Showing posts with label Tradisi. Show all posts
Showing posts with label Tradisi. Show all posts

Friday, 20 December 2019

BERTUKAR-TUKAR HADIAH MENJELANG KRISMAS PUPUK CINTAKAN PERPADUAN SESAMA URANG SARAWAK








ACAPKALI menjelang Krismas di Malaysia, dunia sosial media akan didodoikan dengan beberapa posting yang agak melampau sehingga mampu mencarik hati penganut-penganut agama Kristian. Ianya sesuatu yang wajar diselar kerana hakikatnya negara Malaysia ini didirikan dengan kesepaduan dan keharmonian kaum dari pelbagai agama.  

Sarawak sebagai negeri yang sentiasa memartabatkan keharmonian serta gah dengan kekayaan dan kepelbagaian warisan, budaya dan tradisionalnya malah sinonim sebagai antara negeri contoh di Malaysia apabila berkata mengenai toleransi kaum dan agama tidak mempunyai masalah seperti itu.  Tatkala menjelang Krismas akan ada “Christmas Parade” yang mana ianya disertai oleh bukan sahaja penganut agama Kristian malah juga penganut agama yang lain dan begitulah juga sebaliknya.  

Antara yang menghiasi ceritera menjelang sambutan Krismas adalah bagaimana hampir kesemua pejabat tidak kira kerajaan dan swasta akan mengadakan acara bertukar-tukar hadiah menjelang Krismas.  Tanpa mengira agama dan kaum, acara seperti ini seringkali dinanti-nantikan.  Samada hadiah itu murah atau mahal bukanlah satu persoalan sebaliknya kemeriahan serta jalinan kasih samada dari pihak majikan dan sesama kakitangan yang menjadikan ianya satu acara yang begitu istimewa.  

Berikut merupakan sekitar kemeriahan majlis bertukar-bertukar hadiah menjelang Krismas yang menjadi majlis wajib bagi Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sarawak. Ianya disertai oleh pelbagai peringkat kakitangan KBS yang turut mendapat sokongan penuh daripada Pemangku Setiausaha Tetap KBS iaitu Puan Nancy Haji Jolhi.  Begitulah indahnya perpaduan dan toleransi kaum dan agama di Sarawak.  Peliharalah ia kerana kekuatan Sarawak terletak dibahu kita sebagai rakyat Sarawak.
 

Inilah Sarawak Bumi Kenyalang. Ho ho ho (y)  

Kredit gambar: Linda KBS Sarawak

Sunday, 19 November 2017

REGATTA SARAWAK 2017










REGATTA Sarawak telah pun melabuh tirainya semalam. Difahamkan selama 3 hari regatta diadakan kira-kira 30 ribu orang awam membanjiri Tebingan Kuching dan Tebingan sungai kampung seberang hilir bagi menyaksikan sukan air yang tertua di Asia tersebut.

Seperti yang dijangka pasukan Landas menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai "Raja Sungai Sarawak" apabila berjaya menewaskan semua pencabarnya dalam acara 30 pekayuh perahu bidar lelaki.

Dengan kemenangan tersebut sekaligus membolehkan pasukan Landas membolot Piala Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak dan wang tunai sebanyak RM16 ribu, termasuk RM10 ribu selaku juara.

Apa yang menarik tumpuan petang semalam adalah perlumbaan bidar 20 lelaki kategori kenamaan, yang dilepaskan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

Dalam perlumbaan ini, perahu milik Sulta Brunei yang dikayuh sendiri oleh Sultan Hassanal Bolkiah muncul juara. Manakala perahu milik Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Timbalan Ketua Menteri masing-masing mendapat tempat kedua.

