Sunday, 2 April 2017

PESTA BIRUMUH BIDAYUH LAMBANG IDENTITI SARAWAK YANG HARMONI






SABAN tahun pada tanggal 1 April sejak dari tahun 2009 ianya tidak pernah gagal dianjurkan oleh Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).  Dan untuk tahun 2017 ini ianya diadakan dengan penuh gemilang di Stadium Mini Serian.  Majlisnya dirasmikan sendiri oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg.  

Seperti masyarakat Iban yang terkenal dengan sambutan Pesta Gawai begitulah juga masyarakat Bidayuh apabila berkata mengenai Pesta Birumuh.  Kerana kedua-duanya mempunyai signifikasi atas tanda kesyukuran selepas tamatnya musim menuai padi.  Secara sejarahnya sejak dari dahulu lagi masyarakat Bidayuh atau Dayak Darat sudah lama terkenal dengan penanaman padi sebagai salah satu daripada sumber ekonomi yang utama bagi mereka.  

Dengan penyertaan daripada pelbagai sub-etnik Bidayuh menyaksikan Pesta Birumuh juga adalah salah satu wadah di dalam menceritakan kekayaan seni budaya dan tradisi masyarakat Bidayuh Sarawak.  Dan tidak kurangnya walaupun pesta ini begitu sinonim dengan masyarakat Bidayuh namun ianya juga turut disertai oleh pelbagai masyarakat yang menghuni Sarawak Bumi Kenyalang.  Contohnya kehadiran kontinjen daripada masyarakat Jawa dari Kampung Jawa, Batu 12, Semenggok membuktikan bahawa Pesta Birumuh adalah salah satu lambang identiti Sarawak yang harmoni.

Sarawak itu lahir dari penat lelah masyarakatnya yang majmuk dan pertahankanlah keharmonian dan kesepaduan kita ini sampai bila-bila.

No comments:

Post a Comment