Wednesday 31 August 2016

MEMAHAMI TARIKH BERSEJARAH DI DALAM PEMBENTUKAN MALAYSIA


16 HARI lagi, kita akan merayakan ulangtahun penubuhan Gagasan Malaysia yang usianya baru menjangkau 53 tahun.  Di dalam memperkatakan mengenai tarikh keramat ini terdapat 3 lagi tarikh bersejarah yang harus difahami oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.  Ianya adalah 31 Ogos 1957, 31 Ogos 1963 dan 22 Julai 1963 yang mempunyai signifikasi tarikhnya tentang hari kemerdekaan 3 entiti pembentuk Gagasan Malaysia sekarang. 
Menyelusuri sistem pendidikan yang selama ini menjadi aspek penting di dalam menyerapkan makna patriotism, kita sudah almaklum bahawa 31 Ogos 1957 itu menjadi topik yang mendominasi semuanya apabila berbicara mengenai tarikh kemerdekaan Negara. Dan kita akur dan hormat malah merayakannya dengan penuh bangga tarikh 31 Ogos saban tahun sebagai tarikh lahirnya satu bangsa Malaysia yang bebas merdeka. 
Namun begitu usahlah dilupakan bahawa 31 Ogos 1963 (Sabah merdeka) dan 22 Julai 1963 (Sarawak merdeka) juga penting didalam memperkatakan kelahiran Sabah mahupun Sarawak yang mana pada ketika itu sudah mempunyai pentadbiran anak tempatan yang tersendiri bebas dari cengkaman British sepertimana Persekutuan Tanah Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957. 
Dan 16 September 1963, Hari Malaysia juga penting untuk difahami oleh semua lapisan rakyat Malaysia iaitu hari pembentukan Gagasan Malaysia yang dibentuk oleh Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Singapura dan Sabah.  Pemahaman dan penjelasan yang pro-aktif itu perlu agar tiada lagi suara-suara sumbang yang cuba mengadu domba kesatuan rakyat Malaysia atas satu hal yang Nampak kecil tetapi sebenarnya mempunyai impak yang besar. 
Kenyataan senada dan seirama ini dikeluarkan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Fatimah Abdullah dan juga Menteri Muda Kemudahan Awam (Electricity and Telecommunications) Dr. Abdul Rahman Junaidi sewaktu sambutan Hari Kebangsaan Malaysia peringkat DUN masing-masing semalam.   
Dan usulan ini sememangnya sesuatu yang baik memandangkan Sarawak mahupun Sabah juga sebenarnya mempunyai keunikan sejarahnya yang tersendiri yang ramai rakyat Malaysia tidak mengetahuinya. Dan alangkah baiknya jika matapelajaran Sejarah Malaysia sekarang juga harus dirombak bagi lebih memperkasakan sejarah Sabah dan Sarawak agar lebih difahami oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.

“THERMAL SCREENING” VIRUS ZIKA BERKUATKUASA DI SARAWAK


PENULARAN virus zika sudah semakin hampir dengan Malaysia apabila lebih 80 kes sudah dilaporkan berlaku di Singapura setakat ini.  Untuk itu jangan kita pernah memandang enteng akan hal ini kerana buruk padahnya kepada sistem imunisasi seorang manusia lebih-lebih lagi pada ibu yang sedang hamil. 
Bertitiktolak daripada itu, Sarawak melalui Kementerian Kesihatannya sudahpun mengambil langkah pro-aktif dengan membuat penguatkuasaan melakukan “Thermal Screening” pada mana-mana individu yang menggunakan pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.  Segala kemungkinan boleh sahaja berlaku lebih-lebih lagi sehingga sekarang, Sarawak belum pernah bebas daripada denggi yang juga disebabkan oleh virus bawaan nyamuk yang sama. 
Untuk itu setiap penumpang yang hendak membuat perjalanan dari/ke Singapura akan terpaksa melalui tahap pemeriksaan ini memandangkan ianya begitu senang berjangkit.  Sesuatu yang harus rakyat Sarawak ketahui, kesan virus zika ini terlalu besar terutamanya kepada ibu-ibu yang hamil kerana bayi-bayi yang dilahirkan nanti akan terencat tumbesarannya. 
Selain daripada itu, adalah dinasihatkan agar rakyat Sarawak terus menjaga kesihatan diri sendiri lebih-lebih lagi memastikan kawasan sekitar bebas daripada sarang nyamuk.  Pembersihan dari semasa ke semasa harus ditingkatkan. 

Tuesday 30 August 2016

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA



31 Ogos, tarikh kemerdekaan Malaysia. Salam kemerdekaan untuk semua anak Malaysia walau dimana jua anda berada.

Sunday 28 August 2016

APA SUDAH JADI DENGAN BLOK SK410B?


