Thursday 31 August 2017

SALAM AIDILADHA 2017


RASAI pengorbanan, lengkapkan ibadah dengan penuh keikhlasan.

Salam Aidil Adha dari team admin RP. 


ANAK SARIKEI DITEMBAK MATI SEWAKTU BERTUGAS


SEORANG anggota polis, Lans Koperal Valentino anak Mesa yang juga seorang anak Sarawak kelahiran Sarikei telah dijumpai mati di dalam keadaan menyayat hati di Balai Polis Pinggiran USJ, Selangor sekitar jam 3.30 pagi hari ini.  

Dikatakan ketika dijumpai oleh anggota polis yang lain, beliau sudah tidak bernafas lagi dengan ada kesan tetakan di bahagian telinga dan tembakan di bahagian perut mangsanya.  Difahamkan pada waktu itu, Lans Koperal Valentino hanya bertugas keseorangan menjaga Balai Polis Pinggiran iaitu satu balai polis komuniti rakan-rakannya yang lain keluar membuat rondaan.  Setakat ini siasatan masih lagi diteruskan oleh pihak PDRM.  

Sesungguhnya ianya satu berita yang amat menyedihkan bagi kita semua.  Salam takziah untuk keluarga Mendiang Lans Koperal Valentino anak Mesa. RIP.
  

Wednesday 30 August 2017

PENUTUPAN KL2017: 1 ACARA DWI MISI




SUKAN SEA edisi yang ke-29 baru sahaja melabuhkan tirainya dan serentak dengan itu juga kejayaan manis tercipta apabila Malaysia dinobatkan sebagai Juara Sukan SEA untuk kali ini dengan rekod terbaik iaitu 145 emas yang belum pernah kita perolehi semenjak menyertainya.  Sesuatu yang harus kita banggakan sebagai anak Malaysia kerana hakikatnya kejayaan kejohanan ini terletak pada setiap bahu atlit, sukarelawan, pegawai sukan serta kita sebagai rakyat Malaysia itu sendiri.  

Sukan itu berjaya menyatupadukan kita dan itulah yang tercapai sepanjang kejohanan ini berlangsung di Malaysia.  Rakyat Malaysia yang dari pelbagai kaum dan agama mahupun fahaman politik tetap bersatu menyokong kontinjen Malaysia.  Kalah atau menang itu bukan persoalan kerana itu adat permaian.   Yang penting semangat patriotik itu tetap ada untuk memastikan kita berjuang atas nama Malaysia.  

Atas kejayaan ini juga, hadiah daripada Kerajaan Malaysia untuk rakyat Malaysia turut diumumkan bahawasanya 4hb September 2017 diwartakan sebagai cuti umum untuk Malaysia.  Walau tiada pingat yang dikalongkan di leher rakyat Malaysia namun hadiah “cuti umum” ini cukup bermakna untuk kita semua kerana secara tidak langsung 31 Ogos (Hari Kebangsaan), 1 September (Sambutan Hariraya Aidiladha) adalah cuti umum dan ditambahlagi hari Isnin depan makanya cuti panjang untuk kita semua.  

Satu acara penutup yang penuh warna-warni dan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia turut menghiasi segmen akhirnya. Satu acara dwi misinya.

Syabas dan Tahniah Malaysia dan Salam Hari Kebangsaan Malaysia, 31 Ogos.

#bangkitbersama
#kitasamahero
#sejarahtercipta

Monday 28 August 2017

KL2017: MISI 111 EMAS TERCAPAI MALAYSIA JUARA





WALAU di dalam tempoh 48 jam lagi barulah Sukan SEA ke-29 bakal melabuhkan tirainya namun Kontinjen Malaysia malah rakyat Malaysia sudahpun merayakan kejayaannya apabila tepat jam 10.34 malam tadi, jaguan acara keirin yang juga juara dunia Malaysia iaitu Azizul Hasni Awang menganugerahkan pingat emas yang ke 111 kepada kita semua.  

Kejayaan manis ini sekaligus menandakan bahawa misi dan visi Malaysia tercapai apabila sasaran 111 emas Sukan SEA 2017 ini menyamai pencapaian Malaysia sewaktu menjadi tuan rumah pada tahun 2001.  Dan jika diperhitungkan kepada jumlah acara yang berbaki juga noktah perjuangan kontinjen Malaysia memburu emas masih lagi belum selesai dan ianya juga satu bonus untuk kita semua.  

