Sunday 29 May 2016

TADAU KAAMATAN DI SABAH

JIKA di Sarawak sekarang segalanya mengenai perayaan Gawai Dayak yang akan saban tahun pada tanggal 1hb Jun, untuk saudara kita di Sabah pula sekarang rancak dengan persediaan untuk menyambut Tadau Kaamatan iaitu pada esok hari 31hb Mei.
Tadau Kaamatan atau Pesta Kaamatan akan dirayakan dengan penuh meriah oleh Kaum Kadazan-Dusun bagi menghormati “Bambazon” iaitu semangat padi.  Jika Gawai Dayak dirayakan secara rasmi sebagai satu cuti umum pada tahun 1964 untuk Tadau Kaamatan pula telah merayakan sejak di tahun 1960 lagi iaitu ianya diluluskan oleh Majlis Undangan Koloni British Borneo suatu waktu dahulu. 
Sekarang, Tadau Kaamatan adalah satu perayaan yang dirayakan oleh rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama dan mempunyai acara tradisinya tersendiri seperti tarian Sumazau, pertandingan Unduk Ngadau atau Ratu Cantik Tradisi serta banyak lagi.  Ianya merupakan satu perayaan yang penuh tradisi dan simbolik bagi masyarakat Sabah. 
Untuk saudara-saudara di Sabah, kami ucapkan “Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan”.  

SELAMAT HARI GAWAI DAYAK


The administrators of Red Parrot wish the readers of the facebook page and blog,

Selamat Hari Gawai Dayak,
Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang Nguan Menua

Tuesday 24 May 2016

MALAYSIA BOLEH


WARGA Malaysia lahir di US, dipanggil " American-Messi" sempena Barcelona's Lionel Messi selepas mengikat perjanjian/urusan dgn kelab bola sepak St Louis, iaitu sebuah kelab bola sepak di US.
Kisah Wan Kuzain Wan Kamal menjadi sensasi selepas videonya bermain bola sepak menjadi viral beberapa tahun lalu, juga merupakan antara yg pertama di akademi kelab yang berjaya ke kumpulan yg pertama.
Kuzain telah bermain di akademi sejak zaman kanak-kanak lagi dan di panggil untuk percubaan di kelab Dutch Feyenood 2 tahun yg lalu. Dia juga di senaraikan di kumpulan Nasional US bawah 17 tahun.

“PENGANAN JALA” - Kuih Tradisi “Wajib Ada” Apabila Hari Gawai


PENGANAN Jala itulah sejenis kuih tradisional yang sinonim dengan etnik Iban di Sarawak.
  Ianya merupakan kuih “wajib ada” apabila ada sebarang perayaan yang berhubungkait dengan etnik Iban Sarawak seperti Hari Gawai.

Selain dari kuih tradisional ini merupakan identiti bagi etnik Iban di Sarawak, tidak kurang juga popularnya penganan jala ini di kalangan etnik pribumi di Sabah namun mungkin namanya agak berbeza.  Walaupun begitu, jangan sesekali terkeliru bahawa kuih jala ini serupa dengan roti jala yang popular di bumi Semenanjung Malaysia kerana cara pembuatannya amat berlainan sama sekali. 

Jika dilihat dari segi pembuatan penganan jala ini boleh dikatakan ianya masih lagi dijaga keaslian pembuatannya.  Ini kerana banyak kuih-kuih tradisional seperti kuih bahulu telah melalui transformasi yang lebih bersifat komersial sehingga kadang-kadang ada sesetengahnya sudah kehilangan “umph” jika dibandingkan dengan cara pembuatan kuih tradisional mengikut cara datuk nenek kita dahulu.

Untuk penganan jala pula ianya masih lagi dikekalkan seperti penggunaan pembuatnya yang diperbuat daripada tempurung kelapa.  Tempurung kelapa yang sudah dibersihkan akan ditebuk lobang ditengah-tengahnya.  Kemudian barulah proses pembuatan pemegang yang menggunakan sebatang kayu kecil yang juga diperbuat daripada buluh kebiasaannya. Panjang pemegang itu pula diantara 28cm – 33 cm terpulang kepada kesesuaian si pembuat itu nanti. 

Kedengarannya begitu mudah sekali tetapi sebaliknya pembuatan kuih tradisi ini merupakan satu proses pembuatan kuih yang menuntut kesabaran serta ketelitian.  Ini kerana bukan mudah untuk memastikan kesempurnaan pada kuih tradisional ini.  Teknik untuk mengetuk acuan agar boleh mencipta bentuk fizikal kuih yang bersilang-silang seakan-akan sarang semut atau jala ini juga menuntut satu kerja yang mengkhusus. 

