Wednesday 31 May 2017

TINDAKAN NEKAD 11 PENUMPANG GAGALKAN CUBAAN MERAMPAS PESAWAT MH128





Penumpang dan krew penerbangan pesawat jenis Airbus A330 milik Sistem Penerbangan Malaysia MH128 yang di dalam perjalanan ke KLIA kira-kira jam 11.11 malam tadi menghadapi detik-detik cemas apabila salah seorang daripada penumpangnya dikatakan cuba untuk merampas dan merempuh secara paksa ke kokpit juruterbang sejurus selepas berlepas dari Melbourne. Turut dikatakan penumpang tersebut mengugut memiliki bahan letupan serta ditangannya turut mempunyai peranti elektronik.

Tidak mahu berpeluk tubuh, tindakan nekad daripada 11 penumpang dan krew penerbangan telah memungkinkan mereka berjaya menangkap penumpang lelaki tersebut tanpa ada mana-mana yang cedera. Oleh kerana tidak mahu mengambil risiko, juruterbang pesawat MH128 dilaporkan telah membuat penerbangan balik kecemasan ke Lapangan Terbang Tullmarine di Melbourne.

Bersedia dengan segala kemungkinan, pihak kakitangan di Tullmarine telah segera menutup lapangan terbang tersebut setelah dihubungi oleh juruterbang. Usai mendarat pihak pasukan beruniform Australia sudahpun siaga dan memasuki pesawat MH128 untuk mencari bahan letupan seperti yang diwar-warkan dan setelah melakukan pemeriksaan tiada bahan letupan dijumpai.

Episod ngeri cubaan rampasan pesawat MH128 ini akhirnya berjaya ditamatkan dengan penumpang lelaki itu diserahkan kepada pihak berkuasa Melbourne untuk urusan selanjutnya. Turut dilaporkan penumpang lelaki warga Sri Lanka itu di dalam pengaruh alkohol.

GAWAI DAYAK 2017


To our fellow Sarawakians who are celebrating Hari Gawai Dayak festival on 1st June, We wish you all a wonderful meaningful one – an abundance of blessing and prosperity be yours and family. 

Monday 29 May 2017

PASANGAN PENYELUK SAKU DITANGKAP DI BAZAAR RAMADHAN



DIKETIKA kita sedang rambang mata memilih juadah untuk berbuka puasa di bazaar Ramadhan seringkali kita terleka dan kelalaian kita itulah yang menjadi satu peluang keemasan untuk si penyeluk saku.  Mereka datang dengan pelbagai taktik sehingga mampu meraih keuntungan dengan cara yang amat cepat walaupun hakikatnya ianya satu kesalahan dari segi undang-undang. 
Begitulah yang terjadi semalam di bazaar ramadhan Kota Sentosa apabila seorang wanita menjadi mangsa sepasang penyeluk saku warga tempatan.  Menurut keterangan dikatakan salah seorang penyeluk saku telah menghimpit mangsa seolah-olah ingin turut sama membeli juadah di satu gerai sebelum rakan iaitu seorang wanita bertindak mencuri dompet di dalam beg tangan mangsa.  Tanpa segan silu di khalayak ramai pasangan penyeluk saku meneruskan aktiviti mereka. 
Namun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, apabila kegiatan pasangan penyeluk saku ini disedari oleh pengunjung bazaar ramadhan tersebut lalu ditangkap dan diserahkan kepada anggota polis yang berkawal di tempat kejadian. Suspek lelaki berusia 51 tahun manakala wanita pula berusia 47 tahun didapati mempunyai rekod jenayah lampau berasal dari Kampung Semariang Lama dan Kampung Parit Lama, Kuching.  Menurut PDRM Kota Sentosa, pasangan suspek penyeluk saku ini akan direman bagi membantu siasatan. 

