Tuesday, 29 November 2016

KORBAN KE-2 TRAGEDI BOT KARAM PULAU BRUIT DITEMUI



PADA Sabtu lepas, kita dikejutkan dengan berita tentang tragedi tongkang yang sarat membawa muatan batu kelikir karam kira-kira 3 batu nautika dari Kampung Betanak, Pulau Bruit.  Difahamkan pada ketika itu cuaca agak buruk dan di dalam tragedi itu hanya 2 mangsa selamat manakala 4 orang lagi masih hilang. 
Sejak itu Operasi SAR telah dilakukan dengan diketuai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), BOMBA dan Penyelamat serta beberapa lagi agensi yang terlibat bagi mengesan 4 lagi mangsa yang masih hilang.  Korban pertama ditemui oleh penduduk kampung apabila mayatnya terdampar di tebing Kampung Salah Kechil, Pulau Bruit pada hari Ahad, 28 November 2016. 
Dan semalam menyaksikan korban ke-2 pula ditemui apabila mayatnya dikesan terapung kira-kira 7 batu nautika dari Kampung Betanak menjelang tengahari iaitu kira-kira 1.35 petang.  Difahamkan setelah pengecaman dilakukan, mangsa kedua adalah operator kren tongkang “Jin Fiat No. 1” yang dikenali sebagai Kamal, berusia di dalam lewat 30an.  Dengan itu tinggal 2 lagi mangsa yang masih hilang dan operasi SAR akan tetap diteruskan. 
Untuk rekod, ini merupakan tragedi ke-2 yang berkait dengan bot karam di Pulau Bruit di dalam tempoh 4 tahun.  Tragedi bot karam di muara Batang Lassa menyaksikan satu bot panjang persendirian yang membawa 27 penumpang dari Kampung Tekajong setelah menghadiri satu majlis perkahwinan di Kampung Saie, Pulau Bruit karam di muara Batang Lassa sekitar Januari 2014.  Tragedi ini juga meragut korban yang menyaksikan awal tahun 2014 di Sarawak itu diwarnai dengan cerita yang menyedihkan. 
Salam takziah untuk seluruh keluarga mangsa-mangsa tragedi ini dan semoga urusan pencarian untuk 2 lagi mangsa yang hilang dipermudahkan. Al-Fatihah. Amin. 

No comments:

Post a Comment