Jika sudah pakar untuk membentuk fizikal kuih jala memerlukan kepakaran apatah lagi untuk proses menggoreng pula.  Ini kerana tahap kepanasan minyak juga perlu dijaga agar setiap kuih jala yang digoreng adalah benar-benar masak serta ranggup tetapi tidak hangus.  Jadi sudah tentu kerja-kerja pembuatan seperti ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang benar-benar pakar dan bukan hanya untuk suka-suka sahaja.


UPTOWN SEMARIANG


DUNIA pasar malam atau dengan nama modennya sebagai “Uptown” sebenarnya sudah menjadi satu hal biasa di Semenanjung Malaysia. Siapa tidak kenal Uptown Danau Kota serta beberapa nama lagi yang menjadi tempat wajib dikunjungi apabila berbicara mencari barangan yang luar biasa tetapi murah harganya.

Nampak gayanya budaya “uptown” ini sudah menular ke Sarawak dengan tertubuhnya Kuching Uptown beberapa tahun yang lalu di kawasan Civic Centre, Kuching. Kemudian diikuti dengan pembukaan Uptown Samarahan yang menjadi tempat bagi warga Samarahan mendapat barangan yang dihajati. Dan sekarang sudah ada Uptown Semariang yang beroperasi di kawasan Giant Hypermart, Semariang menjadikan kerancakan warga Kuching untuk bersantai bersama keluarga serta membuat pilihan pembelian barangan.

Berada di uptown ini sebenarnya memberi satu kepuasan di hati apabila melihat sendiri betapa gigihnya anak-anak Sarawak tidak kira usia cuba melibatkan diri di dalam dunia perniagaan. Peluang meniaga secara kecil-kecilan inilah menjadi asas untuk menjadi seorang ahli perniagaan berjaya. Barangan yang ditawarkan juga mempunyai kelasnya tersendiri dan sudah tentu harga yang berpatutan juga boleh menawan hati pembeli.

Ini merupakan satu usaha yang wajar disokong bagi merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat. Waktu beroperasinya yang dibuka pada hari Jumaat sehingga Ahad juga mampu menjadikan Uptown sebagai satu tempat untuk anak Sarawak bersosial bersama keluarga dan teman sambil menjamu selera mahupun membeli belah.

BOT EXPRESS DAN ORANG KITA




INI hanya satu gambaran biasa yang menjadi realiti penghidupan di pendalaman Sarawak iaitu di Kapit.  Apabila musim perayaan samada Gawai mahupun Krismas, ramai anak-anak Sarawak akan pulang ke kampung halaman untuk merayakannya bersama-sama keluarga di kampung.

Dan seperti biasa maka ramailah yang akan berkata inilah lumrah apabila jalinan perhubungan darat iaitu jalanraya belum ada.  Untuk kesekian kalinya lebih 53 tahun menunggu tidak lama lagi akan tertunailah jalanraya untuk penduduk di Kapit cuma harus bersabar menunggu jajaran Lebuhraya Pan-Borneo siap. 

Itu cerita pengangkutan darat dan buat masa sekarang yang ada hanyalah bot express sebagai “nyawa” untuk pulang ke kampung.  Yang menjadi kekhuatiran kita adalah hampir saban tahun jika melihat kepada rekod mesti ada kemalangan bot express semasa musim perayaan.  Banyak faktor penyumbang dan salah satunya adalah lebihan muatan. 

Jika berkata tentang itu sahaja sudah tentu faktornya adalah kita sebagai penumpang dan juga pengusaha bot ekspress mahupun pihak yang berwajib yang menutup mata.  Jadi tiada salahnya kita sebagai penumpang cuba mendisiplin diri dengan tidak menaiki bot bila ianya sudah penuh. 

Buat laporan biar pengusaha bot ekspress terbuka mata yang kita tahu hak kita. Pihak berwajib pula jangan hanya mengambil sikap acuh tidak acuh, ketegasan anda dituntut demi keselamatan semua.

Sesal Dahulu Pendapatan Sesal Kemudian Tidak Berguna

Monday 23 May 2016

PESTA GAWAI MENJELANG TIBA TAPI….


SETIAP 1 Jun saban tahun, rakyat Sarawak Bumi Kenyalang tanpa mengira bangsa dan agama akan bersama-sama merayakan Pesta Gawai atau Pesta Menuai.  Ianya merupakan salah satu perayaan tradisi terbesar yang dirayakan di seluruh Sarawak. 