BLOK SK410B adalah satu kawasan eksplorasi minyak dan gas baru yang berada di dalam perairan Sarawak.  Pada tanggal 21 Julai 2016 dikatakan pihak Petronas telah menganugerahkan kontrak (PSC) kepada PTTEP HK Offshore Limited (PTTEP) dan KUFPEC Malaysia (SK-410B) Limited (KUFPEC) dengan pegangan share 42.5% (PTTEP), 42.5% (KUFPEC) dan Petronas Carigali hanya 15%. 
Menariknya cerita mengenai Blok SK410B ini adalah segala aktiviti ekspolorasi diberikan oleh Petronas kepada pegangan asing TANPA PENGETAHUAN PIHAK KERAJAAN NEGERI SARAWAK. Dan hal seperti ini sudah tentu menjadi satu tanda tanya kepada kita sebagai rakyat Sarawak bagaimana pihak Petronas boleh membuat sewenang-wenangnya kepada sumber yang berada di dalam negeri Sarawak.
Seharusnya sebarang aktiviti seperti ini wajar dirujuk kepada tuan punya tanah iaitu Sarawak kerana ianya terletak di dalam jurisdiksi Kerajaan Sarawak namun sebaliknya berlaku.  Hal seperti ini harus jangan dipandang enteng kerana silap langkah “tergadai” wilayah Sarawak menjadi hak orang asing. 
Pihak Kerajaan Negeri Sarawak harus membuat sesuatu agar Petronas menghormati hak Sarawak di buminya sendiri.  

BANTUAN PEMBAYARAN YURAN PENDAFTARAN UNTUK PELAJAR BARU UNIVERSITI AWAM


SEKARANG merupakan musim pendaftaran untuk pelajar-pelajar baru yang sudah terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading di universiti-universiti awam mahupun swasta di seluruh Malaysia.  Satu peluang yang dinantikan dan diidamkan oleh setiap insan di dunia kerana mendapat segulung ijazah mahupun diploma itu mampu memberikan peluang yang lebih cerah di dalam penghidupan kelak. 
Dalam pada itu, perlu kita ketahui bukan semua antara pelajar ini adalah dari golongan yang berada dan ada yang dari keluarga yang tidak berkemampuan.  Seringkali, faktor kewanganlah yang menjadi duri di dalam daging yang membantut keinginan anak golongan yang tidak berkemampuan untuk meneruskan pengajian mereka. 
Peka dengan permasalahan yang sering dialami oleh pelajar-pelajar baru dari golongan yang tidak berkemampuan di dalam melangsaikan yuran pendaftaran universiti menyaksikan pihak Kementerian Pengajian Tinggi menampilkan kaedah untuk membantu golongan ini.  Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri yang bertanggungjawab pada 28 Ogos 2016 iaitu YB Dato Seri Idris Jusoh dengan kerjasama daripada pentadbir universiti awam di seluruh Malaysia telah menyediakan satu kaunter khas untuk tujuan tersebut. 
Pelajar-pelajar baru dari golongan tidak berkemampuan yang terpilih di universiti awam hanya perlu ke kaunter khas yang disediakan sewaktu pendaftaran kelak. Dan pihak universiti akan memberi ruang kepada mereka dengan membantu sebaik mungkin bagaimana untuk melangsaikan yuran pengajian itu kelak. 
Sedikit sebanyak bantuan yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi ini akan menceriakan hati ibubapa dan anak-anak mereka untuk terus mengapai cita-cita belajar di menara gading kelak.  Selamat belajar kepada bakal graduan kita yang juga merupakan pelapis pemimpin Negara. 

Saturday 27 August 2016

KENYATAAN AKHBAR CM DATUK ADENAN DAN ISU PETRONAS


SEBENTAR tadi baru sahaja diadakan kenyataan akhbar mengenai isu Perronas dsri Ketua Menteri Sarawak. Setelah Kerajaan Negeri Sarawak membuat tekanan demi tekanan mengenai hak Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian maka sudah ada ianya mula diterima oleh Petronas sendiri.
Berikut merupakan rumusan keputusan akhir yang telah dipersetujui antara kedua belah pihak.

