Saturday 29 April 2017

2 ANAK SARAWAK JUARA MATEMATIK DUNIA






KECIL-KECIL cabik padi namun tiada siapa menyangka 2 anak Sarawak mampu melakar nama Malaysia untuk sebaris dengan jagoan matematik dunia. Sememangnya ianya satu yang diluar jangkauan kita semua lebih-lebih lagi kedua-dua “pakar matematik cilik” ini mendapat pendidikan di 2 buah sekolah Kuching, Sarawak iaitu Maahad Tahfiz Tun Abdul Rahman Yakub dan SK (Agama) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan.

Najmi Asyraaf bin Abdul Halim dan Jad Haris Sabaruddin, begitulah 2 nama anak Sarawak yang begitu membanggakan kita semua kerana hakikatnya inilah pertama kalinya Malaysia pernah menjuarai pertandingan yang begitu menguji minda serta bertaraf dunia. Pertandingan Matematik Sedunia yang ke-14 untuk tahun 2017 berlangsung di Kota Manila, Filipina beberapa hari yang lepas.

Pada pertandingan ini, pasukan Malaysia turut disertai oleh 23 orang pelajar dari seluruh Malaysia bagi bertanding di dalam pelbagai kategori. Selain Najmi dan Jad yang dikalungkan 2 pingat emas, rakan seperjuangan mereka yang lain tidak pulang dengan tangan kosong kerana turut menghadiahkan 4 Perak dan 18 gangsa untuk pasukan Malaysia secara keseluruhan.

Syabas dan tahniah semua. 

Wednesday 26 April 2017

DIARI “IMAM CILIK” SEBAGAI BUKTI



CERITANYA Allahyarham Mohd Thaqif Amin bin Mohd Gaddafie, seorang pelajar sekolah tahfiz persendirian di Johor Bahru tular beberapa hari ini.  Ini kerana keadaannya yang dikatakan tercedera teruk akibat adanya unsur-unsur penderaan sehingga menyebabkan beliau kehilangan kedua kakinya dan seterusnya semalam menyaksikan beliau yang sepatutnya menjalani pembedahan tangan pula tidak sempat dilakukan.  Imam “cilik” ini akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Sultan Ismail begitu meruntun hati kita semua sebagai rakyat Malaysia.  

Di media massa tempatan pula bercerita mengenai diari peribadi coretannya yang dikatakan mampu menjadi bukti untuk siasatan pihak yang berwajib bagi merungkai punca sebenar kepada kematiannya.  Apa yang dikongsi di dalam ruangan ini juga (menurut sumber) merupakan salah satu daripada helaian diari Allahyarham Mohd Thaqif yang ternyata menunjukkan bahawa beliau sebenar juga merupakan mangsa buli di sekolah berkenaan.  Tidak tertahan dengan deritanya mungkin beliau pernah mengusulkan kepada keluarganya untuk dirinya bertukar sekolah tetapi sayang tiada yang mendengar.   

Mungkin jika ada yang mendengar perkara seperti ini dapat dielakkan namun inilah suratan yang telah tertulis untuk beliau.  Mana-mana ibubapa harus peka kepada setiap luahan dan kehendak anak-anak kerana dunia sekarang amat berbeza.  Ditambahlagi bukan satu cerita biasa ada pihak pentadbir sekolah yang sengaja menyembunyikan cerita yang sebenar demi menjaga nama baik sekolah mereka. Dan kerana itulah mengapa pihak yang berwajib sekarang sudah dibolehkan menggempurkan “gangsterism” di sekolah berbanding dahulu.  

Pokok pangkalnya sekarang, peristiwa tragis yang menimpa Allahyarham Mohd Thaqif harus diadili dengan sebaik-baiknya.  “Si pendera” yang bertindak “gila” harus dibawa ke muka pengadilan dan sekiranya didapati bersalah harus dihukum seberat-beratnya.  Dan jangan pula dilupakan pelajar yang menjadi “raja pembuli” juga harus diambil tindakan kerana kita tidak mahu adalagi bakal imam-imam cilik kita menerima nasib yang sama seperti Allahyarham.  

Salam takziah untuk keluarga Allahyarham Mohd Thaqif Amin bin Mohd Ghadaffie. Sama-samalah kita berdoa agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.  

Alfatihah. Amin.  