Untuk itu menjelang perayaan Gawai yang hanya tinggal beberapa hari lagi, kemeriahannya sudah mula terasa.  Sudah menjadi satu tradisi sambutan Gawai akan diadakan dengan menzahirkan perarakan Gawai di seluruh ceruk rantau Sarawak tidak kira pekan kecil mahupun Bandar besar, ianya akan diadakan dengan penuh tradisi, harmoni dan bersatu padu atas nama rakyat Sarawak. 

Bukan itu sahaja, Gawai juga menjadi simbol perpaduan dan juga tradisi anak Sarawak apabila pertandingan ratu cantik tradisional akan menjadi tarikannya.  Ada Kumang Gawai, Keligit Gawai serta banyak lagi yang menjadikan pesta Gawai itu penuh dengan warna warni yang gemilang sekali.  Itulah kemeriahannya yang dirasa jika di Sarawak. 

Tetapi sayang seribu kali sayang, kemeriahan ini tidak terpatri di media-media arus perdana yang seolah-olah menutup mata tentang sambutan Gawai di Sarawak.  Tiada iklan, tiada kata-kata ucapan untuk kita orang Sarawak dan jauh sekali jika dibandingkan sewaktu Pilihanraya berlangsung. 

“Arumbulak kata urang Sarawak nang hari-hari cerita Sarawak time urang ngundi”. Sesuatu yang pahit untuk kita telan tetapi itulah kenyataan kerana media arus perdana BUKAN orang Sarawak yang empunya. 

Rakyat Malaysiakah kita?  Tepuk dada tanya iman. 

Sunday 22 May 2016

TERKANDAS KERANA KESESAKAN LEBUHRAYA ELITE


NIAT mereka hanya satu iaitu untuk bersama-sama keluarga menyambut Hari Gawai namun kadang-kadang apa yang dirancang tidak selalunya tepat.  Dan kali ini anak-anak Sarawak yang merupakan penuntut di Semenanjung Malaysia terpaksa mengharungi detik-detik kepayahan apabila tertinggal penerbangan.

Bukan salah mereka tetapi kesesakan di Lebuhraya Elite semalam menyebabkan pengangkutan mereka ke KLIA 2 tersasar dari waktu yang sepatutnya mereka tiba.  Kita sendiri boleh bayangkan apalah kudrat yang ada kepada pelajar-pelajar kita ini yang juga merupakan dari 38 orang dari etnik Penan Long Tanyit, Bintulu. 

Kesulitan mereka didengar oleh Kerajaan Negeri Sarawak lalu bertindak menghantar YB Dato Fadillah Yusuf, YB Fazrudin Abdul Rahman, YB Wilson Ugak dengan kerjasama YB Abdullah Saiful, YB Kennedy Chukpai serta beberapa lagi individu sehati sejiwa memberikan bantuan yang perlu.  Dengan musyawarah antara pemimpin-pemimpin Sarawak dengan pihak pengurusan Air Asia akhirnya proses menghantar pulang 38 anak Sarawak berjaya juga. 

Syabas dan terima kasih pemimpin-pemimpin Sarawak serta individu-individu anak Sarawak di perantauan yang peka dengan apa yang terjadi kepada anak Sarawak yang lain.  Kita semua bersaudara, cubit paha kiri paha kanan pun terasa. 

Friday 20 May 2016

PERLAKSANAAN HUKUMAN GANTUNG UNTUK JABING KHO, 20 MEI 2016


SETELAH pelbagai rayuan dan usaha undang-undang diusahakan akhirnya seorang anak Sarawak di perantauan iaitu Kho Jabing atau nama Islamnya Mohamad menjalani hukuman gantung sampai mati pada jam 3.30 petang di Kompleks Penjara Changi semalam. 

Kho Jabing, 31 tahun yang berasal dari Ulu Baram, Sarawak sebelum itu telah disabitkan dengan kesalahan membunuh seorang pekerja binaan warga China dalam cubaan merompak di Geylang Drive, Singapura sekitar tahun 2008.  Pada tahun 2010 beliau telah dikenakan hukuman gantung namun begitu berjaya mengelakkan perlaksanaannya setelah membuat rayuan demi rayuan dari tahun 2010 sehingga 2013. 

Di dalam proses rayuan itu juga Kerajaan Negeri Sarawak dibawah pentadbiran Datuk Adenan pernah mengutus surat rayuan kepada Kerajaan Singapura melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Yang Berbahagia Puan Hajjah Nancy Syukri bagi memohon sedikit bicara mengenai kes Jabing Kho.  Namun akhirnya tiada siapa yang boleh menidakkan undang-undang yang ketat di Singapura sehingga memungkinkan beliau menjalani juga perlaksanaan hukuman gantung tersebut.  Menurut keluarga Jabing, Kho, Jabing telah memeluk Islam sewaktu di penjara dan menggunakan nama Muhamad sebagai nama Islamnya. 

