Thursday 31 March 2016

DUN SARAWAK DIBUBARKAN 11 APRIL 2016

HARI ini 31/3/2016 tepat jam 2.00 petang, Datuk Adenan selaku Ketua Menteri Sarawak telah membuat pengumuman bahawa Dewan Undangan Sarawak akan dibubarkan pada 11 April 2016.
Dengan itu terjawablah segala teka-teki mengenai Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-11 yang boleh diadakan pada bila-bila masa. Sekarang, segalanya terserah kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia untuk mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi bagi Sarawak.

Tuesday 29 March 2016

MUKA BARU UNTUK DUN N58 BALINGIAN


SETELAH pelbagai usaha lobi melobi di kalangan pemimpin di DUN Balingian, akhirnya segalanya terungkai apabila yang menjadi “Winnable Candidate” adalah seorang muka baru iaitu Walikota Mukah, Abdul Yakub Arbi.  Beliau akan bertanding atas tiket PBB-BN bagi menggantikan penyandangnya iaitu YB Yusibnosh Balo yang berpindah ke satu kerusi baru iaitu DUN Telian. 
Dengan tercalonnya Abdul Yakub Arbi ianya umpama “sireh pulang ke ganggang” kerana Abdul Yakub Arbi,  56 tahun merupakan anak jati kelahiran Kampung Masjid, Balingian.  Dengan meletakkan anak jati Balingian sendiri sudah tentu beliau mengetahui segala hal yang wajar untuk dipertingkatkan untuk kampung halamannya sendiri. 
Ini kerana jika dilihat daripada pembangunan luar Bandar, Balingian agak keterbelakang di dalam kemajuan dan banyak hal yang harus diambilkira.  Jadi sebagai seorang yang berpendidikan tinggi dengan kelulusan ijazah Ekonomi daripada Australia ditambah lagi pengalaman beliau sebagai walikota di Mukah, adalah diharap sekiranya beliau berjaya dipilih menjadi YB kelak akan mampu melestarikan serta memperteguhkan lagi peluang ekonomi serta kehendak rakyat Balingian itu sendiri. 
Untuk rekod, DUN N58 Balingian mempunyai kira-kira 7,484 jumlah pengundi berdaftar.  Ketika di PRN Ke-10 2011, Balingian diwakili oleh Tun Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud yang kemudiannya pada tahun 2014 bersara daripada politik.  Kemudian telah diadakan satu PRK Dun Balingian pada 29 Mac 2014 yang menyaksikan ianya dimenangi oleh YB Yusibnosh Balo atas tiket PBB-BN.

AIR TERJUN WONG PUPU, BATU LINTANG, SRI AMAN

AGAK tersorok daripada pengetahuan orang awam dan Air Terjun Wong Pupu atau Wong Pupo yang terletak di kawasan Batu Lintang, Sri Aman sebenarnya menyimpan seribu keindahan hutan Sarawak yang indah. Lokasinya hanya sejauh 35 km dari Bandar Sri Aman dan sudah tentu ianya jika dipromosikan dengan bersungguh-sungguh sudah tentu mampu mengamit lebih ramai pengunjung.
Menariknya kawasan pusat rekreasi Air Terjun Wong Pupu ini sebenarnya adalah apabila ianya tetap dijaga dengan sebaik mungkin oleh penduduk rumah-rumah panjang di kawasan Batu Lintang, Sri Aman. Mereka sentiasa bergotong royong tanpa melibatkan dana daripada pihak yang berwajib bagi memastikan anugerah alam terindah ini seperti adanya.
Jadi, pada yang berminat untuk melepaskan diri daripada hiruk pikuk kota serta menghilangkan stress sepanjang minggu berkerja, tiada salahnya untuk mencuba mencari ketenangan di sini.

SPEAKER DEWAN UNDANGAN NEGERI SARAWAK


MENURUT sejarahnya, Dewan Undangan Negeri Sarawak merupakan dewan undangan negeri yang tertua di Malaysia pernah diwujudkan.  Ianya diwujudkan pada tanggal 8 Disember 1897 oleh rajah kedua Sarawak Kingdom iaitu Rajah Charles Brooke.  Dan mesyuarat Majlis Umum ini pada kali pertamanya diadakan di Bintulu, Sarawak. 