Dan dengan negara-negara yang lain masih lagi dengan jumlah pingat yang berkurangan bermakna Malaysia bolehlah dikatakan sudahpun menjadi Juara Keseluruhan pada temasya dwi-tahunan ini untuk edisi ke-29.  

Tahniah dan Syabas Kontinjen Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia.  


#bangkitbersama
#kitasamahero
#MalaysiaJuaraSukanSEA2017

KL2017: 2 ANAK SARAWAK UNGGULI TERJUN PAPAN ANJAL (10M)





KECEMERLANGAN skuad terjun Malaysia diteruskan lagi pada hari ini.  Ratu Terjua bertaraf dunia Malaysia iaitu Pandelela Rinong menganugerahkan satu pingat emas lagi buat Negara Malaysia di Sukan SEA ke-29 ini.  Dan yang lebih manis lagi seorang lagi anak kelahiran Sarawak iaitu Kimberly Bong Qing Ping pula mendapat tempat ketiga sekaligus pingat gangsa untuk Malaysia.  

Tahniah anak Sarawak dan Syabas Team Malaysia.

#BangkitBersama
#KitaSamaHero  

Sunday 27 August 2017

AHLI LEMBAGA PENGARAH PETROS DARI DAYAK NON-MUSLIM


AKHIRNYA teka-teki siapakah yang akan menerajui syarikat minyak milik kerajaan negeri Sarawak yang dikenali sebagai PETROS sudahpun dimuktamadkan pada minggu lepas.  Sudah terang lagi bersuluh, PETROS akan diterajui oleh Tan Sri Datuk Amar Hamid Buga sebagai Pengerusinya. Satu nama besar dan juga selayaknya untuk menerajui syarikat tersebut berdasarkan kepada pengalamannya.  

Selain itu, untuk Ahli Lembaga Pengarah pula telah ditampilkan Dato Mohamad Medan bin Abdullah.  Anak Kelabit yang tersohor namanya di dalam industri minyak dan gas negara.  Selain itu BOD PETROS turut diisi oleh Encik Sharbini Suhaili, Ir. Tuan Haji Zuraimi bin Haji Sabki dan Heng Hock Cheng.  Kesemua mereka adalah anak-anak Sarawak yang mempunyai pengalaman serta mempunyai nama apabila berkata mengenai industri minyak dan gas itu sendiri.  

Dan semalam melalui kenyataan daripada Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Doughlas Unggah Embas turut mengwar-warkan bahawa seorang lagi ahli lembaga pengarah PETROS akan dipilih dan kali ini dikalangan masyarakat Dayak bukan Islam seperti yang diarahkan oleh Ketua Menteri Sarawak sendiri.  

Sama-samalah kita tunggu siapakah individu daripada Dayak bukan Islam yang akan terpilih kelak.  

Thursday 24 August 2017

BENDERA, ANGKA 60 ATAU 54 DAN PANDELELA RINONG




TERBACA satu artikel di dalam Sinar Harian Online yang ditulis oleh saudara Abdul Jalil Ali bertarikh 24 Ogos 2017 iaitu dengan tajuk besarnya Bendera Dan Aksi Pandelela Rinong. Pautannya adalah seperti berikut:


Kebimbangan beliau mengenai betapa kurangnya sambutan untuk mengibarkan jalur gemilang sememangnya mempunyai asasnya dan beliau sendiri menjawabnya dengan satu persatu di dalam artikel secara umum.  CUMA agak ralat apabila diakhir penulisannya beliau seolah-olah menggunakan nama Pandelela Rinong untuk menzahirkan apa yang berlaku di Sarawak sekarang.  

Samada penulis artikel ini lupa atau sengaja menjadi lupa ingatan untuk konteks Sarawak, keghairahan untuk mengibar bendera jalur gemilang itu mempunyai sentimen yang agak berbeza seperti di bumi Semenanjung Malaysia.  Jika ditanya pada rakyatnya rata-rata semangat merdeka itu agak suam-suam kuku berbanding suatu waktu dahulu.

