Monday, 5 September 2016

PERTAHANKAN TAPAK PERKUBURAN PURBA ETNIK DALIEK




DALAM beberapa hari yang lepas viral mengenai penemuan tapak perkuburan purba di sebuah tanah perkuburan Islam lama yang terletak di tengah-tengah kawasan industri Tanjung Kidurung, Bintulu. Ianya merupakan satu penemuan yang amat bersejarah memandangkan yang ditemui terlalu berharga di dalam sejarah Islaminasasi etnik Daliek yang merupakan etnik minoriti di Sarawak.

Menurut sejarahnya etnik Daliek adalah mereka yang berasal dari rumpun Kaum Orang Ulu Sarawak yang dahulunya tinggal di rumah panjang dan terkenal dengan perang kayau atau perang perluasan wilayah mereka. Dahulunya beragama pagan dan apabila adanya pengaruh Kesultanan Brunei di wilayah Sarawak akhirnya mereka memeluk Islam dan seterusnya meninggalkan rumah panjang dan mengasimilasikan diri mereka mengikut lunas-lunas Islam sebagai satu cara hidup iaitu pada awal kedatangan Islam sekitar kurun ke-16 Masihi lagi.

Etnik Daliek seperti juga etnik minoriti seperti Narom, Bakung dan Miriek adalah mereka yang terkenal sebagai tentera yang setia kepada Kesultanan Brunei Darussalam dan turut mendapat jolokan “Tentera Lipan Baram” oleh Sultan Abdul Kahar iaitu salah seorang Sultan yang pernah memerintah Brunei Darussalam suatu ketika dahulu. Sejarah keagungan tentera lipan baram ini pernah diceritakan ketika ada rombongan bangsa Eropah yang berkunjung ke istana Brunei suatu ketika dahulu iaitu sebelum Perang Kastila 1587 berlaku di Brunei.

"….beta mempunyai 30,000 orang seperti ini yang sedia menurut perintah, dan beta yakin Orang Inggeris, Belanda, Perancis dan Sepanyol tidak akan mampu menentang mereka? Beta tahu orang-orang putih mahu mengambil Borneo, tetapi beta tidak pernah gentar....." - Sultan Abdul Kahar –

Mengimbau sejarah lama ini sudah cukup untuk kita mempertahankan tapak yang penuh bersejarah ini daripada terus menjadi mangsa kepada sikap rakus kapitalis yang hanya mahu mengaut keuntungan semata-mata. Adalah menjadi tanggungjawab kita mempertahankan setiap mercu tanda sebuah peradaban yang menunjukkan ketamadunan anak bangsa kita.

Seharusnya juga tapak perkuburan lama ini terus digali sejarahnya kerana pusara-pusara yang ditinggalkan sungguh unik motifnya serta bertandakan tulisan jawi yang menunjukkan kekayaan seni ukiran orang kita dulu-dulu serta pengaruh Islam di dalam carahidup mereka.

Puliharalah ia sebagai sumber rujukan generasi muda Sarawak yang lain dan perindahkan tapaknya agar menjadi salah satu mercu tanda tarikan pelancongan dan penggemar sejarah di seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment