Thursday 30 June 2016

LEMANG PERIUK KERA, KETUPAT PULUT DAN KELUPIS DI SARAWAK


Lemang Periuk Kera 


Ketupat Pulut 


Kelupis 

MENJELANG Syawal iaitu esok hari sudah tentu ramai muslimin dan muslimat seantero dunia sedang rancak dengan sambutan 1 Syawal.  Bermulalah episod mendapat segala bahan-bahan untuk membuat rendang mahupun kari bagi juadah pembuka selera untuk keluarga dan tetamu di pagi hariraya.

Di Sarawak, tradisi ini juga tiada bezanya dengan masyarakat di Semenanjung Malaysia dan jika di negeri-negeri lain sibuk dengan lemang dan ketupat tetapi untuk di Sarawak terdapat beberapa menu tradisi yang sinonim dengan masyarakat Islamnya.  Lemang Periuk Kera, Ketupat dan Kelupis adalah antara menu wajib dan agak berbeza daripada masyarakat Islam lain di negeri yang lain.

1.  Lemang Periuk Kera
Yang sering kita ketahui adalah lemang yang dimasak di dalam buluh tetapi di Sarawak ada satu lagi jenis lemang yang dikenali sebagai Lemang Periuk Kera.  Ianya adalah menu yang menjadi tradisi bagi masyarakat Islam berbangsa Bidayuh di Sarawak.  Tumbuhan hutan yang bernama Periuk Kera akan dijadikan asas untuk memasak lemangnya.  Di dalam periuk kera itu akan disumbat dengan nasi pulut merah yang mempunyai aroma tersendiri serta lazat dimakan dengan rendang dan sebagainya. 

2.  Ketupat Pulut
Ketupat sememangnya amat sinonim disediakan sewaktu hariraya namun ketupat yang ada di Sarawak agak berlainan daripada ketupat yang disajikan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia mahupun Sabah.  Ketupat pulut di Sarawak diisikan dengan nasi pulut dan serta dicampur dengan santan. Ini menyebabkan ketupat yang dimakan seakan-akan mempunyai kanjinya yang tersendiri.  Dan saiz ketupat yang dianyam juga mempunyai bentuk-bentuknya tersendiri samada segiempat ataupun segitiga. 

3.  Kelupis
Menu ini sudah tentunya tiada di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan hanya ada di Borneo samada di Sabah, Sarawak mahupun Brunei.  Ianya juga antara menu wajib ada ketika sambutan hariraya.  Keenakannya sama seperti memakan ketupat pulut biasa tetapi agak berkanji dan manis.  Membuatnya Nampak mudah tetapi sebenarnya memerlukan kepakaran kerana kedudukan ikatannya harus ketat agar tidak terbuka sewaktu memasaknya pada jangkamasa yang agak lama. 

Hanya sedikit perkongsian mengenai keunikan juadah berhariraya di Sarawak.  Yang pasti mungkin ramai orang Islam Sarawak sudahpun mula membeli daun palas yang menjadi asas kepada penyediaan ketupat pulut dan kelupis. Sementara untuk lemang periuk kera kebiasaannya menjelang hariraya pasti ada penjual yang sudah meredah hutan untuk menjadikan periuk kera sebagai produk jualannya. 


Selamat Berhariraya semua. 

KEINDAHAN MASJID PUTIH, MATANG JAYA





MASJID Putih atau turut dikenali sebagai Masjid Al-Abyad yang terletak di Matang Jaya sudah siap sepenuhnya dan sudah boleh digunakan untuk menunaikan solat hariraya Aidilfitri pada tahun ini.
  Ianya merupakan salah satu mercu tanda kebebasan beragama di Sarawak yang sentiasa dipertahankan berabad lamanya.

Dengan kos kira-kira RM15 juta ianya merupakan masjid yang kedua terbesar selepas Masjid Jamek di Petra Jaya.  Masjid ini mampu menampung 5,000 jemaah di dalam satu masa solat jadi ianya sememangnya sesuatu yang diperlukan jika dibandingkan dengan kawasan Matang Jaya yang pesat membangun sekarang.

Selain mempunyai senibina yang menarik iaitu ianya seakan-akan senibina masjid putih yang banyak didirikan di Eropah ketika zaman Uthamaniah, Masjid Putih ini juga turut dilengkapi dengan dewan bilik seminar serta dewan bilik kuliah bagi mempertingkatkan lagi pengetahuan ilmu agama. 
 

Wednesday 29 June 2016

LIM GUAN ENG DAN PHANG LI KHOON DITAHAN SPRM


SETELAH melalui pelbagai spekulasi mengenai isu pembelian bangle di Jalan Pinhorn, Georgetown, Pulau Pinang, akhirnya semalam menyaksikan Lim Guan Eng iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia. 