Mungkin rata-rata rakyat Sarawak boleh menerima tanggal 31 Ogos itu dipilih untuk menjadi tarikh rasmi kemerdekaan Malaysia kerana dua rakan sejajar pembentuk Persekutuan Malaysia iaitu Malaya merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957 manakala Sabah (Borneo Utara) pada 31 Ogos 1963.  Dan jika  diselidiki secara sejarah seharusnya pengistiharan Persekutuan Malaysia itu dizahirkan pada tanggal 31 Ogos 1963 namun akibat daripada beberapa kelewatan dokumentasi di pihak United Nation makanya ianya diadakan pada tanggal 16 September 1963.  Itu adalah sejarah sebenar yang tidak perlu untuk kita persoalkan sama sekali.  

Cuma apa yang menjadikan persoalan sekarang iaitu ANGKA 60 TAHUN yang diangkat sebegitu rupa yang mana menyaksikan rata-rata rakyat Sarawak yang kebanyakannya sudah celik sejarah sebenar mengetahui bahawa pembentukan Malaysia itu baru sahaja berusia 54 TAHUN.  Sebagai rakan sejajar pembentukan Malaysia, mungkin pihak persekutuan di Putrajaya turut sudah melupai yang mana satu angka harus didahulukan kerana 60 tahun dahulu, Sabah mahupun Sarawak masih lagi dibawah cengkaman pemerintahan Koloni Mahkota British Borneo.

Sentimen ini juga turut terpalit pada segala usaha autonomi yang sedang berlangsung sekarang dan ini termasuklah isu royalti minyak yang umpama main tarik tali dengan organisasi yang mengaut sumber kekayaan di bumi Sarawak.  Hal-hal ini selagi belum dimuktamadkan ianya akan terus menjadi duri dalam daging atas rasa semangat kekitaan kita sebagai rakyat Malaysia.

Dari sudut Sukan SEA yang ke-29 sekarang, mungkin penulis artikel terlupa bahawa buat masa sekarang rakyat Malaysia melupakan segala perbezaan politik mahupun kesuraman poket dan untung nasib rakyat setelah terpalit dengan kos sarahidup yang menyesakkan sekarang.  Hanya dengan sukan inilah rakyat mampu bersatu “bangkit bersama” serta menjadi “kita sama hero” menyokong atlit-atlit Malaysia yang sedang bertarung untuk menaikkan nama negara di persada sukan dunia.  

Tanpa penulis artikel sedari, beliau sebenarnya sudah menghina rakyat Malaysia sendiri malah juga lebih mengkhusus rakyat Sarawak yang dikatakan terbuai dengan keghairahan aksi atlit Malaysia contohnya sukan renang acara terjun yang kita ketahui mengenakan pakaian renang yang seksi dan sebagainya.  Telahan lagi tidakkah penulis artikel sedari bahawa apa yang beliau telah tulis itu sebenarnya turut boleh menganggu konsentrasi perenang kita iaitu Pandelela Rinong, anak kelahiran Sarawak Bumi Kenyalang yang akan bertarung merebut kilauan emas di Sukan SEA beberapa jam lagi.  

Dikala ini semangat mengibarkan jalur gemilang itu lebih memfokus di Sukan SEA ke-29 jadi tidakkah itu cukup membanggakan.  Malah rakyat Sarawak yang nun jauh membelah Laut China Selatan turut bersama-sama dengan Malaysia waima hanya melihat menerusi kaca televisyen mahupun “live” maya walaupun sedikit ralat kerana pihak penganjur KL2017 menolak permintaan untuk Sarawak dijadikan hos untuk menjadi salah satu acara Sukan SEA ke 29 ini.  

Wahai penulis artikel, celikkan mata dan berlapang dadalah dahulu untuk setiap hal yang berlaku seperti kata Menteri Belia dan Sukan Negara Malaysia iatu Tuan Haji Khairy bin Dato Seri Haji Jamaludin di dalam ucap tamarnya sewaktu pembukaan Sukan SEA ke-29 beberapa hari yang lepas, hanya sukan yang boleh menyatupadukan rakyat dan keamanan sejagat.

Sekarang sebagai pertanyaan semua dengan kita menggunakan formula matematik, yang mana satukah angka sebetulnya, 60 TAHUN ATAU 54 TAHUN?  Fikir-fikirkan.

