Wednesday 1 March 2017

AKTOR LEGENDA FILEM MELAYU MENINGGAL DUNIA


SEMALAM 1 Mac 2017, dunia seni tanahair kehilangan lagi sebutir permata yang tiada nilainya apabila actor legenda filem Melayu iaitu Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsuddin kembali ke rahmatullah.  Beliau dikatakan sesak nafas dan dikejarkan ke sebuah klinik swasta di Kuala Lumpur dan disahkan meninggal dunia sekitar jam 5.15 petang. 

Dengan nama sebenarnya Mohamed Zain bin Shamsuddin merupakan antara aktor filem Melayu yang tersohor namanya sekitar tahun 1950an sehinggalah sekarang.  Bakatnya bukan sahaja terserlah sebagai pelakon malah juga sebagai pengarah filem seperti Filem Bukit Kepong adalah antara filem yang berbentuk patriotism yang pernah diarah oleh beliau. 

Boleh dikatakan beliau juga antara anak seni yang mempunyai latar belakang pendidikan yang membanggakan. Sekitar tahun 1972, beliau adalah antara anak Malaysia yang pertama kalinya berjaya membawa pulang Diploma in Motion Picture Technology dengan kepujian Kelas Pertama daripada London Film School. Kemudian pada tahun 1999 beliau menerima Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan daripada Universiti Sains Malaysia.  Tidak cukup dengan itu pada tanggal 24 Mac 2010, beliau menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia yang membawa kepada gelaran Doktor Falsafah.

Atas usaha beliau yang tidak pernah lelah memartabatkan dunia perfileman Melayu dan juga kecemerlangan di dalam pendidikan menyebabkan beliau dilantik sebagai Senator Dewan Negara untuk 2 penggal berturut-turut.  Sekitar tahun 2011, beliau disahkan menghidap penyakit Alzheimer yang menyebabkan beliau banyak menghabiskan masanya bersama keluarga di Kuala Lumpur. 

Sesungguhnya pemergian Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsuddin diratapi oleh seluruh rakyat Malaysia yang dibesarkan bersama-sama filem-filemnya.  Salam takziah untuk seluruh keluarganya. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan pada syuhadah.

Al-fatihah. Amin.


No comments:

Post a Comment