Wednesday 24 August 2016

SELAMAT PULANG WIRA SUKAN MALAYSIA


TIADA pingat emas tidak bermakna mereka dilupakan sebaliknya semangat juang mereka begitu membanggakan kita semua sebagai rakyat Malaysia.  Pulang dengan membawa 4 Perak dan 1 Gangsa merupakan pencapaian paling terbaik pernah kita ukirkan semenjak menyertai sukan Olimpik.
Semalam, tepat jam 2.23 petang pesawat EK408 yang membawa barisan olimpian kebanggaan Negara dan pegawai sukan Kontinjen Malaysia selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.  Kepulangan mereka disambut dengan begitu meriah dengan “water salute” diadakan untuk pesawat yang membawa mereka dengan diiringi oleh 5 buah kenderaan yang membawa bendera Malaysia “Jalur Gemilang”.
Sambutan yang sungguh luar biasa dan diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia kerana ianya bersiaran langsung di semua kaca televisyen tempatan Malaysia.  Di Kompleks Bunga Raya pula hampir 3,000 peminat sukan mahupun keluarga para Olimpian menunggu dengan penuh sabar ketibaan perwira-perwira sukan tanahair kita. 
Dengan bersaksikan seluruh rakyat Malaysia juga menyaksikan Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan pertambahan ganjaran kepada kesemua pemenang pingat pada Sukan Olimpik Rio 2016. Pertambahan RM200,000 untuk setiap pingat menyaksikan  Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem/Tan Wee Kiong (men’s doubles), Chan Peng Soon/Goh Liu Ying (mixed doubles) dan Pandelela Rinong/Cheong Jun Hoong (divers 10m platform) menerima RM500 ribu jumlah keseluruhan sebagai ganjaran mereka.  Gangsa tunggal yang dihadiahkan oleh Azizul Hasni Awang (Kierin) turut mendapat tambahan habuan yang berjumlah RM300 ribu semuanya. 
Selain daripada ganjaran berbentuk wang tunai, para Olimpian yang membawa pulang pingat turut akan menerima ganjaran berbentuk kereta apabila pihak Proton/DRB-Hicom sudahpun mengesahkan bahawa setiap Olimpian yang membawa pulang pingat Perak akan menerima kereta Proton Suprima S manakala untuk Gangsa pula akan dihadiahkan kereta Proton Iriz.
Jika diikutkan apalah sahaja ganjaran yang diberikan kepada mereka berbanding dengan segala keringat yang mereka korbankan untuk mengukir nama Malaysia di persada dunia.  Banyak pengorbanan mereka ini tidak diketahui orangramai tetapi bukan senang untuk melahirkan juara lagi-lagi di pentas sukan Olimpik, satu acara sukan yang paling berprestij di dunia. 
Untuk Pandelela Rinong anak Pamg, ratu terjun Negara Malaysia yang juga anak Sarawak sudah tentu kepulangannya ke tanahair Sarawak Bumi Kenyalang akan kita tunggu dengan penuh keriangan.  Dan diharap Kerajaan Negeri Sarawak juga turut memberikan “hadiah istimewa” kepada beliau kerana setakat ini beliaulah satu-satunya Olimpian kelahiran Sarawak yang berjaya membawa 2 pingat Olimpik iaitu pingat Gangsa (Olimpik London 2012) dan Perak (Olimpik Rio 2016). 
Selamat Pulang Ke Tanahair Wira Sukan Malaysia.  

Monday 22 August 2016

PETRONAS “MEMALAYANISASIKAN” PELUANG PERNIAGAAN DI SARAWAK


NAMPAK gayanya polisi Petronas bukan hanya terpalit pada peluang pekerjaan untuk anak Sarawak bekerja di sektor minyak dan gas mereka di Sarawak tetapi juga turut yang mendapat tempias daripada ketidakadilan ini berlaku adalah di kalangan sektor yang memberi perkhidmatan kepada mereka ini. 
Telah ada nada-nada ketidakpuasan hati daripada pembekal perkhidmatan untuk urusan pengurusan tiket yang mana syarikat-syarikat pelancongan kepunyaan anak Sarawak yang mengatakan bahawa polisi ini menganaktirikan peluang perniagaan mereka.  Ini kerana mulai 1 Julai lepas, pihak Petronas telah memberhentikan perkhidmatan mereka sebaliknya hanya memilih satu syarikat di Kuala Lumpur untuk mengambilalih semua urusan perkhidmatan mereka. 
Akibat daripada itu juga, dikatakan bahawa banyak syarikat-syarikat perkhidmatan tiket dan pelancongan anak Sarawak yang selama ini bergantung dengan urusan perniagaan dengan Petronas terpaksa mengecilkan perniagaan mereka.  Apabila pengecilan perniagaan berlaku maka ramailah juga kakitangan-kakitangan yang terpaksa diberhentikan sehingga menyebabkan penghidupan semakin sukar. 
Jika diteliti daripada criteria pemilihan sepatutnya pihak Petronas mendahulukan mana-mana syarikat tempatan Sarawak kerana ianya berkaitrapat dengan perkhidmatan Petronas di Sarawak.  Dan syarikat tempatan Sarawak juga sebenarnya memang mempunyai keupayaan yang sama malah sudahpun mengendalikan urusan Petronas cukup lama. 
Cerita mengenai borneonisasi yang dijanjikan ini seharusnya meliputi semua aspek kerana sudah “terang lagi bersuluh” Petronas lebih kepada memalayanisasikan segala peluang perniagaan yang ada di Sarawak.   