KL2017: “THOR” ASIA TENGGARA MILIK DUA ATLIT ANAK SARAWAK


SEMALAM kita semua merayakan seorang anak Sarawak yang bernama Jackie Wong Siew Cheer yang mengungguli acara tukul besi bahagian lelaki dengan balingan emas sekaligus memecah rekod kejohanan.  Dan pada hari ini pula sekali lagi kita semua berbangga apabila seorang lagi atlit wanita dari acara yang sama tetapi di turut bertindak cemerlang.  

Pada hari ini giliran seorang atlit kelahiran Sarawak iaitu  Grace Wong Xiu Mei pula menempa namanya di persada sukan Asia Tenggara.  Beliau dinobatkan sebagai pemenang pingat emas melalui percubaan balingan pertama telah berjaya memecah rekod kejohanan Sukan SEA.  

Syabas dan Tahniah Grace Wong dan Team Malaysia.    


Wednesday 23 August 2017

KL2017: ANAK SARAWAK GONDOL EMAS DAN PECAH REKOD SUKAN SEA


SELEPAS kejayaan Welson Sim yang pada hari ini telah memperbaharui rekod kejohanan dan emas berganda untuk dirinya di dalam acara renang 200 meter gaya bebas, giliran seorang lagi anak Sarawak meletakkan namanya di persada sukan Asia Tenggara.   

Jackie Wong Siew Cheer, anak kelahiran Sarawak Bumi Kenyalang yang juga merupakan wakil negara di dalam acara baling tukul besi telah menghadiahkan sebutir pingat emas buat kontinjen Malaysia hari ini.  Beliau turut berjaya memperbaharui rekod kejohanan Sukan SEA dengan balingan sejauh 65.90(m).  

Tahniah anak Sarawak dan Team Malaysia.  

#bangkitbersama
#kitasamahero 

Tuesday 22 August 2017

KL2017: RAJA PECUT ASIA TENGGARA MILIK MALAYSIA


KHAIRUL Hafiz Jantan mengukir nama Malaysia di persada sukan Asia Tenggara semalam apabila dinobatkan sebagai Raja Pecut Asia Tenggara setelah mengungguli acara trek 100m akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.  Dengan catatan 10.38s, beliau gagah meninggalkan pencabar utamanya dari negara Filipina iaitu Eric Cray yang mendapat pingat perak dengan catatan 10.43s.  

Turut sama menyertai kem Malaysia semalam adalah atlit kelahiran Sarawak iaitu Jonathan Nyepa yang telah membuat semampu mungkin untuk menghabiskan cabarannya di tempat kelima.  Sementara itu acara trek 100m Wanita pula walaupun merangkul pingat Perak namun kejayaan Saidatul Husniah Zulkifli turut mencipta sejarah selepas inilah atlit Malaysia yang berjaya mengunggulinya selepas G. Shanti suatu waktu dahulu.  

Tahniah dan syabas Khairul Hafiz Jantan dan Saidatul Husniah Zulkifli.  


#bangkitbersama
#kitasamahero  

KIBAR BENDERA SARAWAK KABURI APMM


PELBAGAI taktik digunakan oleh kapal-kapal asing yang cuba mengaut hasil laut di lautan Sarawak dan antaranya adalah mengibarkan bendera Sarawak bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Kebimbangan dengan banyaknya kes pencerobohan secara haram di lautan Sarawak sekarang menjadikan penguatkuasa kita semakin peka dan cekap menghidu ini semua      

Itulah yang terjadi baru-baru ini apabila sebuah kapal dari Vietnam telah ditangkap dan disita bersama-sama dengan krewnya yang berusia dari usia 16 hingga 45 tahun.  Mereka ditangkap di ketika sedang asyik menangkap ikan secara haram kira-kira 10 batu nautika dari Tanjung Po sekitar jam 1.00 pagi pada sabtu lepas.

Untuk rekod, setakat semalam untuk kes pencerobohan perairan Sarawak sahaja terdapat lebih 29 buah kapal dari Vietnam yang telah disita oleh APMM bersama-sama dengan 346 krew dan skipper. Setiap satu daripada mereka disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 yang jika disabitkan kesalahan akan membawa kepada denda RM100,000 hingga RM1 juta atau dipenjara.  

Sunday 20 August 2017

KL2017: SEPAKTAKRAW WANITA PENUH KONTROVERSI


ACARA sepaktakraw sememangnya antara acara yang paling popular di kalangan rakyat Malaysia. Walaupun setakat ini untuk skuad lelaki masih belum memberikan sinar seperti yang gah diperkatakan namun kesemua acaranya masih lagi baik di dalam kawalan.  Dan semalam menyaksikan terdapat beberapa kontroversi berlaku di Stadium Tertutup Titiwangsa iaitu melalui acara sepaktakraw wanita Malaysia melawan Indonesia.  

