Tuesday 29 November 2016

LARIAN JAMBATAN BATANG SADONG 11 DISEMBER 2016


TINGGAL 1 bulan lagi maka tahun 2016 akan melabuhkan tirai tahunannya dan menjelmalah tahun baru tahun 2017 pula.  Bagi menutup tirai tahun 2016 ini apakata jika kita sebagai warga Sarawak bersama-sama menyudahi tahun baru dengan acara santai-santai dengan beriadah bersama keluarga.
Larian Jambatan Batang Sadong akan diadakan 10 hari lagi iaitu pada tanggal 11 Disember 2016 ini.  Ianya adalah satu acara yang diadakan khusus untuk meraikan terbinanya Jambatan Batang Sadong yang sudahpun beroperasi sejak Oktober 2016.  Jambatan ini juga mempunyai sejarahnya tersendiri apabila diiktiraf sebagai jambatan terpanjang pernah dibina dan sudah tentu akan memberi 1001 rahmat kepada rakyat Sarawak amnya dan rakyat Samarahan serta Sadong Jaya khususnya. 
Bagi mereka yang berminat bolehlah mendaftar dengan segera kerana tarikh tutupnya adalah pada 2 November 2016.  Pendaftaran boleh dilakukan di Brooks Green Height Mall, Majlis Perbandaran Kota Samarahan dan Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya dengan seberapa segera.  Di dalam acara larian ini terdapat 2 kategori iaitu kategori 5 km dan 10 km yang mana kedua-duanya bermula di SK Sungei Bulu, Kota Samarahan. 
Dengan penglibatan banyak agensi kerajaan serta swasta bertindak sebagai penganjur bersama, difahamkan acara larian bersejarah yang julung-julung kali diadakan ini akan memberikan pengalaman yang menarik kepada pesertanya.  Marilah kita bersama-sama memeriahkannya bagi menandakan betapa kita menghargai limpahan infrastruktur yang merupakan antara janji yang ditepati oleh kerajaan selain menyihatkan badan. 

KORBAN KE-2 TRAGEDI BOT KARAM PULAU BRUIT DITEMUI



PADA Sabtu lepas, kita dikejutkan dengan berita tentang tragedi tongkang yang sarat membawa muatan batu kelikir karam kira-kira 3 batu nautika dari Kampung Betanak, Pulau Bruit.  Difahamkan pada ketika itu cuaca agak buruk dan di dalam tragedi itu hanya 2 mangsa selamat manakala 4 orang lagi masih hilang. 
Sejak itu Operasi SAR telah dilakukan dengan diketuai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), BOMBA dan Penyelamat serta beberapa lagi agensi yang terlibat bagi mengesan 4 lagi mangsa yang masih hilang.  Korban pertama ditemui oleh penduduk kampung apabila mayatnya terdampar di tebing Kampung Salah Kechil, Pulau Bruit pada hari Ahad, 28 November 2016. 
Dan semalam menyaksikan korban ke-2 pula ditemui apabila mayatnya dikesan terapung kira-kira 7 batu nautika dari Kampung Betanak menjelang tengahari iaitu kira-kira 1.35 petang.  Difahamkan setelah pengecaman dilakukan, mangsa kedua adalah operator kren tongkang “Jin Fiat No. 1” yang dikenali sebagai Kamal, berusia di dalam lewat 30an.  Dengan itu tinggal 2 lagi mangsa yang masih hilang dan operasi SAR akan tetap diteruskan. 
Untuk rekod, ini merupakan tragedi ke-2 yang berkait dengan bot karam di Pulau Bruit di dalam tempoh 4 tahun.  Tragedi bot karam di muara Batang Lassa menyaksikan satu bot panjang persendirian yang membawa 27 penumpang dari Kampung Tekajong setelah menghadiri satu majlis perkahwinan di Kampung Saie, Pulau Bruit karam di muara Batang Lassa sekitar Januari 2014.  Tragedi ini juga meragut korban yang menyaksikan awal tahun 2014 di Sarawak itu diwarnai dengan cerita yang menyedihkan. 
Salam takziah untuk seluruh keluarga mangsa-mangsa tragedi ini dan semoga urusan pencarian untuk 2 lagi mangsa yang hilang dipermudahkan. Al-Fatihah. Amin. 

Monday 28 November 2016

BUKU “AMONG FIRST DAYAK WOMEN” DILANCARKAN


JIKA kita menyelusuri sejarah lampau tidak dinafikan penglibatan kaum wanita Dayak juga mempunyai signifikasi di dalam berdirinya Sarawak sekarang.  Namun dahulu atas batas-batas adat dan sifat orang Timur seringkali penglibatan mereka hanya mampu dibicarakan secara oral tanpa didokumentasikan secara lebih jitu.

Melihat kepada keperluan serta betapa pentingnya ianya dibukukan agar sejarah penglibatan wanita dayak terdahulu tidak dilupakan maka sekumpulan Wanita PRS telah mengambil inisiatif sendiri dengan menerbitkan sebuah buku yang berjudul “Among First Dayak Women”.  Sekaligus penerbitan buku ini menjadikan ianya bukti dokumen bagi membenarkan penglibatan wanita dayak terdahulu di dalam memperkatakan sumbangan mereka terhadap masyarakat Sarawak.

