Sunday, 9 April 2017

“KIASUNYA” TUAN TANAH JALAN PINTAS KPG KUDEI



BUKAN 1 tetapi 2 buah kontena yang berukuran 20’ x 8’ panjang diletakkan di tengah-tengah jalan menjadi satu tanda tanya kepada penduduk di Kampung Kudei beberapa hari yang lepas.  Setakat ini yang diketahui menyatakan bahawa ianya adalah tindakan “Tuan Tanah” yang mana pemilik kepada sebahagian daripada tanah yang dijadikan jalan pintas ke SK Combined.  

Jika diperlihatkan kepada tindakan ini seolah-olah ada rasa ketidakpuasan hati daripada “Tuan Tanah” di dalam hal ini.  Cuma yang amat menghairankan jika diperkira kewujudan jalan pintas ini sudahpun ada sejak di zaman pemerintahan Allahyarham Tun Abdul Rahman bin Yaakub lagi sehinggalah kepada legasi pemerintahan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari sekarang.  Mengapa setelah sekian lama hal “ketidakpuasan hati” ini harus ditimbulkan sekarang dengan mengambil satu langkah yang agak ekstrim.  

Tindakan daripada “Tuan Tanah” yang menutup jalan ini seolah-olah sudah langsung tidak memperdulikan keselamatan pengguna awam serta kemudahan kepada rakyat di sekitar Kampung Kudei yang selama ini menggunakan jalan pintas ini untuk menghantar anak ke SK Combined.  Sekiranya ada tindakan undang-undang yang sedang dibuat bagi menuntut semula sebahagian sempadan jalan pintas ini, tiada salah untuk membukanya sementara bagi kemudahan penduduk setempat.  

Sifat “kiasu” seperti ini juga sebenarnya turut menggambarkan bahawa “Tuan Tanah” seperti mencabar pihak badan yang berwajib yang lain.  Untuk rekod jalan pintas ini juga di dalam wilayah DUN Satok iaitu yang diwakili oleh Ketua Menteri Sarawak itu sendiri.  Hal seperti ini nampak kecil tetapi sebenarnya boleh menjadi satu masalah yang besar selagi tidak dirungkaikan dengan segera.   

No comments:

Post a Comment