Thursday 30 March 2017

PEMBEBASAN 9 RAKYAT MALAYSIA DI KOREA UTARA


TRAGEDI pembunuhan seorang warga Korea Utara di KLIA2 beberapa minggu yang lalu telah membawa kepada ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara.  Dan rentetan cerita ini telah menzahirkan ada antara rakyat Malaysia yang bekerja di Wisma Putra di sana tidak dibenarkan untuk pulang ke Malaysia dan begitulah juga untuk rakyat Korea Utara yang ada di Malaysia.  

Hasil daripada perhubungan diplomasi yang diusahakan akhirnya semalam sekitar jam 7.30 malam melalui berita yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia di laman twitter serta media massa menyaksikan 9 orang rakyat Malaysia ini telah berjaya dibawa pulang ke Malaysia dengan penerbangan yang dijangka sampai ke tanahair sekitar jam 5 pagi hari ini.  Turut dinyatakan bahawa mayat abang kepada Presiden Korea Utara turut juga akan dihantar pulang ke negaranya dan segala larangan kepada rakyat Korea Utara di Malaysia sudah ditarikbalik.  

Sementara itu untuk di Sarawak pula, berita “keghaiban” 176 orang pekerja Korea Utara dari sektor pembinaan terus menjadi misteri yang tidak mampu diungkap sehingga sekarang.  Menurut rekod perjalanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Sarawak sehingga ke hari ini tiada bukti yang menyatakan 176 orang Korea Utara ini meninggalkan Sarawak, Malaysia.  

Wednesday 29 March 2017

HARGA MINYAK SEMASA 30 MAC - 5 APRIL


BERMULA pada 29 Mac 2017 seperti yang diwar-warkan oleh Kerajaan, harga minyak semasa akan dikemaskini pada setiap hari Rabu dan berkuatkuasa pada hari Khamis tepat jam 12.01 pagi pada hari berikutnya. Ianya akan menggantikan penetapan harga minyak dan petrol mengikut bulanan seperti yang digunapakai sebelumnya.

Berikut merupakan harga terkini mingguannya berkuatkuasa 30 Mac hingga 5 April.

RON95 - RM 2.13
RON97 - RM 2.41
DIESEL - RM 2.11

Ini bermakna jika melihat kepada perbandingan dari 1-29 Mac, kadar harga minya mengikut jenis adalah RON95 (-17 sen), RON97 (-19 sen) dan Diesel (-9 sen).

Monday 27 March 2017

SERIAN INTOWN




“UPTOWN” atau ada juga “downtown” dan sekarang muncul pula “intown”, itulah antara nama-nama moden di dalam kita berbicara pasar malam. Ianya bukanlah seperti dulu-dulu yang agak konvensional dan sekarang sesuai dengan peredaran zaman ruang berniaga di hujung minggu ini telah ditambah dengan pelbagai tarikan buat pengunjungnya.

Bagi merancakkan cuti hujung minggu serta kemudahan untuk warga tempatan yang gemar untuk menambah pendapatan telah dibuka “Serian Intown” di Taman Komuniti Serian.  Ianya beroperasi pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad iaitu dari jam 8.00 pagi sehingga 11.30 malam.  Dengan pelbagai jualan seperti pakaian, aksesori telefon mudahalih, gerai-gerai makanan turut diadakan beberapa slot permainan untuk golongan dewasa mahupun kanak-kanak untuk bergembira.  

Pembukaan Serian Intown ini sudah tentu akan memeriahkan lagi suasana hujung minggu di Serian dan pada mereka yang berada di sekitar Serian jangan lupa untuk mengunjunginya.

