Thursday, 8 September 2016

SEKOLAH DI SARAWAK KETINGGALAN SETENGAH ABAD!


“Andainya sekolah kita ketinggalan dalam 10 ke 20 tahun itu bolehlah saya fahami TETAPI jika ketinggalan hampir setengah abad, saya sudah tidak boleh bertolak ansur lagi.” – Datuk Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak.
KENYATAAN ringkas yang diucapkan oleh Datuk Adenan itu sudah cukup  untuk mengambarkan  kekecewaan beliau mengenai sekolah-sekolah yang ada di Sarawak jika dibandingkan dengan prasarana di Semenanjung Malaysia.  Satu kenyataan yang sebenarnya sudah berabad lama disimpan di dalam benak kita sebagai anak Sarawak apabila mengenangkan persekitaran sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak. 
Dikala sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia kebanyakannya mempunyai prasarana yang terbaik disediakan oleh Kerajaan Malaysia, sekolah-sekolah di Sarawak pula masih ditakuk lama.  Tiada elektrik, tiada bekalan air, sekolah usang dan didirikan di kawasan yang tidak sesuai masih satu lumrah penghidupan yang terus membelenggu tempat untuk anak bangsa kita menuntut ilmu. 
Belum lagi dengan sekolah-sekolah yang ditimpa malapetaka seperti kebakaran, dihanyutkan oleh arus deras kerana terkena hakisan sungai dan sebagainya.  Banyak janji-janji yang ditaburkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia seperti penyediaan sekolah baru serta bantuan segera tetapi ianya umpama menanam tebu di tepi bibir.  Masih banyak lagi yang tidak dilakukan dengan lebih sempurna. 
Kerana hal ini semualah Datuk Adenan sebagai Ketua Menteri Sarawak tetap bertegas dengan isu Polisi Pendidikan yang digubal di Putrajaya.  Setiap pelarasan mengenai pendidikan harus mengambilkira apa yang berlaku di Sarawak.  Dan kerana itulah setiap pengubalannya harus mempunyai penglibatan Sarawak agar ianya bersesuaian dengan senario yang berlaku di Sarawak itu sendiri. 
Buat masa sekarang, keseriusan Sarawak itu ada didengar oleh Putrajaya apabila permintaan Sarawak untuk memberi peluang hanya pendidik kelahiran Sarawak yang bertugas mendidik anak bangsanya di tanah kelahiran Sarawak sudah mula diatur oleh pihak Kementerian Pendidikan.  Ini kerana KPM sendiri akur bahawa dengan kepelbagaian budaya dan tradisi Sarawak menjadikan adalah lebih mudah untuk orang Sarawak sendiri memahaminya. 
Hakikatnya apa yang diperjuangkan oleh Ketua Menteri Sarawak sememangnya sesuatu yang kita mahukan lebih-lebih lagi apabila melibatkan masa hadapan anak bangsa Sarawak yang akan menjadi pewaris kepada Sarawak ini nanti. 

Hak yang dituntut bukan sahaja yang melibatkan borneonisasi semata-mata sebaliknya juga aspek-aspek yang lain termasuklah sistem pendidikan Malaysia serta peruntukan pendidikan di Sarawak agar ianya setanding dengan yang lain di dalam Gagasan Malaysia. 

No comments:

Post a Comment