Demi merealisasikan pemintaan Allahyarham maka jenazahnya akan diterbangkan dari Singapura ke Miri setelah usai pemeriksaan di sebuah hospital di Singapura.  Allahyarham akan disemadikan di Tanah Perkuburan Orang Islam, Batu 1, Jalan Kuala Baram, Miri iaitu dekat dengan kampung halamannya. 

Walau apa jua kesalahan allahyarham sewaktu hidupnya ianya bukan hak kita untuk mengadilinya disisi Allah SWT.  Apa yang berlaku ini sudah tentu menjadi pengajaran buat kita lebih-lebih lagi kepada anak Sarawak di perantauan untuk sentiasa menjaga etika dan tingkahlaku ketika mencari rezeki di Negara orang. 

Salam takziah untuk keluarga Allahyarham Mohamad @ Jabing Kho dan sama-samalah kita berdoa agar roh Allahyarham ditempatkan dikalangan mereka yang beriman. 

Alfatihah. Amin.



Thursday 19 May 2016

BARISAN KABINET SARAWAK 2016


NAMPAK gayanya Datuk Adenan berjaya mengetengahkan barisan kabinet yang cukup mantap untuk mereka yang akan membantunya mencapai visi dan misinya.  Menerusi barisan kabinetnya ini telah menampilkan beberapa faktor yang cukup luar biasa iaitu memiliki beberapa kriteria yang amat jarang diketengahkan sebelum ini. 

Dengan mengambilkira persoalan etnik, gabungan muka baru dan lama, pemimpin berdasarkan zon, berpendidikan dan merealisasikan fokus yang mantap pada luar Bandar menjadikan kabinet ini sungguh luar biasa.  Dan ianya juga menjadi satu yang agak manis apabila 2 Menteri Penuh diangkat di kalangan menteri wanita berbanding sebelum ini. 

Yang pasti, Datuk Adenan telah memberikan pertimbangan sewajarnya dan untuk para Yang Berkhidmat sekarang adalah masa untuk berkerja. 


“The time for talk is over. Time for action is now. YB - Yang Berkhidmat for the people must be internalized & clearly demonstrated via report cards that will be submitted to me every 6 months.” – Datuk Adenan. 

Wednesday 18 May 2016

7 MENTERI MUDA BARU UNTUK KABINET NEGERI SARAWAK


TAHNIAH diucapkan untuk 7 muka baru yang ditampilkan oleh Datuk Adenan untuk menganggotai kabinet Negeri Sarawak.  Upacara perlantikan dan angkat sumpah baru sahaja selesai dilakukan sebentar tadi.
Antara muka-muka baru yang menjawat Menteri Muda adalah:

1.   YB Dr. Abdul Rahman Junaidi (Pantai Damai)
2.  YB Sharifah Hasidah Sayeed Ghazali (Samariang)
3.  YB Dr. Annuar Rapaee (Nangka)
4.  YB Datu Dr. Penguang Manggil (Marudi)
5.  YB Dato Gerawat Gala (Mulu)
6.  YB Malcom Mussem Lamoh (Batang Ai)
7.  YB Dr. Abdul Rahman Ismail (Bukit Kota)

Datuk Adenan telah mengotakan janjinya untuk memberikan lebih ruang kepada pemimpin wanita memikul tanggungjawab yang lebih besar dengan terpilihnya YB Sharifah Hasidah Sayeed Ghazali menjadi Menteri Muda pada barisan kabinet Negeri Sarawak yang baru. 

Kita memerlukan lebih ramai lagi penglibatan suara wanita di dalam memercu Sarawak untuk lebih gemilang lagi.  

Monday 16 May 2016

REKOD TIKAR ROTAN TERPANJANG DI DUNIA – SG ASAP, BELAGA


DI MANA ada kemahuan, di situ ada jalannya. Itulah peribahasa yang boleh menggambarkan kesungguhan warga Sungai Asap, Belaga Sarawak yang mana kelmarin telah mencatatkan sejarahnya tersendiri sebagai pemegang rekod Tikar Rotan Terpanjang Di Dunia. 
Hanya dengan kesungguhan dan kerjasama daripada semua warganya barulah hal ini terjadi dan ternyata semangat ini memungkinkan satu tikar rotan yang panjangnya 1129 meter hasil pembuatan semua pihak telah mencatatkan sejarahnya yang tersendiri. 
Tahniah kepada semua yang terlibat khususnya penduduk Sungai Asap, Belaga. 