Satu inisiatif yang wajar dipuji dan diharap ada lagi buku-buku yang sedemikian diterbitkan pada masa hadapan.  Hakikatnya generasi muda Sarawak tanpa mengira kaum dan agama sebenarnya dahagakan informasi sebegini bagi memberikan mereka aspirasi untuk lebih cekal dan mengembalikan jatidiri mereka untuk lebih mencintai Sarawak.

Sunday 27 November 2016

1/3 BAHAGIAN SARAWAK BLACKOUT!


DUNIA netizen di seluruh media sosial Sarawak menyaksikan segala hal mengenai tiadanya bekalan elektrik dari Kuching hingga ke Sibu semalam.  Bermacam-macam cerita mengenainya dan yang pasti ketiadaan bekalan elektrik sudah tentu menimbulkan 1001 kepayahan kepada rakyat. 
Dari Kuching hingga ke Sibu di dalam kegelapan secara totalnya menjelang jam 6.38 pm yang mana dikatakan transmisi Oya-Selangau terputus bekalan elektriknya.  Namun tindakan pantas Sarawak Energy berjaya mengembalikan bekalan elektrik sekitar jam 9.31 pm secara keseluruhannya. 
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sarawak Energy, mereka masih lagi mencari punca berlakunya hal sedemikian dan penyiasatan akan segera dilakukan dengan bantuan daripada perunding antarabangsa yang mampu memberikan perkhidmatan yang telus dan cepat. 

Wednesday 23 November 2016

SARAWAK KATAKAN TIDAK UNTUK PINDAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH


DENGAN hampir 40% rakyat Sarawak  beragama Kristian maka sudah tentu sekiranya usulan Abdul Hadi Awang mengenai pindaan Syariah Courts Act (Criminal Jurisdiction) Act 1965 (Act 355) yang dikatakan akan diusulkan pada Parlimen Malaysia akan datang boleh menimbulkan 1001 tanggapan mengenainya.  Dan untuk Sarawak ianya adalah bertentangan dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang dimeterai sewaktu pembentukan Malaysia 53 tahun dahulu.
Untuk tujuan itu, Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Adenan sendiri telah mengarahkan kepada semua ahli parlimen Sarawak untuk TIDAK MENYOKONG usulan itu sekiranya ianya diperdebatkan di Parlimen Malaysia kelak.  Suara Sarawak di Parlimen boleh menidakkan usulan tersebut memandangkan daripada 222 jumlah kerusi Parlimen, 25 kerusi adalah diwakili oleh BN Sarawak manakala 6 lagi adalah daripada parti pembangkang. 
Dan difahamkan bagi pihak Kerajaan Sabah juga dikhabarkan turut tidak akan menyokong pindaan undang-undang syariah yang dibawa oleh Hadi Awang dari PAS kelak di Parlimen Malaysia.

Sesungguhnya Datuk Adenan telah menepati janji beliau yang dari awal-awal lagi menyatakan bahawa TIADA HUDUD DI SARAWAK. 
 

IRENE CHEN MENGUKIR NAMA SARAWAK, MALAYSIA

 Irene Chen (tengah) bersama barisan hakim MPA

 Antara hasil seni Irene Chen yang dipertandingkan


IRENE Chen, itulah nama seorang anak Sarawak yang telah mengukir namanya di pentas fotografi dunia.  Bukan sesuatu yang mudah namun berkat kesabaran serta usaha yang tidak mengenal lelah akhirnya beliau mendapat pengiktirafan dunia yang sesungguhnya harus kita bangga. 
Anak Sarawak yang berasal dari Kuching, Sarawak ini baru-baru ini telah berjaya melayakkan dirinya menjadi “associate” di United-Kingdom Master Photographers Association (MPA). Dengan pengiktirafan itulah juga menjadikan Irene Chen merupakan anak Sarawak dan wanita Malaysia yang pertama mampu pergi sejauh itu di dalam pentas fotografi dunia yang kompetitif.  Selain itu difahamkan juga bahawa beliau juga merupakan jurufoto kedua dari Asia yang mana tema fotonya berkisar kepada dunia kanak-kanak, bayi dan kehamilan berjaya mendapat tempat di MPA.   
Tahniah diucapkan kepada Irene Chen atas kejayaan di yang sesungguhnya tidak ramai mengetahuinya.  Semoga kejayaan beliau turut menjadi pendorong semangat kepada jurufoto-jurufoto di luar sana untuk terus berkarya bagi mengharumkan nama Negara di pentas antarabangsa.  