PERLANTIKAN TMJ PRESIDEN FAM BERI ASPIRASI BARU

BAGI peminat sukan bolasepak tanahair perlantikan Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Sabtu yang lepas umpama memberikan satu harapan baru bagi menaikkan semula sukan no. 1 di Malaysia ini. Apatah tidak dari setahun ke setahun mutu bolasepak Malaysia sentiasa menjadi kritikan peminat sukan di tanahair.
Keunggulan TMJ di dalam menjadi sebuah persatuan sukan bolasepak negerinya iaitu JDT menjadi antara pengukur aras mutu pengurusan sesuatu pasukan telah terbukti dengan jayanya. Dan sekarang apabila baginda sendiri yang mengemudi pengurusan persatuan bolasepak Malaysia sudah tentu mempunyai impaknya yang tersendiri. Lebih-lebih lagi sejak sebelum berada di dalam pengurusan FAM, bagindalah antara mereka yang lantang bersuara mengkritik bagaimana FAM menguruskan sukan bolasepak Malaysia selama ini.
Kesungguhan baginda dapat dilihat apabila belumpun sampai 24 jam mengemudi FAM tanpa berlengah telah mengeluarkan pelan jangkapendek dan jangka panjang FAM itu sendiri. Dan yang lebih mengejutkan apabila pertukaran serta merta dilakukan oleh baginda apabila Mario Gomez, bekas ketua jurulatih JDT diangkat menjadi Ketua Jurulatih Malaysia yang baharu manakala mantan ketua jurulatih yang dahulu iaitu Datuk Ong Kim Swee akan fokus sebagai jurulatih bagi bagi pasukan Malaysia bawah 23 tahun mempersiapkan diri untuk menghadapi Sukan SEA di Kuala Lumpur pada Ogos ini.
Sudah tentu ada banyak lagi pembaharuan drastik yang akan baginda lakukan. Dan bagi peminat sukan bolasepak di Sarawak amatlah mengharap agar kehadiran TMJ sebagai Presiden FAM akan lebih memberikan keadilan kepada Sarawak terutama sekali di dalam menentukan tayangan siaran langsung perlawanan yang ternyata begitu mendukacitakan kita semua apabila ingin melihat sendiri aksi pasukan Sarawak di bermain di luar Sarawak.

REMAJA 16 TAHUN DITANGKAP EDAR DADAH


SEMAKIN menjadi-jadi kes yang berkaitan dengan dadah di Sarawak. Amat menyedihkan ianya turut berlaku pada remaja bawah umur yang sudah berani menjadi pengedar dadah pula.
Semalam sekitar jam 5.30 petang berlaku satu penangkapan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dari Bandar Baru Semariang Fasa 1 di sebuah rumah berdekatan Jalan Astana. Turut ditangkap bersama beliau adalah dadah jenis syabu seberat 6.4 gram dan wang hasil penjualan dadah sebanyak RM445.
Hal seperti sungguh membimbangkan dan semakin menjadi barah di dalam masyarakat kita. Satu mekanisma harus dibentuk yang memerlukan setiap anggota masyarakat dan jangan hanya menyerahkan segala bebanan pada anggota polis untuk mencegahnya.

Friday 24 March 2017

HARI POLIS YANG KE 210 TAHUN


SABAN tahun tanggal 25 Mac dirayakan sebagai Hari Polis. Untuk tahun ini ianya merupakan tahun ke 210 penubuhannya. Anggota Polis adalah antara mereka yang sering kita sandarkan di dalam banyak hal jadi penghormatan RP untuk kesemua anggota polis di luar sana. Terima kasih kerana melindungi masyarakat dan Negara. Selamat Menyambut Hari Polis yang ke 210 tahun.

PAKATAN HARAPAN SARAWAK


MENJELANG PRU ke 14 yang dikatakan akan diadakan bila-bila masa, beberapa buah parti politik sudahpun siaga bagi merancakkan lagi proses demokrasi itu kelak. Di Sarawak tidak kurang hebatnya apabila parti-parti politik pembangkang turut menukar strategi mereka.
Jika di PRU ke-13 menyaksikan DAP, PKR dan PAS bersatu hati menggempur BN tetapi tidak pada kali ini. Pakatan Harapan Sarawak sekarang hanya dianggotai oleh DAP, PKR dan PAN. Pada sidan mediayan dilakukan oleh wakil ketiga-tiga parti ini turut menyatakan bahawa mereka telah bersetuju untuk memastikan tiada pertembungan sesama sendiri kelak.
Untuk rekod, pad PRU ke 13 sekitar Mei 2013 menyaksikan PKR bertanding di 13 kawasan dan hanya memenangi Parlimen Miri. DAP pula di 11 kawasan dan memenangi 5 daripadanya. PAS bertanding di 5 kawasan dan kalah kesemuanya.