Pada asalnya Majlis Umum ini dianggotai oleh pemimpin-pemimpin masyarakat yang dipilih oleh Rajah Brooke dan seterusnya dinaiktaraf menjadi Council Negeri.  Dan sekarang setelah pembentukan Malaysia, DUN Sarawak sudahpun mempunyai ahli-ahli yang terpilih melalui pilihanraya. 

Dari hanya diperuntukkan dengan 48 kerusi, DUN Sarawak melalui fasa-fasa tersendiri iaitu diperbesarkan kepada 56 kerusi kepada 56 pada tahun 1985.  Kemudian 71 kerusi pada tahun 2005 dan seterusnya pada tahun 2014 kepada 82 kerusi iaitu antara jumlah kerusi DUN terbesar di Malaysia. 

Menyelusuri sejarah keunikan Dewan Undangan Negeri Sarawak ini juga adalah juga jawatan Speakernya yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.  Ini kerana kuasa DUN Sarawak terletak dibawah bidangkuasa Speaker. Di bawah perlembagaan Sarawak, Speaker dilantik dari kalangan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri atau dari kalangan mereka yang berkelayakan untuk dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri, oleh Yang di-Pertua Negeri selepas merujuk kepada Ketua Menteri.

Speaker akan memegang jawatan untuk tempoh masa seperti yang ditetapkan oleh tatacara perlantikan, kecuali beliau meletak jawatan atau perlantikan beliau dibatal di bawah peruntukan perlembagaan.

Keputusan yang dibuat oleh Speaker mengenai sesuatu hal Point of Order adalah muktamad dan tidak boleh dirayu atau dikaji semula melainkan jika dikemukakan melalui usul yang tersendiri di dalam Dewan Undangan Negeri. Speaker tidak akan membuat sebarang undi di dalam Dewan Undangan Negeri melainkan hanya untuk mengelakkan daripada persamaan undi jika wujudnya jumlah undi yang sama.

Di samping mempengerusikan sidang, Speaker adalah wakil kepada Dewan dan bertindak sebagai jurucakap Dewan Undangan Negeri. Malah Speaker adalah salah seorang daripada pemegang hak kebebasan Dewan Undangan Negeri. Selaras dengan amalan berparlimen, Speaker tidak mengambil bahagian dalam perbahasan.

Tugas utama beliau ialah untuk menguatkuasakan peraturan sepertimana yang ditetapkan oleh Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat bagi mempastikan perbahasaan dan prosiding Dewan berjalan dengan lancar. Dalam mempengerusikan persidangan, beliau dikehendaki menegakkan keadilan.

Semasa ketiadaan Speaker atau apabila Speaker tidak berupaya untuk menjalankan tugas, atau jawatan Speaker masih belum diisi, Timbalan Speaker akan menjalankan tugas dan mempunyai kuasa penuh sebagai Speaker. Apabila Timbalan Speaker juga tidak berupaya untuk menjalankan tugas atau jawatan Timbalan Speaker belum diisi, Dewan boleh, melalui usul daripada seorang Menteri, memanggil mana-mana Ahli yang hadir selain daripada Ketua Menteri untuk tampil dan bertindak sebagai Speaker.

Menurut sejarahnya juga, Speaker DUN Sarawak semenjak menjadi pembentuk Gagasan Malaysia pada tanggal 16 September 1963 adalah seperti berikut:

1.  Datuk Dr. Sockalinga (1963-1968)
2.  Tan Sri Datuk William Tan (1968-1973)
3.  Datuk Haji Shabuddin Y.K Cheng (1973-1976)
4.  Datuk Abang Haji Abu Bakar bin Datu Abang Haji Mustapha (1976-1981)
5.  Datuk Celestine Ujang Jilan (1981-1987)
6.  Datuk Robert Jacob Ridu (1987-1994)
7.  Datuk Sri Wong Soon Koh (1984-1896)
8.  Datuk Song Swee Guan (1996-2000)]
9.  Datuk Amar Haji Mohammad Asfia bin Awang Nassar (2000 sehingga kini)

