Wednesday, 3 August 2016

BINTULU MENDAPAT TEMPIAS TAUFAN NIDA




PADA awal pagi semalam 3 Ogos 2016, kita dikejutkan dengan berita di Bintulu yang dilanda angin ribut.  Banyak kerosakan yang berlaku dari beberapa rumah penduduk Bintulu diterbang angin, pokok-pokok tumbang, tiang lampu patah dan sebagainya.  Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaannya penduduk Bintulu melalui detik-detik yang mencemaskan ini.

Beberapa jam sebelum musibah ini berlaku sememangnya pihak Jabatan Meteorologi Malaysia telahpun mengeluarkan Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora Kategori Pertama dengan dinyatakan kelajuan angin boleh mencecah 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (11 kaki) di kawasan perairan Bintulu dan Miri. 

Bila melihat kepada amaran itu sahaja kita tahu betapa besarnya musibah yang boleh berlaku dan di sebalik segalanya kita bernasib baik kerana ianya tidak mencederakan atau memakan jiwa mana-mana penduduk Bintulu malam tadi.  Dan sehingga sekarang dikatakan pihak yang berwajib di Bintulu sedang bertungkus lumus berpadu tenaga membantu dan membaiki segala kerosakan untuk memulihkan Bintulu seperti sediakala. 

Ribut semalam juga menyaksikan ada kecelakaan berlaku di lautan apabila dilaporkan sebuah  bot ikan turut tenggelam di kawasan perairan Bintulu.  Bot ikan yang keluar ke laut dari Kuala Sarikei ini berlindung di kawasan perairan Bintulu namun akibat tidak dapat badai laut yang ganas serta hujan yang lebat menyebabkan bot dimasuki air dan akhirnya tenggelam.  Dikhabarkan Tekong berjaya menyelamatkan diri tetapi tidak 2 krew yang dikatakan masih hilang sehingga sekarang.  Usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan oleh mereka yang berwajib.

Sama-samalah kita berdoa agar tiada lagi musibah selepas ini lebih-lebih lagi di dalam minggu ini sememangnya banyak hujan lebat dan angin kencang melanda negeri kita.

No comments:

Post a Comment