Monday 26 February 2018

KUCHING SEBAGAI HUB PENERBANGAN MURAH

BUKAN hanya impian sebaliknya akan menjadi kenyataan apabila dikatakan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi (Dr) Haji Abang Abdul Rahman Zohari bersama-sama dengan Tan Sri Tony Fernandes, CEO Air Asia sudah seia sekata untuk membina satu lagi lapangan terbang kos rendah di Sarawak. Sekaligus ini bermakna Kuching akan mampu menjadi hub penerbangan murah untuk Borneo dan kawasan sekitarnya.

Menurut apa yang diwar-warkan oleh Ketua Menteri Sarawak ketika merasmikan Sarawak Dialogue 2018 yang berlangsung di Hotel Riverside Majestic semalam, lokasi untuk lapangan terbang baru itu sudah dikenalpasti.

Sunday 25 February 2018

BRIM DIBAYAR 26.02.2018


RAMAI yang ternanti-nanti saat dan ketikanya sejak beberapa hari lepas dan hari ini iaitu Isnin, 26 Februari 2018, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sudah mula dikreditkan ke akaun mereka yang layak.  Untuk tahun 2018, sejumlah RM6.3 Bilion diperuntukan untuk tujuh juta penerima yang layak di seluruh Malaysia.  

Dan untuk versi 2018 ini menyaksikan maksima jumlah BR1M bagi yang berkelayakan adalah sebanyak RM1,200 dengan tiga peringkat pengagihan iaitu RM400 sebagai pembayaran pertama dan bakinya akan dimasukkan pada fasa kedua dan ketiga kemudian.

Wednesday 21 February 2018

PRS TAMPIL CALON BARU UNTUK P204 LUBOK ANTU DAN P214 SELANGAU


SUDAH terang lagi bersuluh nampak gayanya untuk parlimen P203 Lubok Antu dan P214 Selangau yang masing-masing dipegang oleh YB Datuk William @ Nyallau Anak Badak (Lubok Antu) dan Datuk Joseph Entulu Belaun (Selangau) tidak akan mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka untuk Pilihanraya Umum Ke-14 yang hanya menunggu detik dan ketika akan dilaksanakan pada tahun ini. Sekaligus ini bermakna kedua-dua kerusi yang dikhaskan untuk Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan menampilkan calon muka baru kelak.  
Teka teki terus berkumandang di akar umbi PRS di kedua-dua kawasan siapakah yang terpilih untuk bertanding kerana sudah tentu PRS mempunyai calon-calon yang berkebolehan bagi menggantikan kedua-duanya.  Setakat ini jika dilihat kepada corat coret dunia politik hanya mantan Pengerusi PRS bahagian Pujut, Miri iaitu adik kepada mantan Ahli Parlimen Lubok Antu, Mendiang Andrew Janggi Muyang yang pernah melobi untuk menjadi calonnya.  Jugah Muyang tidaklah asing di Lubok Antu kerana beliau adalah anak jati Rumah Machau, Nangga Kumpang, Engkilili, Lubok Antu.  Untuk Selangau pula masih tidak ketahuan memandangkan sebelum ini pernah ada pihak dari Tuai Rumah di Selangau yang mahu Datuk Joseph Entulu mempertahankan kerusi tersebut.   
Sekarang terpulanglah kepada kebijaksanaan Presiden PRS iaitu Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing yang dikatakan telah menghantar dua nama calon untuk kedua-dua kerusi tersebut kepada kepimpinan BN Sarawak.  

Monday 19 February 2018

PUTRAJAYA AKAN BANTU SARAWAK BAIKI KEROSAKAN INFRASTRUKTUR


BARU-BARU ini Sarawak di dalam musibah banjir dan kesannya sudah tentu berpanjangan lebih-lebih lagi apabila berbicara dari konteks banyaknya infrastruktur yang rosak seperti jambatan, jalan raya dan sebagainya.  Tiada apa yang mampu menghalang kerana inilah fenomena yang bukan dipinta oleh manusia sebaliknya fenomena alam.  
Untuk itu semalam menyaksikan Timbalan Ketua Menteri Sarawak II iaitu Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing begitu optimis bahawa Putrajaya akan membantu Sarawak untuk memberikan dana pembaikan atas setiap kerosakan yang dianggarkan ratusan juta ringgit Malaysia.  Rekod membuktikan bahawa Putrajaya tidak pernah melupakan rakyatnya walaupun negeri itu adalah negeri pembangkang sekalipun seperti apa yang berlaku di Kelantan dan Pulau Pinang.  
Apa yang dinantikan sekarang untuk memohon dana pembaikan adalah betapa cepat setiap anggaran kerosakan ini mampu disiapkan agar kerosakan infrastruktur akibat banjir ini akan segera diperbaiki.  Malah pertemuan beliau bersama Datuk Fadilah Yusuf (Menteri Kerjaraya) dan Perdana Menteri di ketika Konvensyen PBB yang lepas juga menunjukkan betapa positifnya Perdana Menteri Malaysia untuk membantu Sarawak menangani hal ini.  