Monday 28 March 2016

PERBANYAKKAN LAGI BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT DI SARAWAK


MEREKA ada di mana-mana ketika kita menerima musibah. Baik di kala musibah banjir, kemalangan, “orang hilang” di daratan mahupun di lautan, binatang tersepit dan apatah lagi sewaktu musibah kebakaran.  Merekalah yang sering dijadikan sandaran kita iaitu mereka yang kita gelar Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia yang diibaratkan umpama aur dengan tebing dengan rakyat jelata. 
Dan kerana itulah kewujudan infrastruktur seperti balai bomba dan penyelamat di sesuatu kawasan lebih-lebih lagi di kawasan luar Bandar amat dituntut oleh rakyat jelata.  Kehadiran mereka di sesuatu kawasan sudah tentu akan memberikan seribu kelegaan kepada rakyat sekiranya berlaku bencana. 
Melihat kepada kepentingan ini, baru-baru ini satu balai bomba yang baharu sudahpun disiapkan iaitu Balai Bomba Dan Penyelamat di Song, Kapit yang dijangka akan mula beroperasi menjelang April 2016.  Selain daripada itu ada 3 lagi buah balai bomba sedang di dalam pembinaan iaitu yang terletak di Niah, Samalaju dan Tanjung Manis. 
Mungkin kita sendiri tidak mengetahui bahawa untuk keseluruhan Sarawak Bumi Kenyalang  hanya mempunyai 28 buah balai bomba dan penyelamat. Melihat kepada angkanya sahaja sudah tentu ianya amat membimbangkan kita.  Pertambahan balai serta anggota itu perlu kerana sekarang ancaman musibah itu pelbagai bentuk dan sudah tentu Sarawak memerlukan lebih daripada itu.   
Untuk rekod berdasarkan kepada laporan yang dikeluarkan pada tahun 2015 sebanyak 153 orang maut dan kerugian harta benda akibat kebakaran di seluruh Malaysia sahaja bernilai RM4.4 bilion.  Satu angka yang agak menggusarkan serta merugikan rakyat mahupun Negara amnya. 
Jadi, diharap pihak Kerajaan akan terus memperbanyakkan lagi balai bomba dan penyelamat di Sarawak. Selain daripada itu janganlah lupa untuk menambah jumlah keanggotaannya kerana keringat mereka sentiasa dituntut di dalam waktu senang mahupun susah rakyat jelata. 
Sesungguhnya setiap Anggota Bomba dan Penyelamat kita adalah “Superhero” sebenar di alam realiti untuk kita semua.  Walau ada yang mempunyai pandangan skeptikal terhadap mereka, namun mereka tetap berbakti untuk kita.  Terima kasih Tuan Untuk Segalanya!

PEMUDA PBB UNTUK DUN N06 TUPONG


SATU demi satu muka-muka baru bakal pemimpin pelapis diketengahkan oleh Datuk Adenan untuk menjadi “Winnable Candidate” bagi mewakili PBB-BN pada PRN Ke-11 nanti.  Selepas Gerald Rentap dan Allan Siden yang akan bertanding untuk Layar dan Machan, sekarang giliran seorang lagi calon daripada Pemuda PBB Sarawak iaitu Fazzruddin Abdul Rahman.  

Namanya mungkin “agak baru” di dalam kancah politik Sarawak namun beliau merupakan “orang lama” di DUN N06 Tupong itu sendiri.  Beliau bermula dari Rating PBB Tupong dan akhirnya terpilih menjadi salah seorang wakil di MKT Pemuda PBB.  Menjadi Setiausaha Politik kepada MP Petra Jaya menyebabkan beliau sudah biasa dengan akar umbi di Parlimen Petrajaya mahupun Tupong itu sendiri.  

Ini merupakan satu pilihan yang tepat daripada Datuk Adenan kerana tiada siapa yang lebih layak selain daripada seorang anak muda yang cekal dan bersemangat ini.  DUN Tupong memerlukan tenaga orang muda untuk memimpinnya menjadi salah satu DUN yang pesat membangun sekarang. 