HARI-HARI OPERASI IMIGRESEN SARAWAK



TIADA kompromi mana-mana pendatang asing akan diperangi sehabis mungkin. Ini kerana kita mengetahui apakah impaknya kelak walaupun hakikatnya isu ini tidaklah sekritikal seperti negeri yang lain. 

Semalam menyaksikan Pengarah Imigresen Sarawak iaitu Ken Leben mengwar-warkan kesiapsiagaan Jabatan Imigresen memerangi untuk tahun 2017. Sasaran operasi telahpun ditetapkan iaitu 1000 operasi dibawah apa yang digelar "Hari-hari Operasi" atau singkatan H2O.

Untuk rekod bagi tahun 2016 melalui 669 operasi yan dijalankan iaitu pemeriksaan ke atas hampir 26,446 orang di Sarawak didapati 2,190 orang adalah pendatang asing yang telah melanggar banyak Akta Imigresen yang digunapakai sekarang.

JOHOR SEDIA BANGLO & SEMI-D RM100K DEPOSIT RM1




APABILA melihat kepada kenyataan yang Kerajaan Johor mampu menyediakan perumahan untuk golongan kelas pertengahannya dengan harga banglo dan rumah semi-d dibawah RM100k dan deposit pula hanya RM1 sememangnya sesuatu yang pahit untuk kita telan sebagai rakyat Sarawak.
Langkah Kerajaan Negeri Johor melalui glc milik Kerajaan Negeri iaitu Johor Corporation memberi peluang agar golongan bumiputera untuk memiliki kediaman sendiri seharusnya diikuti oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Dengan memajukan sendiri tanah seluas 24 hektar dan seterusnya membina 600 unit kediaman adalah satu langkah bijak.
Perbandingkan senario yang berlaku di Sarawak sekarang. Harga rumah boleh menceçah sehingga RM300k dan keatas. Kebanyakannya bukan "mampu milik" kepada golongan kelas pertengahan tetapi lebih kepada 'mampu tengok" atau "mampu telan air liur" sahaja. Natijahnya golongan atasan juga yang berlumba-lumba memiliki banyak rumah kerana mereka lebih berkemampuan untuk membayar deposit waima 10% - 15% daripada harga rumah.

KEJADIAN TANAH RUNTUH DI RUMAH PANJANG EMPALING



SEMALAM telah berlaku satu kejadian tanah runtuh di Rumah Panjang Empaling, KM 60, Sungai Labang, Jalan Bintulu – Miri kira-kira jam 5.30 petang. Pihak agensi Bomba telah bergegas ke lokasi sejurus menerima laporan. 

Walaupun tiada kemalangan jiwa namun setelah diperiksa didapati struktur tiang utama rumah panjang tidak kuat lalu menyebabkan ianya tidak selamat diduduki. Bertindak daripada itu hampir 32 pintu isi rumah iaitu seramai 250 orang diarahkan untuk mengosongkan rumah mereka. 

Buat masa sekarang keseluruhan penduduk dipindahkan ke kawasan lapang yang berdekatan dengan kediaman mereka. Sementara pihak Bomba terus memantau tempat kejadian bagi mengelak sebarang hal yang lebih buruk mungkin berlaku. 

Thursday 16 March 2017

PROJEK PEMBINAAN KOLAM RENANG AWAM BETONG



RAKYAT di pedalaman senantiasa dahagakan banyak kemudahan awam dan infrastruktur direalisasikan buat mereka.  Jika dilihat sejak dari dahulu apa yang diimpikan bukan tiada tetapi agak lambat perjalanannya. Cuma sejak suara-suara tegas dari rakyat mahupun pemimpin Sarawak kebelakangan ini banyak yang sudah direalisasikan. 

Baru-baru ini diwar-warkan bahawa Bahagian Betong akan dibina sebuah kolam renang awam yang akan menjadi antara salah satu nadi buat rakyat Betong beriadah.  Dengan kos sebanyak RM9.78 juta, pembinaannya akan bermula pada pertengahan 2017 dan mengambil masa kira-kira 21 bulan untuk disiapkan. 


Nota: Teaser artikel adalah gambaran pelukis untuk kolam renang Betong kelak. 

