Friday, 2 September 2016

MINYAK SEKIU "MADE IN JEMORENG”


BILA berkata tentang makanan tradisi ini, Sarawak sememangnya kaya dengan kulinari-kulinari tradisi mereka yang diperturunkan sejak ratusan tahun dahulu dari satu generasi yang lain sehinggalah sekarang. Di kalangan etnik Melanau di daerah Jemoreng misalnya turut terkenal dengan satu makanan yang diuli di dalam nasi yang panas-panas yang dikenali sebagai Minyak Sekiu.

Minyak sekiu sebenarnya adalah ekstrak minyak yang didapati dari sejenis buah hutan yang dinamakan buah sekiu. Di daerah Jemoreng, Matu merupakan antara tempat yang banyak mempunyai pohon sekiu tumbuh dan kerana itulah masyarakat Melanau di Jemoreng sudah mengetahui memakan minyak sekiu ini sejak beratus-ratus tahun dahulu lagi.

Menariknya mengenai minyak sekiu ini adalah sehingga sekarang proses untuk ektraksinya masih lagi berdasarkan kepada kaedah tradisional yang diwariskan sejak dahulu lagi di kalangan masyarakat Melanau Jemoreng. Mungkin kerana keasliannya amat dititikberatkan menyebabkan harga minyak sekiu ini sangat mahal iaitu boleh mencecah RM100 untuk 50 ml.

Dan menurut pengesahan yang dikeluarkan oleh pakar pemakanan baru-baru ini ada menyatakan bahawa minyak sekiu itu mempunyai nilai perubatan yang cukup tinggi iaitu baik untuk sistem jantung seorang manusia.

Jika berdasarkan kepada laporan perubatan ini adalah wajar sekiranya Kerajaan Negeri Sarawak melihat bagaimana untuk memajukan lagi minyak sekiu sebagai salah satu perolehan ekonomi Sarawak kerana sudah tentu permintaannya di pasaran amat menggalakkan. 

No comments:

Post a Comment