Tuesday 22 November 2016

SUMBER GAS ASLI SARAWAK URUSKAN SENDIRI


RANG Undang-undang Pengagihan Gas 2016 telah diluluskan semalam di persidangan DUN Sarawak yang mana menyaksikan setelah hampir sedekad akhirnya Sarawak sudah mengorak langkah sendiri untuk menguruskannya.  Ini juga bermakna Ordinan Perkhidmatan Bekalan Gas (Syarikat Pengendali) 1995 akan dimansuhkan tetapi tetap tidak akan menganggu operasi Sarawak Gas Distribution Sdn Bhd (SDG) yang selama ini membekalkan gas paip kepada lebih 22,000 pengguna dosmestik di seluruh Sarawak. 
Termaktubnya rang undang-undang ini juga bermakna Sarawak akan mengurustadbir sebarang pengagihan gas di Sarawak yang mana ianya meliputi import gas asli cecair ke Sarawak, regasifikasi, rawatan, pemisahan dan pemprosesan gas, pengangkutan, bekalan dan runcit, pembinaan, pengurusan, penyelenggaraan saluran paip gas, terminal dan loji serta fasiliti.  Dan sebarang jenis gas juga turut dicakupinya seperti gas asli, gas asli cecair (LNG), gas petroleum asli (LPG), gas untuk industri serta juga yang digunakan di hospital-hospital. 
Kejayaan rang undang-undang ini sudah tentu memberi 1001 rahmat kepada Sarawak kerana ianya mampu menjana ekonominya sendiri serta juga memberi peluang kepada rantaian-rantaian perkhidmatan akan lebih terbuka kepada anak Sarawak.  Dan sudah tentu juga boleh mengawal harganya agar tidak menyusahkan pengguna domestic iaitu rakyat Sarawak sendiri. Dan Petronas yang selama ini memegang pentadbirannya juga turut termaktub di dalam rang undang-undang ini apabila berbicara sumber gas asli yang digodek di Sarawak. 
Satu lagi usaha Kerajaan Sarawak dibawah kepimpinan Datuk Adenan yang seharusnya kita puji kerana ianya juga untuk memperkasakan hak Sarawak selama ini.     

Monday 21 November 2016

APAKAH ADA KEJUTAN DI DUN SARAWAK KALI INI?


PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri Sarawak baru sahaja membuka tirai persidangannya semalam. Untuk kali ini ianya akan berlangsung selama 8 hari iaitu bermula dari 21 hingga 30 November 2016. 
Di dalam corat-coret kita berbicara mengenai hak Sarawak seperti yang dijanjikan 53 tahun dahulu, Kerajaan Negeri Sarawak melalui Ketua Menteri Datuk Adenan telah menggemparkan seluruh rakyat Sarawak baru-baru ini.  Menarik balik cadangan untuk membawa usulan ke DUN Sarawak telah memberikan pelbagai respons dari rakyat Sarawak.  Alasannya adalah untuk lebih mempercayai diplomasi atas nama kesepakatan keluarga BN dan lagipun banyak perkara mengenai hal MA63 sedang di dalam peringkat diskusi di Persekutuan.
Natijah diatas pembatalan cadangan usulan itu membuatkan semalam juga bertempat di Tebingan Kuching hampir lebih kurang 50 orang kumpulan S4S (Sarawak For Sarawakian) berkumpul membuat demo aman. Dilaporkan bahawa tujuan demo itu adalah untuk  membuat bantahan dan mendesak Ketua Menteri menepati apa yang sudah beliau war-warkan sebelum ini.   
Sesungguhnya walau apa jua yang kita sebagai rakyat fikirkan ingatlah sudah tentu pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak dibawah pimpinan Datuk Adenan mempunyai sebab musababnya yang tersendiri yang tidak diketahui kita.  Datuk Adenan sejak dari awal lagi terserlah kepakarannya di dalam hal taktikal dan bukan sedikit yang beliau telah lakukan sehingga ada sesetengah hal tidak pernah kita fikirkan menjadi kenyataan atas usaha beliau. 
Jadi adakah untuk persidangan DUN Sarawak kali ini ada kejutan yang lebih luar biasa.  Jika BN Sarawak menarik balik cadangan usulan memperkasakan Perjanjian Malaysia 1963 namun tidak bermakna pihak parti pembangkang tidak boleh mengusulkannya. Sudah ada kedengaran Baru Bian dari PKR Sarawak ingin memperjuangkannya dan terpulang kepada Speaker iaitu Datuk Amar Asfia untuk meluluskannya bagi diperdebatkan di DUN nanti. 
Jikalau ianya berjaya diperdebatkan sesungguhnya itu akan menjadi saksi kepada Persekutuan bahawa orang Sarawak tidak kira apa parti mahupun agama dan bangsa cukup serius apabila berbicara tentang hak yang telah dimungkiri selama ini. Biar apapun juga jangan sesekali rakyat Sarawak berpecah-belah kerana dalam segenap aspek jika kita ingin berjaya kita harus bersatu dibawah satu bendera iaitu bendera Negeri Sarawak Bumi Kenyalang. 
Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh.   

