Sunday 29 October 2017

SARAWAK MAHU URUS RM1 BILLION SEKOLAH DAIF


SEKOLAH usang dan daif sememangnya antara yang mewarnai dunia infrastruktur pendidikan di Sarawak mahupun Sabah.  Ianya telah acapkali menjadi bualan dan tajuk utama dari dahulu sehingga sekarang.  Tahun demi tahun pelbagai janji ditaburkan ianya masih belum ada jalan untuk menoktahkannya.  

Pada pembentangan bajet 2018 baru-baru ini, peruntukan sebanyak RM1 Bilion telah diberikan kepada Sarawak dan begitu juga Sabah pada angka yang sama bagi membina semula sekolah daif di kedua-dua negeri ini.  Manakala untuk Semenanjung Malaysia RM500 juta sahaja.  

Dalam pada itu, beberapa bulan lepas Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari turut mengatakan bahawa akibat tidak mampu menunggu kelewatan birokrasi dari Putrajaya maka Kerajaan Sarawak menggunakan dana sendiri bagi mengungkai beberapa sekolah daif di Sarawak yang perlu tindakan segera.  

Dan untuk kali ini, Sarawak melalui kepimpinannya meminta untuk Putrajaya membiarkan Sarawak mengurustadbir RM1 Bilion dari peruntukan tersebut sendiri.  Perlaksanaan itu perlu memandangkan sebelum ini Putrajaya menguruskannya dengan pelbagai kelewatan.  Lagi pula, jika difikirkan Sarawak di bawah kepimpinan KM Abang Jo juga turut menampilkan portfolio Menteri Pendidikan yang dipegang oleh ADUN Nangka, YB Dr. Annuar bin Rapaee.  

Selain itu dengan Sarawak menguruskannya sendiri sudah tentu banyak peluang untuk perniagaan di kalangan anak Sarawak menyertai pembinaan daripada terpaksa bersaing dengan kontraktor dari luar Sarawak.  Teknologi IBS mungkin masih baru tetapi siapa lagi yang lebih mengenal Sarawak selain daripada orang Sarawak sendiri.  

Saturday 28 October 2017

BAJET PH VS BAJET BN: MANA LEBIH STRATEGIK?




Mendapat keizinan untuk membuat salinan terus dari laman fb Encik Abdul Muien Abadi 


1. Bajet manakah yang lebih strategik untuk geopolitik negara? Bajet Pakatan Harapan (PH) atau Bajet Barisan Nasional (BN)?


2. Berikut adalah perbandingan bajet PH dengan bajet 2018 BN daripada lima perspektif strategik utama. Kelima-lima aspek strategik ini menyumbang secara signifikan kepada posisi geopolitik negara iaitu pertahanan dan keselamatan, pelaburan, perdagangan antarabangsa, perindustrian, serta pembangunan infrastruktur sepertimana menurut sarjana Mark Brawley dalam karya beliau ‘Political Economy and Grand Strategy: A Neoclassical Realist View’ (terbitan Routledge 2010), Jeffrey Taliaferro dalam Bab ‘Neoclassical Realism and Resource Extraction’ (terbitan Cambridge University Press 2009), serta Fareed Zakaria dalam ‘From Wealth to Power’ (terbitan Princeton University Press 1998).


3. Dari segi pertahanan dan keselamatan, Bajet BN mengatasi Bajet PH dengan peruntukkan lebih RM 14 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia, hampir 9 bilion Ringgit untuk Polis DiRaja Malaysia dan lebih 900 juta Ringgit kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia atau APMM (Teks Bajet 2018 Halaman 44). Bajet PH pula tidak menyentuh alternatif peruntukan pertahanan sama sekali.