ATLET PARALIMPIK SARAWAK KE SUKAN PARALIMPIK RIO 2016




USAI Sukan Olimpik Rio 2016 yang menyaksikan kecemerlangan seorang anak Sarawak iaitu ratu terjun Negara, Pandelela Rinong anak Pamg berjaya membawa pulang sebutir pingat Perak untuk acara terjun synchronize bersama-sama Cheong Jun Hoong adalah sesuatu yang amat kita banggakan. Malah kita turut berbangga apabila kontinjen Malaysia turut menghadiahkan 4 perak dan 1 gangsa yang merupakan pencapaian paling terbaik pernah Malaysia catatkan semenjak menyertai sukan Olimpik.

Disebalik kecemerlangan para Olimpian 2016 kita, jangan kita pernah lupa bahawa ada lagi 2 anak Sarawak turut terpilih untuk mewakili Negara Malaysia iaitu kontinjen paralimpik Malaysia yang bertanding di Sukan Paralimpik Rio 2016. Sukan ini akan bermula dari 7 hingga 18 September depan.

Dua anak Sarawak yang menjadi kebanggaan kita adalah Jamery Siga dan Jong Yee Khie yang terserlah keupayaan mereka sewaktu Sukan Paralimpik di Sarawak yang berlansung di Kuching baru-baru ini. Jamery Siga yang berasal dari Ulu Medamit, Limbang akan mewakili Malaysia di dalam acara renang sementara Jong Yee Khie pula akan menyertai acara angkat berat.

Jika Pandelela diberikan penghargaan sebagai pembawa bendera di Sukan Olimpik 2012 di Olimpik London untuk Sukan Paralimpik Rio 2016 nanti giliran anak Sarawak Jong Yee Khie pula diberi penghormatan besar untuk menjadi pembawa bendera nanti.

Berjuanglah dengan semangat agik idup agik ngelaban dan semoga terus sukses di dalam sukan bagi menaikkan nama Malaysia amnya dan Sarawak khususnya di persada sukan dunia. 

Saturday 20 August 2016

TAHNIAH OLIMPIAN MALAYSIA 2016


MEREKA berjuang sehingga ke titisan yang terakhir di dalam memastikan nama Malaysia tersenarai di dalam Negara yang mempunyai pungutan pingat di Sukan Olimpik di Rio De Janeiro, Brazil.  Namun belum rezeki untuk rakyat Malaysia mendengar lagu kebangsaan “Negaraku” didendangkan di sukan paling berprestij di dunia iaitu Sukan Olimpik. 

Sesungguhnya mereka tidak pernah menghampakan kita kerana Olimpian Malaysia pulang dengan membawa 4 Perak dan 1 Gangsa yang sudah tentu adalah pencapaian paling baik pernah kita perolehi di dalam sejarah penyertaan Malaysia di dalam sukan Olimpik semenjak di tahun 1964. 

Tahniah dan syabas kepada jagoan sukan kita yang telah mengharumkan nama Negara di persada dunia.  Kami rakyat Malaysia tetap berbangga dengan para Olimpian Malaysia.

Friday 19 August 2016

PERLAWANAN BADMINTON OLIMPIK YANG PENUH EPIK

DUA perlawanan badminton yang penuh epik pernah kita saksikan itulah yang mampu diperjelaskan apabila kita berbicara mengenai 2 perlawanan badminton sukan Olimpik pagi ini. Acara badminton separuh akhir antara Datuk Lee Chong Wei dan juga Lin Dan diikuti dengan peringkat final antara Goh Victory Shem-Tan Wee Kiong dan Fu Haifeng-Zhang Nan merupakan dua perlawanan yang sungguh dramatik. 
Kedua-dua perlawanan tersebut diheret sehingga ke perlawanan penentuan rubber set dan sudah tentu ianya cukup mendebarkan bagi setiap yang menyaksikannya. Datuk Lee telah mengotakan janjinya apabila berjaya menidakkan keangkuhan Lin Dan untuk mara ke final. Bagi pasangan Goh dan Tan yang telah mengerah keringat sehingga ke titisan terakhir ditidakkan impian emasnya oleh Fu Haifeng-Zhang Nan.
Pemburuan emas pertama di Olimpik bagi Malaysia sekarang bersandarkan sepenuhnya kepada Datuk Lee yang akan cuba meroboh Tembok Besar China apabila berhadapan dengan Cheng Long pada malam ini. Untuk Goh dan Tan tiada apa yang harus dikecewakan kerana kedua-duanya telah mempamerkan semangat juang yang tinggi dan rakyat Malaysia tetap berbangga dengan pencapaian yang telah mereka tunjukkan di sepanjang Sukan Olimpik Rio 2016 ini. 
Yang pasti, dari Perlis sehingga ke Johor kemudian membelah Laut China Selatan dari Sarawak hingga ke Sabah, semangat MALAYSIA BOLEH meresap di dalam setiap jiwa rakyat Malaysia apabila menyaksikan 2 perlawanan yang penuh epik ini. Sokongan yang tidak berbelah bahagi menyaksikan perbezaan bangsa dan agama mahupun ideologi politik dilupakan seketika dan seterusnya MALAYSIA BERSATU DI DALAM SUKAN pada hari ini. 
Tahniah kepada pasangan beregu badminton Malaysia Goh Victory Shem-Tan Wee Kiong untuk pingat Perak ke-3 bagi kontinjen Olimpik Malaysia dan semoga beroleh kemenangan kepada Datuk Lee untuk final nanti.  
Walau apa jua kilauan pingatnya, kalah atau menang rakyat Malaysia tetap berbangga dengan para Olimpian kita.  
#ayuhMalaysiaKu