Friday 9 February 2018

MENJELANG PEMILIHAN NAIB PRESIDEN PBB Calon No. 1



SEORANG lagi ahli politik di Sarawak yang juga berlatarbelakangkan pendidikan sains perubatan iaitu Dr. Abdul Rahman Ismail merupakan calon no. 1 yang mungkin akan membarisi kepimpinan Naib Presiden PBB Sarawak.  Beliau sebelum terjun ke dunia politik merupakan seorang doktor yang pernah bertugas di Hospital Limbang dan seterusnya mempunyai klinik persendirian.  

Dr. Abdul Rahman Ismail turut merupakan ADUN N79 Bukit Kota yang mencipta sejarahnya tersendiri apabila menang tanpa bertanding pada PRN Ke-11 2016 yang lalu.  Di dalam kabinet dibawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Haji Abang Abdul Rahman Zohari, beliau merupakan Menteri Muda Pertanian Sarawak.  

Digambarkan sebagai antara kepimpinan PBB Sarawak yang kuat bekerja dan sentiasa hadir di majlis-majlis rakyat di Limbang tanpa protokol malah amat senang didekati rakyat menjadikan beliau juga merupakan calon “favourite” para perwakilan.  

Thursday 8 February 2018

MENJELANG PEMILIHAN NAIB PRESIDEN PBB - Calon No. 2


CALON no. 2 yang ditampilkan terkenal dengan sikapnya yang selamba tetapi sentiasa serius di dalam sesuatu yang diusahakannya.  Datuk Haji Julaihi bin Narawi merupakan ADUN N27 Sebuyau juga merangkap sebagai Menteri Muda Jalan Pesisir dibawah Kementerian Pembangunan Infrstruktur dan Pengangkutan Sarawak.  

Dengan berlatarbelakang kejuruteraan diperingkat Ijazah menyaksikan beliau adalah antara ADUN yang cukup sesuai memegang jawatan Menteri Muda tersebut.  Melalui cakap-cakap perwakilan sekarang dikatakan beliau adalah antara yang mungkin akan menjadikan perebutan jawatan Naib Presiden PBB amat sengit namun tetap diadakan di dalam suasana musyawarah PBB seperti selalunya.

MENJELANG PEMILIHAN NAIB PRESIDEN PBB - Calon No. 3


Datuk Haji Talib bin Zulpilip merupakan calon no. 3 yang akan bertanding untuk pemilihan empat jawatan Naib Presiden PBB pada hujung minggu ini.  Beliau bukanlah satu nama yang asing di dalam arena politik Sarawak kerana merupakan Ahli Dewan Undangan untuk N67 Jepak.  Antara barisan ahli politik Sarawak yang cukup lama dan berpengalaman luas di dalam kancah politik Sarawak Bumi Kenyalang.  Dek kerana itulah didalam barisan kabinet negeri, beliau merupakan Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sarawak iaitu memegang portfolio Menteri (Integrity & Ombudsman), salah satu portfolio baru yang dijelmakan oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi (Dr) Haji Abang Abdul Rahman Zohari.  

Sebelum terjerumus di dalam kancah politik Sarawak, Datuk Haji Talib merupakan seorang penjawat awam Kerajaan Negeri Sarawak iaitu pernah bertugas di State Planning Unit. Pemegang Ijazah Sarjana Commerce and Administration dari Universiti Victoria, Wellington, New Zealand ini mempunyai personaliti yang cukup mudah didekati dan sentiasa menampilkan idea-idea baru bagi memacu jentera pentadbiran DUN N67 Jepak seperti seadanya.  

Dengan adanya sokongan yang tidak berbelah bahagi dari akar umbi, berkemungkinan besar peluang untuk Datuk Haji Talib menjadi Naib Presiden PBB Sarawak amat cerah.  

Wednesday 7 February 2018

MENJELANG PEMILIHAN NAIB PRESIDEN PBB - Calon No. 4


INDIVIDU yang diiktiraf sebagai pakar kardiologi (Jantung) iaitu pengimejan MRI di Malaysia dan cukup gah namanya di dalam kerjaya yang cukup rumit di dalam sains perubatan masakini.  Lahir pada tanggal 18 November 1963 dan pernah menuntut di SMK Rosli Dhoby, Sibu sebelum melanjutkan pengajiannya di dalam bidang perubatan peringkat Ijazah di Universiti Malaya dan seterusnya Ijazah Sarjana di Universiti St. James, Leeds UK.  Telah menyelusuri ranjau nan berduri sebagai anak Sarawak dari Sibu yang mengejar cita-citanya sebagai seorang pengamal perubatan.  