4. Dari segi hubungan diplomatik pula, Bajet BN lebih bersifat memaksimumkan pulangan manakala Bajet PH lebih agresif dalam memelihara kedaulatan ekonomi negara. Bandingkan nada Bajet BN berikut: “Kita telah mencapai prestasi hubungan dagang dan diplomasi pada tahap paling baik dan paling matang dalam lingkungan masa serentak dengan kuasa-kuasa besar ekonomi dunia seperti China, India, Arab Saudi, dan Amerika Syarikat” (Teks Bajet 2018 Halaman 6).


5. Berbeza pula dengan nada dalam Bajet PH: “Walaupun Pakatan Harapan sangat risau terhadap perkembangan China ke dalam elemen keselamatan kebangsaan yang sensitif, seperti bekalan tenaga dan pelabuhan kita, kami akan menghormati perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani oleh kerajaan bagi pihak Malaysia. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, tindakan pertama kami adalah untuk menerbitkan secara umum semua dokumen dan kontrak yang berkaitan dengan tawaran-tawaran ini, dan jika perlu, mendapatkan kerjasama China untuk merundingkan semula syarat-syarat yang tidak adil, jika ada” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 65).


6. PH juga kritis terhadap penyertaan China dalam Projek ECRL dan HSR yang dikategorikan sebagai ‘pinjaman’ kepada Malaysia: “Model ini di mana China adalah pembiaya dan kontraktor sudah pasti bukan dalam kepentingan yang terbaik Malaysia. Sebaliknya, perkongsian kami dengan China mestilah berdasarkan perkongsian ekuiti dan kontraktor bersama untuk berkongsi dan bertukar pengetahuan dan teknologi. Oleh itu, Pakatan Harapan akan menjemput China untuk melabur sebagai rakan kongsi ekuiti daripada mengambil wang China sebagai pinjaman yang perlu dibayar balik oleh generasi akan datang. Sekiranya projek-projek itu memang memanfaatkan kedua-dua pihak, maka kami tidak melihat mengapa syarikat-syarikat China tidak akan melabur sebagai rakan kongsi. Pada masa hadapan, semua hubungan dengan China mestilah berdasarkan daya maju komersial tersendiri” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 66).


7. Dari segi pelaburan juga ketara perbezaan di mana nada Bajet BN lebih agresif seperti mana dalam “Tunjang Pertama: Merancak Pelaburan, Perdagangan, dan Industri” yang disusuli perincian berikut: “…bagi terus meletakkan Malaysia sebagai lokasi pelaburan langsung asing, galakan cukai bagi Principal Hub akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020. Bagi MIDA pula, kita akan memperuntukkan 200 juta ringgit untuk dana strategik berimpak tinggi” (Halaman 15).


8. Bajet PH pula lebih tegas dalam memastikan pelaburan asing agar selari dengan kepentingan nasional: “Seperti yang telah kami nyatakan, semua pelaburan mestilah dalam kepentingan Malaysia, justeru sejajar dengan dasar kerajaan. Kami perhatikan dengan risau beberapa projek pembangunan perumahan China di Malaysia seperti projek Forrest City yang sedang mencipta wilayah China. Pakatan Harapan tidak menggalakkan penciptaan lagi kawasan seumpama itu. Penciptaan kawasan seperti ini bertentangan dengan dasar pembentukan komuniti antara pedagang asing dan rakyat Malaysia. Oleh itu, pemaju-pemaju China perlu menyepadukan projek mereka untuk memasukkan tuntutan pasaran domestik” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 65).


9. Strategi PH bagi menangani kebimbangan berkenaan Pelaburan Langsung Asing (FDI) adalah sama seperti strategi di negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka kini iaitu Selangor dan Pulau Pinang: “Pakatan Harapan juga komited untuk merealisasikan dasar perindustrian nasional yang baharu dan ditambah baik dengan pimpinan dan dorongan pelaburan langsung domestik (DDI)” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 60).


10. Dalam aspek persediaan Revolusi Industri 4.0, Bajet BN di bawah Tunjang Keenam menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik dengan geran sepadan sebanyak RM 245 juta bagi menaik taraf kemudahan ‘Smart Manufacturing’ di samping pelbagai galakan cukai dan pengukuhan ‘Futurise Centre’ di Putrajaya sebagai lokasi pembangunan prototype produk dan inovasi (Teks Bajet 2018 halaman 63).