Pemuda Harapan Negara, Pemudi Tiang Negara!

Friday 25 March 2016

DUN N75 SENADIN PANAS!!


DENGAN satu demi persatu calon-calon yang akan mewakili parti politik menjelang PRN Sarawak baik dari pihak Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan diwar-warkan kepada umum, bahang PRN Sarawak semakin mula terasa. 

Di DUN N75 Senadin dengan jumlah pengundi sebanyak 26,237 pengundi berdaftar juga turut terkesan dengan bahang pilihanraya yang boleh diadakan bila-bila masa.  Manakan tidaknya ditengah-tengah parti pembangkang yang terhumban dengan tiada kesepakatan untuk meletakkan calon mereka, di Senadin itu sendiri dikatakan akar umbi penyokong pembangkang tidak mahu diwakili oleh PKR. 

Bagi pihak BN Sarawak telah mengumumkan bahawa “Winnable Candidate” untuk Senadin kekal diwakili oleh penyandangnya Datuk Lee Khim Shin daripada SUPP.  Untuk rekod ketika PRN 2011 menyaksikan Datuk Lee menang tipis dengan kelebihan 58 undi dari lawannya iaitu Dr Michael Teo Yu Yeng (PKR). 

Sungguh besar harapan pihak pembangkang untuk menawan Senadin bagi menambah jumlah kerusi pembangkang di DUN Sarawak sekarang.  Mungkinkah kecelaruan di pihak penyokong parti pembangkang akan menzahirkan niat mereka dengan meletakkan calon Bebas bagi menandingi calon PKR iaitu Dr Michael Teo Yu Yeng?

Atau mungkin di saat-saat akhir DAP akan menjadi “superhero” dengan meletakkan calonnya seperti yang biasa mereka lakukan tanpa memperdulikan kesepakatan kelompok Pakatan Harapan mereka?

Walau bagaimanapun, DUN N75 Senadin ini merupakan antara yang akan menjadi “kayu pengukur” adakah SUPP masih mempunyai harapan di dalam kancah lanskap politik Sarawak kelak.  

Thursday 24 March 2016

HARI POLIS YANG KE-209

SELAMAT menyambut Hari Polis Yang Ke-209 kepada semua anggota Polis Diraja Malaysia. Kami hargai jasa dan baktimu berkhidmat untuk masyarakat dan Negara.

SUKMA EDISI XVIII SARAWAK 2016


MEMANG agak mengecewakan apabila sahih Sarawak tidak akan menjadi salah satu venue untuk Sukan Sea 2017 Kuala Lumpur nanti.  Mungkin kerana atas alasan jarak yang mana ianya akan menyebabkan pertambahan kos bagi penganjur maka ianya menjadi sedemikian. 
Bila berbicara soal prasarana sukan di dalam konteks Sarawak sekarang adalah mengenai persediaan Sarawak yang akan menjadi tuan rumah SUKMA Edisi XVIII yang mana ianya dijadualkan pada Julai 2016 ini.  Segala persiapan telah siaga semuanya baik dari segi venue sukan itu sendiri yang dikatakan akan diadakan di 3 lokasi iaitu di Kuching, Miri dan Sibu. 
Bukan setakat prasarana bertaraf dunia yang Sarawak sediakan malah kakitangan teknikal yang terlatih di dalam pengurusan sukan bertaraf dunia juga turut diambilkira.  Inilah yang dijanjikan oleh Kerajaan Sarawak kerana sejak dari dahulu lagi Sarawak tidak mengambil sikap sambil lewa di dalam menjadi penganjur sukan biarpun ianya hanya mencakupi sukan bertaraf Malaysia sahaja. 
Jika diperkira dari segi penganjuran paling berjaya di dalam rekod SUKMA diadakan, tahun 1990 menyaksikan Sarawak menjadi hosnya dan pada ketika itu juga ianya diangkat antara Sukan Malaysia yang terbaik di dalam sejarahnya kerana kecemerlangan Sarawak menganjurkannya.  Dan untuk edisi XVIII ini merupakan kali kedua Sarawak mendapat hak dan amatlah diharapkan ianya lebih baik daripada sebelumnya. 
Dan tiada yang lebih menggembirakan di dalam SUKMA ini juga menyaksikan Skuad SUKMA Sarawak adalah antara yang terkuat pasukannya seantero Malaysia.  Menurut trek rekodnya sendiri dari sejak SUKMA mula diadakan, Sarawak pernah menjadi juara keseluruhan iaitu pada tahun 1990.  Kemudian untuk edisi-edisi seterusnya Sarawak banyak mendominasi menjadi naib juara mahupun tempat ketiga keseluruhan. 
Inilah yang menjadikan SUKMA ini begitu istimewa kerana disinilah ramai jagoan ahli sukan Sarawak yang mewakili Malaysia bermula.  Marilah kita tunjukkan bahawa hospitaliti ala Sarawak itu melebihi daripada mereka yang lain.  
Siapa tahu, mungkin kecemerlangan itu nanti akan merubah fikiran penganjur Sukan Sea Kuala Lumpur untuk memberi peluang kedua kepada Sarawak untuk dimasukkan menjadi antara venue Sukan Sea 2017 kelak.  