Pada awalnya skuad Malaysia menang pada set pertama dengan jumlah 22-20 dan masuk pada set kedua setelah Indonesia mendahului16-10 situasi agak tegang bermula.  Setelah beberapa kali tekong Indonesia dibatalkan oleh pengadil perlawanan iaitu Mohd Radhi Che Mei dari Singapura, akhirnya berang dengan keputusan tersebut menyebabkan skuad Indonesia bertindak keluar gelanggang dan tidak mahu meneruskan perlawanan.  

Atas tindakan tersebut, skuad wanita Malaysia diberikan kemenangan percuma dan ini bermakna Malaysia sudah mendapat dua mata sekaligus menyaksikan pingat perak sudahpun di dalam genggaman.  Sekiranya mampu melawan skuad Thailand mungkin juga kilauan pingat boleh bertukar menjadi emas.  

Seboleh-bolehnya di dalam satu perlawanan lebih-lebih lagi bertaraf dunia dan kita di ASEAN adalah bersaudara tidaklah perlu kita bertindak sedemikian.  Setiap perlawanan sudah tentu ada undang-undangnya dan pengadil itu adalah mereka yang arif di dalam undang-undangnya.  Kita bersukan untuk persaudaraan dan kalah menang itu adat permainan.  

Thursday 17 August 2017

LESEN MEMBURU DAN MENJUAL DAGING BUAYA DIKELUARKAN 18/8/2017


KONFLIK sang bedal dengan manusia di Sarawak sudah menjadi antara topik yang sering diperkatakan masyarakat setempat.  Dan sejajar dengan itu 3 Oktober 2016, CITIES telah mengeluarkan buaya daripada menjadi haiwan terlindung di Sarawak kerana jumlahnya yang begitu membimbangkan.  
18hb Ogos 2017 iaitu hari ini, pihak Jabatan Perhutanan Sarawak akan mula  mengeluarkan lesen-lesen bagi memburu dan menjual daging buaya itu di Sarawak mahupun dieksport ke luar negara. Difahamkan menurut sumber ada seramai 40 orang yang telah memohon lesen untuk memburu dan menjual daging sang bedal setakat ini.
Pemberian lesen ini perlu bagi mengawal daripada buaya ini terus dibunuh tanpa kawalan biarpun ianya banyak di sungai-sungai di Sarawak. 

Wednesday 16 August 2017

NAZRI DIPERSILA DATANG KE SARAWAK. - DATUK ABDUL KARIM


ISU cukai pelancongan yang dikuatkuasakan masih lagi menjadi sesuatu yang amat “mengguris hati” Sarawak lebih-lebih lagi selepas dikuatkuasakan apa yang dijanjikan sebelum ini iaitu pembahagian hasil yang dijanjikan telah dinafikan.  Ini ekoran kenyataan Menteri Pelancongan Malaysia iaitu Datuk Seri Nazri Aziz yang awal-awal lagi sudah mengwar-warkan bahawa hanya RM1 daripada setiap RM10 akan diberikan kepada negeri-negeri di Malaysia untuk tujuan promosi pelancongan.  
Di pihak Sarawak samada daripada Ketua Menteri Sarawak mahupun menteri yang bertanggungjawab iaitu Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah awal-awal lagi tidak bersetuju dengan pembahagian sedemikian.  Belum lagi terungkai ceritanya, timbul pula kenyataan bongkak daripada Menteri Pelancongan Malaysia ini yang seolah-olah mendabik dada beliaulah yang wajar “disembah”.  
Bertindakbalas daripada itu satu kenyataan daripada Menteri Sarawak turut dimuatnaik semalam apabila beliau dengan sinis berkata bahawasanya tidaklah menjadi masalah kepada Datuk Seri Nazri untuk dipersila datang ke Sarawak bagi berbincang dan menerangkan tentang pembahagian cukai pelancongan.  Penerangan itu wajar kerana yang dilakukan oleh Menteri Pelancongan Malaysia ini adalah sewenang-wenangnya memberikan hak yang sama kepada Sarawak mahupun Sabah sedangkan kedua-dua negeri ini adalah pembentuk Malaysia bersama Malaya dan bukannya sama seperti negeri-negeri di Persekutuan Tanah Melayu sebelum ini.  
Seharusnya seorang Menteri Persekutuan biarpun sudah lama menjadi Ahli Politik tidaklah perlu untuk begitu angkuh sebegitu rupa.  Sabah dan Sarawak adalah rakan sejajar dan apa yang diminta adalah memartabatkan hak seperti yang terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963 sebelum ini iaitu Pelancongan adalah dibawah “Residual List”.  
Manusia itu bersifat tanah kenapa perlu sombong melangit!

