Saturday, 18 June 2016

PUTRAJAYA KOTAKAN JANJI ANDA!


LEBUHRAYA Pan Borneo adalah salah satu daripada projek mega yang sudah tentu akan mengubah lanskap Sarawak Bumi Kenyalang apabila ianya siap kelak.  Ini merupakan salah satu manifesto Kerajaan Barisan Nasional sejak di tahun 2013 lagi. 

Dan melalui Datuk Adenan yang memimpin Kerajaan Sarawak sekarang pula melalui manifestonya lebih kepada polisi “Rural Transformation”.  Cuma yang peliknya mengapa dan kenapa setelah usai pilihanraya segala kos perbelanjaan untuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dipotong daripada bajet yang diperuntukkan untuk Kerajaan Negeri Sarawak. 

Jika berterusan sebegini sememangnya Putrajaya sengaja bermain api kerana ianya seolah-olah tidak menunaikan janji kepada rakyat Sarawak seperti yang sering dilaung-laungkan.  Dengan memasukkan perbelanjaan untuk membina Lebuhraya Pan Borneo di dalam bajet Negeri Sarawak sudah tentu akan menyulitkan visi dan misi Kerajaan Sarawak pula. 

Sudah tentu rakyat Sarawak sendiri tidak mahu terus diperkotak-katikkan dengan janji yang umpama menanam tebu di tepi bibir lagi.  Cukup lama rakyat Sarawak bersabar agar lebuhraya Pan Borneo ini menjadi kenyataan.  Jadi kotakan janji anda sebelum rakyat Sarawak berpatah arang.  Orang Sarawak sudah jemu digelar “fixed deposit” selama lebih 53 tahun. 

No comments:

Post a Comment