11. Bajet PH pula menjadikan Singapura sebagai saingan untuk diatasi dalam Revolusi Industri 4.0 dengan menawarkan kadar cukai khas kepada syarikat dan individu pakar bagi membangunkan ekonomi digital dan memindah kepakaran. PH juga menjanjikan pelaburan RM5 bilion setahun untuk membangunkan persediaan ekosistem Revolusi Industri 4.0 di samping memperkasakan pemaju IT tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa serta menggalakkan syarikat IT global menubuhkan pusat data mereka di Malaysia (Belanjawan Alternatif PH, halaman 63-65).


12. Dalam aspek infrastruktur pula, Bajet BN lebih komprehensif berbanding Bajet PH. Di bawah ‘Tunjang Keempat: Memacu Pembangunan Inklusif’, projek-projek infra-rakyat dirancang, di samping RM6.5 bilion diperuntukkan untuk infrastruktur asas luar bandar (Teks Bajet Halaman 40-43). Pelabuhan dan kawasan perindustrian turut akan dilengkapkan di Tok Bali, Kelantan (Teks Bajet Halaman 15).


13. Di bawah teras ‘Memacu Sektor Logistik’, pelbagai inisiatif infrastruktur yang strategik turut digariskan meliputi projek lebuhraya, zon perindustrian, serta pengangkutan awam (Teks Bajet 2018 Halaman 23-26).


14. Bajet PH lebih memberi fokus kepada menyemak kembali projek-projek BN yang melibatkan kuasa besar: “Khususnya bagi projek ECRL, kami akan meminta China untuk menangguhkannya sementara kami mengkaji semula dan menilai manfaat kos dan potensi pengganda ekonomi yang datang dari projek ini…kami mendapati sejumlah wang itu lebih baik digunakan untuk melabur dalam pembangunan lebuh raya untuk Pantai Timur dan bukannya ECRL” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 65-66).


15. Agak menarik adalah ketegasan PH untuk menentukan orientasi projek infrastruktur sedia ada seperti berikut: “Bagi projek HSR…Walaupun kami menyedari kepentingan menghubungkan Kunming ke Singapura untuk kemajuan seluruh rantau ASEAN, kedudukan kita adalah untuk mengutamakan hubungan Kunming-Bangkok-Kuala Lumpur dan bukannya hubungan Kuala Lumpur-Singapura. Ini semata-mata kerana matlamat utama projek kereta api ini adalah untuk membuka pasaran China ke Malaysia dan bukannya melayani pengguna antara Kuala Lumpur dan Singapura yang sudah pun mempunyai perhubungan jalan raya dan udara yang mencukupi” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 66).
16. Di bawah seksyen “Meningkatkan Eksport” Bajet BN menggariskan tiga langkah berikut: Pertama, 150 juta Ringgit kepada MATRADE, MIDA, dan SME Corp bagi melaksanakan promosi dan peluasan pasaran eksport termasuk Market Development Grant. Kedua, satu billion Ringgit disediakan oleh EXIM Bank bagi kemudahan kredit perlindungan insurans, dan dua ratus juta ringgit untuk kemudahan kredit pembiayaan kepada pengeksport PKS. Ketiga, 100 juta ringgit disediakan sebagai pinjaman dengan 70 peratus jaminan Kerajaan bagi mengautomasi pengeluaran perabot tempatan untuk tujuan eksport (Halaman 18-19).


17. Strategi PH pula lebih bercorak ‘aktivisme’ dalam meningkatkan eksport: “Di peringkat antarabangsa, kerajaan mesti memastikan pengeluar tempatan mempersembahkan sebuah barisan bersatu ketika berurusan dengan perdagangan antarabangsa. Justeru, kerajaan Pakatan Harapan akan memperuntukkan 1% daripada jumlah eksport pertanian bagi belanjawan promosi dan pemasaran hasil pertanian Malaysia. Sebagai contoh, jika sektor minyak sawit mengeksport RM80 bilion setahun, maka kerajaan Malaysia perlu membelanjakan RM800 juta dalam promosi dan pemasaran. Ini adalah sama dengan dasar perdagangan kerajaan AS” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 57).