Tuesday 25 April 2017

PROJEK PEMBINAAN SIBU STREET MARKET



SIAPA tidak kenal dengan Sibu Night Market yang terletak di Jalan Market, Sibu.  Ianya mempunyai daya tarikan tersendiri apabila kita berkata mengenai perniagaan pasar malam.  Dari kulinari sehinggalah ke apa sahaja semuanya ada di lokasi ini sehingga ianya menjadi antara daya tarikan kepada pelancong yang berada di Sibu.

Namun sejajar dengan waktu kawasan ini juga sudah semakin sesak dan perlukan pembaharuan. Maka sudah ada perancangan untuk menaiktaraf lokasi ini untuk lebih berdaya saing pada masa depan.  Kos pembinaannya sahaja dijangka akan menelan belanja sebanyak RM2 juta akan menukar lanskap di kawasan ini.  

Sekaligus, apabila siapnya kelak akan menjadi satu lagi mercu tanda menarik bagi Bahagian Sibu.

UPPER REJANG DEVELOPMENT AUTHORITY DITUBUHKAN


LAWATAN kerja CM Abang Jo semalam ke Kapit menyaksikan satu lagi perkhabaran gembira buat rakyat.  Ini kerana bagi membantu memudahkan pentadbiran pembangunan di wilayah SCORE telah diwar-warkan satu lagi badan berkanun ditubuhkan.
Penubuhan Upper Rejang Development Authority (URDA) diharap akan menjadi pemangkin kepada penyelarasan pembangunan yang akan dikecapi oleh wilayah Upper Rajang yang mencakupi wilayah yang besar iaitu 38,000 kilometer persegi itu kelak.  Ianya ditubuhkan dibawah Regional Corridors Development Authorities (RECODA) Ordinance 2006.  
URDA itu nanti akan dipengerusikan oleh Tan Sri James Jemut Masing dengan timbalannya adalah Datuk Alexander Nanta Linggi.  

Monday 24 April 2017

100 HARI BERSAMA CM ABANG JO


SEMALAM tepat jam 9.00 malam telah ke udara rancangan 100 Hari Bersama CM Abang Jo yang berlangsung di Auditorium P. Ramlee, Kuching dengan disiarkan secara live di RTM 1.  Sudah terbiasa dengan pembawaan Allahyarham Tok Nan apabila dibualbicara tetapi untuk CM Abang Jo juga mempunyai auranya yang tersendiri. Tidak banyak gurauan sinis namun setiap butiran kata yang dilontarkan sebenarnya mempunyai kepadatan jawaban yang tersendiri di dalam mengulas setiap isu yang dipersoalkan.  

Antara butiran yang sempat diulas adalah seperti berikut:

1.  Kita ada laptop, kita ada komputer TETAPI gambar tidak ada kerana TIDAK ADA internet. Begitu sedih negeri saya yang bernama Sarawak. Sebab itu saya tampil dengan satu langkah yang dinamakan high speed internet untuk Sarawak.  Semoga rakyat Sarawak boleh seperti rakyat di negeri yang lain tidak kira di bandar, luar bandar mahupun pedalaman.

2. Sarawak Multimedia Authority akan ditubuhkan bagi menyelaraskan dunia tanpa sempadan untuk negeri Sarawak termasuklah digital ekonomi, siber sekuriti dan banyak lagi. Ianya akan dibentangkan di dalam persidangan DUN kelak bagi menyelaraskan rang undang-undang.

3. Kuching sebagai city of unity telah diiktiraf oleh dunia. Di Asia, penubuhan pusat institut Komanwel akan didirikan oleh Princess Anne sendiri. Ianya satu penghormatan kepada Malaysia kerana ianya satu2 nya di Asia pernah ada.

4. Sarawak akan mempunyai Bank of Development Sarawak yang mampu menjadi penampung kepada pembangunan Sarawak. Kita mempunyai dana sendiri yang diambil daripada reserve Sarawak sendiri. Ianya sudahpun diluluskan oleh Bank Negara Malaysia.  

5.  Pengambilalihan Bakun menjadi milik Sarawak kembali adalah satu kejayaan yang besar.  Ini kerana Sarawak sememangnya mampu diuruskan sendiri oleh orang Sarawak yang sememangnya sudah terkenal dengan kepakarannya di dalam hidro elektrik.  Malah sumber tenaga itu juga mampu dieksport ke negara jiran seperti di Brunei, Sabah mahupun Kalimantan itu sendiri.