Sunday 28 May 2017

MUKA BARU UNTUK PRU KE-14 PARLIMEN BETONG


PRK DUN Pujut sudah diketahui akan diadakan penamaan calonnya pada 20 Jun manakala pilihanrayanya pula pada tanggal 4 Julai 2017.  Dan rakyat juga terus dibuai bilakah pula Pilihanraya Umum akan diadakan untuk seluruh Malaysia.
Disebalik ceritera ini pula bukan satu rahsia apabila banyak parti-parti politik di seluruh Malaysia sudah mula mengatur gerakan di dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi PRU yang akan menjelang bila-bila masa.  Dan pada hujung minggu lepas sudah terang lagi bersuluh, KM Abang Jo menyatakan bahawa untuk Parlimen Betong akan ditampilkan muka baru bagi mewakili BN Sarawak kelak.  Calonnya masih lagi dirahsiakan kerana terlalu awal untuk diketengahkan. 

Kenyataan daripada KM Abang Jo itu sekaligus menjawab semua spekulasi yang bertiup kencang selama ini kerana sudah menjadi amalan biasa kepada BN Sarawak untuk tidak membenarkan mana-mana ahli politik mereka menjawat sebagai DUN dan Ahli Parlimen pada satu masa.  Untuk rekod, Parlimen Betong sejak di tahun 1983 diwakili oleh Datuk Amar Doughlas Unggah Embas yang pada PRN 2016 bagai “sireh pulang ke ganggang” bertanding di DUN Bukit Saban dan akhirnya memenanginya dengan penuh bergaya. 
 

Friday 26 May 2017

MARHABAN YA RAMADAN


Pucuk selasih bertunas menjulang
Dahannya patah tolong betulkan 
Puasa Ramadan kembali menjelang 
Salah dan khilaf tolong dimaafkan.


Selamat menunaikan ibadan puasa.

Thursday 25 May 2017

PANDU UJI BOT "SEALEGS" DAN PEMANTAUAN PROJEK JAMBATAN BATANG SAMARAHAN






BEBERAPA hari yang lepas, APM Sarawak menerima sebuah bot "Sealegs" yang bernilai RM640,000 dari Kerajaan Malaysia.  Ianya adalah untuk antara aset yang berharga untuk memperkuatkan APM Sarawak sekarang. 

Semalam pula menyaksikan Pengarah APM Sarawak membuat pandu uji bot tersebut di Batang Samarahan.  Turut bersama beliau adalah Pegawai Daerah Samarahan dan SAO Samarahan yang langsung membuat kerja-kerja pemantauan ke atas projek Jambatan Batang Samarahan yang sedang rancak dibina sekarang. 

Wednesday 24 May 2017

LEDAKAN BOM DI KAMPUNG MELAYU, JAKARTA




MENGHAMPIRI seluruh umat Islam di dunia akan memulakan ibadah puasa selang beberapa hari, seperti ada rentetan perancangan strategik untuk mengkucar-kacirkan dunia. Usai di Manchester, Bangkok, Filipina dan semalam kira-kira jam 9.00 malam waktu Indonesia, Jakarta yang menjadi mangsa perbuatan manusia bertopengkan syaitan.

Pada kali ini sebuah perhentian bas di Kampung Melayu, Jakarta gempar dengan dua ledakan bom selang beberapa minit yang mana menyaksikan sembilan orang awam tercedera manakala dua lagi terkorban nyawa.  Adalah dipercayai salah seorang yang terkorban adalah pengebom berani mati itu sendiri dan seorang anggota polis tempatan. 

Bertindak daripada kejadian yang menggemparkan itu juga menyebabkan pihak berkuasa Indonesia sudah menutup laluan ke lokasi.  Sementara itu banyak Negara-negara di dunia sudah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya untuk tidak berkunjung ke Jakarta sebagai langkah keselamatan. 


Sumber gambar: Reuters 

Tuesday 23 May 2017

KES BUNUH DI JALAN ABANG ABDUL RAHIM, KUCHING



PADA hari Isnin lepas kira-kira jam 2.00 pagi, kita dikejutkan dengan satu lagi cerita kurang enak iaitu satu lagi kes bunuh yang berlaku di Jalan Abang Abdul Rahim, Kuching.  Mangsanya adalah Shamsul bin Hipni, 41 tahun dari Semariang terbaring tidak bermaya akibat daripada serangan secara berkumpulan oleh beberapa orang pemuda. 
Susulan daripada kejadian, pihak PDRM telah memburu mereka yang bertanggungjawab secara besar-besaran di seluruh Kuching.  Tujuh daripada suspek yang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berjaya ditangkap dari pelbagai lokasi di Kuching.  Kesemua mereka adalah warga tempatan yang berusia di dalam lingkungan antara 25 hingga 68 tahun. 
Setakat ini empat daripada suspek sudahpun mendapat perintah mahkamah untuk tahanan reman bagi membantu siasatan.  Kes ini disiasat dibawah Seksen 302 Penal Code.