18. Selari dengan strategi dorongan Pelaburan langsung domestik (DDI), Bajet PH turut menggariskan insentif di samping “menuntut pemain-pemain eksport komoditi kita (menggunakan pendekatan ganjaran dan hukum) iaitu dalam sektor minyak dan gas, minyak kelapa sawit, getah, dan kayu balak untuk mengejar pengindustrian yang lebih besar dengan menuju ke atas rantaian nilai…Kita perlu bertanya mengapa Malaysia tidak mempunyai pengeluar tayar terkemuka di dunia walaupun kita memiliki sejarah ladang getah selama 100 tahun. Mengapa kita tidak mempunyai syarikat perabot antarabangsa bernilai tinggi walaupun kita memiliki sumber kayu keras yang banyak?” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 60-61).


19. Kesimpulannya, Bajet BN dan PH kedua-duanya memiliki kelebihan strategik yang berbeza antara satu sama lain. Dalam sektor pertahanan dan keselamatan, galakan pelaburan asing, serta infrastruktur, Bajet BN lebih komprehensif, manakala dalam sektor Revolusi Industri 4.0, pengindustrian domestik untuk eksport, serta perlindungan risiko pelaburan asing (khususnya China), Bajet PH lebih agresif.


Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Friday 27 October 2017

SEPINTAS LALU BAJET 2018 UNTUK RAKYAT SARAWAK


PEMBENTANGAN Bajet 2018 baru sahaja selesai kira-kira jam 6.00 petang tadi. Seperti yang dijanjikan oleh PM Najib, bajet ini dibentuk untuk memenuhi semua tuntutan rakyat dari semua peringkat umur.  

Dan untuk konteks Sarawak tidak kurang dilimpahi dengan belanjawan yang akan memacu Sarawak terutama sekali untuk projek pembangunan antaranya yang disebut:

1.  Lapangan Terbang Mukah akan dibina semula.
2.  14 buah kompleks sukan baru akan dibina di seluruh negara.
3.  RM1 Billion untuk menaiktaraf jalur lebar dI Sarawak.
4.  RM500 juta bagi Sarawak untuk menaiktaraf jalan luar bandar seperti lampu dan sebagainya
5.  RM30 juta untuk pemetaan tanah adat
6.  RM80 juta untuk penyelarasan harga di Sarawak.
7. RM250 juta untuk ESCOM penjagaan keselamatan sempadan Sabah dan Sarawak.
8.  RM50 juta untuk kedua-dua negeri di dalam “coastal” radar
9.  Program 1Azam di Sarawak mendapat RM10 juta
10. RM1 billion untuk sekolah-sekolah daif dengan teknologi IBS

Selain itu secara amnya juga terdapat beberapa khabar gembira untuk seluruh rakyat Malaysia.

1. Setiap bayi yang dilahirkan pada 1/1/2018 hingga 1/1/2020 akan mendapat RM200 yang dinamakan Amanah Dana Anak Malaysia.
2. Para wanita yang bekerja di sektor swasta pula akan diberikan cuti bersalin selama 90 hari.
3. Para wanita yang bekerja di sektor awam akan hamil 5 bulan akan dibenarkan pulang satu jam lebih awal.
4. Cukai pendapatan juga diturunkan kepada 2% mengikut kategori dan boleh dikatakan seorang yang bekerja dengan purata gaji RM3,500 akan dikenakan cukai pendapatan berbanding sebelumnya.  