KL2017: CHINLONE EMAS PERTAMA MALAYSIA


MUNGKIN acara sukan ini tidak begitu diketahui oleh rakyat Malaysia kerana ianya adalah satu sukan tradisi yang bukan “Made In Malaysia” sebaliknya berasal dari Myammar.  Mula diperkenalkan di Sukan SEA Myammar pada tahun 2013 dan sudah tentu pasukan Myammar yang memenangi pingat emasnya pada waktu itu.  
Namun untuk edisi ke-29 pula, ternyata pasukan Chinlone Malaysia yang mengunggulinya apabila berjaya menganugerahkan pingat emas pertama untuk Malaysia.  Skuad negara Malaysia telah mencatatkan 391 mata berbanding pasukan Filipina yang hanya berjaya memunggut sebanyak 271 mata.  
Tahniah skuad negara Malaysia.

#BangkitBersama 

BRIM PERINGKAT KETIGA MULA DIBAYAR


KEMENTERIAN Kewangan sudahpun mengeluarkan kenyataan media bahawa pembayaran BRIM Peringkat Ketiga (Terakhir) akan bermula pada tarikh 16 Ogos 2017.

Monday 14 August 2017

KL2017: KAWALAN KESELAMATAN TETAP DIUTAMAKAN


SUKAN SEA 2017 sesetengah acara sukannya sudahpun bermula di Kuala Lumpur.  Dan sudah tentu Kuala Lumpur sebagai tuan rumahnya sudahpun menerima ramai tetamu baik dari ahli sukan, pihak pengurusan sehinggalah kepada peminat sukan dari seluruh negara yang terlibat.  Sejajar dengan kesibukan serta kemeriahannya juga, Malaysia sebagai hos pada edisi kali ini tidak pernah mengambil ringan soal keselamatannya.
Untuk itu difahamkan melalui kenyataan Menteri Tugas-tugas Khas yang juga Menteri Pertahanan iaitu Datuk Seri Hishamuddin bin Tun Hussein telah mengarahkan lebih kurang 1,000 orang tenaga kerja dari ATM pelbagai pangkat untuk bergandingbahu dengan anggota polis bagi mengawal keselamatan di 38 lokasi strategik.  Ini termasuklah lokasi seperti KLCC, Bukit Bintang, KL Sentral, Stadium-stadium dan banyak lagi.
Selain itu turut dinyatakan seramai 459 orang pegawai dan kakitangan untuk “Anti-Terrorism Alert Troop” turut diletakkan di dalam langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang KL2017 berlangsung. Kumpulan anti pengganas ini akan diletakkan di beberapa buah kem pertahanan seperti di Kem Wardieburn, Kem Batu Kentomin serta beberapa kawasan strategik.
Itulah antara jaminan keselamatan yang telah ditunjukkan oleh Malaysia sebagai hos edisi ke-29 Sukan Sea dari 19 -30 Ogos 2017 ini.  Ianya bukti komitmen kerajaan Malaysia yang sentiasa mengutamakan keselamatan negara dan tetamunya di tahap yang terbaik. 

Thursday 10 August 2017

GELAS MINUMAN DIASINGKAN MENGIKUT AGAMA!



GELAS MINUMAN DIASINGKAN MENGIKUT AGAMA!
- Jawapan Balas Dari Professor Dr. Madeline Berma

SEMAKIN hari semakin pelik dengan masyarakat kita di Malaysia yang amat kompleks pemahamannya.  Baru-baru ini warga netizen dikejutkan dengan kejadian sebuah sekolah di Seberang Prai, Pulau Pinang yang membuat pengasingan gelas-gelas minuman mengikut agama. Tular mengenai tindakan pihak pengurusan sekolah tersebut kerana ianya sudah tentu secara tidak langsung menidakkan sensitiviti agama lain di Malaysia.  