Wednesday 15 March 2017

10 PEGAWAI IMIGRESEN SARAWAK DITANGKAP SPRM


HARAPKAN pegar, pegar makan padi itulah yang boleh dirungkaikan apabila berbicara soal kakitangan awam yang kita sandarkan keyakinan kita bagi melindungi segala hal mengenai Negara kita.  Dan ini termasuklah isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) yang sering menjadi duri dalam daging di dalam Negara kita.
Dikala kerajaan Persekutuan mahupun Sarawak sendiri memerangi apa sahaja isu mengenai PTI, semalam pula menyaksikan 10 orang Pegawai Imigresen Sarawak dicekup Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) atas kesalahan menerima rasuah bagi melindungi PTI di Sarawak.  Mereka ditangkap di 4 lokasi iaitu di Ibupejabat Imigresen Sarawak, Pejabat Imigresen di Pending, Depo Tahanan Imigresen di Serian dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.  Difahamkan 6 daripada 10 pegawai imigresen Sarawak itu adalah wanita dan berusia antara 33 – 53 tahun.
Tiada kompromi di dalam hal ini kerana kita tahu apakah impaknya nanti.  Dan tahniah kepada SPRM kerana terus-terusan memerangi isu rasuah di Negara kita. 
Rasuah itu musuh Negara.


Tuesday 14 March 2017

PENDAPATAN DUTI STAMP HAK SARAWAK BUKAN PERSEKUTUAN


DUTI stamp walaupun hakikatnya tidaklah sebesar mana bagi menjana pendapatan namun ianya tetap satu jumlah yang besar bagi Sarawak.  Dan apa yang diamalkan sekarang yang mana pihak Persekutuan yang mengambil kesemua perolehannya menunjukkan ianya telah melanggar apa yang dicatitkan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 iaitu apa sahaja yang berlaku di Sabah dan Sarawak haruslah perolehannya menjadi milik kedua-dua negeri itu. 
Dengan segala perbincangan yang melibatkan pengembalian kuasa kepada Sarawak yang telah diusahakan sejak daripada Allahyarham Tok Nan dan seterusnya KM Abang Jo ianya akan diteruskan.  Bertindak daripada itu juga KM Abang Jo telah mengarahkan agar kesemua Ahli Parlimen BN untuk bangun bersuara dan berlawan berhabis-habisan sekiranya hal ini tidak diperdulikan di Parlimen yang akan bersidang kelak.
Menurut rekod, perolehan dari duti stamp pada tahun 2015 adalah sebanyak RM219,09 billion yang dijana untuk seluruh Malaysia.  Dan dari jumlah tersebut RM5,974 billion adalah perolehan daripada Sarawak itu sendiri.  Walaupun jumlahnya kelihatan sedikit tetapi untuk Sarawak ianya satu jumlah yang banyak.  Lagipun ianya adalah hak kita dan wajar kita mendapatkannya kembali. 
Teruskan berusaha KM Abang Jo bagi memperjuangkan apa yang seharusnya menjadi hak Sarawak selama ini.

Monday 13 March 2017

SOLIDARITI UNTUK PASTOR RAYMOND DARI SARAWAK




KES penculikannya masih lagi menjadi misteri dan tular satu video amatur yang menunjukkan bahawa perancangannya telah diadakan dengan begitu rapi sekali.  Malah telah ada penangkapan oleh pihak pada hari Khamis yang lepas setelah seorang lelaki menuntut wang tebusan daripada keluarga Pastor Raymond Koh di Ampang, Kuala Lumpur. 
Semalam bertempat di Padang Merdeka, Kuching telah diadakan satu majlis doa dengan nyalaan lilin yang dihadiri oleh ratusan penganut agama Kristian Sarawak.  Walaupun di dalam cuaca yang tidak mengizinkan dengan hujan turun renyai-renyai ianya tidak pernah membantut usaha penganjur bagi menunjukkan solidariti atas kehilangan beliau.  Kesedihan keluarga Raymond Koh turut dirasai oleh mereka yang ada di Sarawak.
Hakikatnya Malaysia sebuah Negara yang berdaulat dan begitu juga rakyatnya yang bebas merdeka. Tiada siapa yang menyokong sebarang tindakan menculik seorang yang bebas merdeka. Semoga ada titik noktah atas misteri kehilangannya.   