Monday 22 May 2017

SETIAP KATA AKAN DIKOTA – KM ABG JO


BUKAN hanya sekadar berjanji tetapi setiap yang dikata itulah yang akan dikota. Begitulah yang diperkatakan oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg ketika membuat ucapan pergulungan bagi sidang mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sarawak yang berakhir semalam. Ini merupakan mesyuarat DUN untuk penggal kedua 2017 yang berlangsung dari 11 – 22 Mei 2017.

Berbicara mengenai pembangunan Sarawak pula, beliau akur sememangnya prosesnya agak perlahan kerana impak daripada keadaan ekonomi dunia sekarang. Namun begitu ini tidak bermakna bahawa Sarawak akan terus berdiam diri sebaliknya kerajaan pimpinannya akan memastikan proses pembangunan itu akan berjalan cepat dengan cara yang tersendiri. Contohnya E-Digital yang sedang diusahakan sekarang bukan hanya untuk masyarakat di Bandar malah juga kawasan pedalaman berkembang maju seperti penggunaan “e-learning, e-commerce, telemedicine” serta banyak lagi.

Selain itu, beliau juga turut berkata bahawa projek LRT yang Sarawak akan laksanakan adalah satu projek yang bukan sama sekali dibawah pembiayaan langsung pihak Persekutuan seperti yang cuba dimanipulasi oleh DAP Sarawak bahkan ianya adalah dibawah Kerajaan Negeri sendiri. Siapnya kelak akan memangkin segala kemudahan pengangkutan awam di Sarawak seperti Bus Rapid Transit, kemudahan teksi dan banyak lagi akan selaras seperti negeri-negeri yang lain di Malaysia.

Visi dan misi kerajaan pimpinan beliau turut melibatkan pembukaan kawasan perumahan baru sejajar dengan perkembangan populasi di Bandar-bandar besar. Segala kriteria sudah diambilkira bagi memastikan rakyat Sarawak mampu memiliki rumah sendiri pada masa hadapan. 

Di dalam sidang pergulungan tersebut, KM Abang Jo turut secara sinis berkata bahawa apa yang cuba dibawa oleh wakil DAP Sarawak seolah-olah cuba memperkotak-katikkan setiap cadangan yang cuba diimplementasi oleh BN Sarawak dibawahnya. Menurutnya lagi cara berpolitik seperti itu hanyalah seumpama politik kedai kopi yang sudah ketinggalan masa dan tidak mengikut peredaran zaman.
Walau apa pun yang diperkata oleh barisan pembangkang Sarawak tidak akan pernah menjadi satu halangan untuk kerajaan pimpinan beliau kerana ianya bukan janji kosong. Satu janji yang akan dikota tidak lama lagi iaitu secara berperingkat-peringkat dan kesemuanya akan menguntungkan rakyat Sarawak itu sendiri.

Sunday 21 May 2017

KES BUNUH DI KAMPUNG KAKAI, SERIAN



TULAR di media sosial semalam mengenai kejadian  yang menimpa seorang seorang wanita tempatan sehingga meragut nyawanya di Kampung Kakai, Serian.  Difahamkan senjata yang digunakan adalah senjata milik PDRM dan suspek juga turut dikenali oleh mangsa dan keluarganya.
  
Berikutan daripada itu juga, pihak PDRM telah memburu suspek sehinggalah sekitar jam 9.45 malam akhirnya suspek berjaya ditahan di sebuah pasaraya di Matang, Kuching.  Proses penahanan juga dilakukan secara lancar tanpa melibatkan sebarang pergelutan. 