Sunday, 22 October 2017

SARAWAK JUARA FESTIVAL TARIAN MALAYSIA 2017





HASIL daripada komitmen yang tinggi maka penari-penari dari Kumpulan Energetic Live Media Bintulu yang mewakili Sarawak memberikan kita semua perkhabaran gembira.  Bukan biasa-biasa kejayaan mereka kerana telah merangkul tiga gelaran di dalam satu pertandingan.  
Semalam, penari-penari anak Sarawak ini telah dinobatkan sebagai Johan untuk kategori Tarian Tradisional di Festival Tarian Malaysia.  Selain itu mereka juga turut memenangi kategori Kostum Terbaik Tradisional dan Koreografer Terbaik Tradisional
Tahniah Anak Sarawak.

Tuesday, 26 September 2017

PENARI & PEMUZIK PERSATUAN MELANAU WAKILI MALAYSIA


SARAWAK tidak pernah kurang dengan keunikan senitari dan budayanya.  Sehingga ke hari ini keindahan warisan kita ini sentiasa dilestarikan.  Malah diperkira setiap kali tersenarai adanya persembahan tarian suku kaum Sarawak di pentas dunia sentiasa mendapat tempat di hati pencinta seni budaya di peringkat antarabangsa.

Baru-baru ini, 12 penari dan pemuzik dari Persatuan Melanau Sarawak telahpun terpilih untuk mewakili Malaysia bagi mengadakan persembahan tarian suku kaum di Chungdu,Korea.  Ianya bersempena dengan Annual General Meeting 18th World Martial Arts Festival edisi 2017 anjuran World Martial Arts Union dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).  Turut terpilih untuk ke Korea adalah rombongan dari Persatuan Seni Bela Diri Dayak Sarawak yang akan mengambil bahagian di dalam seni bela diri yang unik.  

Kesemua rombongan dari Sarawak, Malaysia ini telahpun berlepas ke Chungdu, Korea pada tanggal 20 September lepas.  Julanglah tinggi-tinggi seni budaya kaum di Sarawak ke mata dunia. Semoga sukses selalu hendaknya.


Sumber: MalaysiaAktif 

Thursday, 1 June 2017

PERPADUAN DAN TOLERANSI KAUM DI DALAM SAMBUTAN GAWAI DAYAK






CUBIT paha kanan, paha kiri pun terasa begitulah pepatah Melayu lama di dalam kita berbicara soal perpaduan dan toleransi antara kita. Ini kerana bidalan lama ini cukup sinonim dengan masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Boleh dikatakan hampir setiap rakyatnya mempunyai keluarga daripada pelbagai keturunan dan bangsa yang sentiasa menjadi keunikan dari dahulu sehinggalah sekarang. 

Hakikatnya sambutan perayaan Gawai Dayak di Sarawak bukanlah untuk masyarakat Dayak di Sarawak sahaja sebaliknya untuk kesemua orang Sarawak.  Jadi janganlah menghairankan sekiranya apabila musim “pulai menoa” untuk perayaan Gawai juga melibatkan mereka dari kaum dan agama yang berbeza.  Berkumpul bersama sanak-saudara jauh atau dekat itu salah satu daripada kemeriahan sambutannya tanpa sedikitpun mencacatkan adat dan warisan masyarakat Dayak di Sarawak. 

Inilah kekuatan negeri Sarawak Bumi Kenyalang sehingga mampu menjadi antara contoh negeri terbaik di Malaysia apabila berkata mengenai perpaduan dan toleransi kaumnya. Pertahankanlah ia sampai bila-bila. 



Nota Teaser: Sekitar sambutan perayaan Gawai Dayak bagi keluarga Encik Edward Taji di Kampung Semeba, Kuching semalam. Keluarga yang terdiri dari perkahwinan campur Iban dan Bidayuh.  

Monday, 15 May 2017

PESTA LUNAU KAYAN 2017



MUNGKIN ramai tidak mengetahui bahawa Kaum Orang Ulu tidaklah menyambut Pesta Gawai seperti masyarakat Iban dan Bidayuh yang diadakan pada tanggal 1 Jun saban tahun.  Walaupun begitu Kaum Kayan misalnya masih lagi mempunyai perayaan yang seakan-akan sama tetapi berbeza dari tarikhnya.  Saban 2 Jun pula ditetapkan oleh Ketua Kaum mereka untuk satu sambutan yang dikenali sebagai Pesta Lunau Kayan.