REGATTA BARAM DAN PERJANJIAN DAMAI BARAM 1899

 Perjanjian Damai Baram 1899
 Regatta Baram yang menyaksikan pertanding perahu panjang Kaum Orang Ulu Sarawak
Wanita Kaum Orang Ulu Sarawak dengan pakaian tradisional mereka
REGATTA Sarawak sudah tentu sentiasa menghiasi kalendar pelancongan Sarawak dan ianya merupakan antara acara sukan air yang paling gah sekali. Nun jauh di Baram tanpa kita sedari ada satu lagi acara sukan air yang sebenarnya mempunyai sejarahnya tersendiri selain daripada acaranya yang hanya diadakan selang 3 tahun sekali iaitu yang diberi nama Regatta Baram. 
Menariknya regatta Baram adalah kerana sejarahnya yang mempunyai hubungkait dengan keamanan di wilayah Baram suatu waktu dahulu. Siapa tidak kenal dahulu wilayah Sarawak sering ada perang antara etnik lebih-lebih lagi dengan wujudnya tradisi Perang Kayau atau satu perang perluasan kuasa yang menjadi budayanya.  
Dan diketika Brooke memerintah, usai sahaja beliau berjaya mendominasi Baram sebagai wilayahnya dari Kerajaan Brunei maka diletakkannya seorang residen bangsa Eropah yang bernama Claude De Crespigny yang beribu pejabat di Marudi. Dan diketika itu Marudi yang kita kenali sekarang bernama Claudetown mengambil bersempena dengan namanya. 
Walaupun begitu, bukan senang untuk menyatukan kesemua etnik yang bertelagah di Baram lebih-lebih lagi untuk menerima pemerintahan baru yang didominasi oleh bangsa Eropah. Hasil usaha beliau dan seterusnya diambilalih oleh Charles Hose akhirnya satu perjanjian keamanan dapat dimeterai antara etnik-etnik yang mendiami wilayah Baram pada ketika itu. Di dalam lipatan sejarah Sarawak perjanjian itu dikenali dengan nama Perjanjian Damai Baram 1899.  
Pada 9 April 1899 bagi menandakan kejayaan perjanjian perdamaian ini maka telah diadakan satu pertandingan perahu panjang di Baram yang pendayung-pendayungnya adalah daripada Kaum Orang Ulu di Daerah Baram dan inilah yang dikenali sebagai REGATTA BARAM sekarang. Regatta ini telah berjaya memupuk semangat setiakawan dan perpaduan diantara kaum ini yang selama lebih beratus tahun lamanya sentiasa bertingkah antara sama lain.  
Sinonimnya Regatta Baram dengan sejarah Sarawak suatu waktu dahulu dilupa jangan.