Menurut pihak PDRM, kes ini akan disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.  


Thursday 18 May 2017

KAPASITI PJS, INSENTIF MELANJUTKAN PELAJARAN PENJAWAT AWAM DAN PELANCONGAN RAIH PERHATIAN ADUN MUARA TUANG


MESYUARAT Dewan Undangan Negeri Sarawak penggal kedua 2017 sedang berlangsung sekarang iaitu bermula dari 11-22 Mei 2017. Pada mesyuarat kali ADUN Tanjung Datu iaitu Datuk Amar Hajjah Jamilah binti Anu turut menyertainya sebagai ADUN yang baharu dilantik.  Untuk ADUN N16 Muara Tuang iaitu Dato Haji Idris Buang pula turut tidak kurang memberikan beberapa usulan yang agak menarik untuk dipertimbangkan kerana ianya juga bersangkutan dengan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak yang lebih lancar dan teratur. 

Antara yang menjadi usulah beliau adalah:

1.  Kapasiti Pusat Jantung Sarawak, Samarahan

Pusat Jantung Negara memainkan signifikasi yang tersendiri di dalam bidang kardiologi di Sarawak yang mana ianya sekarang menjadi nadi kepada rakyat Sarawak malah juga sehingga ke Sabah sebagai rujukan permasalahan kesihatan.  Jadi adalah perlu bagi Kerajaan Sarawak untuk mempunyai perancangan bagi memperkembangkan kapasiti dan juga prestasi PJS bagi tuntutan kesihatan yang semakin memuncak pada masa hadapan.   


2.  Insentif Melanjutkan Pelajaran ke Sarjana Dan Phd bagi Penjawat Awam Kumpulan Pelaksana

Sejajar dengan waktu bagi melancarkan serta mempertingkatkan lagi keupayaan dan kualiti penjawat-penjawat di dalam Kerajaan Negeri Sarawak, harus ada satu satu mekanisma seperti “Hadiah Di Dalam Perkhidmatan”. Ianya boleh  memupuk budaya lebih berilmu sehingga ke peringkat Sarjana dan PhD untuk kumpulan Pelaksana yang cemerlang di dalam perkhidmatan mereka.  Selain itu ianya juga sebagai wadah tambahan untuk mereka memenuhi kekosongan bagi dinaikkan pangkat ke peringkat jawatan Gred 41 dan ke atas. 


3.  Menaikkan Sektor Pelancongan Setempat

Di dalam konteks DUN Muara Tuang sememangnya Samarahan itu antara wilayah Sarawak yang kaya dengan sejarah malah budaya tradisi masyarakatnya.  Seharusnya ada pelan terperinci daripada Kerajaan Negeri Sarawak bagi menaikkan lagi sektor pelancongan di kawasan ini memandangkan industri enap desanya sudah siaga untuk kedatangan pelancongan daripada luar.  Sekaligus ianya juga boleh memberikan peluang-peluang kepada industri desa yang lain untuk berkembang bagi menambahkan lagi ekonomi masyarakat di Samarahan amnya. 

PENCEROBOHAN NELAYAN ASING DI LAUT SARAWAK MEMBIMBANGKAN


WILAYAH maritim Sarawak bukan hanya kaya dengan gas dan minyak malah juga sumber perikanannya. Dek kerana itulah bagi nelayan-nelayan asing, di wilayah laut Sarawak inilah “lubuk emas” bagi mereka biarpun sudah mengetahui ianya sesuatu yang melanggar undang-undang laut antarabangsa.
Semalam menyaksikan First Admiral Maritime Sarawal iaitu Ismaili Bujang Pit di dalam satu sidang media di KOMTAS, Muara Tebas menyatakanbahawa pencerobohan nelayan asing di laut Sarawak telah semakin menjadi-jadi sejak akhir ini. Ini menyebabkan satu mekanisma yang lebih drastik harus digunakan dengan kadar segera bagi membendungnya.
Beliau turut mengwar-warkan tentang kejadian penangkapan empat kapal nelayan dari Vietnam pada tanggal 14hb Mei 2017 di 85 batu nautika dari Tanjung Sirik, Bintulu. Dalam kejadian itu, 30 orang nelayan dari Vietnam telah ditahan yang berusia antara 17 hingga 50 tahun. Empat buah kapal turut disita yang bernilai kira-kira RM25 juta bersama-sama dengan sembilan tan hasil tangkapan bernilai RM72,000.