6.  Prasarana persekolah daif sepatutnya adalah tanggungjawab Persekutuan tetapi rakyat tidak pernah tahu itu semua. Jadi Kerajaan Negeri bagi kesenangan semua sanggup membuatnya dengan dana sendiri.  Ini sebenarnya membantu pihak Kerajaan Persekutuan tetapi lambatlah hendak mendapatkan peruntukan jadi kita buat dulu untuk rakyat Sarawak.

7.  Dasar Karbotaj telah menyukarkan Sarawak dan sudah tiba masanya dasar itu harus dihapuskan.  Perbincangan sedang dijalankan untuk menghapuskannya dengan Kerajaan Pusat kerana ini satu2 nya boleh menurunkan harga barangan di Sarawak.

8. Kawasan pedalaman akan didirikan beberapa lapangan terbang kecil bagi membantu agrotek di pedalaman. Malah LRT JUGA AKAN DIDIRIKAN DI SARAWAK. Itu sememangnya janji saya dan akan direalisasikan. Bukan omongan kosong. SARAWAK AKAN ADA LRT :D

9. Apa yang dilakukan oleh CM sekarang adalah untuk generasi muda.  Ini kerana generasi muda sekarang ini bijak.  Merekalah yang akan menjadi pengganti kita kelak tetapi jangan obses untuk menjadi CM terus. Tidak boleh lawan tokey kerana saya dahulu juga seperti anda. Belajar dahulu mengikut proses. Sekiranya sudah Allah katakan bahawa anda menjadi ketua menteri maka anda akan menjadi ketua menteri. Sebab itu saya dahulu diam sahaja dan akhirnya saya menjadi KM Sarawak tanpa disangka.

Berdasarkan kepada apa yang dilihat di dalam program bualbicara itu ternyata CM Abang Jo sudah sedikit demi sedikit berjaya melontar jauh-jauh segala persepsi orangramai apabila beliau dipilih untuk mengemudi jawatan no. 1 Sarawak selepas Allahyarham Tok Nan.  Beliau yang mempunyai pengalaman sebelumnya sudah mampu mempunyai cara tersendiri untuk menjadikan A BETTER SARAWAK.  

Tahniah kepada Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg. Ketua Menteri Sarawak.   

PERMOHONAN MAAF TV3 DITOLAK!


USAI pertemuan dengan CEO Media Prima dan Pengacara Sukan Tak Sentral yang berlangsung di Hotel Grand Place, Miri tadi sudah terang lagi bersuluh Watson Nyambek MENOLAK permohonan maaf mereka. 

Menurut Watson ini kerana beliau masih lagi terkesan dengan segala hinaan yang dilemparkan apabila mempersendakan nama ayahnya seperti binatang. Buat masa sekarang beliau belum memikirkan apa-apa lagi namun satu laporan polis sudahpun dibuat pagi tadi di Balai Polis Pusat Miri. 

Apakah Watson akan terus membawa ianya ke Mahkamah? Sama-samalah kita tunggu kelak.


Foto kredit Borneo Post

Monday 17 April 2017

KUCHING BAKAL DIDIRIKAN INSTITUT LATIHAN KOMANWEL


KUNJUNGAN KM Abang Jo ke London pada minggu lepas telah membawa perkhabaran gembira buat kita semua apabila telah diwar-warkan bahawa Kuching dipilih sebagai antara lokasi untuk didirikan Institut Latihan Komanwel. Satu institusi yang akan menyediakan latihan bagi bakal pemimpin berpotensi bagi negara-negara di dalam Komanwel.

Turut dinyatakan penubuhan institut ini kelak akan berkolaborasi sepenuhnya bersama Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam di Sarawak. Kuching, Sarawak merupakan salah satu daripada empat lokasi yang dicadangkan oleh Penaungnya iaitu Princess Anne disamping Universiti Oxford di UK, Afrika dan Carribean atau Australia untuk rantau Asia Pasifik.