Hampir berbulan-bulan lamanya cerita banglo di Jalan Pinhorn ini mendominasi media-media massa kerana pembelian banglo ini dikatakan diluar daripada harga pasaran sebenar.  Phang Li Khoon, pemilik asalnya dikatakan menjual kepada LGE dengan harga RM2.8 juta sehingga menimbulkan keraguan kepada pembelian memandangkan Phang Li Khoon juga dikatakan mempunyai kepentingan peribadi ke atas projek di Pulau Pinang. 

Oleh kerana ini merupakan kes berprofil tinggi, kedua-dua mereka akan didakwa di Mahkamah Seksyen Pulau Pinang pada hari ini jam 10 pagi.  

IFTAR SEWAKTU BERTUGAS ITU BIASA BAGI MEREKA




KESERONOKAN menunaikan ibadah puasa serta iftar bersama-sama keluarga merupakan sesuatu yang kita nantikan apabila menjelang Ramadhan.  Dan kemudian disusuli untuk ke masjid mahupun surau bagi menunaikan solat tarawih juga turut kita nanti-nantikan. 

Namun, jangan pernah kita lupa disaat kita gembira menunaikan ibadah di bulan puasa ini ada segelintir anggota keselamatan kita ataupun badan beruniform yang terpaksa mengorbankan segalanya atas nama tugas.  Anggota askar, polis, marin, bomba serta mana-mana pasukan beruniform yang berkhidmat untuk kesejahteraan masyarakat seringkali melupakan keseronokan ini semua. 

Dikala kita seronok dengan riuh piuh keluarga berbuka puasa di meja makan, mereka kadangkala terpaksa bertugas.  Adakalanya iftar dibuka lewat daripada biasa demi menjunjung tugasan mereka terdahulu.  Inilah pengorbanan mereka yang seharusnya kita sebagai masyarakat jangan lupakan sama sekali. 

Kerana mereka kita sejahtera selalu dan berbahagia bersama keluarga kita.

Salute kepada anggota-anggota keselamatan dan badan beruniform Malaysia.

Monday 27 June 2016

ROMBAKAN KABINET MALAYSIA


SEMALAM 27hb Jun 2016, Perdana Menteri telah sekali lagi melakukan rombakan kabinet di dalam pentadbiran Putrajaya.  Dikatakan rombakan kabinet ini dibuat bagi memberi ruang kepada barisan Menteri Malaysia dibawah pimpinan Datuk Seri Najib sebagai persediaan untuk menghadapi PRU pada tahun depan.

Namun begitu ada sesuatu yang menjadi keralatan kerana adanya pengurangan portfolio menteri dari Sarawak bilamana Datuk Seri Douglas Unggah Embah yang kembali berkhidmat di DUN Sarawak pada PRN Sarawak ke-11 lepas. Seharusnya jawatan itu masih lagi kepunyaan Sarawak iaitu jawatan Menteri bagi Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi yang terlepas kepada Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Kong. 

Nampak gayanya kemenangan besar Team Adenan sewaktu PRN Ke-11 yang lalu bukan menjadi kayu pengukur kepada Perdana Menteri lebih-lebih lagi ianya merupakan aspirasi rakyat Sarawak yang mahu melihat Sarawak berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Semenanjung Malaysia baik dari segi pembangunan mahupun jawatan.  Dengan banyak suara pemimpin Sarawak di dalam kabinet sudah tentu memudahkan lagi misi dan visi Kerajaan Negeri Sarawak itu sendiri. 

Berikut merupakan rombakan kabinet Menteri dan Timbalan Menteri yang dilakukan semalam iaitu:

1.  Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi - Datuk Seri Mah Siew Kiong
2.  Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Datuk Abdul Rahman Dahlan
3.  Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Tan Sri Noh Omar
4.  Menteri Kewangan Kedua - Datuk Johari Ghani
5.  Timbalan Menteri Kewangan - Datuk Othman Aziz
6.  Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi - Datuk Datu Nasrun Mansur
7.  Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan - Datuk Henry Sum Agong
8.  Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri - Datuk Chua Tee Yong
9.  Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri - Datuk Seri K Devamany
10.Timbalan Menteri Kewangan - Datuk Lee Chee Leong

Walaupun pemilihan jawatan Menteri itu adalah hak penuh kepada Perdana Menteri namun adalah tidak wajar portfolio yang asalnya adalah milik Sarawak diberikan kepada oranglain.  Yang dicongak adalah bertambahnya jumlah menteri dari Sarawak tetapi lain pula jalan ceritanya. 