Kesemua mereka ditahan dibawah Akta Perikanan 1985.

Tuesday 16 May 2017

TEKA-TEKI PRK N74 PUJUT


JIKA diikutkan di dalam sejarah inilah pertama kalinya seorang ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak dilucutkan kelayakannya daripada mewakili DUN yang pernah dimenangi. Ianya berlaku beberapa hari yang lepas apabila ADUN Pujut iaitu Ting Tiong Choon dari DAP telah dilucutkan kelayakannya gara-gara mempunyai dua kerakyatan dan diistiharkan bangkrap. 

Begitulah ceritanya mengenai DUN Pujut yang menjadi bualbicara rakyat Malaysia sekarang.  Semalam pula menyaksikan satu notis telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia melalui Speaker DUN Sarawak iaitu Datuk Amar Mohamad Asfia bin Awang Nassar.  Ini bermakna secara rasminya Sarawak menyatakan bahawa DUN Pujut kini sudah dikosongkan mengikut perkara 21(5) Perlembagaan Negeri.   

SPR pula semalam turut mengwar-warkan bahawa mereka sudah menerima notis pemberitahuan daripada Speaker DUN Sarawak.  Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah di dalam satu kenyataan menyatakan segala urusan berkaitan PRK N74 Pujut  akan hanya dibincangkan pada hari Jumaat ini. 

Teka-teki adakah PRK N74 Pujut hanya akan diketahui pada hari Jumaat ini dan tarikhnya akan ditentukan juga memandangkan mengikut amalan biasa, SPR mempunyai tempohmasa 60 hari untuk mengadakan pilihanraya bagi setiap kerusi yang dikosongkan.   Samada DAP ingin membawa isu ini ke mahkamah itu adalah hak mereka. 

Monday 15 May 2017

PESTA LUNAU KAYAN 2017



MUNGKIN ramai tidak mengetahui bahawa Kaum Orang Ulu tidaklah menyambut Pesta Gawai seperti masyarakat Iban dan Bidayuh yang diadakan pada tanggal 1 Jun saban tahun.  Walaupun begitu Kaum Kayan misalnya masih lagi mempunyai perayaan yang seakan-akan sama tetapi berbeza dari tarikhnya.  Saban 2 Jun pula ditetapkan oleh Ketua Kaum mereka untuk satu sambutan yang dikenali sebagai Pesta Lunau Kayan.

Bagi memartabatkan kefahaman dan pengenalan kepada budaya masyarakat Kayan ini, semalam telah diadakan satu majlis Pesta Lunau Kayan 2017 di Hotel Imperial, Kuching.  Dengan temanya “Remembering Our Roots” telah menampilkan seni budaya warisan masyarakat Kayan yang selama ini tidak begitu dikenali oleh masyarakat Sarawak mahupun generasi muda Kayan sendiri. 

Dan majlis ini menjadi lebih istimewa apabila Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Abdul Rahman Zohari hadir sama bagi memeriahkan majlis pelancaran. Ianya simbolik kepada kesatuan anak Sarawak selama ini yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa mahupun budaya tetapi sentiasa kekal dengan keharmonian dan toleransinya. 

Sunday 14 May 2017

PASAR BORNEO – “MINI SARAWAK” DI JOHOR


KEUNIKAN satu pasar di Johor yang dikenali sebagai Pasar Borneo sentiasa menjadi bualan rakyat di Johor malah menjengah sehingga ke Singapura, Negara jiran Malaysia. Ini kerana sebut sahaja tentang barangan jualannya yang terlalu unik berbanding mana-mana pasar yang ada di Semenanjung Malaysia.