Sunday 12 March 2017

BERKHIDMAT DENGAN BAIK ATAU DISINGKIRKAN!


TEGAS dan padu itulah yang boleh digambarkan segala bual bicara yang dilontarkan oleh KM Sarawak, Datuk Amar Abang Jo sewaktu menjadi panel Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dijayakan di UNIMAS pada hujung minggu yang lepas.  Turut hadir bersama adalah Menteri Belia dan Sukan iaitu Khairy Jamaluddin. 
Sebelum ini terlalu ramai yang skeptikal samada KM Sarawak ini akan mampu menyaingi ketegasan Allahyarham Tok Nan yang kita hormati.  Namun dari hari ke hari terserlah kewibawaannya sebagai juragan kapal mengemudi Sarawak Bumi Kenyalang dan ternyata beliau mampu menangkis segala macam berita kurang enak yang didengar sebelum ini. 
Dengan nada penuh bersahaja tetapi “makan dalam” membuktikan bahawa KM Abang Jo serius di dalam setiap yang diperkatakannya.  Kali ini awal-awal lagi beliau sudah memberi peringatan kepada para ADUN untuk terus berkhidmat seperti apa yang seharusnya dilakukan kepada rakyat.  Ini kerana peruntukan (RTP) setahun sebanyak RM5 juta sudah diberikan kepada mereka dan jangan hanya berpeluk tubuh sahaja. 
Pemilihan calon BN sememangnya berdasarkan prestasi mereka untuk mampu berkhidmat buat rakyat dan sekiranya ada yang sambil lewa sememangnya wajar untuk disingkirkan.    

Thursday 9 March 2017

ADUN TANJUNG DATU ANGKAT SUMPAH



KEMENANGAN yang cukup bergaya pada 18 Februari 2017 adalah sesuatu yang diluar dugaan buat penerus legasi kepimpinan Allahyarham Tok Nan di Tanjung Datu iaitu Datuk Amar Hajjah Jamilah binti Haji Anu yang juga balu kepada Allahyarham.  Mengenepikan 2 calon lawan yang mana menyaksikan kedua-duanya hilang wang pertaruhan pilihanraya. 

Semalam, sekitar jam 11 pagi diadakan acara angkat sumpah bagi mengesahkan bahawa beliaulah Yang Berhormat yang akan mengetuai DUN N03 Tanjung Datu di Dewan Undangan Negeri Sarawak.  Dengan melafazkan angkat sumpah di hadapan speaker DUN iaitu Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar ini sambil disaksikan oleh KM Abang Jo berserta barisan kabinet negeri Sarawak membuktikan proses demokrasi di Sarawak sentiasa mekar disanjung. 

Dengan perlantikan ini juga bermakna sudah ada 5 orang pertambahan ADUN di kalangan wanita di dalam Kerajaan Negeri Sarawak.  Satu lagi bukti bahawa Sarawak tidak pernah meminggirkan keupayaan jantina wanita sebagai pemimpin di Sarawak. 

Tahniah diucapkan kepada YB Datuk Amar Hajjah Jamilah binti Haji Anu.

DISAMBAR BUAYA KETIKA MENGIKAT RUMBIA


SANG buaya sememangnya pernah memilih mangsanya dan 2 hari lepas menyaksikan seorang lagi insan yang sedang mencari rezeki di tepi sungai menjadi sasarannya.  Dikatakan mangsa yang sedang mengikat rumbia hanya mampu menjerit memohon pertolongan dari rakan-rakannya sebelum hilang dibawa lari oleh sang buaya di Sungai Undey, Pusa, Sri Aman.

Usai menerima laporan kejadian, Operasi SAR telah diaktifkan bagi menjejaki mangsa oleh agensi yang berkaitan. Akhirnya titik pencarian dinoktahkan semalam kira-kira jam 9.30 pagi dengan mayat mangsa iaitu Besimillah bin Rajali, 46 tahun yang berasal Kampung Hilir Tambak ditemui kira-kira 150 meter dari tempat beliau dikatakan diserang buaya. 

Salam takziah.