Sunday 26 June 2016

PENUBUHAN JAWATANKUASA AUTONOMI SARAWAK

AUTONOMI untuk Sarawak merupakan antara perkara yang begitu popular di kalangan rakyat Sarawak.  Dan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Adenan sejak mula memimpin Sarawak lagi telah menunjukkan kesungguhannya untuk mendapatkannya kembali seperti apa yang telah dijanjikan ketika Penubuhan Malaysia pada tanggal 16 September 1963. 

Sejajar dengan itu setelah mendapat mandat ketika PRN Ke-11 lalu, tanpa menoleh ke belakang, beliau dengan sokongan komponen Barisan Nasional Sarawak telah sebulat suara untuk menubuhkan Jawatankuasa Autonomi Sarawak (Sarawak Autonomy Committee) yang akan menguruskan segala hal perundangan dan sebagainya. 

Ini kerana hal seperti ini harus diperhalusi dengan sebaik mungkin terutama sekali membuat kajian perundangan supaya tiada yang bercanggah nanti.  Dikatakan ahli-ahli jawatankuasa ini nanti akan dianggotai oleh ramai pengamal undang-undang dan sejarahwan anak Sarawak. 

Satu lagi bukti kesungguhan Datuk Adenan untuk merealisasikan impian rakyat Sarawak. 

SENTUHAN ANAK SARAWAK STATION MRT SUNGAI BULUH

MAS Rapid Transit (MRT) merupakan salah satu pengangkutan keretapi canggih yang sedang giat dibina di Lembah Kelang sekarang.  Seringkali ianya menyebabkan kita kagum apabila menaikinya memandangkan keseluruhan prasarana ini begitu moden baik dari segi senibina, kejuruteraannya dan banyak lagi. 
Stesen MRT Sungai Buluh merupakan antara 12 stesen untuk jalinan MRT Sungai Buluh-Kajang dan ianya sudahpun siap sepenuhnya baru-baru ini.  Disebalik penyiapan stesen MRT Sungai Buluh yang dikatakan siap sebelum tarikhnya, mungkin kita tidak mengetahui bahawa ianya adalah hasil usaha gigih seorang anak Iban Sarawak yang menerajui kumpulan juruteranya.
Lambor anak George, anak Iban kelahiran Betong, Sarawak merupakan Pengurus Projek untuk Stesen MRT Sungai Buluh telah berusaha dengan gigih dari mula pembinaannya sehinggalah ianya siap dibina.  Dengan segala pengalaman serta kepimpinannya anak Sarawak memimpin kumpulan jurutera dan kontraktornya inilah adalah sesuatu yang begitu membanggakan. 
Dan tidak keterlaluan untuk diperkatakan bahawa Sarawak sebenarnya memiliki ramai jurutera-jurutera yang berkebolehan yang sudah tentu boleh menabur bakti apabila pulang ke Sarawak kelak.  Segala pengalaman mereka akan menjadikan Sarawak itu mampu berdaya saing dengan tenaga luar.  Sarawak Boleh!

25 UNIT BAS RAPID UNTUK SUKMA SARAWAK



BAHANG SUKMA Sarawak yang dijadualkan berlangsung dari 17-31 Julai 2016 di Kuching, Sarawak semakin terasa.  Pelbagai persediaan dikatakan sedang semakin rancak dijalankan baik dari segi logistic sehinggalah kepada venue-venue sukan itu sendiri. 

Di dalam kita mencongak menjelma sukan terbesar di Malaysia ini, pihak jawatankuasa penganjur tidak melupakan mengenai pengangkutan untuk ahli-ahli sukan ini nanti.  Pada 25hb Jun 2016, sebanyak 25 unit bas Rapid yang lengkap dengan segalanya telah berlepas di Pelabuhan Kelang untuk melalui perjalanan selama 9 hari ke Kuching, Sarawak. 

Bas Rapid mungkin agak asing bagi orang Sarawak namun tidak di Semenanjung Malaysia lebih-lebih lagi bas antara Bandar.  Kemudahan bas ini sebenarnya adalah yang terbaik pernah dimiliki oleh Malaysia itu sendiri kerana ianya dilengkapi dengan pelbagai keperluan pengguna lebih-lebih lagi mesra OKU. 

Dan penggunaan bas Rapid ini nanti usai SUKMA Sarawak akan terus digunakan untuk acara sukan paralimpik pula yang akan menyusul kemudian.  Bas Rapid akan menjadi bas rasmi untuk pengangkutan atlit-atlit sukan daripada perkampungan sukan kepada venue-venue sukan serta pengangkutan untuk menyambut atlit-atlit dari seluruh Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching nanti.