Bagi memartabatkan kefahaman dan pengenalan kepada budaya masyarakat Kayan ini, semalam telah diadakan satu majlis Pesta Lunau Kayan 2017 di Hotel Imperial, Kuching.  Dengan temanya “Remembering Our Roots” telah menampilkan seni budaya warisan masyarakat Kayan yang selama ini tidak begitu dikenali oleh masyarakat Sarawak mahupun generasi muda Kayan sendiri. 

Dan majlis ini menjadi lebih istimewa apabila Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Abdul Rahman Zohari hadir sama bagi memeriahkan majlis pelancaran. Ianya simbolik kepada kesatuan anak Sarawak selama ini yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa mahupun budaya tetapi sentiasa kekal dengan keharmonian dan toleransinya. 

Wednesday, 3 May 2017

“RANYAI”




PEJAM celik, pejam celik kita sudah kian mendekati bulan Jun. Dan setiap Jun, kita di Sarawak akan merayakan Perayaan Gawai Dayak yang disambut pada tanggal satu hingga dua Jun saban tahun.  Inilah perayaan tradisi masyarakat Dayak Sarawak yang sudah dilestarikan berabad lamanya namun masih utuh memegang adat dan warisan perayaannya.

Pembuatan “Ranyai” misalnya adalah salah satu daripada warisan Gawai Dayak yang akan dilakukan di setiap rumah panjang Dayak.  Ianya merupakan simbolik bagi mengatakan bahawa tidak lama lagi Gawai Dayak akan menjelma dan segala persediaan untuk menyambutnya harus dilakukan.  Mengikut tradisinya selepas “Ranyai” siap maka penduduk rumah panjang akan meletakkan pelbagai barangan di ranyai tersebut.  Barang-barang seperti makanan atau minuman di dalam botol akan disangkut kepada ranyai.  

Usai ini semua barulah upacara “ranyai” diadakan dengan ada seorang penghuni rumah panjang yang telah dipilih awal akan mula menari ngajat mengelilingi ranyai. Pada ketika dia menari ngajat dengan paluan gong dan peralatan muzik tradisional Iban itu nanti, barulah beliau akan memilih satu barangan yang disangkut pada ranyai.  Caranya adalah dengan memotong ikatan barangan pada ranyai dengan menggunakan parang.  Kemudian, parang yang digunakan itu nanti akan diberikan kepada penduduk rumah panjang yang seterusnya secara bergilir-gilir sehinggalah semua barangan yang digantung pada ranyai itu tiada lagi.  Kebiasaannya sesiapa yang mengambil giliran memegang parang terakhir, dialah yang akan menumbangkan ranyai itu nanti.  

Inilah kekayaan warisan dan budaya yang masih dilestarikan sehingga sekarang.  Kekayaan ini semualah yang menjadikan masyarakat Dayak di Sarawak begitu unik sekali.

Sunday, 2 April 2017

PESTA BIRUMUH BIDAYUH LAMBANG IDENTITI SARAWAK YANG HARMONI






SABAN tahun pada tanggal 1 April sejak dari tahun 2009 ianya tidak pernah gagal dianjurkan oleh Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).  Dan untuk tahun 2017 ini ianya diadakan dengan penuh gemilang di Stadium Mini Serian.  Majlisnya dirasmikan sendiri oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg.  

Seperti masyarakat Iban yang terkenal dengan sambutan Pesta Gawai begitulah juga masyarakat Bidayuh apabila berkata mengenai Pesta Birumuh.  Kerana kedua-duanya mempunyai signifikasi atas tanda kesyukuran selepas tamatnya musim menuai padi.  Secara sejarahnya sejak dari dahulu lagi masyarakat Bidayuh atau Dayak Darat sudah lama terkenal dengan penanaman padi sebagai salah satu daripada sumber ekonomi yang utama bagi mereka.  