Wednesday 23 March 2016

DARI "APAI" KEPADA ANAK


PRN SARAWAK Ke-11 nanti bakal menyaksikan anak bekas pemimpin di kalangan Barisan Nasional (BN) bakal menjadi calon. Ini mencerminkan masyarakat Sarawak tahu mengenang jasa dan ianya bukan sesuatu yang luar biasa kerana budaya masyarakat timur yang berasaskan sistem bangsawan atau feudal.
Bagi generasi "Y" mereka berpendapat pemilihan calon PRN dikalangan anak bekas pemimpin seolah-olah bersifat nepostisme, tetapi perkembangan ini mencerminkan sikap masyarakat kita yang tidak mahu menyisihkan pemimpin yang telah bersara.
Pengundi cukup yakin anak berkenaan dapat menyambung usaha-usaha yang telah dilakukan oleh bapa mereka yang pernah memimpin masyarakat di kawasan DUN yang berkenaan.
Dari segi sokongan akar umbi anak-anak yang dicalonkan ini tidak mempunyai masalah kerana masyarakat sudah melihat budaya kerja bapa mereka dulu dan kita adalah masyarakat yang berpegang kepada peribahasa "bapa borek anak rintik".
Nama yang disahkan bertanding bagi BN termasuklah anak Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi TS Alfred Jabu, Gerald Rentap Jabu yang akan bertanding di DUN Layar dan anak Menteri Muda Kemajuan Tanah dan Menteri Muda Pelancongan Sarawak Datuk Gramong Juna, Allan Siden di DUN Machan. 

DUN N71 BEKENU DIPERTAHANKAN ATAS TIKET BN


SETELAH melalui pelbagai kontroversi, akhirnya YB Rosey Yunus disahkan akan terus mempertahan DUN N71 Bekenu atas tiket Barisan Nasional.  Inilah percaturan terbaru Datuk Adenan yang sukar untuk diramal oleh mana-mana pihak.

Jauh sebelum itu, penyandang DUN Bekenu ini telah menimbulkan pelbagai tanda tanya kerana meninggalkan SPDP untuk bersama-sama membarisi TERAS dan statusnya di kelompok pemimpin Barisan Nasional Sarawak sukar diramal.  Tetapi seperti kata Datuk Adenan sewaktu di Lambir semalam, inilah yang terbaik kerana mereka merupakan barisan pemimpin “Team Adenan” yang akan memastikan kemenangan berpihak kepada BN Sarawak.

Dengan pengundi berdaftar seramai 12,238 pengundi yang rata-ratanya dari etnik Kedayan dan Iban, sudah tentu DUN Bekenu nanti akan menyaksikan satu corak pengundian yang menarik untuk kita saksikan.   Untuk rekod pada PRN Ke-10 2011, DUN Bekenu menyaksikan pertembungan 4 penjuru yang berlaku antara Dayang Juliana Awang Tambi (PCM), Thony anak Badak (PR), Ishak bin Mahwi (SNAP) dan Rosey Yunus (SPDP-BN).  Pada masa itu, YB Rosey memenanginya dengan mendapat 4846 undi dengan majoriti 3714 undi mengatasi yang lain. 

Tuesday 22 March 2016

CUKAI PINTU DI SARAWAK DIKURANG


USAI memansuhkan cukai tanah pertanian dan kediaman di Sarawak, sekali lagi Datuk Adenan mengumumkan bahawa CUKAI PINTU AKAN DIKURANG bermula penghujung Mac 2016.  Ini merupakan inisiatif terbaru oleh beliau yang diumumkan ketika perasmian Program Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran TERAS di Marudi semalam.
Datuk Adenan begitu peka dengan apa yang dihadapi rakyat Sarawak sekarang lebih-lebih lagi di dalam menghadapi bebanan kewangan akibat daripada kenaikan harga barangan, GST dan sebagainya.  Keprihatinan beliau ini bukanlah satu gimik politik tetapi segalanya dibuat bagi memastikan rakyat Sarawak mendapat pembelaan yang sewajarnya. 
Terima Kasih Datuk Adenan dan Kerajaan Negeri Sarawak.