Bajet dengan bonus untuk penjawat awam berpisah tiada.  Dan untuk kali ini setiap penjawat awam akan menerima RM1,500 dengan pembayarannya dilaksanakan dalam 2 kali iaitu pada awal 2018 (RM1000) dan menjelang Hariraya Aidilfitri (RM500).  Pesara pula RM750 dengan pembayaran pertama RM500 (2018) dan pembayaran kedua RM250 menjelang Aidilfitri. 

Apa yang disajikan diatas adalah hanya sepintas lalu sahaja sedangkan hakikatnya ada banyak dan harus mempunyai kupasan yang lebih detail.  Apa yang pasti pembentangan Bajet 2018 ini merangkumi semua aspek penghidupan.  Ianya lebih bersifat holistik dan falsafah kerana boleh dikatakan ianya mengambilkira dari  seorang bakal anak Malaysia yang masih lagi di dalam perut ibunya sehinggalah menjadi seorang dewasa semuanya dirungkaikan.  

Terima kasih PM Najib atas keprihatinan dan semoga ianya dilaksanakan dengan penuh berhemah kelak.   

Thursday 26 October 2017

PEMBENTANGAN BAJET 2018


SELURUH mata dan telinga akan tertumpu pada pembentangan Bajet 2018 pada hari ini. Pembentangan bajet 2018 akan mengambil tempat di bangunan Parlimen pada jam 3.30 petang dan boleh diikuti secara langsung di media prima seluruh negara.

Mungkin ramai yang bertanggapan bahawa bajet 2018 ini akan menyogokkan banyak “gula-gula” kepada rakyat memandangkan pilihanraya umum boleh diadakan pada bila-bila masa sekarang. Sementara itu pihak barisan parti pembangkang turut sudah mengwar-warkan bajet alternatif 2018 seperti tahun sebelumnya.  

Jadi, kita sama-samalah nantikan apakah bentuk bajet 2018 ini nanti.  Yang pasti, rakyat Sarawak umumnya sudah tentu menantikan apakah ada bajet “istimewa” untuk Sarawak Bumi Kenyalang.  
   

Kredit foto: BERNAMA 

Wednesday 25 October 2017

JAMBATAN BARU DI SARAWAK TETAP TIADA TOL


"KAMI orang Sarawak tidak mahu TOL kerana jika ditambah “OL” akan menjadi TOLOL". Itulah antara jenaka Allahyarham Toknan yang masih terpahat di hati rakyat Sarawak sehingga ke hari ini apabila berbicara mengenai bayaran tol untuk setiap pembinaan infrastruktur seperti jalanraya mahupun jambatan.  

Dan signifikasinya polisi mantan Ketua Menteri Sarawak itu akan tetap diteruskan oleh penggantinya iaitu Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg.  Ketika berucap di majlis perasmian pecah tanah pembinaan semula Jambatan Gantung Satok semalam menyaksikan beliau mengwar-warkan tiada tol bagi setiap jambatan baru yang sedang dan akan dibina di Sarawak.  

Untuk rekod, setakat ini banyak projek infrastruktur seperti jambatan sudahpun atau akan bermula pembinaannya menjelang 2018 seperti Jambatan Bako, Jambatan Rambongan, Jambatan Emart yang meliputi wilayah Kuching.  Manakala kerancakan pembinaan jajaran lebuhraya Pan Borneo menyaksikan ada beberapa jambatan sudahpun hampir siap untuk kegunaan rakyat kelak.