Dengan penyertaan daripada pelbagai sub-etnik Bidayuh menyaksikan Pesta Birumuh juga adalah salah satu wadah di dalam menceritakan kekayaan seni budaya dan tradisi masyarakat Bidayuh Sarawak.  Dan tidak kurangnya walaupun pesta ini begitu sinonim dengan masyarakat Bidayuh namun ianya juga turut disertai oleh pelbagai masyarakat yang menghuni Sarawak Bumi Kenyalang.  Contohnya kehadiran kontinjen daripada masyarakat Jawa dari Kampung Jawa, Batu 12, Semenggok membuktikan bahawa Pesta Birumuh adalah salah satu lambang identiti Sarawak yang harmoni.

Sarawak itu lahir dari penat lelah masyarakatnya yang majmuk dan pertahankanlah keharmonian dan kesepaduan kita ini sampai bila-bila.

Friday, 7 October 2016

SONGKET SARAWAK KE PENTAS DUNIA


Peralatan menyulam songket Sarawak berlatar belakangkan bangunan Colloseum, Rom. 
Menjadi antara tarikan mengetengahkan songket Sarawak ke mata dunia. 

Antara foto peragaan busana songket Sarawak yang berjaya diketengahkan 
dan menghiasi dunia makalah fesyen di Perancis.

Pemain sape kelahiran Sarawak Alena Murang bermain sape di ketika peragaan 
songket Sarawak dipentaskan.

JIKA tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya… Itulah pepatah lama di dalam kita memperkatakan tentang kekentalan jiwa untuk membuat sesuatu. Tiada pernah berputus asa dan sudah tentu apabila ianya sudah diketahui dunia mesti ada yang menghargainya. Pujian ini dikhaskan untuk sebuah NGO Sarawak yang diberi nama Tanoti House yang telah cukup gah membawa songket Sarawak, tekstil warisan Melayu Sarawak ke pentas dunia.

Mungkin ramai rakyat Sarawak sendiri tidak mengetahui kejayaan Tanoti House  ini kerana pada tanggal 26hb September 2016, siapa pernah menyangka bahawa Songket Sarawak telah digayakan di pentas “runaway” di Kota Paris yang sinonim untuk memasarkan apa sahaja busana terkini di dunia.   Pada ketika inilah juga para pelanggan dunia fesyen terkemuka turut ada bagi melihat busana yang akan popular untuk koleksi musim panas 2017 nanti. 

Nama pereka fesyen seperti Bon Zainal, Jo Disaya, Bill Keith, Keith Kee, Fizi Woo, Sakura Malaysia, Ruzz Gahara Porosus dan Zang Toi turut berada di pentas yang sama dan sekarang sudah terpahat satu lagi nama dari Sarawak iaitu  Tanoti House pula jalan beriringan bagi menjayakan Malaysia Fashion Week Global Launch event yang diadakan di sebuah kapal mewah di Escale de Grenelle menyusuri Sungai Seine, Paris, Perancis.  Dan Tanoti House menampilkan segalanya mengenai songket Sarawak yang telah dijadikan busana kontemporari yang sesuai digayakan oleh sesiapa sahaja yang ingin menggayakan busana yang unik ini. 

Siapa menyangka songket Sarawak yang merupakan warisan turun temurun komuniti Melayu Sarawak yang hanya menghiasi upacara cukur jambul, perkahwinan dan sebagainya suatu waktu dahulu sudah berjaya mengetuk pintu dunia fesyen peringkat global.  Dan lebih manis lagi di ketika busana kontemporari berasaskan Songket Sarawak digayakan oleh barisan model-model terkenal antarabangsa ada seorang anak Sarawak iaitu Alena Murang pula menjadi pemuzik latar memperdengarkan alunan sape, satu lagi alat muzik tradisional Sarawak yang berjaya menjadikan suasana di Sungai Seine, Paris seperti “A little Sarawak”.   