#SupportMyCM 

DOUGLAS UNGGAH EMBAS KEMBALI KE DUN


TEKA-TEKI siapakah YB Sarawak di peringkat persekutuan akan kembali untuk bertanding di PRN Sarawak ke-11 akhirnya terjawab apabila MP Betong iaitu Datuk Seri Doughlas Unggah Embas diumumkan akan menjadi antara “Winnable Candidate” atas tiket PBB/BN oleh Datuk Adenan 2 hari yang lepas.  Dan dikatakan juga yakni YB Robert Lawson Chuat penyandang DUN Bukit Saban berkemungkinan besar akan beralih ke Parlimen apabila menjelang PRU pada tahun 2018 kelak.  
Mengimbau trek rekod dunia politik Datuk Seri Douglas yang juga sekarang merupakan Menteri Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi Kerajaan Malaysia bukanlah calang-calang hebatnya.  Sejak dari tahun 1986 lagi, beliau sudahpun mewakili Parlimen Betong dan menyelusuri Pilihanraya Umum dengan begitu gah sekali.  2 penggal PRU iaitu pada tahun 1995 dan 1999 menyaksikan beliau menang tanpa bertanding di Parlimen Betong.  Dan ini sudah cukup membuktikan bahawa pengaruh dan cara beliau berkhidmat untuk kawasan Parlimen Betong mendapat sokongan yang kuat dari rakyat di Betong.  
Kembalinya Datuk Seri Douglas yang juga seorang Ahli Parlimen Persekutuan bagi bertanding di kerusi DUN Sarawak sudah terjawab. Cuma ada satu lagi persoalan yang mungkin perlu kita congak iaitu sudah ada kekosongan untuk jawatan pemimpin No. 2 Sarawak setelah Tan Sri Alfred Jabu sudahpun sahih akan bersara dari dunia politik selesai sahaja PRN Sarawak Ke-11 kelak. 
Adakah Datuk Seri Douglas Unggah Embas yang akan dipilih untuk menjadi Timbalan Ketua Menteri Sarawak sekiranya beliau memenangi kerusi DUN yang beliau wakili kelak? 

Monday 21 March 2016

TERIMA KASIH DATUK PATINGGI TAN SRI (DR) ALFRED JABU ANAK NUMPANG


SETELAH pelbagai spekulasi mengenai beliau akhirnya telahpun disahkan bahawa Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang tidak akan mempertahankan kerusi DUN Layar untuk PRN Sarawak ke-11 nanti.  Namun begitu legasi untuk memimpin DUN Layar telah diserahkan kepada anakandanya sendiri iaitu Gerald Rentap anak Alfred Jabu yang dipilih untuk menjadi “Winnable Candidate” mewakili PBB-BN untuk PRN kelak. 

Lebih 43 tahun bergelumang di dalam dunia politik Sarawak merupakan satu jangkamasa yang cukup lama untuk seorang ahli politik seperti Tan Sri Alfred Jabu.  Dunia politik ada pasang surutnya dan adakalanya Tan Sri Alfred Jabu juga turut dilambung ombak ganas memecah badai dunia politik Sarawak namun kesetiaan beliau tidak pernah rapuh malah terus megah menjunjung parti PBB iaitu nadi kepada parti bumiputera di Sarawak dari dahulu lagi.

Tan Sri Alfred Jabu merupakan Timbalan Ketua Menteri Sarawak sekarang yang juga merangkap 2 jawatan Menteri iaitu Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak serta Pembangunan Luar Bandar Sarawak.  Ketiadaan beliau tentu akan dirasai nanti kerana banyak sudah perubahan dan pembangunan yang dizahirkan beliau untuk kesejahteraan rakyat Sarawak Bumi Kenyalang. 

Terima kasih dan selamat bersara kepada Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Anak Numpang. 