Tuesday 7 March 2017

SOLIDARITI UNTUK MALAYSIA


SEJAK peristiwa pembunuhan abang tiri Presiden Korea Utara di KLIA2 tempohari, tumpuan dunia terarah dengan hubungan kedua-dua Negara.  Kemuncak kepada krisis diplomasi ini menyaksikan Malaysia mengusir keluar Duta Korea Utara 2 hari yang lepas. Tidak berpeluk tubuh akhirnya Pyongyang juga turut membuat hal yang sama malah mereka lebih ekstrim dengan menahan 11 petugas Wisma Putera di Pyongyang untuk tidak meninggalkan Negara mereka.

Maka bermulalah episode menuding jari warga netizen Malaysia sehingga ianya begitu menjengkelkan seolah-olah sudah hilang jatidiri sebagai rakyat Malaysia lagaknya.  Namun disebalik segala asakan anak Malaysia ini sesuatu yang wajar dipuji apabila ahli politik tanpa mengira kaum dan agama sehati sejiwa di Parlimen Malaysia menyokong segala usaha Perdana Menteri Malaysia di dalam memperjuangkan kedaulatan Negara Malaysia daripada diperkotak-katikkan Pyongyang.  Itulah seharusnya yang dilakukan oleh kita semua sebagai rakyat Malaysia. 

Diketika menghadapi krisis ini lebih-lebih lagi bermulanya semalam protokol kecemasan telah diaktifkan di Wisma Putera Pyongyang oleh rakyat Malaysia disana adalah penting untuk kita semua bersatu tanpa mengira parti politik.  Tunjukkan kesatuan kita sebagai anak Malaysia demi 11 nyawa yang berada di sana.  Kukuhlah berdiri di belakang Kerajaan Malaysia sekarang di dalam hal yang spesifik seperti ini. Malaysia sebuah Negara berdaulat dan begitu juga rakyatnya. Buangkan perbezaan politik kita dan BERSATULAH!

#Solidarity4Malaysia

#Save11Malaysian 

MH370 DALAM KENANGAN 8HB MAC 2014


MISTERI kehilangannya masih lagi belum terungkap namun usaha pencariannya belum lagi menemui noktahnya. Hari ini 8hb Mac genaplah 3 tahun kehilangannya sebuah pesawat milik Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang dikenali dengan penerbangan MH370. Satu pesawat yang di dalam penerbangan dari Beijing Capital International Airport di China langsung tidak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Kehilangan penuh misteri seumpama MH370 ditelan di angkasa yang luas.
Dengan membawa seramai 227 penumpang berserta anak kapal, kehilangan MH370 begitu mengejutkan dunia pada masa itu. Dunia berduka kerana tiada siapa yang dapat mencari puncanya. Hanya sejak akhir-akhir ini sudah ada beberapa penemuan puing-puing pesawat dijumpai di sekitar lautan yang dikatakan ianya terhempas.
Biarpun penantian itu satu penyeksaan namun rata-rata masyarakat di dunia masih lagi berharap agar ada penemuan yang lebih jitu untuknya. 3 tahun berlalu namun MH370 tetap terpatri di ingatan kita semua.

Monday 6 March 2017

STATUS TERKINI PROJEK JAMBATAN BAKO




BERKURUN lamanya penduduk di Kampung Bako bergantung sepenuhnya dengan kenderaan bot untuk menyeberangi perkampungan mereka jika hendak ke seberang.  Pelbagai kepayahan yang menjadi ceritera penghidupan mereka selama ini. 

Dan sekarang, impian sudah hampir menjadi kenyataan apabila satu projek yang dilancarkan oleh Allahyarham Tok Nan dengan penuh bergaya 2 tahun yang lepas bakal siap sepenuhnya tidak lama lagi.  Dengan kos sebanyak RM53 juta pembinaan jambatan sepanjang 280 meter ini bakal menghubungkan warga Kampung Bako dengan mudah untuk ke seberang.
 
Siapnya kelak sudah tentu akan memangkin sektor ekonomi penduduk setempat malah memudahkan sahabat handai untuk berkunjung tanpa menunggu air pasang mahupun surut.  Itulah antara kemudahannya yang menjadikan projek jambatan ini antara janji yang ditunaikan oleh Kerajaan Negeri Sarawak. 

Walau sudah beralih kepimpinan, setiap apa yang dijanjikan oleh Allahyarham Tok Nan akan direalisasikan.  Itulah antara janji Ketua Menteri baru Sarawak iaitu Dato Amar Abang Jo kepada rakyat Sarawak.