Berikut merupakan jawapan balas yang di “copy and paste” dari laman mukabuku seorang ahli akademik tersohor negara iaitu Professor Dr. Madeline Berma untuk sama-sama kita renungkan.  

================================


Manusia dan Tuhan

Manusia mencipta cawan untuk minum air yang dicipta Tuhan Yang Maha Esa. Manusia membeza cawan mengikut agama peminum air.

Terfikir

Tuhan pencipta air. Kalaulah Tuhan ingin membezakan manusia mengikut air yang diminum, kenapa tidak Tuhan cipta sahaja air mengikut agama manusia. Air warna kuning untuk orang Islam (seperti label pada cawan), air bewarna biru untuk penganut agama Hindu, warna hijau untuk Kristian, warna pink untuk Taoist, warna purple untuk Buddhist, warna merah untuk Bahai, dan air tiada warna bagi penganut agama tradisional/alami. Bagi golongan atheist (yang tidak percaya akan adanya Tuhan), mereka tidak diberikan air.

Kan lebih mudah.

Sekiranya begini manusia yang cerdik pandai berfikir, tidak mustahil akan tiba satu ketika mereka akan membezakan udara yang disedut mengikut agama yang manusia anuti. Atau ubat untuk pesakit diasing mengikut agama.

Mengunakan agama dan Tuhan untuk membezakan sesama manusia.

Satu yang saya pasti. Ini bukan ajaran agama. Ini hanya tindakan seorang cerdik pandai yang mentafsir tuntutan agama.

43 ATLIT SARAWAK DI SUKAN SEA KE-29



KEMERIAHAN Sukan SEA yang ke-29 kian terasa dengan pelbagai promosi telah berkumandang di media-media saban hari.  Ini merupakan kali ke-6, Kuala Lumpur menjadi tuan rumah acaranya. Untuk Sukan SEA akan berlangsung dari 19 - 30 Ogos ini manakala untuk Sukan Para ASEAN pula akan bermula dari 17 - 23 September ini.  

Walaupun tiada venue di Sarawak yang akan terlibat secara langsung mungkin kerana kekangan logistik, namun begitu ada 43 orang ahli sukan kelahiran Sarawak sudahpun menempa nama mereka untuk mewakili Malaysia di dalam sukan berprestij di Asean ini.  

43 senarai penuh ahli sukan Sarawak mengikut acara sukan disertai adalah seperti berikut:

1. Basikal - Ariana Nurminda Ariffin
2. Bola Keranjang - Ma Chee Khuen, Liaw Chee Huei, Wong Mei Chyn
3. Bolasepak - Tommy Mawat Bada
4. Bola Tampar - Ranjit Ramu, Alicia Yii, Angela Tang , Stephanie Law, Ting Hui Chin, Mandy Song, Maida Song Hua, Chroe Wong Rong
5. Gimnastik - Arecia Esmelda Menti
6. Golf - Ashley Lau
7. Hoki - Fazilla Sylvester Silin
8. Judo - Brenton Sim
9. Kriket - Christina Nina Baret, Dewi Idora Chunam
10. Menembak - Bibiana Ng
11. Trek dan Balapan - Jackie Wong, Jonathan Nyepa, Mohamad Arif Zulhilmi Alet, Grace Wong, Norris Foo, Nixson Kennedy, Quek Lee Yong, Rizzua Abdul Rahman
12. Renang - Welson Sim, Erika Kong
13. Skuasy - Sanjay Singh Chal  
14. Taekwondo - Augustine Rudy Grocer
15. Tenis - Mohd Assri Merzuki
16. Renang Terjun - Traisy Vivien Tukiet, Kimberly Bong
17. Wushu - Audrey Chan, Diana Bong, Loh Jack Chang, Gjeblehim Bong
18. Ragbi - Stancy Ling Engan, Cindy John Pasan, Fidelia Limang Telajan dan Dayang Manggie

Semoga kehadiran mereka di kancah sukan berprestij ini akan membuahkan hasil dengan menghadiahkan pungutan pingat pelbagai warna untuk Pasukan Malaysia.  Selamat maju jaya diucapkan untuk mereka semua.  Mereka tetap menjadi kebanggaan Sarawak Bumi Kenyalang.