Tuesday 30 April 2019

SARAWAK TUNTUT PINDAAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DILAKUKAN SECARA MENYELURUH


TUJUH jam diperdebatkan yang melibatkan 47 ahli dewan samada daripada GPS dan Pakatan Harapan bertikam lidah, melontarkan pandangan mereka yang kadang-kadang kedengaran panas berapi namun kesemuanya dilakukan bagi memberi keputusan yang terbaik. Ini kerana usul yang dibentangkan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri yakni YB Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang bukanlah usul sembarangan sebaliknya ianya begitu penting buat masa hadapan Sarawak. Usul yang menuntut pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bukanlah dilakukan setengah masak sebaliknya menyeluruh ini disokong oleh ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting.

Usai tempohmasa berdebat yang turut mencatatkan sejarahnya tersendiri di Dewan Undangan Negeri Sarawak semalam menyaksikan kesemua ahli Dewan sepakat membulatkan tekad meluluskan usul tersebut. Sekaligus inilah pertama kalinya di dalam sejarah Sarawak ianya pernah dibincangkan diperingkat Kerajaan dan direkodkan di dalam Hansard buat peringatan kita semua kelak bahawa Sarawak serius di dalam tuntutan mengenai hak dan kedudukan Sarawak sebagai pembentuk Negara Malaysia.

Tuntutan yang menyeluruh ke atas pindaan Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah seperti berikut:

1. Mengembalikan status Sarawak sebagai rakan kongsi samarata dengan Persekutuan Tanah Melayu ketika Perjanjian Malaysia 1963 dipersetujui dan dimeterai.

2. Memperuntukan, Persekutuan yang lazimnya dirujuk adalah yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan BUKANNYA di bawah Perjanjian Persekutuan Malaya 1957.

3. Melindungi kuasa perundangan dan eksekutif Sarawak, sumber pendapatan dan geran khas yang diberikan kepada Sarawak serta autonomi kewangannya.

Selain itu, Sarawak juga menuntut beberapa pindaan di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia selepas rundingan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 dengan Kerajaan Persekutuan selesai. Ianya adalah seperti dibawah:

1.Pindaan Perkara 1(2) hendaklah dibaca seperti1. (2) Negeri-Negeri Persekutuan mengikut Perjanjian Malaysia 1963, haruslah;

(a) Negeri-Negeri Tanah Melayu ialah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu, dan

(b) The Borneo States iaitu Sabah dan Sarawak.

2. Memasukkan satu Perkara baharu 85A yang dibaca seperti berikut:

(1) Di mana tanah atau kepentingan ke atas tanah di Negeri-Negeri Borneo, yang diduduki, digunakan, dikawal oleh Kerajaan Persekutuan atau pihak berkuasa awam untuk tujuan persekutuan di bawah Seksyen 75 Akta Malaysia, 1993 (No.26 of 1963) atau diberi hak dalam Kerajaan Persekutuan atau pihak berkuasa awam selepas Hari Malaysia bagi tujuan persekutuan, dihentikan permohonan bagi tujuan persekutuan, tanah tersebut harus tidak

(a) dilupuskan oleh Kerajaan Persekutuan atau pihak berkuasa atau

(b) tanpa persetujuan Kerajaan Negeri digunakan untuk persekutuan lain atau apa-apa maksud lain selain maksud yang tanah itu digunakan sebaik sebelum Hari Malaysia atau tujuan yang ditetapkan dalam dokumen hakmilik itu, jika ada, bagi tanah tersebut.

