Wednesday 7 August 2019

KERAJAAN SARAWAK HANTAR WARIS KELUARGA TENTERA HILANG KE MALAYA


TANGGAL 19 Julai yang lalu kita mendapat perkhabaran akan kehilangan dua anggota tentera anak Sarawak yang berkhidmat di Batalion 4 Rejimen Renjer Diraja ketika mereka mengikuti satu operasi yang dikenali sebagai Ops Pejarak, Pulau Perak, Kedah. Operasi mencari dan menyelamat Lance Koperal Moses Logers dan Koperal David Edmund Rapi telah diusahakan sehinggalah baru-baru ini dikatakan operasi itu ditamatkan.

Dalam pada itu terselit cerita duka apabila pihak keluarga Moses dan David dikatakan tidak diberikan maklumat sebenar daripada pihak yang terlibat akan status terkini pencarian anggota keluarga mereka.  Bertindak daripada itu, kedua-dua keluarga telah tampil memohon rayuan agar rintihan mereka untuk mengetahui hal yang sebenarnya diperjelaskan.  

Hari ini, sedikit berita gembira apabila Kerajaan Sarawak dibawah kepimpinan Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari melalui Menteri Kebajikan Wanita, Keluarga, Pembangunan Kanak-kanak yakni Datuk Seri Fatimah Abdullah yang juga ADUN Dalat telah bersetuju untuk memberikan bantuan semampu yang boleh kepada keluarga kedua-dua mangsa yang hilang.  

Menurut kenyataan Datuk Seri Fatimah, Kerajaan Sarawak akan membantu melalui Unit Keselamatan Dalam Negeri Sarawak dan Rumah Sarawak di Kuala Lumpur.  Selepas perbincangan dengan Kementerian Pertahanan Malaysia baharulah mereka akan diterbangkan ke Langkawi dan seterusnya ke Pulau Perak dengan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.  

Hakikatnya sebagai satu Kerajaan haruslah melindungi rakyatnya tidak kira walau dimana mereka berada. Kesedihan mereka yang di dalam musibah adalah kesedihan kita semua sebagai rakyat Sarawak. Kita sebagai rakyat bukannya mahukan satu kerajaan yang hanya memerlukan kita ketika pilihanraya sahaja sebaliknya juga membantu di saat suka duka seperti ini.  

Terima kasih Kerajaan Sarawak, KM Abang Johari dan DS Fatimah kerana mendengar rintihan kedua-dua keluarga ini.  Sama-samalah kita berdoa agar kesemua urusan keluarga-keluarga ini dipermudahkan.  

Pautan berita penuh:


#SarawakDiutamakan 

No comments:

Post a Comment