Tuesday, 15 November 2016

GELOMBANG PENGHIJRAHAN KAUM CINA MALAYSIA


Ratusan tahun dahulu sejak adanya kewujudan negeri-negeri di Tanah Melayu mahupun Sabah serta Sarawak, kaum Cina sudahpun ada sebagai pembentuk masyarakat majmuknya.  Pada masa sekarang, kaum Cina mewakili kaum kedua terbesar di Malaysia dengan jumlah mereka berdasarkan census adalah 6.65 juta orang iaitu hampir 23.4% jumlah populasi Malaysia itu sendiri.  Dan kaum Cina Malaysia juga diperkira sebagai komuniti kedua terbesar kaum Cina seberang laut selepas Negara Thailand.

Mengimbau sejarah penghijrahan Kaum Cina ke Malaysia sebenarnya agak unik kerana ianya sudah berlaku begitu lama sekali.  Difahamkan terdapat 3 gelombang penghijrahan Kaum Cina di Malaysia.

Gelombang Penghijrahan Pertama

Menurut tulisan Tun Seri Lanang didalam bukunya “Sejarah Melayu” ada menyatakan bahawa sekitar tahun 1459 masihi, Puteri Hang Li Po iaitu seorang puteri dari Dinasti Ming telah dihantar ke Melaka untuk mengahwini Sultan Melaka pada masa itu.  Ianya dilakukan bagi mempereratkan hubungan diplomatic Negara China dengan Melaka kerana Melaka pada masa itu merupakan salah satu daripada negeri yang utuh di rantau Tanah Melayu. 

Gelombang penghijrahan Puteri Hang Li Po ini telah membawa bersama kira-kira 500 orang rombongannya yang terdiri daripada pahlawan-pahlawan berbangsa Cina yang gagah perkasa serta beberapa ratus orang dayang-dayang serta sida-sida untuk keperluan seorang puteri itu di tanah orang.  Kerajaan Melaka bermurah hati menempatkan mereka di satu kawasan yang dikenali dengan nama Bukit Cina di Melaka.  Apabila rombongan yang ramai seperti ini sudah tentu ada yang mengahwini masyarakat tempatan dan kerana itulah lahirnya satu komuniti yang dikenali sebagai Cina Peranakan atau juga turut terkenal dengan panggilan Baba dan Nyonya di negeri Melaka sekarang. 

Namun jauh sebelum itu sebenarnya telahpun ada saudagar-saudagar dari Tembok Besar Cina yang sudahpun berurusan perniagaan di Melaka iaitu saudagar-saudagar yang dikatakan dari golongan aristocrat di Negara China.  Dan kedatangan mereka membawa seribu kekayaan yang akhirnya melalui perkahwinan juga kekayaan ini telah mencipta kelas-kelas golongan Cina yang kaya raya di negeri-negeri di Tanah Melayu.  Dikatakan kebanyakan daripada golongan aristocrat ini adalah daripada Zhangzhou dan Quanzhou dari wilayah Fujians. 

Gelombang Penghijrahan Kedua

Untuk gelombang penghijrahan kedua pula berkisar diketika pemerintahan bangsa Eropah di Malaya mahupun Brooke di Sarawak dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara di Sabah suatu waktu dahulu.  Dikatakan kebanyakan yang berhijrah pada masa itu adalah golongan imigran Cina yang ingin mencari penghidupan yang lebih selesa.  Dari gelombang kedua inilah kebanyakan kaum Cina Malaysia dikenalpasti mempunyai perkaitan yang paling tuntas. 

Di ketika pemerintahan British ini, beratus-ratus ribu kaum Cina yang berasal dari Fujian dan Guangdong berhijrah ke Malaya mahupun Sarawak dan North Borneo memandangkan pada ketika itu taraf kemiskinan di Negara China agak mendesak.  Mereka bersama-sama dengan imigran dari India menjadi sandaran untuk sebarang kekosongan tenaga buruh seperti di kawasan lombong-lombong bijih timah dan emas, ladang getah mahupun sebagai buruh di pembinaan keretapi di Malaya. 