Sunday 5 March 2017

KUOTA 1% UNTUK OKU MENJADI PENJAWAT AWAM


APABILA berbicara mengenai golongan orang kurang upaya, ramai yang skeptikal mengenai keupayaan mereka untuk menerima cabaran dan seterusnya menempuh penghidupan yang beronak dan berliku.  Namun hakikatnya golongan istimewa ini juga sama seperti kita yang normal yang mempunyai rasa dan semangat kental untuk membaiki taraf hidup mereka.

Dengan adanya dasar 1% peluang pekerjaan kepada golongan OKU di dalam sektor kerajaan seperti yang diwar-warkan sebelum ini juga merupakan satu dasar yang baik untuk mereka. Dan peluang pekerjaan ini pula akan mengikut kesesuaian bidang tugas dan kemudahan. Selain itu, “Job Coach” juga diadakan bagi membantu golongan OKU untuk bersaing di pasaran terbuka sektor pekerjaan memungkin golongan ini tidak pernah disisihkan. 

Golongan OKU merupakan insan-insan teristimewa anugerah daripada Tuhan dan tiada perkataan “double standard” untuk mereka.  Golongan Orang Kurang Upaya tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan. 

Thursday 2 March 2017

ISTIMEWANYA ANAK MALAYSIA INI DIKACAMATA RAJA SALMAN

KUNJUNGAN Raja Salman ke Malaysia beberapa hari yang lepas sememangnya sesuatu yang bersejarah bagi kita semua.  Disebalik cerita ceriti lawatan bersejarah ini, mungkin ramai tidak mengetahui bahawa ada seorang anak Malaysia yang terlalu istimewa di kacamata Raja Salman.  Entah berapa ramai antara kita yang diberikan peluang keemasan serta penghormatan yang besar untuk mengucup kening seorang penjaga 2 kota suci umat Islam ini.
Anak Malaysia yang dimaksudkan ini bernama Sheikh Hussain Yee bin Abdullah, seorang pendakwah yang terkenal namanya seantero dunia Islam.  Lahir pada tahun 1950 di kalangan keluarga Cina yang mana akhirnya beliau memeluk Islam pada tahun 1968 iaitu ketika berusia remaja lagi, 18 tahun.  Bukan calang-calang orangnya walaupun seorang mualaf tetapi mempunyai latar pendidikan Islam yang mengkagumkan.
Jauh perjalanan luas pandangan maka begitulah Sheikh Hussain apabila sekitar tahun 1978 menamatkan pengajian jurusan Hadith di Islamic University of Madinah, Arab Saudi.  Antara gurunya adalah seorang intelektual dunia Islam yang terkenal iaitu Sheikh Mohammad Nasiruddin Al-Albani.  Tamat pengajian di Arab Saudi, beliau pulang ke tanahair dan terus melibatkan diri di dalam PERKIM.  Kecemerlangannya di PERKIM membawa dirinya dilantik sebagai Pengarah di sebuah pusat Islam di Hong Kong.  Dengan pengalaman beberapa tahun di luar Negara akhirnya beliau mengasaskan sebuah organisasi yang dinamakan Al-Khadeem pada tahun 1984. 
Nama Ustaz Sheikh Hussain Yee mungkin tidak begitu popular di Malaysia namun tidak di pentas dunia antarabangsa.  Inilah antara penceramah anak Malaysia yang lantang bersuara memberikan pendapatnya di pentas dunia.  Beliau jugalah antara penceramah yang menghiasi jemputan di kem-kem musim panas di Eropah. Pada tahun 2015 misalnya iaitu di ketika satu persidangan yang dihadiri oleh pemimpin agama Yahudi dan Kristian iaitu Australian Islamic Peace Conference (AIPC), beliau sebagai salah seorang speaker utama lantang bersuara mengatakan bahawa “Muslim Bukan Pengganas” seperti yang barat gembar-gemburkan dengan mengaitkan umat Islam dengan Peristiwa 11 September. 
Inilah ceritanya seorang anak Malaysia yang langsung kita sebagai rakyat Malaysia sendiri tidak mengetahuinya. Rakyat dari sebuah negara kecil tetapi mempunyai signifikasinya tersendiri di dalam suara-suara dunia Islam sejagat.  Mungkin kerana itulah juga, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud, seorang Raja Negara Arab Saudi dan penjaga 2 kota suci umat Islam turut mengkagumi beliau. Begitu istimewanya seorang mualaf bernama Ustaz Sheikh Hussain Yee.