Thursday 18 August 2016

GUNA “JALAN TIKUS” UNTUK BEKERJA DI SARAWAK


SETELAH berlakunya pembekuan permit kerja baru di Petronas Sarawak, sudah ada nada-nada kebimbangan daripada warga Sarawak berkemungkinan besar Petronas akan menggunakan “jalan tikus” bagi membenarkan pekerja-pekerja yang tidak mempunyai permit bekerja di pelantar-pelantar Petronas. Hal ini terjadi kerana penggunaan jeti Pulau Melayu yang terlalu sibuk daripada kebiasaannya sudah mulai dipersoalkan.

Jika bersandarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) berkemungkinan besar kesibukan di jeti Pulau Melayu itu berlaku adalah kerana BPA sudah tidak membenarkan mana-mana pekerja pelantar Petronas menggunakan pelabuhan mereka untuk ke D35 dan pelantar Temena. Jadi, Petronas sudah tidak ada pilihan melainkan menggunakan jeti Pulau Melayu untuk pekerja-pekerjanya.

Rakyat Sarawak berhak untuk merasa curiga kerana ianya berkenaan dengan kedaulatan autonomi imigresen di Sarawak. Perlulah diingat kuasa imigresen itu juga meliputi Tinggal Lebih Masa (Overstay) yang mana kemudahan pas lawatan (sosial) akan diberikan tempoh 90 hari untuk mana-mana individu daripada Semenanjung Malaysia tinggal di Sarawak. Dikhuatiri berkemungkinan besar ada yang menggunakan peluang ini untuk bekerja tanpa permit kerja yang sah memandangkan tindakan pembekuan masih lagi berkuatkuasa.

Berdasarkan kepada senario ini tiada salahnya pihak Imigresen Sarawak menjalankan pemeriksaan keatas kesemua pekerja-pekerja Petronas yang menggunakan jeti Pulau Melayu kerana itu adalah bidang kuasa mereka yang termaktub di dalam undang-undang Imigresen Sarawak.

Penguatkuasaan itu perlu agar tiada yang cuba menangguk di air yang keruh dan sekiranya ada, maka tindakan harus dikenakan bagi menggambarkan betapa seriusnya orang Sarawak apabila berbicara soal kedaulatan autonomi Sarawak.


Tuesday 16 August 2016

5 ADUN LANGSUNG BN DITERIMA MASUK PBB SARAWAK


SEWAKTU PRN Sarawak yang berlangsung beberapa bulan lepas, kita menyaksikan Datuk Adenan sebagai Pengerusi BN Sarawak telah menggunakan strategi yang berkesan dengan mengwujudkan Team Adenan untuk mewakili BN di dalam pilihanraya. Ada diantara Team Adenan ini hanya bertanding atas tiket BN dan bukannya mewakili parti politik mereka.  Strategi yang berkesan sama sekali kerana rakyat memberikan mandate yang cukup terbaik dengan Team Adenan 72 kerusi daripada 82 keseluruhannya yang dipertandingkan. 
Semalam, satu lagi sejarah tercipta apabila 5 daripada ADUN langsung BN ini telah diterima secara rasminya untuk menjadi ahli politik Parti Bumiputera Bersatu (PBB).  Pengumuman bersejarah di dalam dunia politik Sarawak ini diumumkan sendiri oleh Datuk Adenan yang merupakan Presiden PBB dan juga Pengerusi BN Sarawak. 
5 Adun langsung BN itu adalah:
1.  ADUN N18 Serembu, YB Miro anak Simoh
2.  ADUN N23 Bukit Semuja, YB John Ilus
3.  ADUN N71 Bekenu, YB Rosey Binti Haji Yunus
4.  ADUN N78 Mulu, YB Dato Gerawat Gala
5.  ADUN N80 Batu Danau, YB Palu @ Paulus anak Gumba