(2) Jika persetujuan kerajaan negeri tidak diberikan di bawah perenggan (b) fasal (1)

(a) bagi kes tanah diduduki, diguna atau dikawal dan diurus Kerajaan Persekutuan atau mana-mana pihak berkuasa awam mengikut Seksyen 75 Akta Malaysia 1963 (No.26, 1963), Kerajaan Persekutuan harus menawarkan semula tanah itu kepada Kerajaan Negeri tertakluk kepada Kerajaan Negeri membayar kepada Kerajaan Persekutuan bagi nilai bangunan yang dibina atau dinaik taraf oleh Kerajaan Persekutuan di atas tersebut sejak Hari Malaysia;

atau

(b) bagi kes bagi tanah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan menurut Perkara 83 dan 85, tanah tersebut harus dikembali dan diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri apabila bayaran balik semua premium yang dibayar oleh Kerajaan Persekutuan untuk tanah tersebut di bawah Fasal (2) Perkara 83 atau Fasal (1) Perkara 85.

3. Pindaan Perkara 95B iaitu menambah satu lagi Fasal yang diberi nombor Fasal (1A) dibaca seperti berikut;

(1A) Tiada pindaan harus dibuat kepada tambahan untuk Senarai II atau Senarai III Jadual Kesembilan atau kepada Perlembagaan ini, jadi termasuk sebarang perkara yang belum ada dalam sebarang senarai seperti dinyatakan dalam Jadual Kesembilan, tanpa persetujuan Badan Perundangan Sabah dan Sarawak untuk dinyatakan melalui resolusi yang diluluskan oleh Badan Perundangan kedua-dua negeri tersebut (Sabah dan Sarawak).

4. Perkara 160(2)-4.1 Menggantikan definisi ‘Persekutuan’ dengan definisi baharu seperti berikut:

‘Persekutuan’ harus bermakna Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Malaysia yang ditandatangani pada 9 Julai 1963.

4.2 - Menambah definisi baharu berikut:

‘Hari Malaysia’ bermakna 16 September 1963.

5. Perkara 161A (7) - Senarai-senarai Perkara ini menyenaraikan semua kaum yang merupakan penduduk asal Sarawak (iaitu peribumi Sarawak). Ia dicadang untuk meminda Perkara ini dengan menambah:

(a) menambah selepas perkataan ‘Sea Dayak’ perkataan ‘atau Iban’.

(b) menambah selepas perkataan ‘Land Dayak’ perkataan ‘atau Bidayuh’; dan

(c) menambah selepas perkataan ‘Murut’ kepada perkataan ‘atau Lun Bawang’.

6. Meminda Senarai Perundangan dalam Jadual Kesembilan -

1. Meminda ‘Pelancongan’ daripada perkara 25A dalam Senarai I (Senarai Persekutuan) untuk disenaraikan sebagai Perkara 10 dalam Senarai III (Senarai Bersama)

2. Menambah ‘Alam Sekitar’ sebagai Perkara 19 kepada Senarai IIIA (Tambahan kepada Senarai Bersama untuk Sabah dan Sarawak).

Berdasarkan kepada butiran yang dinyatakan itu sudah cukup membuktikan bahawa perwakilan DUN Sarawak sememangnya mengetahui kehendak dan aspirasi rakyat Sarawak yang mahukan segalanya diperbetulkan semula, yang terhakis dikembalikan dan yang tidak boleh dipertikaikan terus dipegang sepertimana roh Perjanjian Malaysia 1963 yang ditandatangani 56 tahun yang lepas oleh nenek moyang kita.

Mengambil kata-kata hikmah daripada ADUN Semariang, YB Sharifah Hasedah yang berkata seperti berikut di dalam DUN semalam;

"Tiada orang Sarawak yang mahukan Sarawak dimasukkan ke dalam Persekutuan Malaya 1957, kita mahu Perjanjian Malaysia 1963”

Syabas dan tahniah kepada para ADUN Sarawak kerana pada kali ini cukup ikhlas dan berani dengan mengenepikan fahaman politik dan MENDAHULUKAN SARAWAK lebih dari segalanya. Sekarang yang perlu kita tunggu adalah episod seterusnya yakni apakah pula reaksi Kerajaan Persekutuan.

Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.


#SarawakDiutamakan