Sungai Asap Boleh!
Sarawak Boleh!

CUKUP CUKUP SUDAH!


SUDAH hampir 2 minggu berlalu “Sarawak Memilih” namun sehingga sekarang masih lagi kedengaran suara sumbang-sumbang dari mereka yang tidak boleh menerima hakikat apakah makna demokrasi yang sebenarnya. Pelbagai kata nista dan makian daripada mereka yang berselindung dari “fake profile” mahupun muka sebenar yang rata-ratanya sudah pasti penyokong dari parti mana. 

Sesuatu yang begitu menjengkelkan apatah lagi golongan ini bukannya dari rakyat Sarawak tetapi adalah dari kalangan rakan sejajar di seberang sana.  Yang pasti apa sahaja yang diperkatakan sebenarnya adalah satu penanda aras betapa berbezanya orang Sarawak dan golongan ini di dalam memberi makna sebenar apakah itu politik. 

Bukan untuk mendabik dada tetapi ianya satu hakikat bahawa budaya orang Sarawak dengan orang Malaya berpolitik adalah sesuatu yang berbeza sama sekali. Umpama langit dan bumi bezanya dan apabila keputusan Sarawak Memilih 2016 memihak kepada Team Adenan, kita boleh lihat bagaimana mereka yang menyokong parti lawan menerima segalanya dengan penuh redha bahawa aura Adenan lebih terasa daripada isu yang mereka mainkan. 

Jadi untuk golongan yang tidak boleh menerima hakikat ini cukup cukuplah menghiris hati kami rakyat Sarawak.  Ingatlah untuk PRU 14 nanti kita akan lihat apa pula keputusannya kerana rakyat Sarawak walau tinggal di atas pokok, bercawat dan hanya berperang dengan sumpit beracun “Cukup pandai” bermain dengan tanda “X” di atas kertas undi.  Ini kerana kami mendahulukan negeri Sarawak daripada permainan emosi. 

"DO not forget without Johor, there is no Federation Malay States. And without Sabah & Sarawak there will be NO MONEY for this Country" - HRH Tunku Mahkota Johor

Ingat itu!


Sunday 15 May 2016

GURU, PAHLAWAN TANPA TANDA JASA

SEKALI lagi tarikh keramat ini disambut oleh seluruh warga pendidik di seluruh negara. Telah tersurat dan tersirat bahawa tugas guru itu adalah satu tugas mulia.
Sesungguhnya guru mempunyai tanggungjawab yang:
berat, jika dianggap berat,
mudah, jika mengambil mudah
mulia, jika dilaksana dengan sepenuh jiwa dan raga.
Yang pasti, sama ada kita guru, murid atau bekas murid, hari inilah kita menyampaikan penghargaan yang khusus dan istimewa buat guru kita mahupun bekas guru kita.
Guru merupakan pahlawan tanpa ada tanda jasa.
TERIMA KASIH CIKGU DAN SELAMAT HARI GURU 16 MEI


Friday 13 May 2016

"ABG JO" TIMBALAN KETUA MENTERI SARAWAK

SETINGGI-TINGGI tahniah diucapkan kepada Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg atau lebih dikenali sebagai "Abang Jo" di kalangan rakyat Sarawak atas perlantikan beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak.  
Abang Jo merupakan antara nama besar yang sudah begitu lama mewarnai dunia politik Sarawak. Sudah sampai masanya beliau diangkat untuk menjadi orang kanan di dalam Team Adenan yang telah menang besar di dalam PRN Sarawak ke-11 beberapa hari yang lalu.  
Terima kasih Datuk Adenan atas pemilihan yang bijak ini dan semoga barisan kabinet Sarawak akan memacu Sarawak menjadi lebih cemerlang, terbilang dan gemilang.

Thursday 12 May 2016

DATO’ SRI DOUGLAS HAMPIR PASTI TIMBALAN KM SARAWAK

KEMBALInya Dato’ Sri Douglas mengungguli barisan Team Adenan untuk PRN ke-11 baru ini iaitu bertanding di Bukit Saban, seolah-oleh mengiyakan segala cakap-cakap politik bahawa inilah pengganti kepada jawatan Timbalam KM yang dikosongkan oleh Datuk Alfred Jabu.  Kemenangan bergaya beliau di Bukit Saban juga menyaksikan bahawa masyarakat Sarawak seolah-olah menyokong untuk beliau mewarisi jawatan tersebut. 