Saturday 19 November 2016

114,000 ISIRUMAH DI SARAWAK TIADA BEKALAN AIR BERSIH


BUKANNYA satu yang luar biasa malah ianya adalah lumrah penghidupan rakyat di luar Bandar Sarawak Bumi Kenyalang.  Tahun demi tahun ianya tetap menjadi persoalan pokok dan seringkali langkah terhenti dengan adanya skim tong biru menjadi jalan penyelesaiannya. 
Jika berkata bekalan air pula mana mungkin kita menidakkan bahawa alam kita dianugerahkan dengan geografi bergunung ganang memungkinkan bekalan itu tidak mungkin kekeringan.  Seringkali itulah alternatif bagi penduduk di pedalaman Sarawak CUMA mereka terdedah dengan air yang tidak dirawat sehingga mendedahkan mereka dengan 1001 penyakit yang kadangkala boleh meragut jiwa jika meminumnya. 
Pada perbentangan budget 2017 ada menyatakan bahawa Persekutuan akan memperuntukkan RM500 juta untuk menangani isu air bersih di seluruh Malaysia.  Namun adakah ada terkait dengan Sarawak kerana ianya tidak diperjelaskan dengan teliti. 
Atau mungkin juga 114,000 isirumah di Sarawak yang tiada bekalan air bersih akan terus menunggu umpama sang pungguk merindukan sang rembulan.  

Wednesday 16 November 2016

DATUK ASFIA ANGKAT SUMPAH SPEAKER DUN SARAWAK


BERKAH atas perkhidmatan yang begitu cemerlang, semalam menyaksikan Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar sekali lagi diberikan penghormatan untuk menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak buat penggal yang baru. Majlis angkat sumpah diadakan di hadapan Tuan Gabenor Sarawak iaitu Tun Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud di Astana Negeri.  Turut memeriahkan acara angkat sumpah juga hadir beberapa orang Menteri kabinet Negeri Sarawak.

Untuk rekod, Datuk Amar Asfia mula dilantik sebagai DUN Speaker pada 15h November 2000 dan jawatan ini diperbaharui pada setiap 2 tahun.

Tahniah diucapkan atas perlantikan semula dan semoga terus dikurniakan kesihatan yang baik dan berbakti untuk Sarawak Bumi Kenyalang.

Tuesday 15 November 2016

GELOMBANG PENGHIJRAHAN KAUM CINA MALAYSIA


Ratusan tahun dahulu sejak adanya kewujudan negeri-negeri di Tanah Melayu mahupun Sabah serta Sarawak, kaum Cina sudahpun ada sebagai pembentuk masyarakat majmuknya.  Pada masa sekarang, kaum Cina mewakili kaum kedua terbesar di Malaysia dengan jumlah mereka berdasarkan census adalah 6.65 juta orang iaitu hampir 23.4% jumlah populasi Malaysia itu sendiri.  Dan kaum Cina Malaysia juga diperkira sebagai komuniti kedua terbesar kaum Cina seberang laut selepas Negara Thailand.

Mengimbau sejarah penghijrahan Kaum Cina ke Malaysia sebenarnya agak unik kerana ianya sudah berlaku begitu lama sekali.  Difahamkan terdapat 3 gelombang penghijrahan Kaum Cina di Malaysia.

Gelombang Penghijrahan Pertama

Menurut tulisan Tun Seri Lanang didalam bukunya “Sejarah Melayu” ada menyatakan bahawa sekitar tahun 1459 masihi, Puteri Hang Li Po iaitu seorang puteri dari Dinasti Ming telah dihantar ke Melaka untuk mengahwini Sultan Melaka pada masa itu.  Ianya dilakukan bagi mempereratkan hubungan diplomatic Negara China dengan Melaka kerana Melaka pada masa itu merupakan salah satu daripada negeri yang utuh di rantau Tanah Melayu. 

Gelombang penghijrahan Puteri Hang Li Po ini telah membawa bersama kira-kira 500 orang rombongannya yang terdiri daripada pahlawan-pahlawan berbangsa Cina yang gagah perkasa serta beberapa ratus orang dayang-dayang serta sida-sida untuk keperluan seorang puteri itu di tanah orang.  Kerajaan Melaka bermurah hati menempatkan mereka di satu kawasan yang dikenali dengan nama Bukit Cina di Melaka.  Apabila rombongan yang ramai seperti ini sudah tentu ada yang mengahwini masyarakat tempatan dan kerana itulah lahirnya satu komuniti yang dikenali sebagai Cina Peranakan atau juga turut terkenal dengan panggilan Baba dan Nyonya di negeri Melaka sekarang. 

Namun jauh sebelum itu sebenarnya telahpun ada saudagar-saudagar dari Tembok Besar Cina yang sudahpun berurusan perniagaan di Melaka iaitu saudagar-saudagar yang dikatakan dari golongan aristocrat di Negara China.  Dan kedatangan mereka membawa seribu kekayaan yang akhirnya melalui perkahwinan juga kekayaan ini telah mencipta kelas-kelas golongan Cina yang kaya raya di negeri-negeri di Tanah Melayu.  Dikatakan kebanyakan daripada golongan aristocrat ini adalah daripada Zhangzhou dan Quanzhou dari wilayah Fujians. 