Kehadiran Pasar Borneo yang terletak di Masai ini sudah tentu berhubungan secara langsung dengan masyarakat Sarawak yang menjadikan Johor sebagai negeri untuk mencari rezeki dan akhirnya menetap di sana. Dan di pasar inilah identiti Sarawak begitu ketara dengan jualannya mencakupi segala keperluan harian buat dijadikan bahan menggalas perut warga Sarawak di Johor. Jadi tidaklah terlalu “homesick” kerana jualan seperti asam paya, sayur paku malah segalanya yang ada di Sarawak mudah didapati di pasar ini.

Dari hanya sebuah pasar terbuka dan sekarang sudah lebih tersusun dengan pembinaan kawasan berbumbung iaitu satu idea daripada Kerajaan Negeri Johor sememangnya memantapkan lagi pasar ini menjadi nadi kepada masyarakat Sarawak di Johor malah juga penduduk di kawasan sekitarnya.

Selain itu, ianya juga sebagai antara satu wadah untuk masyarakat Sarawak menambah pendapatan walaupun berada di negeri orang disamping menjadi tempat untuk masyarakat Sarawak berhubung antara satu sama lain. Kerana inilah Pasar Borneo turut dikenali sebagai "Mini Sarawak" di Johor. 

Saturday 13 May 2017

MAJLIS PRA-GAWAI DAYAK JOHOR




BIAR jauh dari negeri kelahiran tidak bermakna mereka akan dilupakan.
  Jauh perjalanan luas pandangan.  Itulah dua perumpamaan lama apabila kita berkata Sarawak diaspora yang bertebaran di bumi ini.  Di negeri Johor misalnya, berabad lamanya ada masyarakat Dayak Sarawak yang sudah mendiami negeri Johor dan menjadi sebahagian daripada pembentuk rakyat Johor yang kita kenali sekarang. 

Semalam menyaksikan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Abang Jo dan barisan kabinet negeri Sarawak berkunjung ke Johor bagi memeriahkan suasana pelancaran Pra-Gawai yang bertempat di Pasar Borneo.  Satu lokasi yang sememangnya cukup sinonim dengan masyarakat Sarawak di Johor selama ini.  Dikhabarkan hampir 40,000 orang anak Sarawak di perantauan yang tinggal di Johor turut serta di dalam majlis ini. 

Dengan berlatarbelakangkan suasana warisan dan tradisi masyarakat Sarawak ianya merupakan satu majlis yang gilang-gemilang pernah diadakan sebelum ini.  Sebagai suntikan semangat ke arah aktiviti-aktiviti anak Sarawak di Johor juga, Ketua Menteri Sarawak turut menyerahkan cek bernilai RM50,000 kepada Persatuan Borneo Johor. 

Wednesday 10 May 2017

JKM SELAMATKAN 3 KANAK-KANAK MANGSA DERA


SEMALAM menyaksikan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak telah berjaya menyelamatkan tiga kanak-kanak di dalam lingkungan usia 10 hingga 12 tahun di Kuala Berawan Baru, Limbang, Sarawak.  Hasil pemeriksaannya juga menunjukkan bahawa ketiga-tiga mereka mempunyai kesan lebam lama dan baru setelah dirujuk ke Hospital Limbang untuk pemeriksaan lanjut.  

Adalah difahamkan bahawa kanak-kanak ini menjadi mangsa penderaan ibu sendiri yang dikatakan di dalam proses penceraian dengan suaminya.  Suspek iaitu ibu mereka turut telah ditangkap dan akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan mental.

Kanak-kanak ini akan dirujuk kepada pusat perlindungan kanak-kanak setelah mendapat kelulusan mahkamah kelak.  Kes ini disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, Penderaan Fizikal atau Mental Terhadap Kanak-kanak.  

Tuesday 9 May 2017

TAMAN BUDAYA KUCHING


LOKASINYA terletak di tengah-tengah bandaraya Kuching menjadikan ia antara tempat bagi masyarakat Kuching dan sekitarnya untuk bersukan dan beriadah.  Selain itu ianya juga salah satu antara tempat tarikan pelancong bagi Kuching.