Ketika di London juga KM Abang Jo dan rombongan Kerajaan Negeri Sarawak turut menghadiri Lan Berambeh London yang diadakan di sebuah restoren di sana. Sejajar dengan itu beliau turut menyatakan bahawa Lan Berambeh London akan diadakan acara tahunan. Ianya nanti ajab menjadi salah satu wadah untuk bertemu anak Sarawak di perantauan agar segala idea dan cadangan dapat mudah didengar langsung oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Salah satu cara untuk memperkasakan Sarawak dengan idea-idea dari golongan muda.

SAYA CINTA KAPIT


PEMBINAAN Lebuhraya Pan Borneo yang akan siap kelak sudah tentu akan memberikan banyak impak ekonomi kepada kawasan luar bandar mahupun pedalaman di Sarawak.  Ini tidak terkecuali dengan Bahagian Kapit yang selama ini hanya boleh dihubungi dengan pengangkutan air seperti ekspress dari Sibu.  Pembinaan beberapa jajaran perhubungan darat menuju ke Kapit sedang rancak dibina sekarang.  
Apabila berkata mengenai peluang ekonomi sudah tentu banyak malah jangan dilupakan Kapit juga sebenarnya layak untuk menjadi destinasi pelancongan bagi Sarawak.  Selain keindahan panorama alam yang belum terusik, di Kapit juga tidak pernah kurang dengan tempat bersejarahnya yang mempunyai cerita yang unik di dalam memperkatakan Sarawak suatu waktu dahulu.  
Fort Sylvia atau Kubu Sylvia yang dibina pada tahun 1880 iaitu semasa Sarawak dibawah pemerintahan Brooke masih lagi dijaga dengan rapi oleh Yayasan Tun Jugah.  Yayasan ini menjadi Fort Sylvia sebagai muzium untuk menceritakan kepelbagaian kaum di Kapit yang kaya dengan kraftangan dan banyak lagi.  Kubu ini juga sebagai simbol pemerintahan dahulukala apabila kita berkata mengenai banyak perang-perang tempatan yang pernah berlaku di Kapit.  
Tidak cukup dengan itu di pekan Kapit sendiri mempunyai Muzium Kapit yang terletak di Dewan Suarah Kapit.  Disini berhimpun segala ceritera mengenai masyarakat Kapit yang boleh menjadi sumber informasi untuk semua.  Kemudian jangan lupa untuk mengunjungi beberapa tamu dan bazaar Kapit yang sudah tentu mempunyai keistimewaan dan keunikannya di dalam menyatakan sumber hutan yang “rare” bagi kita yang tidak pernah menjumpainya di pasar-pasar biasa.  
Selain daripada ada beberapa acara di Kapit sudahpun dimasukkan di dalam kalendar pelancongan Kapit seperti Safari Rakit Baleh Kapit yang menyaksikan ianya turut disertai oleh ramai penggemar sukan rakit di seluruh dunia bertandang ke Kapit setiap kali acaranya diadakan.  Selain itu turut ada Regatta Mini Boat Race yang turut tidak kurang meriahnya.  
Hanya menyebut beberapa tempat di dalam menyatakan betapa Kapit itu sebenarnya mampu menjadi destinasi pelancongan di Sarawak.  Potensinya sememangnya ada dan terpulang kepada kita untuk mempromosinya supaya diketahui oleh dunia.  

PENGHORMATAN UNTUK “THE POCKET ROCKETMAN”


SUKAN SEA akan menjengah Kuala Lumpur menjelang Ogos 2017 ini yang mana menyaksikan banyak persediaan seperti menaiktaraf beberapa infrastruktur sukan sudah banyak yang siaga sepenuhnya.  Dan ini termasuklah Velodrom Nasional dan trek berbasikal BMX di Nilai, Negeri Sembilan yang mana kosnya sahaja mencecah RM80 juta yang dibina sejak di tahun 2015 lagi.
Sebagai satu penghormatan kepada Juara Dunia di acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong beberapa hari lepas iaitu anak Malaysia berasal dari Dungun, Trengganu iaitu Azizulhasni Awang akan menjadi atlet berbasikal pertama yang akan mencuba velodrom tersebut menjelang minggu ini. Pandangan beliau sudah tentu dituntut mengenai kesiagaan velodrom tersebut sebelum diserahkan kepada penganjur Sukan SEA kelak.  
Untuk rekod, hampir 10 tahun lamanya pelumba berbasikal Malaysia iaitu turut dikenali sebagai “The Rocket Pocketman” ini menanti dengan sabar untuk memenangi slot juara dunia yang pertama baginya.  Tanpa usaha serta penat lelah mengharungi latihan serta keazaman yang kuat sudah tentu sukar untuk mencipta kejayaan lebih-lebih lagi ramai yang mempertikaikan keadaan fizikal beliau yang lebih kecil berbanding dengan atlet-atlet dari benua Eropah khususnya.