Gelombang Penghijrahan Kedua

Untuk gelombang penghijrahan kedua pula berkisar diketika pemerintahan bangsa Eropah di Malaya mahupun Brooke di Sarawak dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara di Sabah suatu waktu dahulu.  Dikatakan kebanyakan yang berhijrah pada masa itu adalah golongan imigran Cina yang ingin mencari penghidupan yang lebih selesa.  Dari gelombang kedua inilah kebanyakan kaum Cina Malaysia dikenalpasti mempunyai perkaitan yang paling tuntas. 

Di ketika pemerintahan British ini, beratus-ratus ribu kaum Cina yang berasal dari Fujian dan Guangdong berhijrah ke Malaya mahupun Sarawak dan North Borneo memandangkan pada ketika itu taraf kemiskinan di Negara China agak mendesak.  Mereka bersama-sama dengan imigran dari India menjadi sandaran untuk sebarang kekosongan tenaga buruh seperti di kawasan lombong-lombong bijih timah dan emas, ladang getah mahupun sebagai buruh di pembinaan keretapi di Malaya. 

Namun oleh kerana kebanyakan daripada mereka adalah dari golongan rakyat yang miskin, ramai daripada mereka bekerja keras hanya untuk membayar segala hutang-piutang samada hutang lama di Negara sendiri ataupun terpaksa membayar hutang bagi kos mereka untuk berhijrah pada masa itu.  Dan kerana itulah dikatakan bagi menghilang stress bekerja keras ada yang membiasakan diri mereka dengan menghisap candu serta bermain judi yang akhirnya menambahlagi beban penghidupan mereka. 

Selain itu bukanlah semua yang bernasib malang kerana ada diantara mereka mampu menyelamatkan diri dengan memulakan perniagaan kecil-kecilan dan akhirnya apabila mereka semakin berjaya turut menjadi antara pemain ekonomi bagi bersama-sama membangunkan tempat mereka mencari rezeki.

Penghijrahan pada gelombang kedua ini sebenarnya tidaklah membawa golongan kaum Cina yang bijak pandai serta berpendidikan dan ianya dapat digambarkan melalui dimana mereka tinggal.  Bagi imigran kaum Cina yang berpendidikan kebanyakan daripada mereka tinggal di ibukota besar manakala yang lain tinggal di kawasan lombong mahupun ladang. 

Kerana kebanjiran imigran ini menjadikan pentadbiran British turut sama memberi ruang pendidikan kepada mereka dengan bekerjasama dengan ketua-ketua imigran itu sendiri.  Pembinaan sekolah-sekolah beraliran Cina dengan pendidikan mengikut skala Negara China diwujudkan agar anak-anak imigran Cina lebih berpendidikan. 

Sejajar dengan waktu juga, sekolah-sekolah mubaligh kristian turut didominasi oleh anak-anak imigran Cina kerana mereka sendiri mengetahui bahawa kepandaian bahasa Inggeris bagi anak-anak mereka itu penting untuk survival mereka pada mereka.  Disinilah juga melahirkan anak-anak imigran Cina yang berpendidikan barat yang akhirnya turut mendominasi dunia pekerjaan di Malaya, Sarawak mahupun North Borneo suatu waktu dahulu. 

Gelombang Penghijrahan Ketiga

Untuk gelombang penghijrahan ketiga berlaku di ketika Gagasan Malaysia sudahpun diwujudkan.  Ini dapat dilihat dari segi dahulu jumlah populasi mereka iaitu yang bersandarkan daripada penghijrahan kedua semakin bertambah.  Pada kali ini kebanyakan yang berhijrah adalah mereka yang dari golongan kaya raya dan pertengahan kaum Cina.  Pada kali ini kebanyakannya berhijrah melalui perkahwinan iaitu ramai Kaum Cina Malaysia mengahwini gadis-gadis yang berasal dari Negara China secara langsung. 

Dan gelombang ketiga ini juga turut diwarnai dengan penghijrahan golongan elit Cina yang sengaja memilih Malaysia sebagai tempat tinggal mereka bagi melarikan diri daripada pencemaran, gaya hidup serta suasana politik di Negara asal mereka.  Golongan inilah yang sebenarnya memilih untuk menjadi “Malaysia My Second Home” iaitu satu skim yang membenarkan rakyat asing tinggal di Malaysia lebih lama dengan beberapa syarat yang ketat.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa penghijrahan nenek-moyang Kaum Cina di Malaysia mempunyai banyak signifikasinya yang tersendiri.  Jika nenek moyang mereka lebih kepada survival penghidupan sehingga sanggup berhijrah untuk mereka yang sudah digelar sebagai anak Malaysia sekarang mempunyai halatuju mereka sendiri. 

Ada yang ingin memperkembangkan perniagaan dan menjadi pemain sektor ekonomi dan tidak kurang juga ramai yang sudah menjadi golongan professional serta tidak dilupakan ahli politik yang mampu mencorak halatuju sebuah Negara bergelar Malaysia. 

