Tuesday, 5 April 2016

PROJEK BEKALAN ELEKTRIK LUAR BANDAR (BELB)

ANTARA kemudahan asas yang dituntut oleh penduduk luar Bandar di Sarawak adalah bekalan elektrik 24 jam. Seringkali faktor geografi Sarawak yang cukup luas serta penempatan yang berselerak dijadikan seribu satu alasan untuk rakyat menikmatinya. Dan kerana itulah apabila menjelang pilihanraya, inilah yang akan menjadi antara persoalan pokok yang diutarakan oleh rakyat.  
Projek BELB merupakan salah satu daripada projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan bagi memberi kemudahan kepada rakyat yang tidak dapat menerima bekalan elektrik melalui sistem grid yang sedia ada. Setakat ini terdapat beberapa kaedah projek BELB yang dijalankan di Sarawak seperti projek BELB Solar Hybrid, projek BELB Mikro HIdro, Projek BELB Alternatif dan Projek BELB Genset yang kebanyakannya sudahpun dibina di Sri Aman, Balingian, Belaga, Baram dan Lawas dengan jayanya. 
Sebenarnya projek BELB mendapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat dan dibiayai serta dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Dan setiap satu kawasan yang dikenalpasti akan disenaraipendek oleh Kementerian Kemudahan Awam yang kemudiannya akan mengusahakan sesuatu kawasan itu untuk mendapat bekalan elektrik.
Dengan kaedah “Design and Build” maka projek BELB ini juga menuntut kerjasama daripada pemilik rumah kerana pendawaian dalaman adalah ditanggung sendiri oleh pemilik rumah dengan mendapat perkhidmatan daripada kontraktor yang berdaftar dengan Sarawak Energy Berhad (SEB). Ini kerana SEB hanya melakukan bidang kerja seperti penyediaan HT/LT Lines, Transformers, Voltage Regulators, Underground Cable Lines dan SEB meter.
Al-maklum dengan kos yang tinggi, Kerajaan Sarawak juga melalui kerjasama dengan SEB telah menyediakan satu kaedah yang dinamakan Assisted Wiring Scheme. Permohonan untuk mendapat skim ini boleh dilakukan dengan mengisi borang SEB dan beban kos bolehlah dikurangkan. 
Projek BELB ini adalah satu usaha berterusan sepanjang tahun kerana ianya juga merupakan salah satu NKRA Kerajaan Pusat. Dan Kerajaan Sarawak melalui kepimpinan Datuk Adenan juga turut meletakkan ini sebagai antara satu visi dan misi di dalam menyatakan maksudnya “We Go To Rural” yang bermakna beliau juga mahukan rakyat Sarawak di luar Bandar akan mendapat kemudahan asas seperti mereka yang tinggal di Bandar-bandar besar.  
Dikatakan kejayaan projek BELB ini sudah mencapai hampir 90% seperti yang diwar-warkan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Sarawak ketika merasmikan projek BELB untuk Kampung Sebako, Pulau Bruit dan Kampung Sedik, Belawai beberapa hari yang lepas. 
http://www.theborneopost.com/2016/03/30/rm20-1-juta-untuk-laksana-belb-di-sebako-pulau-bruit-sedik-belawai/
Apa yang disajikan dengan angka 90% itu cukup besar maknanya jika diterjemahkan boleh mengundang satu informasi yang berlainan. Kerana sehingga sekarang, masih lagi ada suara-suara rakyat di luar Bandar yang mahukan ianya direalisasikan segera. 
Mana-mana "calon YB" tidak kira atas tiket parti mana sekalipun harus melihat ini sebagai satu kewajipan dan bukannya satu janji manis menjelang pilihanraya ataupun menjadikannya satu sentimen bagi meraih undi kerana perlulah diingat pola pengundi sekarang tidak sama dengan pengundi pada PRN yang lepas. Segala maklumat hanya dihujung jari sahaja. Ingat Itu!

No comments:

Post a Comment