Sarawak telah diistiharkan darurat buat sementara contohnya di Kuching dan Samarahan yang telah mencatatkan bacaan ipu sangat kurang sihat. 

9. September 2015
Tragedi yang menyayat hati mengenai tren tumbang di kota Mekah ketika musim haji 2015 turut mendapat simpati dan bualan masyarakat di Sarawak. Ramai yang berkongsi tentang cerita-cerita jemaah haji Malaysia yang terkorban. Video tragedi itu juga turut menjadi viral dan dikongsi oleh segenap masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. 

10. Oktober 2015
Permainan bolasepak itu adalah antara salah satu cara untuk menyatukan rakyat. Kecoh seketika apabila pergaduhan pemain Sarawak vs Perak membawa kepada penggantungan Joseph Kalang Tee salah seorang pemain tonggak kepada Pasukan Sarawak dikongsikan buat tatapan peminat sukan bolasepak di Sarawak. Ramai peminat bolasepak tempatan menyatakan sikap kurang senang dengan tindakan penggantungan yang dikenakan kepada beliau.  

11. November 2015
Kenyataan CM Adenan untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai antara bahasa rasmi di Kerajaan Negeri Sarawak telah menimbulkan pelbagai reaksi baik di dalam Malaysia keseluruhannya dan juga Sarawak sendiri khususnya. Rata-rata orang Sarawak senada dan seirama dengan CM Adenan.  

12. Disember 2015
Boleh dikatakan penghujung tahun 2015 ini merupakan tahun tragedi bagi masyarakat Sarawak. Apakan tidak banyak peristiwa sedih yang berlaku pada orang Sarawak khususnya. Mula-mula sekali mengenai kejadian mangsa lemas seorang jururawat di HUS yang dikatakan lemas di Pasir Pandak, Kuching. Sehingga sekarang mayat mangsa tidak ditemui malah operasi pencarian juga sudah dihentikan. 
Kemudian tragedi serangan buaya di Sungai Kampung Bungin, Spaoh ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun pula menambah duka bagi masyarakat Sarawak. Jasadnya berjaya ditemui dengan kesan bahaman buaya sungguh menyayat hati bagi keluarganya.  
Dan ketika rakyat Sarawak bergembira untuk menyambut perayaan Krismas pula, satu demi satu tragedi yang memilukan telah terjadi. Kemalangan di jalanraya telah mengorbankan banyak nyawa, Cukup di daratan, di sungai juga terjadi tragedi bot panjang karam iaitu di tidak jauh daripada tragedi bot ekspress karam pada tahun 2013 di Belaga. Disini sahaja 5 mangsa korbannya dan sehingga sekarang salah seorang penumpang masih lagi hilang.  
Di dalam kekalutan bulan Disember ini juga, pengamal media sosial turut bimbang dengan kecelaruan di perairan Sarawak iaitu mengenai pencerobohan China Coast Guard di perairan Bintulu, Sarawak. Pelbagai respon dinyatakan dan tidak kurang yang menyalahkan agensi penguatkuasa Maritim sehinggalah baru-baru ini CCG diusir keluar dari sempadan laut Sarawak. 
Dalam pada itu, tiada yang lebih trending apabila salah seorang Menteri Persekutuan dari Sarawak iaitu YB Datuk Joseph Entulu yang berkahwin dengan seorang wanita muda telah menerima pelbagai maklumbalas di dunia media sosial. Boleh dikatakan pada saat ini YB Datuk Joseph dan isterinya adalah Menteri selebriti di Sarawak.  
Dan apalah dunia media sosial jika tidak menaikkan topik mengenai kenyataan Datuk Ahmad Maslan. Kenyataannya yang menyarankan rakyat Malaysia untuk membuat lebih dari 2 kerja telah memberikan pelbagai respon. Ada yang mengiyakan dan tidak kurang pula yang menjadikan ianya bahan “troll”.  
Dan sehingga tengah malam ini sudah tentu topik yang paling banyak diperkatakan adalah Sarawak Bebas Toll menjelang 1hb Januari 2016. Pengiraan detik 12 malam di Jambatan Tun Salahuddin sudah tentu menjadi pengkongsian pengamal media sosial. Dan sambutan diambang tahun baru 2016 ini sudah tentu yang dinantikan. 

Apa yang dicatatkan di atas mungkin hanya sebahagian daripada topik trending iaitu berdasarkan kepada pemahaman dan penelitian penulis sendiri. Banyak cerita suka mahupun duka yang berlaku sepanjang tahun 2015. Semoga ianya menjadi ikhtibar kepada kita semua.

Kalau ada sumur di ladang
Bolehlah kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Bolehlah kita berjumpa lagi 

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2016  

No comments:

Post a Comment