Menjejaki sejarahnya Taman Budaya Kuching ini pada asalnya lebih dikenali sebagai Reservoir Park suatu waktu dahulu.  Ianya juga merupakan taman reservoir yang tertua pernah dibina di Sarawak iaitu di ketika pemerintahan Rajah Charles Brooke di Sarawak.  Pembinaannya bermula pada tahun 1884 dan digunakan sebagai satu kawasan tadahan air sehingga 1924.  

Dek kerana bagi memastikan tiada masalah pencemaran berlaku di kawasan sekitar reservoir itu, dikatakan suatu waktu dahulu Rajah Charles tidak membenarkan mana-mana penempatan ada di kawasan sekitarnya.  Di ketika pemerintahan Rajah Charles Vyner Brooke pula dikatakan pernah ada enam terowong atau bunker yang dibina di dalam kawasan ini bagi kemudahan keluarga dan penjawat awam Sarawak Kingdom berlindung di ketika Perang Dunia Kedua meletus di Sarawak.  

Sejajar dengan waktu, lokasi riadah ini sudah semakin dipercantikkan dan banyaklah binaan lanskap keras mahupun lembut dibina oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara bagi memberikan suasana yang lebih nyaman untuk pengunjungnya.  

BAYAR RM1,500 SEORANG UNTUK PERMIT KERJA DILULUSKAN


GERAK gempur SPRM membanteras isu rasuah di kalangan pegawai Imigresen Malaysia sememangnya memenuhi cerita di sekarang. Dan yang terbaru nun jauh di Perlis dan Alor Setar apabila dua pegawai imigresen dan seorang kontraktor ditangkap oleh SPRM semalam.
Penangkapan mereka ini berkaitan dengan isu bayaran yang diterima bagi meluluskan permit kerja yang mana melibatkan pembayaran RM1,500 seorang.  Turut dinyatakan bahawa kelulusan tanpa kebenaran sah ini melibatkan 339 permohonan daripada 18,626 permit kerja yang dikeluarkan.  
Bertitiktolak daripada itu juga, SPRM turut merampas beberapa barangan mewah milik mereka iaitu lima buah kenderaan mewah, sebuah motosikal berkuasa besar, jam tangan dan beg tangan berjenama yang bernilai kira-kira RM1 juta.  Turut dibekukan adalah akaun semasa yang dikatakan mempunyai simpanan semasa bernilai hampir RM1 juta.
Rasuah Itu Musuh Negara.

Monday 8 May 2017

PENCURI DITANGKAP KAWAN DATANG BERPARANG


DUA orang pencuri telah berjaya ditangkap ketika cuba untuk memecah masuk sebuah rumah di Taman Petronesa 1, Semariang pada tanggal 8 Mei 2017 kira-kira jam 2 pagi.Kejadian tersebut disedari oleh tuan rumah lalu memohon bantuan daripada penduduk sekitar taman perumahannya. 


Namun ketika kedua-dua pencuri di dalam tahanan penduduk dikatakan ada segerombolan pemuda telah datang menyerbu taman perumahan tersebut dengan bersenjatakan parang.  Difahamkan pemuda-pemuda itu merupakan rakan kepada dua pencuri yang ditangkap.  Oleh kerana tidak mahu ada hal yang lebih buruk berlaku maka kedua-dua pencuri telah dilepaskan oleh penduduk taman perumahan tersebut.  

Satu laporan polis telah dibuat oleh penduduk Taman Petronesa 1 dan hal ini masih di dalam siasatan polis.  

Sunday 7 May 2017

KABOTAJ DIHAPUSKAN MULAI 1 JUN 2017


30 tahun lamanya polisi kabotaj menghantui nilai harga barangan bagi wilayah Sarawak mahupun Sabah. Di sepanjang waktu itu setiap kali pertukaran pucuk pimpinan ia juga menjadi antara janji untuk menghapuskannya. Malah di ketika diskusi 100 Hari bersama KM Sarawak, Abang Jo tempohari hal ini turut antara agenda yang beliau ucapkan.

Sesungguhnya sekarang ianya bukan satu janji kosong sebaliknya akan menjadi realiti apabila semalam ketika berucap di satu acara di Sandakan, Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Najib telah mengumumkan bahawasanya polisi kabotaj ini akan dihapuskan bermula 1hb Jun 2017. Ianya merupakan sesuatu yang kita tunggu-tunggu memandangkan Sarawak mahupun Sabah sekarang mampu menguruskan sendiri semua perkapalan dan sistem tadbir pelabuhannya.