Sedikit sebanyak adalah diharap mungkin Kerajaan Sarawak boleh mengambil bas Rapid ini sebagai “benchmarking” untuk kemudahan pengangkutan awam di Bandar-bandar Sarawak memandangkan bas-bas yang ada sekarang agak keterbelakang berbanding bas-bas antara Bandar di Semenanjung Malaysia.

Friday 24 June 2016

PERGINYA SEORANG SRIKANDI PBB SARAWAK


DARIPADAMU dia datang dan kepadaMu dia kembali… Salam takziah diucapkan untuk keluarga besar PBB Sarawak atas kembalinya ke rahmatullah seorang Srikandi PBB Sarawak iaitu Allahyarhamah Dayang Raoyah binti Abang Adeng sekitar jam 2.10 petang bersamaan dengan 24hb Jun 2016 / 19 Ramadhan 1427 Hijrah. 

Allahyarhamah menghembuskan nafasnya yang terakhir di kediamannya di Jalan Ixora, Sarikei, Sarawak.  Sepanjang hidupnya, Allahyarhamah merupakan pejuang wanita di dalam PBB Sarawak dan merupakan Ahli Majlis Tertinggi PBB Sarawak.  Atas kecemerlangan Allahyarhamah juga turut diberikan kepercayaan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Adenan menjadi salah seorang Setiausaha Politik beliau. 

Perginya seorang Srikandi PBB Sarawak sudah tentu menjadi satu kehilangan besar kepada seluruh keluarga besar PBB Sarawak dan juga Barisan Nasional Sarawak.  Semoga Allah mengampunkan dosanya dan menerima segala amal ibadahnya.  

Alfatihah. Amin.

Monday 20 June 2016

BILL KAYONG MENINGGAL DUNIA

PADA pagi ini kita menerima berita tentang kejadian malang yang menimpa Bill Kayong, seorang aktivis dan juga ahli politik PKR yang pernah bertanding untuk DUN Bekenu pada PRN ke-11 lepas. Beliau ditemui mati ditembak ketika melalui jalan Kuala Baram Bypass, Miri. 
IANYA adalah satu perbuatan kejam ke atas seorang aktivis yang memperjuangkan suara rakyat di Sarawak. Dan kita mengutuk sekeras-kerasnya apa yang berlaku ini dan memohon saksi-saksi kejadian untuk tampil ke hadapan membantu polis.  
Salam takziah untuk seluruh keluarga dan sahabat handai Mendiang Bill Kayong. Rest In Peace. Ameen.

Sunday 19 June 2016

SUNTONG TUTOK ; KUDAPAN MOREH DI BULAN RAMADHAN


SOTONG KETUK atau Suntong Tutok nama panggilannya bagi orang Sarawak adalah antara hidangan ringan selepas menunaikan solat terawih atau moreh di bulan Ramadhan.  Dan keistimewaannya terserlah apabila Suntong Tutok tidak dijual di bazaar Ramadhan yang kebiasaannya berlangsung sebelum waktu berbuka puasa tetapi penjualan untuk menu makanan ringan ini hanya dijual di sebelah malam dan dijual di tepi-tepi jalan di kaSOmpung-kampung Melayu sahaja.

Sebenarnya penyediaan suntong tutok ini amatlah mudah sekali kerana hanya perlu membeli sotong kering yang telah sedia dijual di pasar-pasar di seluruh Sarawak. Kemudian sotong-sotong kering ini akan diikat satu-satu di gerai-gerai di tepi jalan mengikut saiz. Untuk setiap pembeli pula harus memilih apakah saiz-saiz sotong yang dikehendaki kerana setiap saiz mempunyai harga yang berbeza-beza.

Setelah pembeli memilih saiz yang diidamkan maka si penjual suntong tutok akan mula membakar sotong tersebut atas bara api yang telah disediakan. Dengan hanya memanggang sotong tersebut kira-kira 5 minit kemudian sewaktu ianya masih panas-panas itulah ia mula diketuk-ketuk sehingga nipis iaitu samada dengan menggunakan proses ketukan tangan melalui penggunaan tukul ataupun dengan mesin penggilis. 

Sotong yang dinipiskan semuanya mempunyai rasa yang sama tetapi jika hendak membezakan bagaimana suntong tutok itu dikatakan sedap adalah terletak pada sambal cecahnya. Dikatakan setiap penjual suntong tutok mempunyai rahsia resipi sambal cecah tersendiri yang menjadi tarikan samada suntong tutoknya digemari ramai atau tidak. 

