Sunday 1 October 2017

KEMATIAN 2 LASKAR KELAS 1: DARI MATI MENGEJUT KE KES BUNUH


MALAYSIA dikejutkan dengan kematian dua anggota TLDM iaitu Nik Muhammad Baihaqy bin Nik Mat dan Mohammad Lailatulman bin Mohd Shukri ketika ditahan di bilik tahanan Unit Komunikasi TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, Perak pada hari Jumaat yang lepas.  Pada awalnya pihak polis telah mengklasifikasikan kematian tersebut sebagai “mati mengejut”.

Namun apabila usai sahaja bedahsiasat dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh mengesahkan bahawa kedua-dua anggota TLDM ini meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru berpunca daripada trauma tumpul.  Sehubungan dengan itu juga pihak PDRM telah meminda klasifikasi kes siasatan kepada kes bunuh iaitu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati.  Semalam juga, tiga suspek yang berusia diantara 29 hingga 44 tahun yang bertugas di bilik tahanan di Unit Komunikasi TLDM Sungai Wangi, Sitiawan telah ditahan reman bagi membantu siasatan kes kematian ini.
Manakala kedua-dua jenazah Laskar Kelas Satu TLDM usai dibedahsiasat telah dituntut oleh keluarga mereka dan selamat dikebumikan mengikut adat istiadat ketenteraan semalam.  Jenazah Mohammad Lailatulman bin Mohd Shukri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, Kelantan manakala untuk Nik Muhammad Baihaqy bin Nik Mat pula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbat, Pasir Tumbuh, Kelantan.
Salam takziah untuk keluarga mereka.  Al-fatihah. Amin.

No comments:

Post a Comment