JIKA Iban, Bidayuh mahupun Melanau juga mempunyai senibina rumah panjang mereka yang tersendiri tidak terkecuali dengan Kaum Orang Ulu. Kebiasaannya kaum Orang Ulu membina rumah panjang mereka untuk bertahan lama dan kerana itulah bahan binaannya sememangnya daripada kayu-kayan yang bermutu tinggi.
Binaan atapnya kebiasaannya menggunakan kulit kayu belian yang tahan lama serta tidak dimakan oleh anai-anai. Ianya disusun dengan cukup tertib agar mampu menahan segala bentuk cuaca yang sukar untuk diramalkan. Binaan lantai mahupun dinding untuk rumah panjang ini juga terdiri daripada kayu-kayan yang terpilih.
Untuk tiangnya sahaja lazimnya menggunakan kayu berlian yang boleh bertahan beratus-ratus tahun lamanya. Dan sebelum ditegakkan menjadi asas senibina rumah panjangnnya, tiang ini juga dikatakan akan diukir terlebih dahulu mengikut motif-motif yang mempunyai makna yang tersendiri tertakluk kepada kepercayaan mereka.
Dan tiang kaki untuk rumah panjang Orang Ulu boleh mencapai 30 kaki tingginya. Dikatakan ianya dibuat sebegitu tinggi bagi tujuan keselamatan iaitu bagi mengelak serangan binatang buas mahupun serangan musuh yang boleh menyerang pada bila-bila masa suatu waktu dahulu.
Di dalam rumah panjang itu juga turut mempunyai beberapa ruangan khas seperti juga rumah panjang etnik Iban. Kebiasaannya di dalam satu rumah panjang Kaum Orang Ulu juga turut dihuni oleh beberapa keluarga dengan setiap rumah panjang mempunyai pemimpinnya yang tersendiri.
Sehingga sekarang walaupun sudah melalui peredaran zaman, rumah panjang Orang Ulu tradisional masih lagi ada di Sarawak kerana teguhnya pembuatannya yang menjadikan ianya diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain.
No comments:
Post a Comment