PROJEK JAMBATAN EMAS DAN “DONUT BOAT” TEBINGAN KUCHING



TEBINGAN Kuching atau Kuching Waterfront sememangnya antara destinasi tarikan pelancong di bandaraya Kuching, Sarawak.
  Ianya adalah antara destinasi “wajib pergi” pada setiap pelancong yang mengunjung Sarawak.  Malahan disinilah juga tempat riadah sambil berjalan-jalan menghirup udara segar bagi rakyat Kuching khususnya. 

Bagi merancakkan lagi industri pelancongan di kawasan ini, sekarang sedang rancak projek pembinaan Jambatan Emas atau The Golden Bridge iaitu satu jambatan yang menghubungkan kawasan tebingan dengan DUN Sarawak yang terletak di seberang Sungai Sarawak.  Projek yang bernilai RM35 juta ini dijangka akan menjadi satu lagi ikon tebingan Kuching apabila ianya siap kelak.

Itu ceritanya projek Jambatan Emas yang masih dalam pembinaan dan lain pula ceritanya mengenai satu lagi tarikan di Tebingan Kuching yang baru sahaja dirasmikan beberapa hari yang lepas iaitu “Ooha Donut Boat Ride”.  Ianya merupakan satu cetusan idea bagi merancakkan lagi kemudahan orang ramai untuk berekreasi di Tebingan Kuching selain daripada perahu tambang yang menjadi ikon Tebingan Kuching berabad lamanya.  

“Donut Boat Ride” yang dimiliki oleh Sarawak sekarang adalah setaraf dengan kemudahan yang diberikan di Negara-negara yang terkenal dengan industri pelancongannya seperti di Dubai, Brazil, China dan banyak lagi.


Sesungguhnya segala kerancakan projek serta nilai tambah perkhidmatan untuk rakyat dan pelancong beriadah di Tebingan Kuching diharap akan terus memangkin kawasan yang terkenal dengan jolokan “segitiga emas” Kuching ini untuk lebih maju dan membangun. 

ISU NASIONAL “GAGAL” DI KUALA KANGSAR DAN SUNGAI BESAR


SYABAS dan tahniah diucapkan kepada jentera BN serta seluruh pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar atas kemenangan Budiman bin Mohd Zohdi (P.093 Sungai Besar) dan Datin Mastura Bt Dato Mohd Yazid (P.067 Kuala Kangsar).  Walaupun pilihanraya diadakan pada bulan Ramadhan ternyata ianya bukan satu halangan untuk menyampaikan misi dan visi parti kepada rakyat. 

Yang pasti pada pilihanraya kali ini menyaksikan calon-calon Barisan Nasional mendapat jumlah undi yang memberansangkan di ketika pihak pembangkang gagal sama sekali dengan isu-isu nasional mereka.  Nampak gayanya tiada bezanya pilihanraya di Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan PRN-11 Sarawak lebih kurang sebulan yang lalu.  Kerana isu pembangunan lebih mendapat tempat di hati pengundi. 

Jadi pada penyokong-penyokong pembangkang sekalian terimalah dengan hati yang terbuka kerana rakyat di Sungai Besar, Kuala Kangsar mahupun Sarawak sudah memilih siapakah yang akan berkhidmat untuk mereka.  Matanglah di dalam politik dan fahami makna demokrasi itu sendiri.

Masih segar di ingatan bagaimana penyokong pembangkang tidak mahu menerima kekalahan mereka di Sarawak dahulu. Media sosial menjadi wadah utama untuk memaki hamun sehingga ada yang merendah-rendahkan orang Sarawak hanya kerana memilih Team Adenan.  Cukup tercalar hati orang Sarawak malah sehingga kini masih terasa. 
We can forgive but never forget how you coloured us as Sarawakian.

Saturday 18 June 2016

PUTRAJAYA KOTAKAN JANJI ANDA!


LEBUHRAYA Pan Borneo adalah salah satu daripada projek mega yang sudah tentu akan mengubah lanskap Sarawak Bumi Kenyalang apabila ianya siap kelak.  Ini merupakan salah satu manifesto Kerajaan Barisan Nasional sejak di tahun 2013 lagi. 

Dan melalui Datuk Adenan yang memimpin Kerajaan Sarawak sekarang pula melalui manifestonya lebih kepada polisi “Rural Transformation”.  Cuma yang peliknya mengapa dan kenapa setelah usai pilihanraya segala kos perbelanjaan untuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dipotong daripada bajet yang diperuntukkan untuk Kerajaan Negeri Sarawak. 

