Wednesday, 13 April 2016

TARIAN ALU-ALU MASYARAKAT MELANAU


KEPELBAGAIAN kaum menjadikan Sarawak itu unik baik dari masyarakatnya, adat tradisi serta budayanya.  Dan masyarakat Melanau merupakan antara pembentuk masyarakat Sarawak yang tidak kurang keunikan budayanya. 

Tarian Alu-alu merupakan salah satu daripada tarian tradisional yang sudah diwarisi sejak dahulu lagi.  Ianya sekarang merupakan salah satu tarian yang sering dipersembahkan apabila ada keramaian di Sarawak.  Malah tarian ini juga cukup sinonim dipersembahkan di luar Negara dan sering mendapat perhatian orang luar yang gemar dengan tarian tradisi seperti ini. 

Sebenarnya, tarian alu-alu adalah salah satu daripada tarian yang mempunyai kaitan dengan hari perkabungan bagi masyarakat Melanau dahulu kala.  Kebiasaannya, tarian ini akan dipersembahkan di ketika waktu malam iaitu bermula dari malam pertama sehingga malam keempat hari perkabungan.

Tujuannya hanya satu iaitu untuk menghiburkan hati keluarga dan rakan si mati agar tidak terlalu bersedih.  Menariknya gerak tari tarian alu-alu ini tidak mempunyai gerakan yang spesifik sebaliknya gerak tarinya pula sebenarnya berlandaskan aksi-aksi harian.  Contohnya proses membuat sagu juga boleh dijadikan satu gerak tari di dalam tarian alu-alu ini.  Dan menurut tradisi Melanau, gerak tarinya juga boleh diperolehi menerusi mimpi, pekerjaan seharian, perubatan, permainan rakyat dam banyak lagi. 

Apa yang pasti, tarian alu-alu ini bukanlah semua boleh melakukannya lebih-lebih lagi gerak tari penari lelaki yang harus mengimbangi badan di atas buluh sambil berpusing-pusing dan mengikut rentak muzik menuntut latihan yang berulang-ulang untuk melakukannya.  

No comments:

Post a Comment