Monday 23 October 2017

PEMBINAAN SEMULA JAMBATAN GANTUNG SATOK


JAMBATAN Gantung Satok merupakan salah satu daripada ikon Kuching, Sarawak suatu waktu dahulu.  Mula dibina sekitar tahun 1926 yang pada asalnya untuk menempatkan saluran paip air daripada kawasan tadahan air di Matang ke bandar Kuching oleh Rajah Brooke.  
Disamping itu ianya turut bertindak sebagai jambatan untuk menyeberangi Sungai Sarawak.  Namun pada penghujung Oktober 2004, Kuching “kehilangan” ikon ini kerana runtuh. Dan beberapa tahun sebelum kejadian, ianya sudahpun ditutup untuk kegunaan awam.  
Menepati janjinya setahun lepas, Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi Abang Johari bin Tun Abang Haji Openg dijangka akan melakukan upacara Majlis Pecah Tanah untuk Projek Pembinaan Semula Jambatan Gantung Satok sekitar jam 3.00 petang pada esok hari, 25 Oktober 2017.  
Kos pembinaan semula ikon bersejarah ini adalah sekitar RM8 juta dan difahamkan ianya akan tetap mengekalkan rekabentul asal iaitu sepanjang 130 meter dan lebar 2.3 meter.  

Sunday 22 October 2017

SARAWAK JUARA FESTIVAL TARIAN MALAYSIA 2017





HASIL daripada komitmen yang tinggi maka penari-penari dari Kumpulan Energetic Live Media Bintulu yang mewakili Sarawak memberikan kita semua perkhabaran gembira.  Bukan biasa-biasa kejayaan mereka kerana telah merangkul tiga gelaran di dalam satu pertandingan.  
Semalam, penari-penari anak Sarawak ini telah dinobatkan sebagai Johan untuk kategori Tarian Tradisional di Festival Tarian Malaysia.  Selain itu mereka juga turut memenangi kategori Kostum Terbaik Tradisional dan Koreografer Terbaik Tradisional
Tahniah Anak Sarawak.

Wednesday 18 October 2017

MEGALANES SARAWAK - PUSAT BOWLING TERBESAR BORNEO





JUMLAH keluasannya sahaja melebihi 80,000 kaki persegi dan ianya menawarkan pelbagai jenis hiburan dan aktiviti “indoor” untuk para pengunjungnya seperti gelanggang boling, meja pool, bilik dart dan taman permainan kanak-kanak.  Malah ianya juga turut menempatkan beberapa buah restoran dan cafe untuk tujuan menjamu selera.  

Dek kerana segala kemudahan yang tersedia ada juga menyaksikan Megalanes Sarawak ini sentiasa penuh dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh agensi kerajaan mahupun swasta.  Malah di ketika Sukan Malaysia 2016, ianya merupakan antara lokasi utama untuk acara tenpin bowling kerana kemudahannya adalah bertaraf dunia.  

Adalah menjadi satu kebanggaan kepada kita semua kerana Sarawak mampu mempunyai pusat bowling yang serba serbi canggih seperti ini dan semoga keberadaannya akan terus digunakan bagi melahirkan ramai atlet-atlet anak Sarawak yang boleh disandarkan untuk menjadi ahli sukan tenpin bowling bertaraf dunia kelak. 

RM7 JUTA TAMBAHAN KOS UNTUK JAMBATAN BATANG SAMARAHAN


ANTARA projek infrastruktur yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Sarawak memandangkan siapnya kelak akan memendekkan masa perjalanan dari Kucing ke Asajaya kira-kira setengah jam berbanding sekarang.  Dan ianya merupakan jambatan yang kedua yang di dalam kitar jalan pesisir selepas Jambatan Batang Sadong yang sudahpun siap beberapa bulan yang lalu.  
Projek yang memakan kos sebanyak RM94 juta ini dijangka siap menjelang Jun 2018 yang mana buat masa sekarang status kerja-kerja pembinaannya adalah sekitar 83%.  Bagi memastikan kelancaran perjalanan lebih-lebih lagi di dalam mengelak adanya masalah “bottle neck” nanti maka RM7 juta kos tambahan sudahpun diluluskan bagi menaiktaraf jalan menuju ke Kampung Tambey di Asajaya.  
Difahamkan biarpun mempunyai kos tambahan sebanyak itu, projek ini masih lagi berada jauh daripada kos sebenarnya iaitu sekitar RM113 juta.   