Monday 14 November 2016

PUTRAJAYA BUKA PINTU UNTUK BINCANG MA63


“JIKA Perjanjian Malaysia 1963 disalahtafsirkan selama ini maka Putrajaya sentiasa membuka pintu untuk membincangkannya atas permuafakatan sebagai Keluarga Barisan Nasional CUMA janganlah ada yang hendak Keluar Dari Malaysia..” – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak-.
Itulah antara ucapan PM Malaysia ketika berada di Sabah baru-baru ini malah jika kita amati nada yang sama juga turut beliau pernah lafazkan ketika di Sarawak beberapa bulan yang lepas.  Dengan desakan yang bertubi-tubi daripada rakyat Sabah mahupun Sarawak sudah tentu perkaitan mengenai status Perjanjian Malaysia 1963 ini harus dibincangkan dengan sebaik mungkin kerana inilah intipati perjanjian yang menjadi landasan terbinanya sebuah gagasan yang bergelar Gagasan Malaysia yang kita kenali sekarang. 
Jika berkata mengenai Sarawak sudah tentu ianya bukanlah satu hal yang pelik kerana sejak awal-awal lagi melalui Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Adenan telah mengwar-warkannya bahawa itulah antara tuntutan daripada Sarawak.  Malah pada November ini juga telah dinyatakan bahawa satu usulan akan diperdengarkan di Dewan Undangan Negeri Sarawak mengenai Perjanjian Malaysia 1963 dan hal yang berkaitan mengenainya. 
Sekarang yang ditunggu-tunggu adakah Sabah dibawah kepimpinan Ketua Menterinya iaitu Datuk Seri Panglima Haji Musa bin Haji Aman akan turut membentangkannya bagi mengukuhkan lagi segala permintaan daripada 2 negeri di Borneo ini.  Harus ada persefahaman mengenainya kerana tanpa Sabah mahupun Sarawak sudah tentu Gagasan Malaysia itu tidak mampu ditubuhkan bersama-sama dengan Malaya dan Singapura (menarik diri 1965) 53 tahun yang lepas. 

CERAPAN FENOMENA “SUPERMOON” DI TEBINGAN KUCHING


Cerapan "Supermoon" menggunakan super teleskop 2000mm oleh Armand Dicky 
sekitar jam 7.59 pm 14/11/2016 di Tebingan Kuching.



SEMALAM, 14hb November 2016 seluruh dunia menantikan saat yang jarang-jarang berlaku iaitu yang dikenali sebagai “Supermoon”.  Satu fenomena bulan purnama yang mana kedudukannya adalah paling dekat dengan bumi sejak di tahun 1948 lagi.  Dan istilah “Supermoon” ini pertama kalinya dikemukakan oleh pakar astrologi iaitu Richard Nolle yang menggelarnya pada tahun 1979. Sebelum itu ianya lebih dikenali dengan bulan purnama perigee atau perigee-syzygy mengikut istilah astronomi. 

Dan di Kuching, Sarawak hasil usaha daripada Planetarium Sultan Iskandar juga tidak mahu ketinggalan apabila turut menyediakan segala teleskop di Tebingan Kuching bagi memberi peluang untuk orangramai turut serta melihat fenomena ini berlaku.  Pada awalnya cuaca sangat baik sehinggalah sekitar jam 8.45 malam rintik-rintik hujan sudah mula membasahi bumi Kuching, Sarawak yang menyebabkan ada cerapan kali kedua dilakukan usai segalanya reda. 

Ternyata fenomena “Supermoon” ini menarik ramai warga Kuching malahan juga pelancong-pelancong berkunjung ke Tebingan Kuching.  Bagi mereka yang tidak berkesempatan terpaksalah menunggu sehingga tahun 2034 untuk melihatnya lagi. 

Kredit foto Zurwina Alya Nashira Sarkawi dan Armand Dicky 

Sunday 13 November 2016

PANDELELA IKON BELIA SUKAN SARAWAK 2016


BERSEMPENA dengan Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak yang dirayakan pada 12hb November 2016, ratu terjun Negara yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik di Rio De Janeiro, Brazil iaitu Pandelela Rinong Pamg telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Belia Sukan bagi Sarawak untuk tahun ini.  Ianya disampaikan oleh Datuk Seri Michael Manying Jawong, Menteri Belia dan Solidariti Sarawak mewakili Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Adenan Haji Satem. 

Selain daripaga anugerah Ikon Belia Sukan itu juga turut ada beberapa anugerah yang diberikan beberapa individu dan pasukan yang terpilih mengikut kategori.  Antaranya adalah Kelvin Wan Kwong Wei (Anugerah Ikon Belia Sukarelawan), Desmond Sagoh (Anugerah Ikon Belia Kesenian), Jong Yee Khie (Anugerah Ikon Belia Istimewa), Dr Fauzan Sahdi (Anugerah Ikon Belia Kemahiran dan Inovasi), Yayasan Salam Negeri Sarawak (Anugerah Persatuan Belia Sukarelawan), Kumpulan Kesenian Petra (Anugerah Persatuan Belia Kesenian) dan Koperasi Belia Inovatif Sarawak (Anugerah Persatuan Belia Usahawan) serta Persatuan Ten Pin Bowling Sarawak (Anugerah Persatuan Belia Sukan).