Dr. Annuar bin Rapaee mula menjengah dunia politik Sarawak pada tahun 2011 dan memenangi N49 Nangka atas tiket PBB/BN bagi menggantikan Dato’ Awang Bemee Awang Ali Bashah yang bersara dari dunia politik pada masa itu.  Kemudian pada tahun 2016 di ketika PRN Ke-11, sekali lagi Dr Annuar terpilih untuk menjadi wakil rakyat bagi N55 Nangka dengan kemenangan yang cukup bergaya.  

Di dalam kabinet Sarawak dibawah Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, beliau telah diberikan satu tugas yang cukup mencabar iaitu sebagai Menteri Muda Pendidikan Dan Penyelidikan Teknologi.  Antara kementerian yang baru di dalam kancah pentadbiran Sarawak.  Beliau merupakan pilihan yang tepat untuk memegang jawatan tersebut sesuai dengan dirinya seorang pakar kardiologi sebelumnya.  

Paling murah dengan senyuman dan sentiasa tampil bersahaja serta merendah diri merupakan antara sifatnya yang begitu mendapat tempat di kalangan rakan, anak-anak buah serta rakyat jelata.  Personaliti seperti ini mungkin sedikit sebanyak akan menjadi kriteria penting untuk menampilkan dirinya sebagai bakal Naib Presiden PBB kelak sekiranya undi perwakilan memihak kepadanya.  

MENJELANG PEMILIHAN NAIB PRESIDEN PBB - Calon No. 5


ANTARA pengamal undang-undang yang tersohor di Sarawak melalui firma guamannya sendiri sebelum menceburi dunia politik Sarawak.  Calon No. 5 yang ditampilkan adalah Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga ADUN N15 Asajaya.  Membarisi kabinet Sarawak sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sarawak.  

Orangnya agak tenang dan cukup lantang mengutarakan pendapatnya lebih-lebih lagi apabila berbicara konteks perjuangan autonomi yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Sarawak sejak dibawah mantan Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Datuk Patinggi Haji Adenan Satem dan seterusnya Ketua Menteri terkini iaitu Datuk Patinggi (Dr) Haji Abdul Rahman Zohari.  Seringkali kata-katanya mendapat perhatian warga netizen dan rakyat Sarawak kerana ianya begitu tepat dan jitu jika diucapkan.  

Mungkin kelantangannya bersuara bagi pihak rakyat serta sifatnya yang mudah didekati dan “super cool” akan berjaya meraih undian dari perwakilan lebih-lebih lagi golongan muda yang sentiasa menyanjung keperibadian seperti itu.  Pengalaman beliau juga sebagai orang lama di dalam politik PBB juga akan diambilkira.  

MENJELANG PEMILIHAN NAIB PRESIDEN PBB - Calon No. 6


BELIAU merupakan seorang doktor dan mula menjengah dunia politik Sarawak sekitar tahun 1994. Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi merupakan ADUN N4 Pantai Damai yang juga membarisi kabinet Sarawak sebagai Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Komunikasi).  

Jika dilihat pada raut wajah cukup serius namun beliau juga terkenal dengan sifatnya yang sentiasa “strive to excellence” sepanjang bergelar Yang Berhormat.  Mungkin dengan kecemerlangannya memacu DUN N4 Pantai Damai yang semakin berkembang sekarang akan berjaya memikat hati perwakilan untuk memilihnya sebagai antara yang memenuhi empat jawatan Naib Presiden PBB kelak. 

MENJELANG PEMILIHAN NAIB PRESIDEN PBB - Calon No 7


HUJUNG minggu ini menyaksikan empat jawatan penting iaitu Naib Presiden PBB sayap bumiputera akan dipilih oleh perwakilan.  Bukan sesuatu yang mudah kerana ada tujuh calon yang hebat-hebat belaka akan bertanding untuk jawatan ini. Usaha lobi melobi sudah kedengaran dari semua bahagian perwakilan tetapi yang nyata jawatan penting ini haruslah diisi oleh mereka yang benar-benar tepat kerana inilah antara pemimpin yang akan meneruskan legasi kecemerlangan PBB sebagai sebuah parti politik di Sarawak.  

Datu Haji Len @ Talif bin Salleh bukanlah satu nama yang asing di kalangan rakyat Sarawak malah di dalam barisan kabinet Sarawak sekarang, beliau merupakan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar.  Antara ahli politik senior di dalam kancah politik PBB yang juga merupakan ADUN N41 Kuala Rajang (dahulunya Belawai) yang menang bergaya pada PRN Sarawak tahun 2016 yang lepas.  