TEBINGAN KUCHING AKAN DINAIKTARAF


TIDAK dinafikan Tebingan Kuching (Kuching Waterfront) merupakan antara daya tarikan pelancong di Kuching khususnya di kawasan tebingan Sungai Sarawak.  Ianya adalah antara projek printis kepada keindahan Kuching lebih 20 tahun yang lalu. Dan sesuai dengan tempohmasanya yang sudah agak lama maka adalah wajar untuk ianya dinaiktarafkan semula.  

Menurut Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kerja-kerja penaiktarafan Tebingan Kuching akan bermula pada tahun 2017 ini dengan kos yang melibatkan sebanyak RM6 juta.  Dan tempohmasa penyiapan adalah dalam masa 24 bulan (2 tahun).

Antara kerja-kerja penaiktarafan itu adalah kerja pembinaan semula “Historical Walk”, pemasangan lampu LED serta pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung di sekitar kawasan tersebut. Selain daripada ianya juga akan menyusun semula kawasan penjaja-penjaja di Tebingan Kuching agar ianya sejajar dengan penaiktarafan ini kelak.  

Thursday 13 April 2017

KAPAL BROOKE “THE ROYALIST”


SIR James Brooke merupakan individu bangsa Inggeris yang pertama dinobatkan sebagai Tuan Rajah bagi Sarawak iaitu pada tahun 1842.  Dan ketibaannya ke Sarawak suatu masa dahulu dengan menggunakan sebuah kapal jenis schooner yang dinamakan “The Royalist”.  Kedatangan pertama Brooke ke Sarawak adalah pada tahun tahun 1839 yang mana beliau pada masa itu menjadi utusan Kerajaan British di Singapura untuk menghantar “hadiah” kepada Pengiran Muda Hashim yang telah membantu saudagar Inggeris di Sarawak.  
Kapal “The Royalist” dibeli oleh Brooke daripada seorang paderi Inggeris yang bernama Reverend T.L Lane pada tahun 1834.  Kapal ini dikatakan antara kapal perang tentera laut Inggeris yang pernah menyertai Perang Trafalgar 1805 .  Pada tahun 1837 dikatakan Brooke dengan Royalist telah berjaya mengembara di Kepulauan Mediterranean yang akhirnya membawa beliau sehingga ke Singapura. Pada tahun 1840, Brooke dengan “The Royalist” sekali lagi tiba di Sarawak dan kali ini beliau bersetuju untuk membantu Pengiran Muda Hashim memerangi pemberontakan di Sarawak.  Hasilnya pada tahun 1841, beliau dijadikan Gabenor oleh Sultan Brunei dan seterusnya pada tahun 1842 telah diiktiraf sebagai Tuan Rajah Sarawak.  
Dengan kapal “The Royalist” inilah juga, Brooke menggunakannya untuk memerangi pemberontakan di Sarawak samada atas permintaan Sultan Brunei mahupun atas nama perniagaan bagi Brooke.  Satu demi satu wilayah Brunei akhirnya menjadi pembentuk empayar besar Sarawak dibawah Brooke pada masa itu sehinggalah 3 orang Tuan Rajah menjadi pemerintah Sarawak dengan yang terakhir sekali adalah Rajah Charles Vyner Brooke pada tahun 1946.  
Kapal “The Royalist” buatan dari Crowes, England milik James Brooke ini dikatakan terakhir dilihat di pelabuhan Negara Brunei Darussalam yang mana dikatakan mengalami kerosakan pada sekitar September 1843.  Kemudian telah ditunda sehingga ke Singapura yang akhirnya dikatakan telah dijual oleh Brooke pada tahun 1844.  Sebuah kapal seberat 140 tan yang pada asalnya hanya mempunyai 6 buah meriam sebagai pertahanannya ketika pelayaran mempunyai signifikasi bersejarah dengan kewujudan Sarawak dibawah lebih 100 tahun pemerintahan dinasti keluarga Brooke suatu waktu dahulu.  

