Monday, 12 September 2016

TIGA “INSAN ISTIMEWA” YANG LUAR BIASA KEHEBATANNYA



JANGAN pernah memandang sepi keupayaan mereka, Tuhan menarik satu kekurangan untuk mereka menjadi manusia normal tetapi Tuhan juga memberikan kelebihan kepada mereka untuk menjadi antara rakyat Malaysia yang membanggakan kita semua.  Itulah yang terjadi kepada 3 atlit Paralimpik Malaysia yang berjaya merealisasikan lagu “Negaraku” didendangkan dan bendera “Jalur Gemilang” dikibarkan di sukan paling berprestij di dunia iaitu Sukan Paralimpik Rio 2016.

Pemergian mereka berjuang di pentas sukan dunia tidak begitu digembar-gemburkan malah tiada siaran langsung media massa arus prima untuk kita menyaksikan kehebatan mereka namun itu semua tidak menjadi satu kekurangan untuk atlit paralimpik Malaysia.  Mereka utuh berjuang bagi memastikan bahawa impian Malaysia untuk sebaris dengan Negara lain mendapat sekurang-kurangnya satu emas di dalam Sukan Olimpik tercapai.  Bukan satu malah tiga emas dihadiahkan oleh atlit Paralimpik untuk kita semua. 

Atlit Paralimpik Malaysia yang dimaksudkan adalah tidak lain tidak bukan  Mohamad Ridzuan bin Mohamad Puzi (100m T36 – Celebral Palsy), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan , Abdul Latif Romly (lompat jauh kategori T20 - kurang upaya intelektual).  Tiga nama ini menjadi sebutan di dunia sekarang dan yang lebih membanggakan mereka bukan sahaja berjaya menggondol emas malah turut memecahkan rekod dunia.  Satu pencapaian yang sungguh di luar dugaan kita semua. 

Untuk rekod, Sukan Paralimpik 2016 membuka tirai kejohannya pada 7-18 September 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. Untuk edisi 2016 ini menyaksikan 4,300 atlet OKU dari 161 buah Negara menyertainya.  Kontinjen Paralimpik Malaysia pula diwakili oleh 21 orang atlet dengan menyertai acara sukan olahraga, berbasikal, memanah, angkat berat, ping pong, pelayaran, renang dan tenis kerusi roda.  Dengan adanya sumbangan 3 pingat emas ini menyaksikan Malaysia sekarang (setakat keputusan jam 12.00 malam tadi) berada di kedudukan yang ke-18 di dalam senarai pungutan pingat. 

Bukan senang untuk melahirkan seorang “World Champion” namun ianya tidak mustahil untuk rakyat Malaysia turut mencipta nama.  Fizikal bukan alasan untuk kita merasa rendah diri sebaliknya semangat dan usaha keras itu adalah pemangkin kepada segala kejayaan.  Terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana tidak pilih kasih dengan perjuangan atlit paralimpik apabila tetap memberikan insentif kemenangan yang sama nilainya dengan atlit sukan normal yang lain.  Malaysialah satu-satunya Negara yang mempunyai polisi sedemikian di dunia. 

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Mohammad Ridzuan, Mohammad Ziyad dan Abdul Latif kerana berjaya mengharumkan nama Negara di pentas sukan dunia.  Kamu adalah 3 “Insan istimewa” yang sungguh luar biasa kehebatannya. 


#MalaysiaBoleh! 

No comments:

Post a Comment