Thursday 1 August 2019

GENDANG PERANG SUDAH DIPALU, PENDEKAR GPS SUDAH BERSEDIAKAH?


Gendang perang lantang kedengaran,
Burung di hutan sayup berterbangan,
Keris ku genggam pedang dilibaskan,
Membujur lalu melintang ku patahkan

ITU merupakan pantun empat kerat yang mengambarkan kesiapsiagaan pendekar berhadapan dengan musuh petualang. Dan ianya cukup sama dengan apa yang dinyatakan oleh Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen sewaktu ucapan beliau di Majlis Makan Malam “Harapan Sarawak Baru” baru-baru ini yang mana beliau melaungkan bahawa Pilihanraya Negeri yang mungkin diadakan pada tahun 2021 kelak merupakan pertarungan maha hebat antara gabungan persekutuan dan gabungan tempatan Sarawak.  Malah mereka yakin Sarawak akan boleh ditawan dengan mudah kerana sebagai parti pemerintah persekutuan, PH mempunyai segalanya.  

Pautan adalah seperti berikut:


Berbicara dari segi itu, GPS sebagai parti tempatan yang memerintah Sarawak sekarang yang sudah dicabar sebegitu rupa tidaklah masih lagi hendak memetik bunga kemboja di taman sari sebaliknya jika ada yang menjual sudah tentu ada yang membeli.  “Perang” yang diistiharkan oleh PH Sarawak sudah disahut tatkala KM Sarawak yang juga Pengerusi GPS mengatakan bahawa GPS akan berperang habis-habisan untuk mempertahankan pemerintahan mereka di Sarawak.  

Dengan nada penuh berkias, KM Abang Johari menyatakan jika hendak turun berperang segala logistik mesti disediakan, jika menembak musuh harus tepat ke sasaran.  Tambah beliau lagi bahawa sebagai seorang Jeneral, beliau akan terus berjuang dan kekuatan seseorang Jeneral Perang juga terletak pada askar-askar di barisan belakang yang akan setia bersama Jeneral sehingga ke titisan darah yang akhir.


Pautan berita penuh seperti berikut:


Kata-kata yang diucapkan oleh KM Abang Johari ini sudah cukup menggambarkan bahawa beliau sudah bersedia dan dalam pada itu memerlukan komitmen daripada akar umbi GPS sendiri untuk bersama-sama mengembleng tenaga meneruskan apa yang tersisa mendekati rakyat.  Ianya adalah tanggungjawab bersama dan bukan hanya meletakkan segalanya diatas bahu pemimpin-pemimpin atasan.  

Jika Chong Chieng Jen dan kuartet Malayanya yakin bahawa mereka akan dengan mudah mengalahkan gabungan parti tempatan Sarawak, adakah ahli-ahli dan penyokong GPS akan berdiam diri dan bersembunyi di belakang pintu dengan penuh rasa ketakutan menggigil-gigil sambil mengetip jari? Sudah tentu kita tidak mahu ianya menjadi seperti perang “kacang potet”, selagi nyawa dikandung badan parti tempatan Sarawak akan terus dipertahankan.   

Turunlah ke gelanggang sekarang wahai anak bangsa Sarawak yang cintakan Sarawak seadanya, biar pilihanraya dalam dua tahun lagi tetapi persediaan bermula dari sekarang. Jangan seperti kuartet Malaya yang hanya bertandang sehari dua dan menjadi tukang tunjuk untuk mengajar kita apa yang harus kita lakukan pada ibu pertiwi kita.  Jeneral perang sudah bersedia malulah “askar-askar” jika masih lena dibuai mimpi indah.   

Keris disanding bersama tombak
Diasap setanggi bunga teratai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai


#SarawakDiutamakan   

No comments:

Post a Comment