Jika berterusan sebegini sememangnya Putrajaya sengaja bermain api kerana ianya seolah-olah tidak menunaikan janji kepada rakyat Sarawak seperti yang sering dilaung-laungkan.  Dengan memasukkan perbelanjaan untuk membina Lebuhraya Pan Borneo di dalam bajet Negeri Sarawak sudah tentu akan menyulitkan visi dan misi Kerajaan Sarawak pula. 

Sudah tentu rakyat Sarawak sendiri tidak mahu terus diperkotak-katikkan dengan janji yang umpama menanam tebu di tepi bibir lagi.  Cukup lama rakyat Sarawak bersabar agar lebuhraya Pan Borneo ini menjadi kenyataan.  Jadi kotakan janji anda sebelum rakyat Sarawak berpatah arang.  Orang Sarawak sudah jemu digelar “fixed deposit” selama lebih 53 tahun. 

Wednesday 15 June 2016

ISTIMEWANYA EPAL BA'KELALAN

BA’KELALAN merupakan salah satu daerah yang terletak di utara Sarawak.  Walaupun berada nun jauh ke utara tetapi ada sesuatu yang istimewa di kawasan ini yang tidak ada di tempat lain di Sarawak. Epal Ba’Kelalan atau ada juga yang mengenalinya dengan nama Epal Malaysia merupakan antara buah-buahan yang begitu popular namanya sehingga ke luar Negara.  
Berada di ketinggian kira-kira 1,000 meter dari aras laut dan ditambahlagi dengan suhu rendah sepanjang tahun menyebabkan tanaman seperti epal, anggur dan tomato boleh diusahakan disini.  Epal Ba’Kelalan yang diusahakan ini juga mendapat kaedah pertanian yang moden sehingga membolehkan terdapat 4 jenis epal yang ditanamkan secara komersial iaitu dari jenis Manalagi, Tropikal, Anna dan Rome Beauty.  Keempat-empat jenis epal ini terbukti menyamai kualiti epal yang diimport. 
Suatu waktu dahulu ramai yang tidak percaya bahawa Epal Ba’Kelalan ini boleh pergi jauh kerana kritikan seperti saiz yang kecil, tiada rasa manis mewarnai ceritanya.  Tetapi itu semua hanyalah satu bidaah semata-mata kerana Epal Ba’Kelalan ini juga sama seperti epal produk dari luar Negara. 
Epal Ba’Kelalan bukan hanya satu buah-buahan sebaliknya ianya lebih daripada itu apabila ramai pelancong berkunjung ke Ba’Kelalan hanya ingin merasai pengalaman memetik buah epal segar dari ladang.  Dan pertambahan pelancong akan mula terasa sekitar bulan Jun dan Disember saban tahun kerana pada bulan itulah Festival Menuai Epal diadakan.  

KAJISEMULA TERRITORIAL SEA ACT 2012


ISU royalti minyak sememangnya antara isu paling utama yang sering menghiasi minda orang Sarawak dan media-media di Malaysia.
  Ditambahlagi dengan tuntutan Datuk Adenan yang mewakili Sarawak yang telah berjanji akan memastikan kita akan mendapat apa yang kita mahukan. 

Di dalam kita berbicara mengenai minyak ini sendiri kita jangan sesekali terlepas pandang akan segala pindaan akta yang membawa kepada apa yang terjadi sekarang.  Inilah yang dizahirkan oleh Datuk Adenan ketika ucaptama beliau di persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang baru melabuhkan tirainya semalam. 

Sarawak mahu Putrajaya untuk mengkaji semula Section 3(3) dan 4 Territorial Sea Act 2012 yang mana ianya memperkatakan tentang jurisdiksi sempadan laut.  Menurut Datuk Adenan apa yang dilaksanakan sekarang adalah tidak wajar kerana menurut akta tersebut persempadanan laut adalah sebanyak 12 batu nautika bagi Malaysia tetapi untuk Sarawak dan Sabah hanya 3 batu nautika sahaja. 

Kerana adanya kecelaruan ini maka Kerajaan Sarawak telah banyak kehilangan sempadan untuk menangkap ikan, marine serta segala mineral yang berharga seperti minyak dan gas yang hanya mencakupi 3 batu nautika dari kawasan pantai Sarawak. Ianya adalah sesuatu yang tidak adil sedangkan hakikatnya ianya semua adalah hak Sarawak sebelumnya. 

Jika kita menyelusuri sejarah bagaimana ini terjadi juga turut boleh dipertikaikan kerana Kerajaan Sarawak tidak pernah mendapat perundingan daripada Kerajaan Persekutuan sebelum akta ini dibentangkan di Parlimen Malaysia pada tahun 2011 dan seterusnya diluluskan pada tahun 2012. 

