Tuesday 19 July 2016

HARI SARAWAK, 22 JULAI 2016


SATU tarikh keramat yang dinanti-nantikan hampir setengah abad lamanya.  Hari ini, 22 Julai 2016 akhirnya ianya diiktiraf sebagai cuti umum malah sudah digazetkan sebagai hari kemerdekaan Sarawak.  Ramai yang mempunyai pandangan yang skeptikal mengenai tarikh ini tetapi walau apapun jua, 53 tahun dahulu tarikh ini mempunyai sejarahnya tersendiri di dalam pembentukan Sarawak yang merdeka dan berkerajaan sendiri.

Bermula dari tarikh itu juga segala bentuk dan perancangan pentadbiran Sarawak telah diserahkan oleh kolonial British kepada kabinet negeri pertama yang dianggotai sepenuhnya oleh anak Sarawak.  Mereka ini terdiri daripada James Wong Kim sebagai Timbalan Ketua Menteri, Abdul Taib Mahmud (Menteri Kerja Raya dan Komunikasi), Dustan Endawai (Menteri Kerajaan Tempatan), Teo Kui Seng (Menteri Sumber Alam) dan Awang Hipni Pengiran Anu (Menteri Negeri).

Sebelum membentuk Gagasan Malaysia, Sarawak telah menyenaraikan beberapa syarat untuk dipersetujui bersama dan ianya dilakukan bagi menjaga kepentingan Sarawak apabila Malaysia ditubuhkan pada tanggal 16 September 1963.  Inilah yang kita kenali sebagai Sarawak Berautonomi seperti yang sedang diusahakan oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Adenan sekarang.  Ianya bukan omongan atau sengaja untuk mengada-ngada kerana ianya tercatit di dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Inter-Government Committee (IGC Report).

Walau apa jua nama panggilannya tanamkanlah di minda kita dan ajari anak-anak kita bahawa hari ini 22 Julai adalah hari kita, Hari Sarawak.  Julanglah tinggi-tinggi bendera Sarawak walau dimana sahaja anak Sarawak berada.  Fahamilah maknanya dan hormatilah segala perjuangan datuk nenek kita di dalam merealisasikan Sarawak itu merdeka dari cengkaman penjajah.

Selamat Menyambut Hari Sarawak, 22 Julai 2016
x

No comments:

Post a Comment