Wednesday 1 March 2017

AKTOR LEGENDA FILEM MELAYU MENINGGAL DUNIA


SEMALAM 1 Mac 2017, dunia seni tanahair kehilangan lagi sebutir permata yang tiada nilainya apabila actor legenda filem Melayu iaitu Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsuddin kembali ke rahmatullah.  Beliau dikatakan sesak nafas dan dikejarkan ke sebuah klinik swasta di Kuala Lumpur dan disahkan meninggal dunia sekitar jam 5.15 petang. 

Dengan nama sebenarnya Mohamed Zain bin Shamsuddin merupakan antara aktor filem Melayu yang tersohor namanya sekitar tahun 1950an sehinggalah sekarang.  Bakatnya bukan sahaja terserlah sebagai pelakon malah juga sebagai pengarah filem seperti Filem Bukit Kepong adalah antara filem yang berbentuk patriotism yang pernah diarah oleh beliau. 

Boleh dikatakan beliau juga antara anak seni yang mempunyai latar belakang pendidikan yang membanggakan. Sekitar tahun 1972, beliau adalah antara anak Malaysia yang pertama kalinya berjaya membawa pulang Diploma in Motion Picture Technology dengan kepujian Kelas Pertama daripada London Film School. Kemudian pada tahun 1999 beliau menerima Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan daripada Universiti Sains Malaysia.  Tidak cukup dengan itu pada tanggal 24 Mac 2010, beliau menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia yang membawa kepada gelaran Doktor Falsafah.

Atas usaha beliau yang tidak pernah lelah memartabatkan dunia perfileman Melayu dan juga kecemerlangan di dalam pendidikan menyebabkan beliau dilantik sebagai Senator Dewan Negara untuk 2 penggal berturut-turut.  Sekitar tahun 2011, beliau disahkan menghidap penyakit Alzheimer yang menyebabkan beliau banyak menghabiskan masanya bersama keluarga di Kuala Lumpur. 

Sesungguhnya pemergian Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsuddin diratapi oleh seluruh rakyat Malaysia yang dibesarkan bersama-sama filem-filemnya.  Salam takziah untuk seluruh keluarganya. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan pada syuhadah.

Al-fatihah. Amin.


MOU ARAMCO/PETRONAS BUKTI MALAYSIA MASIH DIYAKINI


LAWATAN Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan delegasi dari Kerajaan Arab Saudi sudahpun berakhir semalam.  Hampir 4 hari rombongan ini mengadakan lawatan rasminya ke Negara Malaysia yang menyaksikan banyak perkembangan positif di dalam beberapa isu termasuklah di dalam memperkatakan mengenai kepimpinan Dato Seri Najib itu sendiri. 
Semalam juga menyaksikan MOU telah dimeterai antara Aramco dan Petronas untuk urusan pelaburan sebanyak RM30 billion (USD7 Billion) bagi Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor. Satu jumlah pelaburan yang mempunyai signifikasinya tersendiri kerana ini merupakan pelaburan terbesar yang pernah dilakukan oleh satu Negara di dalam projek tersebut.  Selain daripada itu berita gembira turut diraikan apabila kuota haji untuk jemaah Malaysia turut dinaikkan kepada 30,000 orang berbanding hanya 20,000 orang pada tahun-tahun sebelumnya. 
Disebalik segala fitnah yang cuba dimainkan oleh beberapa parti pembangkang bagi menggoyahkan persepsi rakyat ke atas kepimpinan Dato Seri Najib  nampaknya ia telah gagal sama sekali.  Ini kerana terbukti Malaysia masih lagi diyakini sebagai antara hub pelaburan di rantau Asia Tenggara.   
Limpahan daripada pelaburan yang besar ini sudah tentu akan memangkin RAPID Pengerang sebagai satu industri yang akan mengwujudkan banyak peluang ekonomi untuk perniagaan tempatan serta peluang pekerjaan kepada rakyatnya.