Tuesday 11 April 2017

PANTAI TANJUNG KEMBANG, KABONG


DAERAH kecil Kabong amat terkenal dengan makanan tradisinya yang dikenali sebagai Suman Kabong.  Satu makanan tradisi yang berasaskan makanan laut dan tepung lemantak dan dibakar dengan daun nipah.  Ianya sering menjadi dambaan penggemarnya kerana suman Kabong terlalu istimewa.  

Kelazatan suman Kabong sememangnya tiada taranya dan janganlah dilupa bahawa di Kabong juga turut mempunyai pantai-pantai yang indah serta panorama alam yang mendamaikan.  Antaranya adalah Pantai Tanjung Kembang yang terletak kira-kira 50 km dari Pekan Saratok juga mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Dengan pantainya yang kuning bersih serta memanjang sehingga luas mata memandang juga menjanjikan satu percutian yang indah bagi sesiapa yang ingin lari dari kesibukan kota. Dan sesuai dengan permintaan pelancong juga di Pantai Tanjung Kembang telah siaga dengan chalet-chalet yang menjanjikan penginapan untuk semua.

Selain itu jika diikutkan Pantai Tanjung Kembang juga sudah mempunyai namanya tersendiri di dalam kalendar pelancongan Sarawak apabila pesta pantainya yang diadakan saban tahun turut diselitkan menjadi sebahagian daripada tarikan pelancong untuk ke Kabong.  

LUPUS KEPAK AYAM BUKIT AUP LANGGAR SOP


SEMINGGU yang lalu riuh rendah media massa dan warga netizen seluruh Malaysia apabila ada segelintir masyarakat di Sibu yang bagaikan “berpesta” sayap ayam di Bukit Aup.  Tanpa menghiraukan apa sahaja, sayap ayam yang dikatakan dilupus oleh pihak tertentu dengan menanamnya di dalam tanah akhirnya digali semula.  

Peristiwa “pesta sayap manok” ini akhirnya membawa kepada beberapa penjelasan daripada KPDNKK yang memberi amaran kepada warga Sibu agar jangan menjadikan kepak ayam itu sebagai modal percuma untuk berniaga kerana denda RM250,000 akan dikenakan sekiranya didapati bersalah.  Tidak cukup dengan itu juga sepanjang minggu ini dikatakan penjualan sayap ayam di gerai-gerai di seluruh Sibu juga jatuh menjunam kerana pelanggan tidak mahu menerima implikasi yang buruk akibat memakan kepak ayam yang sudah dilupuskan.  

Beberapa hari yang lepas juga dinyatakan pihak Kastam telah menggali semula kawasan tersebut bagi mendapatkan semula sisa-sisa kepak ayam yang masih ada.  Selaras dengan itu juga, semalam satu kenyataan daripada Pengarah Kastam, Datuk Subramaniam Tholasy yang memberi jaminan bahawa segala siasatan akan diambil bagi mengenalpasti punca kejadian.

Beliau juga turut menyatakan bahawa isu perlupusan kepak ayam mungkin sudah melanggar Standard Operation Prosedure (SOP) Kastam. Dan pada mana-mana mereka yang bersekongkol melakukan aktiviti pelupusan haram ini akan diambil tindakan yang tegas.  

Sunday 9 April 2017

HINA POLIS DI FB MEMBAWA PADAH



HANYA kerana tidak mampu menahan amarah akibat adanya saman yang dikeluarkan ketika mengunjungi pameran Autoshow di Kuching baru-baru ini lalu seorang pemuda telah bertindak menghamburkan kata-kata kesat ke atas anggota polis di dalam status yang dimuatnaik di dalam satu grup fb iaitu “Kuching Trafik Info”.

Difahamkan, pemuda yang menggunapakai nama “Amirul Esok” telah ditahan oleh pihak polis atas kebiadabannya berbuat sedemikian pada tanggal 9 April 2017 di kampungnya di Kuching.    

Bukan satu cerita luar biasa sekiranya ada penangkapan yang dibuat atas tindakan bodoh kita sendiri.  Sekiranya betul-betul tidak berpuashati banyak lagi saluran yang boleh digunakan.  Hal seperti ini sudah acapkali diingatkan kepada pengguna-pengguna di media sosial.  