Sekarang, kita hanya menunggu impaknya daripada peniaga agar turut menurunkan harga barangan memandangkan merekalah yang menjadi pemain kepada segala hal berkaitan harga di kedua-dua negeri. Dengan jumlah emolumen yang berbeza antara Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung Malaysia ditambahlagi harga barangan yang mencanak di kedua-dua buah negeri sememangnya begitu membebankan rakyat. 

Saturday 6 May 2017

BARISAN KABINET BAHARU KERAJAAN NEGERI SARAWAK 2017


SETELAH menerajui Sarawak lebih dari 100 hari akhirnya semalam, Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg dengan rasminya mengumumkan senarai menteri dan menteri muda yang akan mewakili kabinet baru kerajaan Sarawak dibawah pimpinannya.  Selain daripada menampilkan muka-muka baru di kalangan ADUN Sarawak ianya juga turut melibatkan satu portfolio baru yang diwujudkan dan pertukaran nama kementerian.  

Berikut merupakan barisan kabinet baharu Kerajaan Negeri Sarawak 2017.

Senarai Menteri

1.  Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg
Ketua Menteri yang bertanggungjawab kepada portfolio Pembangunan Tenaga, Minyak dan Gas, E-Digital, Telekomunikasi, Pengangkutan Awam Bandar Kuching (termasuk LRT), Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi serta Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli.

2.  Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
Timbalan Ketua Menteri dan turut merangkap Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan serta Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua.

3.  Datuk Amar Douglas Unggah Embas
Timbalan Ketua Menteri dan turut merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah

4.  Tan Sri James Jemut Masing
Timbalan Ketua Menteri dan turut merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan

5.  Dato Seri Michael Manyin
Menteri di Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan.  Ini merupakan kementerian baharu yang diwujudkan.

6.  Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah
Menteri di Kementerian Pelancongan, Kesenian, Belia dan Sukan

7.  Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom
Menteri di Kementerian Elektrik Luar Bandar dan Bekalan Air

8.  Datuk Talip Zulpilip
Menteri di Jabatan Ketua Menteri

9.  Dato Sri Wong Soon Koh
Menteri Kewangan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang

10. Datuk Fatimah Abdullah
Menteri di Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan, Masyarakat, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak.

11. Datuk Professor Dr Sim Kui Hian
Menteri di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan


Senarai Menteri Muda

1. Datuk John Sikie Tayai 
Menteri Muda Tanah Adat dan Kastam

2. Puan Hajjah Sharifah Hasidah binti Sayeed Aman Ghazali
Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek

3. Encik Abdullah Haji Saidol
Menteri Muda Hal Ehwal Korporat

4. Datu Haji Len Talif Salleh
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar

5. Datuk Roland Sagah
Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat

6.  Dr Abdul Rahman Ismail
Menteri Muda Pertanian

7.  Datuk Julaihi Narawi
Menteri Muda Jalan Pesisir

8. Datuk Dr Jerip Susil
Menteri Muda Pengangkutan

9. Datuk Mohd Naroden Majais
Menteri Muda Pembangunan Keusahawanan dan Perusahan Kecil Sederhana (SME) serta E-Dagang

10. Encik Malcolm Mussen Lamoh
Menteri Muda Perindustrian dan Pelaburan

11. Dr Annuar Rapaee
Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi serta Perumahan dan Kesihatan Awam

12. Datuk Francis Harden Hollis
Menteri Muda Kesejahteraan Masyarakat

13. Puan Hajjah Rosey Yunus
Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-kanak

14. Datu Dr Penguang Manggil
Menteri Muda Kerajaan Tempatan

15. Encik Liwan Lagang
Menteri Muda Bekalan Air

16. Dr Abdul Rahman bin Junaidi
Menteri Muda Elektrik Luar Bandar

17. Datuk Lee Kim Shin
Menteri Muda Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan

18. Encik Snowdan Lawan
Menteri Muda Belia dan Sukan