Namun oleh kerana kebanyakan daripada mereka adalah dari golongan rakyat yang miskin, ramai daripada mereka bekerja keras hanya untuk membayar segala hutang-piutang samada hutang lama di Negara sendiri ataupun terpaksa membayar hutang bagi kos mereka untuk berhijrah pada masa itu.  Dan kerana itulah dikatakan bagi menghilang stress bekerja keras ada yang membiasakan diri mereka dengan menghisap candu serta bermain judi yang akhirnya menambahlagi beban penghidupan mereka. 

Selain itu bukanlah semua yang bernasib malang kerana ada diantara mereka mampu menyelamatkan diri dengan memulakan perniagaan kecil-kecilan dan akhirnya apabila mereka semakin berjaya turut menjadi antara pemain ekonomi bagi bersama-sama membangunkan tempat mereka mencari rezeki.

Penghijrahan pada gelombang kedua ini sebenarnya tidaklah membawa golongan kaum Cina yang bijak pandai serta berpendidikan dan ianya dapat digambarkan melalui dimana mereka tinggal.  Bagi imigran kaum Cina yang berpendidikan kebanyakan daripada mereka tinggal di ibukota besar manakala yang lain tinggal di kawasan lombong mahupun ladang. 

Kerana kebanjiran imigran ini menjadikan pentadbiran British turut sama memberi ruang pendidikan kepada mereka dengan bekerjasama dengan ketua-ketua imigran itu sendiri.  Pembinaan sekolah-sekolah beraliran Cina dengan pendidikan mengikut skala Negara China diwujudkan agar anak-anak imigran Cina lebih berpendidikan. 

Sejajar dengan waktu juga, sekolah-sekolah mubaligh kristian turut didominasi oleh anak-anak imigran Cina kerana mereka sendiri mengetahui bahawa kepandaian bahasa Inggeris bagi anak-anak mereka itu penting untuk survival mereka pada mereka.  Disinilah juga melahirkan anak-anak imigran Cina yang berpendidikan barat yang akhirnya turut mendominasi dunia pekerjaan di Malaya, Sarawak mahupun North Borneo suatu waktu dahulu. 

Gelombang Penghijrahan Ketiga

Untuk gelombang penghijrahan ketiga berlaku di ketika Gagasan Malaysia sudahpun diwujudkan.  Ini dapat dilihat dari segi dahulu jumlah populasi mereka iaitu yang bersandarkan daripada penghijrahan kedua semakin bertambah.  Pada kali ini kebanyakan yang berhijrah adalah mereka yang dari golongan kaya raya dan pertengahan kaum Cina.  Pada kali ini kebanyakannya berhijrah melalui perkahwinan iaitu ramai Kaum Cina Malaysia mengahwini gadis-gadis yang berasal dari Negara China secara langsung. 

Dan gelombang ketiga ini juga turut diwarnai dengan penghijrahan golongan elit Cina yang sengaja memilih Malaysia sebagai tempat tinggal mereka bagi melarikan diri daripada pencemaran, gaya hidup serta suasana politik di Negara asal mereka.  Golongan inilah yang sebenarnya memilih untuk menjadi “Malaysia My Second Home” iaitu satu skim yang membenarkan rakyat asing tinggal di Malaysia lebih lama dengan beberapa syarat yang ketat.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa penghijrahan nenek-moyang Kaum Cina di Malaysia mempunyai banyak signifikasinya yang tersendiri.  Jika nenek moyang mereka lebih kepada survival penghidupan sehingga sanggup berhijrah untuk mereka yang sudah digelar sebagai anak Malaysia sekarang mempunyai halatuju mereka sendiri. 

Ada yang ingin memperkembangkan perniagaan dan menjadi pemain sektor ekonomi dan tidak kurang juga ramai yang sudah menjadi golongan professional serta tidak dilupakan ahli politik yang mampu mencorak halatuju sebuah Negara bergelar Malaysia. 

No comments:

Post a Comment