“KIASUNYA” TUAN TANAH JALAN PINTAS KPG KUDEI



BUKAN 1 tetapi 2 buah kontena yang berukuran 20’ x 8’ panjang diletakkan di tengah-tengah jalan menjadi satu tanda tanya kepada penduduk di Kampung Kudei beberapa hari yang lepas.  Setakat ini yang diketahui menyatakan bahawa ianya adalah tindakan “Tuan Tanah” yang mana pemilik kepada sebahagian daripada tanah yang dijadikan jalan pintas ke SK Combined.  

Jika diperlihatkan kepada tindakan ini seolah-olah ada rasa ketidakpuasan hati daripada “Tuan Tanah” di dalam hal ini.  Cuma yang amat menghairankan jika diperkira kewujudan jalan pintas ini sudahpun ada sejak di zaman pemerintahan Allahyarham Tun Abdul Rahman bin Yaakub lagi sehinggalah kepada legasi pemerintahan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari sekarang.  Mengapa setelah sekian lama hal “ketidakpuasan hati” ini harus ditimbulkan sekarang dengan mengambil satu langkah yang agak ekstrim.  

Tindakan daripada “Tuan Tanah” yang menutup jalan ini seolah-olah sudah langsung tidak memperdulikan keselamatan pengguna awam serta kemudahan kepada rakyat di sekitar Kampung Kudei yang selama ini menggunakan jalan pintas ini untuk menghantar anak ke SK Combined.  Sekiranya ada tindakan undang-undang yang sedang dibuat bagi menuntut semula sebahagian sempadan jalan pintas ini, tiada salah untuk membukanya sementara bagi kemudahan penduduk setempat.  

Sifat “kiasu” seperti ini juga sebenarnya turut menggambarkan bahawa “Tuan Tanah” seperti mencabar pihak badan yang berwajib yang lain.  Untuk rekod jalan pintas ini juga di dalam wilayah DUN Satok iaitu yang diwakili oleh Ketua Menteri Sarawak itu sendiri.  Hal seperti ini nampak kecil tetapi sebenarnya boleh menjadi satu masalah yang besar selagi tidak dirungkaikan dengan segera.   

PESAWAT MH2718 TERGELINCIR DI LAPANGAN TERBANG SIBU



Keadaan pesawat selepas pendaratan 


Usaha untuk memindahkan pesawat dari landasan dilakukan 


Lapangan Terbang Sibu kembali beroperasi sekitar jam 12.00 malam 10/4/2017 

LAPANGAN Terbang Sibu menjadi perhatian dunia sejak 2 hari yang lepas apabila pesawat Sistem Penerbangan Malaysia MH2718 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Sibu sewaktu pendaratannya telah tersasar daripada landasan akibat hujan lebat. Atas hal ini juga membuatkan “emergency evacuation” prosedur digerakkan. Kejadian ini berlaku kira-kira 10.17 malam pada tanggal 8 April 2017.

Dengan kepantasan pihak pengurusan serta pasukan kecemasan dan keselamatan Malaysia Airport menyaksikan tiada sesuatu yang lebih buruk berlaku. Menurut sumber daripada Malaysia Airport menyatakan kesemua 61 penumpang beserta 6 anak kapal telah dikeluarkan dari pesawat di dalam keadaan selamat. Sejajar dengan itu juga bermula dari hari kejadian sehinggalah 9 April 2017, lapangan terbang Sibu telah ditutup untuk pendaratan mahupun pelepasan pesawat. Ianya mengakibatkan hampir 48 penerbangan telah dibatalkan yang mana kira-kira lebih kurang 4,000 penumpang terpaksa menunda penerbangan mereka.

Usaha daripada pihak pengurusan Malaysia Airport untuk memindahkan pesawat daripada lokasi kejadian telah membuahkan hasil kira-kira jam 9.00 malam tadi. Diceritakan bantuan peralatan daripada Kuala Lumpur telah memudahkan usaha mereka walaupun rombongan teknikal beserta peralatan terpaksa menggunakan jalan darat dari Kuching usai pendaratan di mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching semalam.

Setelah segala prosedur penyiasatan dan keselamatan landasan dijalankan selesai, pihak Malaysia Airport telah mengeluarkan kenyataan media bahawa Lapangan Terbang Sibu sudah boleh beroperasi seperti biasa pada jam 12.00 pagi, 10 April 2017. 

