Monday 15 August 2016

RAKYAT SARAWAK DIDAHULUKAN


TINDAKAN Kerajaan Negeri Sarawak yang membekukan permohonan permit kerja baru di Petronas Sarawak mendapat respons yang cukup baik dari rata-rata anak Sarawak. Ianya bukan omongan kosong kerana sejak bermulanya pembekuan tersebut iaitu pada tanggal 7 Ogos 2016, 90 permohonan permit kerja baru di Petronas tidak dilayan sama sekali dan ianya akan terus berkuatkuasa sehingga tuntutan Sarawak tercapai.  

Bertitiktolak daripada tindakan itu juga, semalam telah diadakan satu mesyuarat antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan pihak pengurusan Petronas di Kuching, Sarawak.  Sarawak diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan juga Ketua Setiausaha Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohammad Morshidi bin Abdul Ghani.  Delegasi Petronas pula diketuai oleh Datuk Mohd Anuar Taib (Executive VP & CEO of Upstream), Datuk Raiha Azni Abdul Rahman (Senior VP Group HRM) dan Encik Adif Zulkifli (Senior VP of Corporate Strategy).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan usai sahaja mesyuarat kali pertama diadakan menyatakan bahawa penghasilan daripada mesyuarat itu amatlah memberansangkan melalui persefahaman yang diberikan oleh pihak Petronas.  Dan bagi memperincikan lagi segala tuntutan ini, satu lagi mesyuarat akan diadakan pada hari Sabtu ini diantara kedua belah pihak.
  
Berdasarkan kepada kenyataan Datuk Adenan pada hujung minggu lepas iaitu andaikata Petronas masih enggan memberikan apa yang Sarawak mahukan, Kerajaan Sarawak tidak teragak-agak untuk membatalkan kesemua permit kerja yang ada sekarang.  Ini bermakna, Petronas sudah tidak punya cara untuk berdolak-dalih lagi selain daripada mengikuti kehendak Sarawak yang mahu warga Sarawak didahulukan di dalam mengisi segala peluang pekerjaan di Petronas, Sarawak.  

Sama-samalah kita tunggu penghasilan terakhirnya nanti. 

No comments:

Post a Comment