Sarawak sudah mempunyai Datuk Tom Abang Saufi yang gah namanya di dalam dunia fesyen bermotifkan pua kumbu dan batik Sarawak dan sekarang kita juga mempunyai Tanoti House yang berjaya “menjual” songket Sarawak ke pentas dunia.  Satu kejayaan yang harus kita banggakan kerana tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar tulus ikhlas memperjuangkan warisan kita.  Dari hanya sebuah NGO yang mengangkat warisan seni songket Sarawak menjadi antara pemain busana tradisional Sarawak peringkat global.

Tahniah Tanoti House.


Friday, 2 September 2016

MINYAK SEKIU "MADE IN JEMORENG”


BILA berkata tentang makanan tradisi ini, Sarawak sememangnya kaya dengan kulinari-kulinari tradisi mereka yang diperturunkan sejak ratusan tahun dahulu dari satu generasi yang lain sehinggalah sekarang. Di kalangan etnik Melanau di daerah Jemoreng misalnya turut terkenal dengan satu makanan yang diuli di dalam nasi yang panas-panas yang dikenali sebagai Minyak Sekiu.

Minyak sekiu sebenarnya adalah ekstrak minyak yang didapati dari sejenis buah hutan yang dinamakan buah sekiu. Di daerah Jemoreng, Matu merupakan antara tempat yang banyak mempunyai pohon sekiu tumbuh dan kerana itulah masyarakat Melanau di Jemoreng sudah mengetahui memakan minyak sekiu ini sejak beratus-ratus tahun dahulu lagi.

Menariknya mengenai minyak sekiu ini adalah sehingga sekarang proses untuk ektraksinya masih lagi berdasarkan kepada kaedah tradisional yang diwariskan sejak dahulu lagi di kalangan masyarakat Melanau Jemoreng. Mungkin kerana keasliannya amat dititikberatkan menyebabkan harga minyak sekiu ini sangat mahal iaitu boleh mencecah RM100 untuk 50 ml.

Dan menurut pengesahan yang dikeluarkan oleh pakar pemakanan baru-baru ini ada menyatakan bahawa minyak sekiu itu mempunyai nilai perubatan yang cukup tinggi iaitu baik untuk sistem jantung seorang manusia.

Jika berdasarkan kepada laporan perubatan ini adalah wajar sekiranya Kerajaan Negeri Sarawak melihat bagaimana untuk memajukan lagi minyak sekiu sebagai salah satu perolehan ekonomi Sarawak kerana sudah tentu permintaannya di pasaran amat menggalakkan. 

Wednesday, 3 August 2016

TRADISI “ANTING-ANTING LOYANG” SEMAKIN DILUPAKAN


DAHULU pemakaiannya adalah simbol kepada kecantikan wanita Kaum Orang Ulu Sarawak dan proses untuk mendapat “kecantikan” ini bukannya satu yang mudah malah memakan masa.  Inilah tradisi pemakaian anting-anting Loyang yang sering kita lihat ada pada warga emas di kalangan wanita Kaum Orang Ulu Sarawak sekarang.   
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Orang Ulu Sarawak dikatakan hanya beberapa ratus orang sahaja wanita Kaum Orang Ulu Sarawak yang masih lagi mempunyai cuping telinga yang panjang serta masih lagi memakai anting-anting Loyang.  Dan tidak dinafikan tidak lama lagi ianya akan pupus kerana tiada penerus kepada adat warisan ini daripada generasi muda sekarang.
Jika kita mengimbau tradisi ini sebenarnya sudah lama dipraktikkan di kalangan keluarga Kaum Orang Ulu Sarawak iaitu prosesnya bermula sejak masih bayi lagi.  Secara tradisi, ibubapa mula menebuk cuping telinga bayi mereka yang hanya berumur sekitar beberapa bulan dengan menggunakan buluh kerana pada suatu waktu dahulu sebatang jarum amatlah mahal harganya di pasaran.
Prosesnya bermula dengan meregang cuping telinga bayi mereka yang masih berumur beberapa bulan dengan memakai anting-anting loyang berat yang diperbuat daripada tembaga atau anting-anting lain. Berat anting-anting baru akan ditambah dari semasa ke semasa untuk terus meregangkan cuping telinga, selalunya sehingga ke paras bahu si pemakai.
Pada peringkat awal pemasangan anting-anting loyang digunakan sebagai pemberat dianggarkan seberat 100 gram. Beratnya kemudian diubah dari semasa ke semasa sehingga mencecah 500 gram sepasang. Anting-anting berkenaan akan dipakai pada waktu siang hari dan akan dibuka pada waktu malam.
Kebiasaannya, mereka menggunakan tembaga kerana ia kekuningan bersinar dan menyerupai warna emas. Saiz dan bentuknya pelbagai, ada yang menyerupai gelang dan ada juga berbentuk bulat dan bujur. Itulah tradisi pemakaian anting-anting loyang ini yang memerlukan kesabaran kerana prosesnya begitu memakan masa sehingga seperti adanya yang kita lihat di foto-foto vintage itu.
Sayang sekali tradisi yang unik dan mengetengahkan kekayaan budaya dan tradisi etnik di Sarawak ini hanya mampu kita lihat di gambar-gambar lama sedikit masa lagi memandangkan ianya semakin dilupakan dimamah waktu oleh dunia moden yang pantas ini. 