Monday 15 August 2016

RAKYAT SARAWAK DIDAHULUKAN


TINDAKAN Kerajaan Negeri Sarawak yang membekukan permohonan permit kerja baru di Petronas Sarawak mendapat respons yang cukup baik dari rata-rata anak Sarawak. Ianya bukan omongan kosong kerana sejak bermulanya pembekuan tersebut iaitu pada tanggal 7 Ogos 2016, 90 permohonan permit kerja baru di Petronas tidak dilayan sama sekali dan ianya akan terus berkuatkuasa sehingga tuntutan Sarawak tercapai.  

Bertitiktolak daripada tindakan itu juga, semalam telah diadakan satu mesyuarat antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan pihak pengurusan Petronas di Kuching, Sarawak.  Sarawak diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan juga Ketua Setiausaha Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohammad Morshidi bin Abdul Ghani.  Delegasi Petronas pula diketuai oleh Datuk Mohd Anuar Taib (Executive VP & CEO of Upstream), Datuk Raiha Azni Abdul Rahman (Senior VP Group HRM) dan Encik Adif Zulkifli (Senior VP of Corporate Strategy).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan usai sahaja mesyuarat kali pertama diadakan menyatakan bahawa penghasilan daripada mesyuarat itu amatlah memberansangkan melalui persefahaman yang diberikan oleh pihak Petronas.  Dan bagi memperincikan lagi segala tuntutan ini, satu lagi mesyuarat akan diadakan pada hari Sabtu ini diantara kedua belah pihak.
  
Berdasarkan kepada kenyataan Datuk Adenan pada hujung minggu lepas iaitu andaikata Petronas masih enggan memberikan apa yang Sarawak mahukan, Kerajaan Sarawak tidak teragak-agak untuk membatalkan kesemua permit kerja yang ada sekarang.  Ini bermakna, Petronas sudah tidak punya cara untuk berdolak-dalih lagi selain daripada mengikuti kehendak Sarawak yang mahu warga Sarawak didahulukan di dalam mengisi segala peluang pekerjaan di Petronas, Sarawak.  

Sama-samalah kita tunggu penghasilan terakhirnya nanti. 

Sunday 14 August 2016

PPA1M DI MUARA TUANG


SETIAP individu mengimpikan untuk memiliki satu rumah yang sesungguhnya untuk penghidupan yang lebih baik bagi keluarga.  Namun begitu memang sukar untuk diperkatakan apabila berbicara mengenai harga rumah yang ada di pasaran sekarang lebih-lebih lokasinya terletak di Bandar-bandar besar.  Untuk penjawat awam yang kita memang sedia maklum, pendapatan mereka antara yang turut di dalam dilemma apabila berkata hendak membeli rumah baru. 
Sekitar tahun 2013, Kerajaan Malaysia telah menubuhkan satu skim rumah mampu milik untuk penjawat awam bagi memberi inisiatif kepada penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana membeli rumah.  Ianya bukan satu skim perumahan yang biasa-biasa sahaja sebaliknya ianya juga menekankan aspek keselesaan baik dari segi saiz, rekabentuk, kualiti, lokasi dan harga rumah yang bersesuaian bagi penjawat awam. 
Sekarang, PPA1M sudahpun melebarkan sayapnya ke Sarawak dengan projek PPA1M yang pertama di Sarawak dimulakan di sebidang tanah seluas 30 ekar di Muara Tuang.  Lokasi yang tidak jauh daripada pusat bandaraya Kuching ini sememangnya sesuatu yang ditunggu oleh warga penjawat awam Sarawak. Lagipun jika diperkira ianya tidaklah menyusahkan mana-mana yang membelinya kerana sejak adanya perhubungan jalan yang baik sudah lama ramai warga Kuching sendiri lebih memilih untuk tinggal di kawasan Muara Tuang.
PPA1M di Muara Tuang sedang di rancak dibangunkan dan ianya menyediakan kediaman yang terdiri daripada 246 unit Rumah Bandar 3 Tingkat dan 94 unit Rumah Teres 2 Tingkat.  Keluasan untuk rumah Bandar 3 tingkat pula dibahagikan kepada dua bahagian dengan keluasan 1,138 kaki persegi.  Untuk rumah teres 2 tingkat pula mempunyai keluasan 1,360 kaki persegi seunit. 
Dan bagi memberikan ruang yang selamat untuk para penduduknya dikatakan juga ianya juga merupakan kawasan berpagar dan dikawal rapi oleh pengawal keselamatan serta dilengkapi dengan pondok pengawal.   Selain itu kawasan perumahan ini turut mempunyai pelbagai kemudahan untuk keselesaan penghuninya seperti surau, taska, taman permainan serta tempat beriadah dan bersukan. 
Dari segi harga pula ianya adalah harga yang lebih rendah daripada harga pasaran iaitu bermula daripada RM259,000.00 hingga RM287,793.00 bagi rumah Bandar 3 tingkat.  Manakala untuk rumah teras 2 tingkat pula, harga jualannya adalah bermula daripada RM299,000.00 hingga RM357,900.00. 
Bagi penjawat awam Sarawak yang masih lagi mengimpikan rumah sendiri digalakkan untuk memohon projek perumahan ini seberapa segera kerana tarikh permohonannya akhirnya adalah sehingga 20 Ogos 2016 ini.

