Lemang Periuk Kera
Ketupat Pulut
Kelupis
MENJELANG
Syawal iaitu esok hari sudah tentu ramai muslimin dan muslimat seantero dunia
sedang rancak dengan sambutan 1 Syawal.
Bermulalah episod mendapat segala bahan-bahan untuk membuat rendang
mahupun kari bagi juadah pembuka selera untuk keluarga dan tetamu di pagi
hariraya.
Di Sarawak, tradisi ini juga tiada bezanya dengan masyarakat di Semenanjung Malaysia dan jika di negeri-negeri lain sibuk dengan lemang dan ketupat tetapi untuk di Sarawak terdapat beberapa menu tradisi yang sinonim dengan masyarakat Islamnya. Lemang Periuk Kera, Ketupat dan Kelupis adalah antara menu wajib dan agak berbeza daripada masyarakat Islam lain di negeri yang lain.
1. Lemang
Periuk Kera
Yang sering kita ketahui adalah
lemang yang dimasak di dalam buluh tetapi di Sarawak ada satu lagi jenis lemang
yang dikenali sebagai Lemang Periuk Kera.
Ianya adalah menu yang menjadi tradisi bagi masyarakat Islam berbangsa
Bidayuh di Sarawak. Tumbuhan hutan yang
bernama Periuk Kera akan dijadikan asas untuk memasak lemangnya. Di dalam periuk kera itu akan disumbat dengan
nasi pulut merah yang mempunyai aroma tersendiri serta lazat dimakan dengan
rendang dan sebagainya.
2. Ketupat
Pulut
Ketupat sememangnya amat
sinonim disediakan sewaktu hariraya namun ketupat yang ada di Sarawak agak
berlainan daripada ketupat yang disajikan di negeri-negeri di Semenanjung
Malaysia mahupun Sabah. Ketupat pulut di
Sarawak diisikan dengan nasi pulut dan serta dicampur dengan santan. Ini
menyebabkan ketupat yang dimakan seakan-akan mempunyai kanjinya yang
tersendiri. Dan saiz ketupat yang
dianyam juga mempunyai bentuk-bentuknya tersendiri samada segiempat ataupun
segitiga.
3. Kelupis
Menu ini sudah tentunya tiada
di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan hanya ada di Borneo samada di
Sabah, Sarawak mahupun Brunei. Ianya
juga antara menu wajib ada ketika sambutan hariraya. Keenakannya sama seperti memakan ketupat
pulut biasa tetapi agak berkanji dan manis.
Membuatnya Nampak mudah tetapi sebenarnya memerlukan kepakaran kerana
kedudukan ikatannya harus ketat agar tidak terbuka sewaktu memasaknya pada
jangkamasa yang agak lama.
Hanya
sedikit perkongsian mengenai keunikan juadah berhariraya di Sarawak. Yang pasti mungkin ramai orang Islam Sarawak
sudahpun mula membeli daun palas yang menjadi asas kepada penyediaan ketupat
pulut dan kelupis. Sementara untuk lemang periuk kera kebiasaannya menjelang
hariraya pasti ada penjual yang sudah meredah hutan untuk menjadikan periuk
kera sebagai produk jualannya.
Selamat
Berhariraya semua.