Thursday, 30 June 2016

LEMANG PERIUK KERA, KETUPAT PULUT DAN KELUPIS DI SARAWAK


Lemang Periuk Kera 


Ketupat Pulut 


Kelupis 

MENJELANG Syawal iaitu esok hari sudah tentu ramai muslimin dan muslimat seantero dunia sedang rancak dengan sambutan 1 Syawal.  Bermulalah episod mendapat segala bahan-bahan untuk membuat rendang mahupun kari bagi juadah pembuka selera untuk keluarga dan tetamu di pagi hariraya.

Di Sarawak, tradisi ini juga tiada bezanya dengan masyarakat di Semenanjung Malaysia dan jika di negeri-negeri lain sibuk dengan lemang dan ketupat tetapi untuk di Sarawak terdapat beberapa menu tradisi yang sinonim dengan masyarakat Islamnya.  Lemang Periuk Kera, Ketupat dan Kelupis adalah antara menu wajib dan agak berbeza daripada masyarakat Islam lain di negeri yang lain.

1.  Lemang Periuk Kera
Yang sering kita ketahui adalah lemang yang dimasak di dalam buluh tetapi di Sarawak ada satu lagi jenis lemang yang dikenali sebagai Lemang Periuk Kera.  Ianya adalah menu yang menjadi tradisi bagi masyarakat Islam berbangsa Bidayuh di Sarawak.  Tumbuhan hutan yang bernama Periuk Kera akan dijadikan asas untuk memasak lemangnya.  Di dalam periuk kera itu akan disumbat dengan nasi pulut merah yang mempunyai aroma tersendiri serta lazat dimakan dengan rendang dan sebagainya. 

2.  Ketupat Pulut
Ketupat sememangnya amat sinonim disediakan sewaktu hariraya namun ketupat yang ada di Sarawak agak berlainan daripada ketupat yang disajikan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia mahupun Sabah.  Ketupat pulut di Sarawak diisikan dengan nasi pulut dan serta dicampur dengan santan. Ini menyebabkan ketupat yang dimakan seakan-akan mempunyai kanjinya yang tersendiri.  Dan saiz ketupat yang dianyam juga mempunyai bentuk-bentuknya tersendiri samada segiempat ataupun segitiga. 

3.  Kelupis
Menu ini sudah tentunya tiada di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan hanya ada di Borneo samada di Sabah, Sarawak mahupun Brunei.  Ianya juga antara menu wajib ada ketika sambutan hariraya.  Keenakannya sama seperti memakan ketupat pulut biasa tetapi agak berkanji dan manis.  Membuatnya Nampak mudah tetapi sebenarnya memerlukan kepakaran kerana kedudukan ikatannya harus ketat agar tidak terbuka sewaktu memasaknya pada jangkamasa yang agak lama. 