Terkenal dengan ketegasannya di dalam perkhidmatan namun amat murah dengan senyuman serta senang didekati oleh masyarakat.  Mungkin kriteria ini boleh menjadi pemangkin untuk beliau memenangi hati perwakilan kelak.

Tuesday 6 February 2018

KE MANA PERGINYA LIPUTAN MEDIA NASIONAL UNTUK BANJIR DI SARAWAK?




MUSIBAH banjir di Sarawak masih lagi belum reda malah semakin buruk situasinya. Hampir seluruh pelusuk Sarawak menerima kesannya. Ramai mangsa yang terjejas dan jutaan terima kasih kepada Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak yang terdiri daripada pelbagai badan yang masih berhempas pulas membuat semampu boleh bagi kesejahteraan rakyat yang terjejas. Mungkin ada yang terlewat menerima bantuan namun masih kita tiada alasan untuk mencemuh mereka kerana Sarawak ini terlalu luas.
Dalam pada itu tatkala kita dihujani dengan jutaan kerisauan dan memerlukan perkhabaran terkini mengenai musibah ini, agak ralat kerana apa yang menimpa Sarawak Bumi Kenyalang terlalu sedikit informasi di dalam media-media nasional. Seharusnya ia banyak memandangkan pancaran mereka lebih luas. Jangan biarkan rakyat hanya berpandukan media sosial seperti laman muka buku dan sebagainya.
Usahlah Sarawak hanya diingati apabila menjelang pilihanraya dengan pelbagai slot cerita menjadi penghias program tv. Dan biarkan rakyat Sarawak keseorangan apabila mereka di dalam kepayahan sekarang. Kami turut perlukan sokongan moral dari rakyat Malaysia yang lain. Jika tidak diwar-warkan bagaimana mereka hendak mengetahuinya?
Nota: Gambar adalah ariel view kawasan Tatau sekarang.

Monday 5 February 2018

MUSIBAH BANJIR DI SARAWAK


FENOMENA air pasang besar dan ditambahlagi dengan hujan yang berterusan menyaksikan banyak kawasan dinaiki air.  Pihak yang bertanggungjawab seperti APM, Bomba, Pejabat Daerah dan lain-lain di Sarawak telahpun siaga sejak dari awal lagi demi memastikan setiap bencana ditangani dengan sebaik mungkin.  

Sehingga jam 12.00 malam tadi jumlah mangsa yang terjejas adalah 3,020 orang iaitu merangkumi 814 keluarga kesemuanya iaitu dari Bahagian Samarahan, Serian, Mukah, Bintulu dan Sri Aman.  Ada 20 pusat pemindahan bagi mangsa-mangsa banjir yang dibuka yang mana menyaksikan bahagian yang paling teruk terjejas adalah Bahagian Samarahan.  

Selain itu ada 20 buah sekolah turut terjejas apabila terpaksa ditutup sessi persekolahan kerana dinaiki air.  

Kita bersimpati atas musibah yang menimpa rakyat Sarawak sekarang dan diharap mereka yang terlibat mengikuti setiap arahan yang diberikan.  

Thursday 1 February 2018

KANAK-KANAK PEREMPUAN 11 TAHUN DIROGOL DATUK, AYAH KANDUNG DAN AYAH SAUDARA


USIANYA baru sahaja menjangkau 11 tahun tetapi nekad untuk membunuh diri ketika berada di asrama tempat dia bersekolah pada 31 Januari 2018 lepas.  Ekoran dari kejadian itu, kanak-kanak perempuan tersebut telah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tatau, Bintulu oleh pihak sekolahnya. Dan disinilah rahsia besar dirinya terbongkar apabila beliau menceritakan dirinya telah menjadi pemuas nafsu dan dirogol oleh keluarganya sendiri iaitu Datuk, ayah kandung dan ayah saudara sendiri ketika tinggal bersama ayahnya.  

Menurut sumber dikatakan sekitar bulan September 2017, mangsa telah diserahkan kepada ibu kandungnya untuk dijaga memandangkan ayah kandungnya terlalu sibuk bekerja.  Kedua ibubapa mangsa sudahpun bercerai dan atas inisiatif ibunya maka mangsa telah dimasukkan ke sekolah berasrama untuk seisi 2018 bagi meneruskan pembelajarannya dengan sekali sekala pulang ke rumah ibunya.  

Namun begitu trauma dirogol oleh keluarga sendiri sudah tentu membelenggu penghidupan mangsa sehingga beliau walau pada usia cukup muda nekad untuk menelan enam biji pil penahan sakit sekaligus dengan harapan dirinya mati cepat.