PARTI BERSATU UNTUK ORANG ASLI DAN BUMIPUTERA SABAH SARAWAK


SUDAH menjadi lumrah apabila ada sahaja golongan yang tidak sehaluan maka muncullah parti politik baru lebih-lebih lagi menjelang musim pilihanraya.  Dan ada satu parti politik baru yang ditubuhkan minggu lepas yang dikenali sebagai Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang baru didaftarkan dan ianya dikatakan parti serpihan UMNO. 

Dikhabarkan keahlian untuk menganggotai parti baru ini dikhaskan untuk orang asli dan bumiputera Sabah dan Sarawak.  Dan yang lebih seronok untuk didengar dikatakan juga buat sementara keahlian automatic adalah untuk semua ahli PERKASA yang kita diasaskan oleh Datuk Ibrahim Ali. PRIBUMI sudah mencanangkan bahawa mereka sudahpun mempunyai 2 juta ahli setakat ini sememangnya sesuatu yang diluar pemikiran kita sebagai satu parti baru. 

Untuk konteks Sarawak Bumi Kenyalang, sememangnya tidak diketahui adakah bumiputera Sarawak yang mempunyai lebih daripada 40 etnik akan menyokong parti baru ini memandangkan ianya adalah parti berorientasikan Malaya.  Ini kerana cara orang Sarawak berpolitik agak matang lebih-lebih lagi banyak perkara sensitif yang masih segar di ingatan rakyat Sarawak bagaimana mereka yang mendokongi parti baru ini mempunyai sejarahnya sendiri di dalam memperkatakan isu perkauman dan kebebasan beragama yang didukung oleh rakyat Sarawak selama ini. 

Di samping itu kita juga tidak boleh memperlekehkan kewujudan parti baru seperti ini kerana walau kita cuba untuk menyangkalkan yang ianya tidak akan mendapat sambutan, harus kita ingat sentiasa ada mereka yang menangguk di air yang keruh terutama sekali mereka yang “kecewa” akan senang dibeli jiwanya untuk menyertai parti baru seperti ini. 

Yang pasti, parti-parti politik yang ada di Sarawak sekarang sudah cukup sebenarnya untuk menjadi suara rakyat.  Ini kerana hanya orang Sarawak yang lebih mengenal apa itu Sarawak. 

Saturday 13 August 2016

SEMUA PERMIT KERJA AKAN DITARIKBALIK JIKA PETRONAS BERDEGIL


BILAMANA Petronas seperti acuh tidak acuh dengan tindakan tegas Kerajaan Negeri Sarawak mengenai pembekuan permit kerja baru bagi Petronas di Sarawak, Datuk Adenan telah melahirkan amaran kepada mereka demi memastikan Petronas mengambil serius permintaan Sarawak. 
Pada kali ini, Datuk Adenan sebagai pemimpin Kerajaan Sarawak telah memberikan kata dua iaitu kesemua permit kerja yang sedia ada akan turut ditarikbalik sekiranya Petronas tetap dengan kedegilan mereka.  Autonomi imigresen bagi Sarawak membenarkan Kerajaan Sarawak berbuat demikian dan begitu juga menurut Perkara 8 Borneonisasi di dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang menyatakan dengan jelas sebarang bentuk pekerjaan hendaklah didahulukan orang Sarawak. 
Segalanya ini dibuat bagi memastikan bahawa perkongsian royalty minyak di Sarawak dikongsi secara sama rata dengan warga Sarawak yang juga pemilik sebenar kepada sumber kekayaan utama “emas hitam” Gagasan Malaysia ini. Menurut Datuk Adenan, kepakaran anak-anak Sarawak juga boleh digunakan untuk menggantikan segala kekosongan itu nanti memandangkan anak Sarawak juga terkenal kepakarannya di dalam industry minyak dan gas dunia dan tiada sesiapa boleh menidakkan keupayaan anak Sarawak selama ini.

