PEJAM celik, pejam celik kita sudah kian mendekati bulan Jun. Dan setiap Jun, kita di Sarawak akan merayakan Perayaan Gawai Dayak yang disambut pada tanggal satu hingga dua Jun saban tahun. Inilah perayaan tradisi masyarakat Dayak Sarawak yang sudah dilestarikan berabad lamanya namun masih utuh memegang adat dan warisan perayaannya.
Pembuatan “Ranyai” misalnya adalah salah satu daripada warisan Gawai Dayak yang akan dilakukan di setiap rumah panjang Dayak. Ianya merupakan simbolik bagi mengatakan bahawa tidak lama lagi Gawai Dayak akan menjelma dan segala persediaan untuk menyambutnya harus dilakukan. Mengikut tradisinya selepas “Ranyai” siap maka penduduk rumah panjang akan meletakkan pelbagai barangan di ranyai tersebut. Barang-barang seperti makanan atau minuman di dalam botol akan disangkut kepada ranyai.
Usai ini semua barulah upacara “ranyai” diadakan dengan ada seorang penghuni rumah panjang yang telah dipilih awal akan mula menari ngajat mengelilingi ranyai. Pada ketika dia menari ngajat dengan paluan gong dan peralatan muzik tradisional Iban itu nanti, barulah beliau akan memilih satu barangan yang disangkut pada ranyai. Caranya adalah dengan memotong ikatan barangan pada ranyai dengan menggunakan parang. Kemudian, parang yang digunakan itu nanti akan diberikan kepada penduduk rumah panjang yang seterusnya secara bergilir-gilir sehinggalah semua barangan yang digantung pada ranyai itu tiada lagi. Kebiasaannya sesiapa yang mengambil giliran memegang parang terakhir, dialah yang akan menumbangkan ranyai itu nanti.
Inilah kekayaan warisan dan budaya yang masih dilestarikan sehingga sekarang. Kekayaan ini semualah yang menjadikan masyarakat Dayak di Sarawak begitu unik sekali.
No comments:
Post a Comment