Hanya sedikit perkongsian mengenai keunikan juadah berhariraya di Sarawak.  Yang pasti mungkin ramai orang Islam Sarawak sudahpun mula membeli daun palas yang menjadi asas kepada penyediaan ketupat pulut dan kelupis. Sementara untuk lemang periuk kera kebiasaannya menjelang hariraya pasti ada penjual yang sudah meredah hutan untuk menjadikan periuk kera sebagai produk jualannya. 


Selamat Berhariraya semua. 

Sunday, 19 June 2016

SUNTONG TUTOK ; KUDAPAN MOREH DI BULAN RAMADHAN


SOTONG KETUK atau Suntong Tutok nama panggilannya bagi orang Sarawak adalah antara hidangan ringan selepas menunaikan solat terawih atau moreh di bulan Ramadhan.  Dan keistimewaannya terserlah apabila Suntong Tutok tidak dijual di bazaar Ramadhan yang kebiasaannya berlangsung sebelum waktu berbuka puasa tetapi penjualan untuk menu makanan ringan ini hanya dijual di sebelah malam dan dijual di tepi-tepi jalan di kaSOmpung-kampung Melayu sahaja.

Sebenarnya penyediaan suntong tutok ini amatlah mudah sekali kerana hanya perlu membeli sotong kering yang telah sedia dijual di pasar-pasar di seluruh Sarawak. Kemudian sotong-sotong kering ini akan diikat satu-satu di gerai-gerai di tepi jalan mengikut saiz. Untuk setiap pembeli pula harus memilih apakah saiz-saiz sotong yang dikehendaki kerana setiap saiz mempunyai harga yang berbeza-beza.

Setelah pembeli memilih saiz yang diidamkan maka si penjual suntong tutok akan mula membakar sotong tersebut atas bara api yang telah disediakan. Dengan hanya memanggang sotong tersebut kira-kira 5 minit kemudian sewaktu ianya masih panas-panas itulah ia mula diketuk-ketuk sehingga nipis iaitu samada dengan menggunakan proses ketukan tangan melalui penggunaan tukul ataupun dengan mesin penggilis. 

Sotong yang dinipiskan semuanya mempunyai rasa yang sama tetapi jika hendak membezakan bagaimana suntong tutok itu dikatakan sedap adalah terletak pada sambal cecahnya. Dikatakan setiap penjual suntong tutok mempunyai rahsia resipi sambal cecah tersendiri yang menjadi tarikan samada suntong tutoknya digemari ramai atau tidak. 

Sunday, 5 June 2016

“BUBUR PEDAS” MENU ISTIMEWA ‘BERSUNGKEI’ DI SARAWAK

BERSUNGKEI bagi orang Sarawak ataupun berbuka puasa ataupun iftar di dalam bahasa Malaysia standard adalah merujuk terma yang membolehkan orang Islam makan dan minum setelah seharian menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadhan. Dan apabila berbicara makan dan minum di bulan Ramadhan sudah tentu menu yang sinonim atau wajib adalah adalah satu menu makanan yang dinamakan Bubur Pedas.  
Uniknya menu tradisional bubur pedas adalah ianya tidak ada memang di mana-mana negeri di Malaysia selain daripada Sarawak. Hanya namanya sahaja bubur pedas tetapi jika merasainya ianya langsung tidak pedas. Bubur pedas ini agak unik sekali kerana ianya diperbuat daripada rempah khas bubur pedas yang dipanggil “Bumbu Bubur Pedas”. 
Penyediaan Bubur Pedas tidaklah begitu merumitkan kerana dengan adanya Bumbu segalanya telah dipermudahkan. Kelazatan bubur pedas akan lebih terserlah jika disediakan bersama-sama dengan kulit lembu yang sudah dikeringkan kemudian dipotong halus-halus ataupun dipanggil “Kerapen” di dalam bahasa Melayu Sarawak. 
Tidak lupa juga apalah makna Bubur Pedas jika tidak dicampur dengan sayur-sayuran ulam-ulaman seperti pucuk singkel, daun kunyit, pucuk ubi bagi menambahkan keasliannya. Apa yang pasti segala isi kandungan bagi pembuatan Bubur Pedas ini telah dibuktikan mempunyai pelbagai khasiat dan vitamin bagi mengembalikan stamina setelah seharian menahan lapar dan dahaga. 
Jika sudah satu pulau maka menu juga akan turut ada persamaan dan begitu juga Bubur Pedas kerana dikatakan perkaitan sejarah antara masyarakat Melayu Sambas mahupun di Pontianak dengan masyarakat Melayu Sarawak menyebabkan ianya berkongsi menu yang sama. Malah di wilayah inilah sebenarnya bubur pedas ini berasal cuma bezanya mungkin sebutan sahaja serta isi kandungannya namun rasanya tetap sama.  
Inilah ceriteranya menu tradisi Bubur Pedas yang menjadi menu wajib ada sepanjang bulan Ramadhan. Kelazatan dan keenakan memakannya sukar untuk dinyatakan dan bagi yang tidak pernah merasa jangan takut untuk menikmatinya. Dah rasa sekali mesti hendak lagi.

