BERSUNGKEI bagi orang Sarawak ataupun berbuka puasa ataupun iftar di dalam bahasa Malaysia standard adalah merujuk terma yang membolehkan orang Islam makan dan minum setelah seharian menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadhan. Dan apabila berbicara makan dan minum di bulan Ramadhan sudah tentu menu yang sinonim atau wajib adalah adalah satu menu makanan yang dinamakan Bubur Pedas.
Uniknya menu tradisional bubur pedas adalah ianya tidak ada memang di mana-mana negeri di Malaysia selain daripada Sarawak. Hanya namanya sahaja bubur pedas tetapi jika merasainya ianya langsung tidak pedas. Bubur pedas ini agak unik sekali kerana ianya diperbuat daripada rempah khas bubur pedas yang dipanggil “Bumbu Bubur Pedas”.
Penyediaan Bubur Pedas tidaklah begitu merumitkan kerana dengan adanya Bumbu segalanya telah dipermudahkan. Kelazatan bubur pedas akan lebih terserlah jika disediakan bersama-sama dengan kulit lembu yang sudah dikeringkan kemudian dipotong halus-halus ataupun dipanggil “Kerapen” di dalam bahasa Melayu Sarawak.
Tidak lupa juga apalah makna Bubur Pedas jika tidak dicampur dengan sayur-sayuran ulam-ulaman seperti pucuk singkel, daun kunyit, pucuk ubi bagi menambahkan keasliannya. Apa yang pasti segala isi kandungan bagi pembuatan Bubur Pedas ini telah dibuktikan mempunyai pelbagai khasiat dan vitamin bagi mengembalikan stamina setelah seharian menahan lapar dan dahaga.
Jika sudah satu pulau maka menu juga akan turut ada persamaan dan begitu juga Bubur Pedas kerana dikatakan perkaitan sejarah antara masyarakat Melayu Sambas mahupun di Pontianak dengan masyarakat Melayu Sarawak menyebabkan ianya berkongsi menu yang sama. Malah di wilayah inilah sebenarnya bubur pedas ini berasal cuma bezanya mungkin sebutan sahaja serta isi kandungannya namun rasanya tetap sama.
Inilah ceriteranya menu tradisi Bubur Pedas yang menjadi menu wajib ada sepanjang bulan Ramadhan. Kelazatan dan keenakan memakannya sukar untuk dinyatakan dan bagi yang tidak pernah merasa jangan takut untuk menikmatinya. Dah rasa sekali mesti hendak lagi.
No comments:
Post a Comment