Apa yang dibicarakan oleh Datuk Adenan ini mungkin ramai yang tidak mengetahui dan terserlah sudah Datuk Adenan bukan “ngomong kosong”.  Segala usaha ini adalah untuk menuntut hak Sarawak yang sebenarnya.

Tuesday 14 June 2016

AKHIRNYA PENYAMUN “GENG ALMERA” TUMPAS JUA


SEPANDAI-PANDAI tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Semalam, geng penyamun yang dikehendaki polis iaitu yang dikenali sebagai “Geng Almera” berjaya ditumpaskan oleh Polis Sarawak.  
Penyamun-penyamun inilah yang merupakan dalang kepada kegiatan samun bersenjata yang banyak terjadi sekitar Kuching seperti Satok, Sekama, Siburan, Kota Sentosa dan Kota Samarahan. Kegiatan mereka ini menjadi satu igauan ngeri pada penduduk sekitar Kuching kerana kebanyakan modus operandi mereka juga mensasarkan wanita-wanita yang memandu berseorangan.
Dengan kecekapan pihak polis melalui beberapa intipan maka suspek pertama berjaya diberkas di hadapan stesen minyak petronas Jalan Tun Jugah sekitar 10.30 pagi. Kemudian penangkapan susulan pula dilakukan kepada 3 lagi suspek yang bersekongkol dengan mereka di sekitar Kuching.
Syabas Polis Kontinjen Sarawak.

Monday 13 June 2016

PERINGATAN UNTUK PEMANDU WANITA DI SARAWAK


NAMPAK gayanya semakin bermaharajalela para penyamun di Sarawak dengan modus operandi mereka menjadikan pemandu wanita yang memandu bersendirian sebagai sasaran mereka.
  Sekitar minggu lalu sahaja menurut laporan IPD Sarawak terdapat beberapa kejadian yang dilaporkan di Padawan, Kuching dan Kota Samarahan dan ianya juga dikenali sebagai “samun berantai”.  
Modus operandi penyamun ini kebiasaannya akan mengekori kereta pemandu wanita yang memandu berseorangan.  Bila berpeluang mereka akan mula menyekat kereta dan seterusnya menyamun pemandu sehingga di tahap melarikan kereta itu sendiri.  Kebimbangan inilah yang menyebabkan IPD Sarawak mengeluarkan peringatan kepada pemandu wanita untuk berhati-hati dengan memastikan kawasan persekitaran sekiranya ada yang mengekori dari belakang serta orang yang mencurigakan. 
Buat masa sekarang segala usaha menjejaki penyamun-penyamun ini secara besar-besaran oleh IPD Sarawak.  Disamping itu pihak IPD Sarawak juga memohon bantuan orangramai sekiranya mempunyai maklumat untuk terus melaporkan kepada balai polis yang terdekat. 

UCAPTAMA DI PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI SARAWAK 2016


DEWAN Undangan Negeri Sarawak sedang bersidang sekarang iaitu bermula dari 7 – 15 Jun 2016.  Sekaligus persidangan kali ini menyaksikan 82 ADUN yang memenangi 82 kerusi DUN menjadikannya mengukir sejarahnya tersendiri kerana inilah jumlah kerusi DUN yang paling banyak di dalam sejarah persidangan DUN Sarawak mahupun dewan undangan negeri di seluruh Malaysia itu sendiri. 

Corat-coret persidangan yang sedang berlangsung ini juga menyaksikan bagaimana ADUN pembangkang hanya menduduki 10 kerusi yang menjadikan suara mereka agak tenggelam.  Barisan Team Adenan sudah awal-awal lagi menunjukkan taring mereka jangan cuba memperlekehkan sidang DUN kali ini. 

Pada hari pertama sahaja menyaksikan YB Semob sudah awal-awal bertingkah dengan YB Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak yang sering mensensasikan sesuatu isu tanpa melihat kepada hal sebenar.  Bagai “Singa kelaparan” YB Abdullah Saidol menerjah setiap hujah YB Chong yang terkenal dengan sensasi tanpa asasnya. Terjahan keras tanpa memberi simpati akhirnya membuatkan  YB Chong sendiri terdiam seribu bicara.

Selain itu, beberapa ADUN baru yang dilantik juga turut memberikan buah fikiran mereka di dalam ucaptama (maiden speech) mereka seperti YB Fazruddin Abdul Rahman yang juga mewakili suara barisan pemuda Sarawak.  Biar kali pertama di dalam dewan yang mulia, isu-isu yang berkaitan dengan golongan pemuda-pemudi Sarawak menjadi tajuk perbentangannya. 