Dan apa yang pasti di dalam kita mengira detik sejarah baru tercipta iaitu apabila Datuk Adenan akan mengumumkan barisan kabinet barunya, nama Dato’ Sri Douglas Unggah Embas bukan lagi satu rahsia akan menjadi Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang baru.  

DATO SRI JAMES MASING UNTUK TIMBALAN KM SARAWAK

KITA sudahpun mengetahui bahawa rakyat Sarawak memberikan mandat yang besar kepada Tok Nan untuk menjadi Ketua Menteri Sarawak buat 5 tahun lagi. Sekarang yang menjadi teka-teki adalah barisan kabinet Kerajaan Negeri Sarawak yang baru dibentuk. 
Di dalam kita cuba mencongak siapakah pula yang akan mengisi 3 jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, telah terdengar nada-nada bahawa berkemungkinan besar tiada wakil dari Kaum Cina yang mewarisi jawatan tersebut. Sebaliknya ianya diisi oleh seorang anak Sarawak yang tidak kurang hebatnya di dalam arena politik tempatan.  
Dikatakan Dato Sri Dr. James Jemut Masing akan mengungguli salah satu daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak tersebut. Jika ini benar maka sudah tentu ianya merupakan satu kejutan besar dan bersama-samalah kita menunggu pengumumannya pada jam 3 petang ini nanti.

Tuesday 10 May 2016

KINI NAJIB PERLU MELAYAN TUNTUTAN SARAWAK




MESKIPUN BN menang besar dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-11 Sabtu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kemenangan besar yang dicapai Barisan Nasional (BN)  Sarawak bermakna kuasa kerajaan pusat akan menjadi lemah.
“Najib kini lebih perlu melayan tuntutan-tuntutan Sarawak. Malah, Najib sudah pun melakukannya. Apa saja yang diminta oleh Sarawak, ia akan dapat. Suara Sarawak untuk rakyat Sarawak bertambah nyaring,” kata mantan perdana menteri dalam catatan terbaharu blognya.
“Beliau (Najib) sekarang akan lebih bergantung kepada sokongan Sarawak berbanding sebelum ini,” katanya.
Katanya, pencapaian BN Sarawak sebenarnya melemahkan penguasaan kerajaan pusat yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak.
“Perdana Menteri tiada alasan untuk bergembira,” katanya.
BN menang 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan lima daripada kerusi majoriti Cina daripada genggaman DAP yang dimenanginya pada 2011, tumbang.
Kemenangan itu adalah di sebalik populariti Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang mencanak susulan 53 keputusan dan prinsip yang dilaksanakannya termasuk yang bersifat pro-Cina. Antaranya pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), peruntukan RM12 juta untuk sekolah persendirian Cina dan tidak menganggap Cina sebagai pendatang.
Mahathir berkata selepas pilihan raya umum ke-13, sokongan daripada Sarawak dan jirannya Sabah penting untuk kerajaan pusat.
“Hanya memerlukan 12 atau 13 anggota parlimen berpaling tadah bagi kerajaan pusat untuk tumbang,” tambahnya.
Mahathir juga berkata, ketika Adenan merayakan kejayaan besar mereka, Najib kini harus bimbang pada penggantungannya pada negeri-negeri simpanan tetap.

Pilihan raya umum ke-14 dijangka lebih sengit dengan pengundi akan membuat keputusan yang banyak dipengaruhi oleh kepemimpinan negara dan isu berkaitan 1MDB, derma RM2.6 bilion dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

TEAM ADENAN DAN CERITA LAMPU AJAIB ALADIN

TAHNIAH kepada Tok Nan dan keseluruhan Team Adenan yang menang bergaya pada Pilihanraya Negeri Sarawak yang lalu.  Ianya merupakan kemenangan yang besar apatah lagi strategi Tok Nan mendapat restu dari rakyat Sarawak sendiri dengan 72 kerusi dimenangi dari 82 kerusi yang dipertandingkan. 

Di dalam corat coret kita berpesta dengan kemenangan ini timbul pula suara-suara sumbang di dalam media sosial mengenai kehilangan Adun-adun dari kawasan mereka usai sahaja kejayaan dicapai.  Tidaklah diketahui samada suara-suara ini dari mereka yang kecewa kerana calon pilihan sudah kalah atau juga kerana janji-janji yang ditaburkan ketika kempen dijalankan. 