Tuesday 17 October 2017

RAKYAT MALAYSIA PEMENANG HADIAH NOBEL 2017


SELAMA ini kita sentiasa mengimpikan adanya barisan rakyat Malaysia yang mampu dianugerahkan dengan Hadiah Nobel. Satu anugerah yang bukan calang-calang di mata dunia kerana ia seharusnya mempunyai sumbangan yang cemerlang di dalam bidang kimia, fizik, kesusasteraan, keamanan dan perubatan untuk peradaban dunia.

Akhirnya setelah hampir 54 tahun Malaysia ditubuhkan, baharulah untuk tahun 2017 ada seorang rakyat Malaysia yang dianugerahkan hadiah berprestij ini.  Insan yang terpilih adalah Dato Dr. Ronald McCoy yang telah mengabdikan dirinya berpuluh-puluh tahun di dalam International Campaign to Abolish Nuclear Weapons (ICAN).  Beliau dijadualkan untuk menerima penganugerahan tersebut pada tanggal 10hb Disember ini di Stockholm, Sweden.  

Dato Dr. McCoy dilahirkan pada tanggal 5hb Mei 1930 di Seremban, Negeri Sembilan dan dibesarkan serta menetap di ibukota Malaysia iaitu Kuala Lumpur.  Beliau merupakan antara penuntut terawal Universiti Malaya yang suatu waktu dahulu kampusnya di Singapura sekitar tahun 1949.  Seorang pakar geneologi dan pernah berkhidmat di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Kuala Lumpur.  

Tahniah diucapkan kepada anak Malaysia iaitu Dato Dr. Ronald McCoy, rakyat Malaysia pertama yang dianugerahkan Hadiah Nobel sekaligus melakar nama Malaysia di pentas dunia.  

HAPPY DEEPAVALI 2017

MAY the divine light of Diwali spread into your life, peace, prosperity, happiness and good health. Happy Diwali.

Sunday 15 October 2017

PERAHU TAMBANG TIDAK AKAN DIPINGGIRKAN


JAMBATAN emas atau “Golden S Bridge” sudahpun di dalam fasa-fasa terakhir penyiapannya dan perasmiannya sekarang ini ditunggu-tunggu oleh rakyat sekitar Kuching.  Dijangka projek yang bernilai RM35 juta ini akan dirasmikan dengan penuh gilang gemilang menjelang akhir tahun 2017 ini.  
Disebalik siapnya jambatan yang menjadi mercu tanda baru Kuching, Sarawak ini sejak dari mula perancangannya sudah ada nada kebimbangan daripada Pak Penambang dan operator teksi sungai mengenai bagaimanakah untung nasib mereka nanti.  Ini kerana dengan adanya jambatan ini sudah tentu memudahkan orangramai mahupun pelancong untuk menyeberangi Sungai Sarawak.  
Bagi Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan yakin bahawa perahu tambang dan teksi sungai tidak akan terjejas.  Ini kerana sudah tentu penduduk yang mendiami seberang Sungai Sarawak akan memilih untuk terus menggunakannya memandangkan ianya lebih cepat daripada berjalan kaki menggunakan jambatan emas.  
Menurut beliau, perahu tambang dan teksi sungai sentiasa mendapat tempat di hati pelancong kerana ianya adalah legasi warisan Sungai Sarawak sejak dahulu lagi.  

Thursday 12 October 2017

MUSIM “MENIN” DI SEBUYAU



MENIN itulah gelarannya bagi masyarakat di Sebuyau kerana hanya di kawasan ini ianya cukup terkenal.  Dengan nama saintifiknya Pholas Orientalis atau Siput Mentarang merupakan sejenis hidupan laut kerang-kerangan yang boleh dimakan.  Kulitnya agak nipis dan habitat penghidupan ini adalah pada air laut yang bersuhu rendah.  

Menurut sumber, sekarang ini adalah musim menin yang mana menyaksikan banyak menin-menin sudah dijual di pasaran tempatan oleh nelayan-nelayan yang sedaya upaya mengutipnya dengan meredah lumpur berselut semasa air surut.  