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang anugerah. Sesungguhnya golongan belia juga harus diberikan banyak peluang untuk menonjolkan diri kerana merekalah antara tiang kekukuhan sebuah Negara mahupun negeri.  Belialah barisan pelapis pemimpin yang akan mewarisi Malaysia kelak.  

Tuesday 8 November 2016

ASHRI CHUCHU SAH MILIK KL


“SARAWAK Wonderkid”.. itulah gelarannya di kalangan peminat sukan bolasepak di Sarawak. Ashri bin Chuchu, bukan nama yang asing bagi kita semua malah kelibatnya sebagai “left midfielder” sering ditunggu-tunggu di setiap perlawanan.  Pemain yang menggunakan jersi no. 11 ini juga boleh bermain di posisi “right winger” menjadikan dirinya antara pemain serba boleh di dalam pasukan Bujang Senang. 
Dilahirkan pada tanggal 27 Februari 1991 di Lawas, Sarawak, Ashri bukan sahaja bermain untuk negeri kelahirannya Sarawak sebaliknya pernah juga menyarung jersi kebangsaan apabila turut terpilih mewakili Malaysia di Piala Asia (Bawah 22 tahun) di Myammar dan menjaring 2 gol ketika bertemu Brunei dan Vietnam. 
Akhirnya setelah menabur bakti di negeri kelahirannya sejak di tahun 2009, untuk musim 2017 kelak telah disahkan bahawa beliau akan berubah angin dan telahpun disunting oleh pasukan Kuala Lumpur yang bertanding di Liga Perdana Malaysia.  Penghijrahan Ashri ini hanyalah untuk melebarkan pengalamannya di dalam dunia bolasepak Malaysia. 
Kita berbangga mempunyai anak Sarawak yang terserlah bakatnya sehingga dihargai oleh pasukan negeri lain walaupun ianya juga satu kehilangan besar buat pasukan Bujang Senang itu sendiri.  Selamat maju jaya Ashri Chuchu dan ukirlah nama Sarawak di persada sukan bolasepak Malaysia seperti Joseph Kalang Tee serta ramai lagi. 

MINYAK MASAK OH MINYAK MASAK!


CERITA subsidi minyak masak merupakan antara yang mendominasi cerita penghidupan rakyat di Malaysia sekarang.  Lebih-lebih lagi jika kita berkata mengenai peningkatan kos sarahidup rakyat yang dibelenggu kenaikan itu dan ini sehingga ramai yang mengeluh.  Namun walau apa jua ceritanya mahu tidak mahu rakyat tiada pilihan kerana minyak masak amat diperlukan kerana ianya sebahagian daripada urusan dapur kita semua. 
Dan subsidi minyak masak yang hanya termaktub pada yang jenis berpaket juga punya jalan ceritanya tersendiri.  Apabila minyak masak subsidi berpaket juga mengundang 1001 akal bagi mereka yang gemar mengambil kesempatan untuk mendapat keuntungan lebih.  Dikatakan ada sesetengah minyak masak berpaket itu adalah dari jenis yang digunasemula dijual sebagai minyak masak bersubsidi. 
Sedar dengan taktik kotor ini bagi tidak menimbulkan kekeliruan rakyat, KPDNKK dibawah Menterinya iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan mengwar-warkan kepada umum senarai jenama minyak bersubsidi.  Sudah tentu ini ditunggu-tunggu oleh rakyat memandangkan ada bezanya minyak bersubsidi dengan minyak yang digunasemula.  Minyak yang digunasemula sudah tentu banyak mengundang masalah kesihatan jika diguna oleh manusia sebaliknya ia lebih sesuai untuk kegunaan seperti membuat sabun dan sebagainya. 
Semoga langkah pro-aktif ini dapat membantu rakyat daripada tertipu oleh mereka yang sentiasa ingin menjadi musang berbulu ayam di luar sana. 