Hakikatnya, perlulah diketahui bahawa Team Adenan juga manusia biasa yang memerlukan rehat secukupnya setelah mengharungi kempen selama lebih kurang 14 hari.  Ianya merupakan satu proses yang panjang dan menuntut tenaga yang kuat bagi menunaikan permintaan akar umbi yang ingin bersua dengan mereka. 

Jadi untuk itu fahamilah mungkin ada sesetengah ADUN itu senyap seketika untuk memberi ruang kepada dirinya mengumpul tenaga serta mengatur strategi bagaimana untuk melunaskan setiap janji yang diberikan.  Kesemua ini memerlukan perancangan yang rapi lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan dana.  

Adun kita juga manusia biasa dan mereka bukannya seperti Aladdin yang boleh menggosokkan lampu ajaibnya maka permintaan terus terlunaskan didepan mata. 

Saturday 7 May 2016

MUARA TUANG BEST!

KESEDERHANAAN beliau jelas kelihatan ketika seisi bersama rakyat Muara Tuang. Itulah Bang Dris yang tidak mendabik dada biarpun kemenangan besar beliau adalah sesuatu yang tidak diluar jangkaan. Manakan tidak di Muara Tuang yang mempunyai 52 ranting dan beliau menang di kesemua ranting-ranting ini.
Keputusan PRN di Muara Tuang semalam menyaksikan satu fenomena kerana amatlah jarang seorang calon baru mendapat jumlah undi yang besar sebegitu iaitu sebanyak 10,086 memilih Bang Dris yang mewakili BN-Pbb manakala untuk 1,508 untuk PAS dan 765 untuk PAN. Ini bermakna undi majoriti Barisan Nasional Sarawak bagi DUN Muara Tuang adalah sebanyak 8,578 undi. Angkanya sahaja sudah menunjukkan rekod yang cukup baik bagi Pasukan Adenan.
Yang pasti, rakyat Muara Tuang telah memilih dan mereka memilih salah seorang Pasukan Adenan iaitu Bang Dris untuk menjadi “manok sabong” mereka. Malah seluruh Sarawak juga telah memilih dan menyahut seruan Tok Nan untuk memberikan mandat besar kepada beliau dengan kemenangan 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
Terima kasih Muara Tuang atas pemilihan yang cukup bijak ini dan terima kasih kepada seluruh orang Sarawak yang menyokong usaha Tok Nan untuk memperjuangkan apa yang menjadi hak kepada kita orang Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Memilih Pasukan Adenan merupakan simbol kepada aspirasi rakyat Sarawak yang mahukan Sarawak itu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Yang pasti, Muara Tuang dibawah Bang Dris akan terus menyerlah dengan pembangunan seperti yang beliau dan Kerajaan Negeri Sarawak rancangkan.
“ Terima kasih rakyat Muara Tuang atas kepercayaan anda kepada saya. Maafkan saya jika ada senyum yang tidak terbalas. Huluran tangan yang tidak tercapai. Ucapan salam yang tidak terjawab. Saya hanya manusia biasa tetapi sekarang memikul tanggungjawab yang sangat LUAR BIASA.” - Bang Dris -
Tahniah Muara Tuang!
Tahniah Pasukan Adenan!
Tahniah Bang Dris!

Thursday 5 May 2016

HELIKOPTER MEMBAWA VVIP DISAHKAN TERHEMPAS




BARU sebentar sidang media Perdana Menteri Malaysia, Datuk Najib yang mengumumkan bahawa helikopter yang dikatakan hilang dari radar semalam disahkan terhempas. Ini berikutan beberapa serpihan helikopter telah ditemui sekitar jam 9.30 pagi tadi di kawasan Sebuyau.
Semalam, sebuah helikopter yang berlepas daripada Betong ke Kuching pada jam 4.15 petang telah hilang dari radar penerbangan pada sekitar jam 5.00 petang. Bertindak daripada itu, usaha-usaha SAR darat telah dilakukan. Dan hanya pada pagi ini SAR udara pula dijalankan dengan besar-besaran.
Senarai nama penumpang helikopter tersebut adalah seperti berikut:
1. Datuk Noriah Kasnon, Timbalan Menteri MPIC
2. Tuan Asmuni bin Abdullah (suami TM)
3. Datuk Dr. Sundaran Annamalai, KSU MPIC
4. Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad, Pengerusi MPOB/AP Kuala Kangsar
5. Ahmad Sobri bin Harun (pengawal peribadi)

Status penumpang masih lagi belum diketahui sehingga ke saat ini. Sama-samalah kita berdoa agar segala usaha mencari dan menyelamat dipermudahkan. Amin.
Nota: Berikut merupakan gambar-gambar SAR langsung dari lokasi dan dikatakan ada mayat telah dijumpai cuma ianya belum disahkan lagi.

