Monday, 21 November 2016

APAKAH ADA KEJUTAN DI DUN SARAWAK KALI INI?


PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri Sarawak baru sahaja membuka tirai persidangannya semalam. Untuk kali ini ianya akan berlangsung selama 8 hari iaitu bermula dari 21 hingga 30 November 2016. 
Di dalam corat-coret kita berbicara mengenai hak Sarawak seperti yang dijanjikan 53 tahun dahulu, Kerajaan Negeri Sarawak melalui Ketua Menteri Datuk Adenan telah menggemparkan seluruh rakyat Sarawak baru-baru ini.  Menarik balik cadangan untuk membawa usulan ke DUN Sarawak telah memberikan pelbagai respons dari rakyat Sarawak.  Alasannya adalah untuk lebih mempercayai diplomasi atas nama kesepakatan keluarga BN dan lagipun banyak perkara mengenai hal MA63 sedang di dalam peringkat diskusi di Persekutuan.
Natijah diatas pembatalan cadangan usulan itu membuatkan semalam juga bertempat di Tebingan Kuching hampir lebih kurang 50 orang kumpulan S4S (Sarawak For Sarawakian) berkumpul membuat demo aman. Dilaporkan bahawa tujuan demo itu adalah untuk  membuat bantahan dan mendesak Ketua Menteri menepati apa yang sudah beliau war-warkan sebelum ini.   
Sesungguhnya walau apa jua yang kita sebagai rakyat fikirkan ingatlah sudah tentu pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak dibawah pimpinan Datuk Adenan mempunyai sebab musababnya yang tersendiri yang tidak diketahui kita.  Datuk Adenan sejak dari awal lagi terserlah kepakarannya di dalam hal taktikal dan bukan sedikit yang beliau telah lakukan sehingga ada sesetengah hal tidak pernah kita fikirkan menjadi kenyataan atas usaha beliau. 
Jadi adakah untuk persidangan DUN Sarawak kali ini ada kejutan yang lebih luar biasa.  Jika BN Sarawak menarik balik cadangan usulan memperkasakan Perjanjian Malaysia 1963 namun tidak bermakna pihak parti pembangkang tidak boleh mengusulkannya. Sudah ada kedengaran Baru Bian dari PKR Sarawak ingin memperjuangkannya dan terpulang kepada Speaker iaitu Datuk Amar Asfia untuk meluluskannya bagi diperdebatkan di DUN nanti. 
Jikalau ianya berjaya diperdebatkan sesungguhnya itu akan menjadi saksi kepada Persekutuan bahawa orang Sarawak tidak kira apa parti mahupun agama dan bangsa cukup serius apabila berbicara tentang hak yang telah dimungkiri selama ini. Biar apapun juga jangan sesekali rakyat Sarawak berpecah-belah kerana dalam segenap aspek jika kita ingin berjaya kita harus bersatu dibawah satu bendera iaitu bendera Negeri Sarawak Bumi Kenyalang. 
Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh.   

No comments:

Post a Comment