Tidak kurang juga dengan ADUN Muara Tuang, muka lama tetapi muka baru di dalam dewan yang mulia. YB Dato Haji Idris bin Haji Buang penuh bergaya dan dengan nada yang meyakinkan memberikan usulan mengenai sistem perparitan di kampung-kampung tradisi yang harus dipandang lebih serius oleh Kerajaan Negeri. 

Untuk barisan menteri muda seperti YB Sharifah Hasidah yang baru diangkat menjadi Menteri Muda pula turut tidak pernah kalah mengangkat isu-isu wanita dan kanak-kanak di Sarawak.  Dan sudah tentu banyak lagi isu-isu yang dibangkitkan buat pendengaran dewan. 

Walaupun persidangan kali ini diadakan di bulan Ramadhan, namun tiada namanya setiap ADUN hanya diam membisu tidak membuat apa-apa sebaliknya boleh dikatakan dewan yang mulia cukup gamat dengan hujah dan tingkah daripada ADUN Barisan Nasional mahupun daripada pembangkang sekalipun. 

Teruskan perjuangan wahai YB!


Friday 10 June 2016

BIJAK-BIJAKLAH BERBELANJA DI BULAN RAMADHAN


SEPANJANG bulan Ramadhan ini sudah tentu ramai yang berkunjung ke Bazaar Ramadhan bagi mencari juadah-juadah istimewa untuk menu waktu berbuka.  Sudah tentu masing-masing mempunyai selera yang unik lebih-lebih lagi di segalanya ada di bazaar. 

Di dalam kita mengikut nafsu selera kita itu juga perlulah diingatkan janganlah kita berbelanja keterlaluan sehingga akhirnya membuat pembaziran.  Belilah apa yang perlu sahaja dan kawallah diri kerana ianya juga satu ibadah.

Hanya satu peringatan untuk diri sendiri dan juga saudara se-Islam yang lain. Bijak-bijaklah berbelanja di bulan Ramadhan. 

PROJEK PEMBANGUNAN SEMULA KAMPUNG DATU, SIBU


SEKITAR tahun 2013, seluruh Sarawak gempar dengan tragedi kebakaran satu perkampungan tradisi yang bernama Kampung Datu.  Atas keprihatinan semua jugalah ramai orang Sarawak baik di dalam negeri mahupun di perantauan turut bergandingbahu membantu apa yang termampu. 
Rintihan dan permintaan anak Sarawak terutama sekali penduduk di Kampung Datu untuk tidak dipindahkan didengar oleh semua pihak.  Kerana itulah pembangunan semula Kampung Datu, Sib uterus dilaksanakan.  Ianya mempunyai 2 kriteria iaitu criteria pembangunan yang dikendalikan oleh pihak swasta dan satu lagi menerusi Perbadanan Perumahan Sarawak (HDC).
Kerajaan Negeri Sarawak telah memperuntukan sebanyak RM20 juta dibawah RMK-11 bagi perlaksanaan dibawah HDC dan buat masa sekarang segala perbelanjaan infrastruktur serta yang lain telah membelanjakan sekitar RM11.24 juta dari jumlah yang diperuntukkan. 
Siapnya projek pembangunan semula Kampung Datu, Sibu ini sudah tentu memberikan sinar kepada penduduk-penduduknya yang sudah menunggu sejak di tahun 2013 nanti.  Ianya adalah penantian yang cukup lama.

Tuesday 7 June 2016

SURAU DAN TASKA DI SPAOH HILANG SEKELIP MATA






KIRA-KIRA jam 4 pagi semalam, kita dikejutkan dengan tragedi surau dan taska di Kampung Buda, Spaoh, Betong yang runtuh dan seterusnya dihanyutkan oleh air pasang. Walau tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan namun begitu hal seperti ini tidak seharusnya berlaku.
Bukan untuk menuding jari kepada sesiapa namun kejadian ini sebenarnya mampu dielak memandangkan cerita mengenai hakisan tanah di sepanjang sungai di kawasan ini sering menghiasi keluhan-keluhan rakyat selama ini. Dan yang menjadi pokok persoalan mengapa tiada jalan penyelesaian segera dilakukan.
Sampai bila kita masih lagi berpegang kepada peribahasa sudah terhantuk baru nak tengadah sedangkan hakikatnya bukan senang untuk membina surau dan taska di kawasan pendalaman seperti ini. Perlukah kita menunggu sudah ada yang meragut jiwa barulah bantuan berduyun-duyun dihulurkan. Mencegah Itu Lebih Baik Daripada Mengubati!