Wednesday 4 May 2016

PARTI ASAL SARAWAK DIDAHULUKAN


LAUNGAN Sarawak Untuk Orang Sarawak berkumandang di sana-sini apabila bercakap mengenai kempen-kempen para bakal “YB” dari parti asal Sarawak. Sememangnya ianya mempunyai signifikasi yang tersendiri di dalam memperkatakan semangat juang anak Sarawak.
Dikala banyak parti luar (bukan asal Sarawak) mengeluarkan manifesto yang hakikatnya hanya bergelumang dengan isu-isu yang bukan isu Sarawak ianya berbeza sama sekali dengan perjuangan parti asal Sarawak. Barisan Nasional Sarawak dibawah pimpinan Datuk Adenan mengetengahkan isu yang dekat di hati Sarawak malah manifestonya kebanyakannya telahpun dilaksanakan dan banyak lagi yang di dalam perbincangan.
Parti bukan asal Sarawak pula banyak melebihkan isu Persekutuan yang hakikatnya bila difikirkan kembali walau apa jua keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak nanti tidak mampu mengubah apa-apa pun kerana PRN berbicara soal halatuju Negeri Sarawak.
Dengan tempoh berkempen akan menutup tirai lebih kurang 36 jam lagi, amatlah diharapkan agar pengundi Sarawak memahami perbezaan antara isu yang dibawa oleh parti asal Sarawak vs parti bukan asal Sarawak. Datuk Adenan telah mengetengahkan “Adenan Team” yang cukup hebat untuk menjadi sandaran kita nanti di dalam memastikan Sarawak mendapat apa yang rakyat mahukan.
Sebagai orang Sarawak sudah tentu kita tidak mahu membiarkan keputusan negeri kita dipegang oleh ketua yang bukan asal Sarawak.
Kekallah Sarawak Bertuah, Teras Perjuangan Rakyat, Berjaya Berdaulat!

SARAWAK HARMONI

KEPELBAGAIAN masyarakat Sarawak yang terdiri daripada masyarakat majmuk menjadikan ianya unik. Untuk menjaga keharmonian semua malah sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan ianya sentiasa dijaga.  
Beberapa prinsip dan langkah Kerajaan untuk "Sarawak Harmoni" adalah seperti berikut:
1. Sarawak tidak akan bertoleransi terhadap sifat keharmonian. 
2. Penganut bukan Islam bebas mengamalkan agama masing-masing. 
3. Kalimah Allah boleh digunakan oleh sesiapa sahaja, bila-bila masa tapi harus dengan adab dan saling hormat-menghormati. 
4. Tiada sekatan bagi penggunaan kitab bible versi Bahasa Melayu di Sarawak. 
5. Hudud tidak akan dipraktikkan di Sarawak. 
6. Mana-mana golongan fanatik dan pelampau tidak diterima di Sarawak.

Tuesday 3 May 2016

CERITA TENTANG "WALKABOUT"


“WALKABOUT” adalah antara salah satu cara berkempen yang sebenarnya agak “old school” kerana sejak daripada rakyat Malaysia mula mengenali apa itu pilihanraya ianya telahpun dilakukan. Berjalan santai-santai ke kawasan yang menjadi tumpuan orangramai seperti pasar basah atau kedai kopi serta dari rumah ke rumah sebenarnya mempunyai implikasi yang tidak kurang besarnya bagi seseorang calon YB.

Bagi seseorang calon baru sudah tentu “walkabout” ini adalah salah satu kaedah untuk memperkenalkan diri dengan orangramai. Senyuman dan ucapan salam sambil-sambil bertanya khabar serta mendengar sendiri keluh kesah rakyat secara langsung dapat memberikan gambaran sedikit sebanyak apa yang dilalui oleh rakyat pada ketika itu. Mendengar, mencatit dan seterusnya jika sudah diberikan peluang untuk menjadi “YB” adalah wajar segala permasalahan ini diberikan perhatian sepenuhnya.

Hakikatnya, “walkabout” tidaklah memerlukan protokol seperti berkempen dengan menggunakan pembesar suara dengan berucap panjang menjela-jela sebenarnya lebih memberikan implikasi positif kerana setiap calon “YB” boleh mendekati rakyat dan mendengar kesulitan mereka dari hati ke hati. Dan janganlah pula ber"walkabout" hanya ketika sedang bertanding sebaliknya teruslah mendekati rakyat apabila sudah menang nanti.

Cerita tentang “walkabout” nampak ringkas tetapi impaknya besar.