Jangan pandang sipi-sipi keenakan memakan menin kerana ianya boleh dipelbagaikan di dalam masakan seperti masak tumis pedas dan sebagainya.  Dan menurut kajian juga dikatakan bahawa menin antara hidupan laut yang boleh menguatkan ransangan tenaga batin bagi kaum lelaki.  

Wednesday 11 October 2017

2 SRIKANDI PENYELAMAT ASRAMA KOLEJ BETONG DARI TERBAKAR




KERANA tindakan pantas dua pelajar wanita di Kolej Vokasional Betong menyaksikan api yang sedang marak di asrama mereka mungkin akibat daripada litar pintas telah berjaya dipadamkan. Tatkala pihak Bomba mendatangi asrama kolej tersebut semalam, kebakaran yang dilaporkan sudahpun diredakan oleh kedua-dua pelajar wanita itu.  

Dua srikandi yang berani ini adalah Dayang Ranisawati bin Abang Noor dan rakannya Durratun Nasihah binti Ramli yang telah secepat kilat menggunakan tabung pemadam api debu yang tersedia di asrama mereka. Kesemuanya adalah berkat mereka sudah dilatih dengan tatacara “fire drill” dan kecemasan kebakaran oleh pihak Bomba sebelumnya.  

Inilah antara faedahnya jika terus memberikan pengajaran kepada orang ramai mahupun pelajar bagaimana untuk bertindak dikala kecemasan.  Biar bagi sesetengah kita ianya satu program yang mengambil masa tetapi jangan pandang sipi-sipi kebaikannya apabila kecemasan itu menjelma di depan mata.  

Tuesday 10 October 2017

GURU PEDOFIL BERNAFSU SONGSANG


BUKAN seorang sahaja mangsanya tetapi lima orang kesemuanya yang berusia di antara 10 hingga 12 tahun.  Harapkan pegar, pegar makan padi begitulah perumpamaannya kerana lelaki pedofil ini adalah seorang guru. Satu karier yang begitu dipandang tinggi di dalam masyarakat dari dahulu sehingga sekarang.  

Pada tanggal 2hb Oktober yang lalu, guru yang bernama Lai Chee Chiang, 37 tahun berasal dari Batu Kawa, Kuching dan sedang mengajar di sebuah sekolah rendah di Sungai Menyan, Serian telah ditangkap oleh pihak polis.  Ianya berikutan dengan laporan polis yang diterima daripada keluarga mangsa.  Semalam menyaksikan beliau tidak mengaku salah ke atas 14 pertuduhan gangguan seksual terhadap murid-muridnya sendiri.  

Daripada 14 pertuduhan, lapan kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang dibaca bersama dengan Seksyen 16(1) akta yang sama. Enam kes pula disiasat dibawah Seksyen 377(e) Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah seksual di luar tabii.  Jika disabitkan kesalahan, kes-kes ini memperuntukkan hukuman penjara di antara lima sehingga 20 tahun dan sebatan.

Tanggal 24 Oktober ini merupakan tarikh sebutan semula kes seperti yang diarahkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kuching, Puan Shafiza Abdul Razak.  

Monday 9 October 2017

PENGEDAR DADAH WARGA ASING DITANGKAP DI BINTULU





DADAH itu musuh negara dan banyak punca jenayah yang berlaku di kala ini juga kerana dadah.  Keseriusan pihak berkuasa untuk memerangi gejala ini telah dilakukan berterusan sepanjang tahun kerana impaknya yang sungguh memudaratkan.  

Di Bintulu kira-kira jam 10.25 pagi semalam, satu serbuan telah dilakukan di sebuah rumah kedai di Jalan Abang Galau, Bintulu, Sarawak.  Di dalam serbuan itu seorang lelaki telah ditangkap bersama-sama dengan beberapa keratan tiub straw kecil lutsinar ketulan kristal yang disyaki dadah.  Anggaran harga dadah ini adalah sekitar RM1,500.  

Lelaki warganegara Indonesia ini akan didakwa dibawah Seksen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.