Tuesday 7 July 2020

MENDIANG TUN JUGAH ANAK BARIENG DALAM KENANGAN


“Anang Malaysia tuk sebaka tebu, manis di pun tabar di ujung”.. itu adalah antara kata-kata azimat dari seorang pemimpin tersohor di Sarawak iaitu Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah Anak Barieng atau lebih popular di kalangan masyarakat dengan panggilan Apai Jugah suatu ketika dahulu ketika Negara Malaysia baharu sahaja ditubuhkan pada tahun 1963.  Dan hari ini genaplah 39 tahun mendiang meninggalkan kita semua namun begitu kata-katanya tetap sentiasa diulang-ulang sehingga sekarang.  

Tun Jugah dilahirkan di Ulu Kapit, Sarawak pada tahun 1903. Dilantik menjadi Penghulu di rumah panjangnya ketika berusia 20 tahun kerana kepimpinannya terserlah sejak remaja lagi. Ketika pendudukan Jepun pula beliau diangkat menjadi Sanji iaitu satu barisan kepimpinan tempatan yang menjadi pengantara pemerintahan Jepun dengan masyarakat tempatan.  Walaupun ramai yang mengwarnai mendiang sebagai talibarut Jepun tetapi menurut sebuah buku yang bertajuk Voices From Borneo karangan seorang bekas tentera Australia yang pernah menjadi Komando Semut di dalam Operasi Semut di Sarawak iaitu Jim Truscott menyatakan bahawa banyak rahsia perang daripada pihak tentera Jepun disalurkan oleh Tun Jugah kepada mereka ketika mereka membuat serangan gerila di bumi Sungai Rejang pada ketika itu. Sekaligus ia membenarkan tindakan Tun Jugah bukan sekali tidak patriotik sebaliknya demi survival masyarakat Iban pada waktu itu.  

Sekitar tahun 1953 iaitu ketika Sarawak telahpun diserahkan kepada Koloni Mahkota Sarawak British, khidmat Tun Jugah juga turut ditagih dan beliau diberikan peluang untuk menjadi wakil masyarakat Iban iaitu untuk menjaga kesemua hal kebajikan masyarakat Iban pada waktu itu. Di kala api kemerdekaan sudah mula menusuk ke sanubari setiap rakyat Sarawak, Tun Jugah tidak ketinggalan merasai nada yang sama. Ketika adanya tinjauan mengenai cadangan Gagasan Malaysia diadakan di Sarawak, Tun Jugah antara pemimpin masyarakat pribumi Sarawak yang bersama-sama dengan etnik-etnik yang lain yang pada mulanya membantah telah dijemput ke Malaya oleh Tunku Abdul Rahman Al-Haj iaitu Perdana Menteri Tanah Melayu pada masa itu.

Setelah penubuhan Malaysia pada tahun 1963, Tun Jugah merupakan ahli parlimen yang terpilih untuk menganggotai barisan kabinet Parlimen Malaysia yang pertama iaitu sebagai Menteri Penuh yang menjaga hal-ehwal Sarawak di dalam Malaysia. Di dalam arena politik Sarawak, nama Tun Jugah juga turut mewarnai lipatan sejarah Sarawak kerana beliaulah Presiden Pertama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan jawatan itu dipegang olehnya sehingga ke akhir hayatnya.  

Jasa Mendiang Tun Jugah akan terus dikenang sepanjang zaman.  Semoga tenang disisi Tuhan yang Esa.  

No comments:

Post a Comment