Nyiur gading puncak mahligai 
Sayang ketupat berisi inti
Hancur badan tulang berkecai 
Belum ku dapat belum ku berenti

Thursday 11 August 2016

KONTINJEN SARAWAK JUARA SUKAN PARALIMPIAD KE-18


MUNGKIN kerana adanya pertembungan antara temasya sukan Olimpik dan juga Sukan Paralimpiad yang dianjurkan di Sarawak membuatkan ianya agak hambar jika berbanding dengan Sukan Sukma XVIII yang lalu.  Namun begitu ianya tidak bermakna kontinjen-kontinjen paralimpiad yang menyertainya tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan malah ianya diluar jangkaan sama sekali.

Jika Sukma XVIII menyaksikan kontinjen Sukma Sarawak mendapat Naib Juara keseluruhan dan ianya merupakan pencapaian yang memberangsangkan kerana berjaya mengatasi jumlah pungutan pingat pada sukma yang lalu, untuk kontinjen paralimpiad Sarawak pula lain pula ceritanya. Dengan pungutan 84 Emas, 63 Perak dan 73 Gangsa menyaksikan kontinjen Sarawak dinobatkan sebagai Johan untuk Sukan Paralimpiad ke-18 kali ini. 

Lebih manis lagi, kontinjen paralimpiad Sarawak menyinar dan mencipta sejarahnya tersendiri apabila mempertahankan kejuaraan yang ke-12 berturut-turut.  Selain itu, kedua-dua olahragawan dan olahragawati juga menobatkan atlit paralimpiad Sarawak sebagai pemenangnya iaitu Mohd Zamry Sapiee dari acara renang S7 (cacat anggota) dan Catherine Timbang Siang juga dari acara renang SB9. 

Sukan Paralimpiad Malaysia sudahpun menutup tirainya pada 10hb Ogos 2016 dengan berjaya mencatatkan bilangan penyertaan atlet dan pegawai teramai sejak 26 tahun penganjurannya sukan khas untuk golongan kurang upaya ini diadakan.  Majlis penutupannya yang sederhana tetapi meriah ini menerima kehadiran khas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin berserta dengan def-def kehormat yang lain. 

Syabas kepada penganjur Sukan Paralimpiad Malaysia di Sarawak dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Kontinjen Paralimpiad Sarawak yang terus mengekalkan juara keseluruhan pada kali ini.  Satu pencapaian yang sungguh luar biasa dan membanggakan untuk seluruh rakyat Sarawak.

KONTINJEN SARAWAK JUARA SUKAN PARALIMPIAD KE-18


MUNGKIN kerana adanya pertembungan antara temasya sukan Olimpik dan juga Sukan Paralimpiad yang dianjurkan di Sarawak membuatkan ianya agak hambar jika berbanding dengan Sukan Sukma XVIII yang lalu.  Namun begitu ianya tidak bermakna kontinjen-kontinjen paralimpiad yang menyertainya tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan malah ianya diluar jangkaan sama sekali.

Jika Sukma XVIII menyaksikan kontinjen Sukma Sarawak mendapat Naib Juara keseluruhan dan ianya merupakan pencapaian yang memberangsangkan kerana berjaya mengatasi jumlah pungutan pingat pada sukma yang lalu, untuk kontinjen paralimpiad Sarawak pula lain pula ceritanya. Dengan pungutan 84 Emas, 63 Perak dan 73 Gangsa menyaksikan kontinjen Sarawak dinobatkan sebagai Johan untuk Sukan Paralimpiad ke-18 kali ini. 

Lebih manis lagi, kontinjen paralimpiad Sarawak menyinar dan mencipta sejarahnya tersendiri apabila mempertahankan kejuaraan yang ke-12 berturut-turut.  Selain itu, kedua-dua olahragawan dan olahragawati juga menobatkan atlit paralimpiad Sarawak sebagai pemenangnya iaitu Mohd Zamry Sapiee dari acara renang S7 (cacat anggota) dan Catherine Timbang Siang juga dari acara renang SB9. 

Sukan Paralimpiad Malaysia sudahpun menutup tirainya pada 10hb Ogos 2016 dengan berjaya mencatatkan bilangan penyertaan atlet dan pegawai teramai sejak 26 tahun penganjurannya sukan khas untuk golongan kurang upaya ini diadakan.  Majlis penutupannya yang sederhana tetapi meriah ini menerima kehadiran khas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin berserta dengan def-def kehormat yang lain. 

Syabas kepada penganjur Sukan Paralimpiad Malaysia di Sarawak dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Kontinjen Paralimpiad Sarawak yang terus mengekalkan juara keseluruhan pada kali ini.  Satu pencapaian yang sungguh luar biasa dan membanggakan untuk seluruh rakyat Sarawak.