Sunday 2 April 2017

TAMAN NEGARA SIMILAJAU, BINTULU


DIWARTAKAN pada tahun 1976 dan akhirnya dibuka kepada orang awam sekitar tahun 1996 menjadikan ianya antara taman negara yang wajib dikunjungi jika singgah di Bintulu. Taman Negara Similajau meliputi kawasan seluas 7,064 hektar hutan dara tepi pantai yang mana bermula dari Sungai Likau di bahagian selatannya sehingga ke Sungai Similajau di utara.  

Menurut rekod dinyatakan bahawa Taman Negara Similajau menjadi tumpuan kepada 24 spesis mamalia seperti ungka, langur berbelang, kera ekor panjang dan tidak lupa si sang bedal jenis Buaya Air Tawar.  Oleh kerana kawasan pantainya yang menghadap Laut China Selatan memungkin adakalanya ia juga sering dikunjungi oleh ikan lumba-lumba.

Manakala untuk kawasan pantai seperti Turtle Beach dan Golden Beach pula dijadikan santuari untuk pembiakan telur-telur penyu yang datang bertelur di kawasan ini saban tahun. Selain menyimpan keindahan alam semulajadi seperti tumbuhan hutan, Taman Negara Similajau ini juga menjadi habitat kepada 230 spesis burung seperti ikon burung bagi Negeri Sarawak iaitu burung kenyalang serta spesis “Storm Storks” iaitu burung-burung air yang gemar berhijrah dari satu kawasan ke kawasan yang lain.

Tidak akan sempurna bercerita mengenai Taman Negara Similajau jika tidak memperkatakan mengenai pantai-pantainya yang memutih serta airnya yang kebiru-biruan.  Dengan pesisir pantainya iaitu seluas 30 km panjang dan dibarisi dengan terumbu karang serta teluk-teluk kecil yang menjadi sebahagian pembentuk pesisir pantainya menjadikan ia adalah antara salah satu tempat yang mampu menarik pelancong-pelancong yang gemarkan suasana pantai yang mendamaikan.

Untuk mereka yang mencari ketenangan dan ingin bercuti singkat bolehlah memilih untuk datang ke Taman Negara Similajau.  Jarak perjalanan untuk ke Taman Negara ini juga boleh dikatakan singkat iaitu kira-kira 45 minit dari Bandar Bintulu.   

PESTA BIRUMUH BIDAYUH LAMBANG IDENTITI SARAWAK YANG HARMONI






SABAN tahun pada tanggal 1 April sejak dari tahun 2009 ianya tidak pernah gagal dianjurkan oleh Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).  Dan untuk tahun 2017 ini ianya diadakan dengan penuh gemilang di Stadium Mini Serian.  Majlisnya dirasmikan sendiri oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg.  

Seperti masyarakat Iban yang terkenal dengan sambutan Pesta Gawai begitulah juga masyarakat Bidayuh apabila berkata mengenai Pesta Birumuh.  Kerana kedua-duanya mempunyai signifikasi atas tanda kesyukuran selepas tamatnya musim menuai padi.  Secara sejarahnya sejak dari dahulu lagi masyarakat Bidayuh atau Dayak Darat sudah lama terkenal dengan penanaman padi sebagai salah satu daripada sumber ekonomi yang utama bagi mereka.  

Dengan penyertaan daripada pelbagai sub-etnik Bidayuh menyaksikan Pesta Birumuh juga adalah salah satu wadah di dalam menceritakan kekayaan seni budaya dan tradisi masyarakat Bidayuh Sarawak.  Dan tidak kurangnya walaupun pesta ini begitu sinonim dengan masyarakat Bidayuh namun ianya juga turut disertai oleh pelbagai masyarakat yang menghuni Sarawak Bumi Kenyalang.  Contohnya kehadiran kontinjen daripada masyarakat Jawa dari Kampung Jawa, Batu 12, Semenggok membuktikan bahawa Pesta Birumuh adalah salah satu lambang identiti Sarawak yang harmoni.

Sarawak itu lahir dari penat lelah masyarakatnya yang majmuk dan pertahankanlah keharmonian dan kesepaduan kita ini sampai bila-bila.