Tuesday, 24 May 2016

“PENGANAN JALA” - Kuih Tradisi “Wajib Ada” Apabila Hari Gawai


PENGANAN Jala itulah sejenis kuih tradisional yang sinonim dengan etnik Iban di Sarawak.
  Ianya merupakan kuih “wajib ada” apabila ada sebarang perayaan yang berhubungkait dengan etnik Iban Sarawak seperti Hari Gawai.

Selain dari kuih tradisional ini merupakan identiti bagi etnik Iban di Sarawak, tidak kurang juga popularnya penganan jala ini di kalangan etnik pribumi di Sabah namun mungkin namanya agak berbeza.  Walaupun begitu, jangan sesekali terkeliru bahawa kuih jala ini serupa dengan roti jala yang popular di bumi Semenanjung Malaysia kerana cara pembuatannya amat berlainan sama sekali. 

Jika dilihat dari segi pembuatan penganan jala ini boleh dikatakan ianya masih lagi dijaga keaslian pembuatannya.  Ini kerana banyak kuih-kuih tradisional seperti kuih bahulu telah melalui transformasi yang lebih bersifat komersial sehingga kadang-kadang ada sesetengahnya sudah kehilangan “umph” jika dibandingkan dengan cara pembuatan kuih tradisional mengikut cara datuk nenek kita dahulu.

Untuk penganan jala pula ianya masih lagi dikekalkan seperti penggunaan pembuatnya yang diperbuat daripada tempurung kelapa.  Tempurung kelapa yang sudah dibersihkan akan ditebuk lobang ditengah-tengahnya.  Kemudian barulah proses pembuatan pemegang yang menggunakan sebatang kayu kecil yang juga diperbuat daripada buluh kebiasaannya. Panjang pemegang itu pula diantara 28cm – 33 cm terpulang kepada kesesuaian si pembuat itu nanti. 

Kedengarannya begitu mudah sekali tetapi sebaliknya pembuatan kuih tradisi ini merupakan satu proses pembuatan kuih yang menuntut kesabaran serta ketelitian.  Ini kerana bukan mudah untuk memastikan kesempurnaan pada kuih tradisional ini.  Teknik untuk mengetuk acuan agar boleh mencipta bentuk fizikal kuih yang bersilang-silang seakan-akan sarang semut atau jala ini juga menuntut satu kerja yang mengkhusus. 

Jika sudah pakar untuk membentuk fizikal kuih jala memerlukan kepakaran apatah lagi untuk proses menggoreng pula.  Ini kerana tahap kepanasan minyak juga perlu dijaga agar setiap kuih jala yang digoreng adalah benar-benar masak serta ranggup tetapi tidak hangus.  Jadi sudah tentu kerja-kerja pembuatan seperti ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang benar-benar pakar dan bukan hanya untuk suka-suka sahaja.