TERBACA satu artikel di dalam Sinar Harian Online yang ditulis oleh saudara Abdul Jalil Ali bertarikh 24 Ogos 2017 iaitu dengan tajuk besarnya Bendera Dan Aksi Pandelela Rinong. Pautannya adalah seperti berikut:
Kebimbangan beliau mengenai betapa kurangnya sambutan untuk mengibarkan jalur gemilang sememangnya mempunyai asasnya dan beliau sendiri menjawabnya dengan satu persatu di dalam artikel secara umum. CUMA agak ralat apabila diakhir penulisannya beliau seolah-olah menggunakan nama Pandelela Rinong untuk menzahirkan apa yang berlaku di Sarawak sekarang.
Samada penulis artikel ini lupa atau sengaja menjadi lupa ingatan untuk konteks Sarawak, keghairahan untuk mengibar bendera jalur gemilang itu mempunyai sentimen yang agak berbeza seperti di bumi Semenanjung Malaysia. Jika ditanya pada rakyatnya rata-rata semangat merdeka itu agak suam-suam kuku berbanding suatu waktu dahulu.
Mungkin rata-rata rakyat Sarawak boleh menerima tanggal 31 Ogos itu dipilih untuk menjadi tarikh rasmi kemerdekaan Malaysia kerana dua rakan sejajar pembentuk Persekutuan Malaysia iaitu Malaya merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957 manakala Sabah (Borneo Utara) pada 31 Ogos 1963. Dan jika diselidiki secara sejarah seharusnya pengistiharan Persekutuan Malaysia itu dizahirkan pada tanggal 31 Ogos 1963 namun akibat daripada beberapa kelewatan dokumentasi di pihak United Nation makanya ianya diadakan pada tanggal 16 September 1963. Itu adalah sejarah sebenar yang tidak perlu untuk kita persoalkan sama sekali.
Cuma apa yang menjadikan persoalan sekarang iaitu ANGKA 60 TAHUN yang diangkat sebegitu rupa yang mana menyaksikan rata-rata rakyat Sarawak yang kebanyakannya sudah celik sejarah sebenar mengetahui bahawa pembentukan Malaysia itu baru sahaja berusia 54 TAHUN. Sebagai rakan sejajar pembentukan Malaysia, mungkin pihak persekutuan di Putrajaya turut sudah melupai yang mana satu angka harus didahulukan kerana 60 tahun dahulu, Sabah mahupun Sarawak masih lagi dibawah cengkaman pemerintahan Koloni Mahkota British Borneo.
Sentimen ini juga turut terpalit pada segala usaha autonomi yang sedang berlangsung sekarang dan ini termasuklah isu royalti minyak yang umpama main tarik tali dengan organisasi yang mengaut sumber kekayaan di bumi Sarawak. Hal-hal ini selagi belum dimuktamadkan ianya akan terus menjadi duri dalam daging atas rasa semangat kekitaan kita sebagai rakyat Malaysia.
Dari sudut Sukan SEA yang ke-29 sekarang, mungkin penulis artikel terlupa bahawa buat masa sekarang rakyat Malaysia melupakan segala perbezaan politik mahupun kesuraman poket dan untung nasib rakyat setelah terpalit dengan kos sarahidup yang menyesakkan sekarang. Hanya dengan sukan inilah rakyat mampu bersatu “bangkit bersama” serta menjadi “kita sama hero” menyokong atlit-atlit Malaysia yang sedang bertarung untuk menaikkan nama negara di persada sukan dunia.
Tanpa penulis artikel sedari, beliau sebenarnya sudah menghina rakyat Malaysia sendiri malah juga lebih mengkhusus rakyat Sarawak yang dikatakan terbuai dengan keghairahan aksi atlit Malaysia contohnya sukan renang acara terjun yang kita ketahui mengenakan pakaian renang yang seksi dan sebagainya. Telahan lagi tidakkah penulis artikel sedari bahawa apa yang beliau telah tulis itu sebenarnya turut boleh menganggu konsentrasi perenang kita iaitu Pandelela Rinong, anak kelahiran Sarawak Bumi Kenyalang yang akan bertarung merebut kilauan emas di Sukan SEA beberapa jam lagi.
Dikala ini semangat mengibarkan jalur gemilang itu lebih memfokus di Sukan SEA ke-29 jadi tidakkah itu cukup membanggakan. Malah rakyat Sarawak yang nun jauh membelah Laut China Selatan turut bersama-sama dengan Malaysia waima hanya melihat menerusi kaca televisyen mahupun “live” maya walaupun sedikit ralat kerana pihak penganjur KL2017 menolak permintaan untuk Sarawak dijadikan hos untuk menjadi salah satu acara Sukan SEA ke 29 ini.
Wahai penulis artikel, celikkan mata dan berlapang dadalah dahulu untuk setiap hal yang berlaku seperti kata Menteri Belia dan Sukan Negara Malaysia iatu Tuan Haji Khairy bin Dato Seri Haji Jamaludin di dalam ucap tamarnya sewaktu pembukaan Sukan SEA ke-29 beberapa hari yang lepas, hanya sukan yang boleh menyatupadukan rakyat dan keamanan sejagat.
Sekarang sebagai pertanyaan semua dengan kita menggunakan formula matematik, yang mana satukah angka sebetulnya, 60 TAHUN ATAU 54 TAHUN? Fikir-fikirkan.
No comments:
Post a Comment