SK KAMPUNG BUDA AKAN DIBINA OLEH SWASTA

Tragedi 8 Jun 2016, 80% SK Kampung Buda, Spaoh runtuh dan ditelan Sungai Saribas 
MENGIMBAU tragedi yang menimpa pada 8 Jun 2016 yang mana struktur surau, tadika dan 80% SK Kampung Buda, Spaoh hilang ditelan ke dalam sungai apabila berlaku tanah runtuh akibat hakisan adalah sesuatu yang menyedihkan kita semua.  Sehingga sekarang hampir 73 pelajar dan 13 guru masih lagi menumpang di SK Spaoh untuk meneruskan pendidikan mereka. 
Sudah hampir menjengah tahun 2017 namun masih lagi tiada perkhabaran gembira daripada Kementerian Pendidikan yang berjanji untuk membinanya semula.  Dan sudah tentu kita tidak mahu ianya dibina di lokasi yang sama kerana ianya juga seperti mengundang padah yang sama.  Dan tindakan drastik Kerajaan Negeri Sarawak yang memberikan dana sebanyak RM1 juta bagi SK Kampung Buda adalah sesuatu yang amat kita hargai walaupun hakikatnya perbelanjaan pembinaannya dianggarkan sebanyak RM3 juta.    
Namun sudah ada berita gembira untuk para ibubapa dan pelajar serta warga pendidik SK Kampung Buda apabila dikatakan pembinaan sekolah  yang baru sudahpun di dalam proses.  Ini diperjelaskan oleh Menteri yang bertanggungjawab iaitu Datuk Fatimah Abdullah yang mana menyatakan sebuah syarikat swasta Sarawak bermurah hati untuk membina sekolah tersebut dengan menggunakan kaedah pembinaan Integrated Building System (IBS) bagi memenuhi tanggungjawab sosial mereka (CSR).
Walaupun begitu, kesemua kerja-kerja pembinaan hanya boleh bermula selesai sahaja Kementerian Pendidikan melangsaikan bayaran atas tapak baru yang sudahpun dikenalpasti.  Untuk rekod di Sarawak sahaja terdapat hampir 1,264 buah sekolah rendah dan 189 sekolah menengah yang rata-ratanya di kawasan pedalaman masih lagi dikategorikan sebagai sekolah daif dan juga tidak selamat untuk digunakan memandangkan ianya terletak di lokasi yang terdedah kepada merbahaya seperti di tepi sungai dan sebagainya.  

Monday 7 November 2016

KENYATAAN FITNAH KE ATAS CM SARAWAK


Kenyataan fitnah yang dilemparkan oleh Page "Sarawak Keluar Malaysia 2012" 


Sidang Media Dari CM Office pada 7 November 2016 

VIRAL di dalam beberapa hari ini mengenai kenyataan yang konon-kononnya diucapkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Adenan.  Kenyataan itu telah dimuatnaik oleh sebuah laman page facebook yang bernama Sarawak Keluar Malaysia 2012. 

Namun hakikatnya segala kenyataan tersebut adalah sebenarnya sengaja dimanipulasi oleh pihak pentadbir page tersebut bagi menyemarakkan lagi api agar ada ketegangan berlaku diantara Kerajaan Negeri Sarawak dengan pihak persekutuan.  Segalanya adalah fitnah semata-mata yang mana TIDAK PERNAH SEKALIPUN Datuk Adenan pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu. 

Sebaliknya sejak hari pertama menjawat jawatan No. 1 Kerajaan Sarawak, awal-awal lagi Datuk Adenan malah sehingga ke hari ini beliau sering berkata bahawa autonomi yang dituntut selama ini adalah penuntutan hak dan TIDAK SESEKALI BERHASRAT MEMBAWA SARAWAK KELUAR DARI MALAYSIA. 

Diharap warga netizen tidak mudah menerima bulat-bulat segala propaganda daripada mereka yang tidak bertanggungjawab. Selidikilah dahulu dan gunakanlah kebijaksanaan kita semua untuk menapis setiap artikel sebelum mula berkongsi di laman media sosial. 

Dilampirkan juga sidang media daripada Pejabat Ketua Menteri Sarawak yang menafikan setiap fitnah yang dilemparkan ke atas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Adenan. 


Sunday 6 November 2016

KM SARAWAK – “TUTUP IPG SARAWAK SATU TINDAKAN BODOH”


BILAMANA ada ura-ura mengatakan pihak Kementerian Pendidikan akan menutup  3 daripada 4 IPG di Sarawak, ianya telah mendapat respons pelbagai daripada rakyat Sarawak termasuklah pemimpin No. 1 Sarawak sendiri iaitu Datuk Adenan.  Malah boleh dikatakan barisan kabinet Sarawak juga turut senada dengan beliau. 
Dan rata-rata rakyat Sarawak mahukan Ketua Menteri Sarawak untuk bertegas dengan rancangan pihak Kementerian Pendidikan ini.  Tiada apa yang harus dibimbangkan kerana ternyata Datuk Adenan seperti selalu sentiasa mendengar dan mendahului apa yang sebaiknya untuk Sarawak lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan rancangan borneonisasi jawatan guru-guru di Sarawak dengan nisbah 90/10. 
Bertindakbalas daripada itu, Datuk Adenan dengan nada tegas sewaktu berucap di acara perasmian Hari Wanita 2016 peringkat Negeri Sarawak semalam bahawa penutupan IPG Sarawak adalah satu tindakan yang bodoh.  Malah beliau sendiri dikatakan sudah menulis secara rasmi kepada Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Najib untuk meminta agar rancangan itu diubah. 
Walaupun hakikatnya kita memerlukan banyak graduan-graduan teknikal bagi memenuhi pasaran perkerjaan sekarang tetapi jangan kita cuba mengecilkan skop peluang untuk anak Sarawak menjawat jawatan guru pula.  Ianya penting untuk kesinambungan generasi pendidik di kalangan rakyat Sarawak itu sendiri.