Sunday 20 March 2016

PERGINYA SEBUTIR PERMATA KOMUNITI BIDAYUH SARAWAK – Dr. Patau Rubis


DR. PATAU RUBIS 

21 MAC 1947 - 20 MAC 2016 

“ When I landed in Sarawak in 1974, I knew I have to stay. Although I managed to get to my village, Kpg Blimbin, by Taxi but there were no other modern facilities- no toilets, piped water supply or electricity. The pigs were still running wild making a “nice odor”, absent now! To-day, they have all those including cement drains! Now they have cars, motorcycles,…. which if told so in 1974, they would have thought that I was crazy.” – Dr. Patau Rubis –
HARI ini 20 Mac 2016, kita kehilangan satu nama besar di dalam arena politik Sarawak iaitu atas perginya Dr. Patau Rubis, antara mantan menteri kabinet Kerajaan Negeri Sarawak suatu waktu dahulu. Beliau dikatakan rebah ketika menghadiri mesyuarat agung tahunan STAR di Kuching. Beliau kemudiannya dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.00 petang tadi.
Menyoroti penglibatan beliau di dalam dunia politik, Dr Patau Rubis merupakan mantan Menteri Muda Kewangan dan Kemudahan Awam Kerajaan Negeri Sarawak dari tahun 1987 sehingga ke 1995. Selepas itu, beliau mengambil inisiatif mengasaskan sebuah parti politik yang dinamakan Parti Reformasi Negeri (STAR) pada tahun 1996. Jauh sebelum itu, Dr Patau Rubis juga merupakan mantan Naib Presiden Kanan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang merupakan antara nadi parti bumiputera Sarawak suatu ketika dahulu.
Perginya sebutir mutiara di dalam komuniti Bidayuh Sarawak sudah tentu amat dirasainya oleh kawan mahupun lawannya di dalam arena politik kerana beliau merupakan seorang yang sentiasa merendah diri orangnya. Walaupun tiada lagi di dalam kancah dunia politik, Dr Patau Rubis tetap sentiasa berbakti untuk komuniti masyarakat setempat lebih-lebih lagi di kalangan komuniti Bidayuh Sarawak.
Salam takziah untuk keluarga Dr. Patau Rubis.
Rest In Peace. Amen. 

Saturday 19 March 2016

IBARAT MELEPAS ANJING TERSEPIT, SUDAH TERLEPAS DIA MENGGIGIT


“Sarawak berjaya mewujudkan persepsi bahawa perbezaan fahaman politik tidak akan menjejaskan sifat kemanusiaan apabila mereka tetap bersatu membantu suami (Wong). Terima kasih saya ucapkan kepada BN dan rakyat Sarawak terutama kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem”. – Irene Mary Chang Oi Ling, Jun 2014 –
ITULAH kata-kata yang diucapkan oleh balu kepada ADUN Bukit Assek, Mendiang Wong Ho Leng dari DAP kira-kira 2 tahun yang lalu apabila beliau menerima derma ehsan daripada Barisan Nasional Sarawak sebanyak RM1 juta bagi membiayai kos perubatan mendiang suaminya di Singapura pada ketika itu.  Setelah rayuannya tidak didengar oleh DAP sebaliknya pimpinan Datuk Adenan yang tampil menghulurkan bantuan. 
Namun itu dahulu, sekarang lain pula nada balu kepada ADUN Bukit Assek ini apabila dengan megahnya berkata bahawa bantuan yang dihulurkan itu adalah hasil duit pembayar cukai di Sarawak.  Beliau yang sekarang merupakan Naib Pengerusi DAP Sibu dan Ketua Wanita DAP Sarawak dikatakan sedang sibuk melobi untuk bertanding di DUN Bukit Assek.
Jika hendak berpolitik sekalipun tiada salahnya kerana itu hak semua tetapi janganlah sesekali memutarbelitkan kenyataan kerana itu sudah menampakkan betapa kotornya permainan politik DAP yang apabila zaman susahnya memohon daripada Kerajaan Barisan Nasional tetapi apabila senangnya cuba berdalih dari kenyataan. Jika difikirkan balik jumlah RM1 juta itu jika digunakan untuk rakyat Sarawak yang lain sudah tentu mendatangkan banyak manfaat bersama.
Individu seperti Irene Mary bolehlah diibaratkan seperti melepas anjing tersepit, sudah terlepas dia menggigit.  Adakah mereka yang mempunyai fahaman opportunis seperti ini ingin kita jadikan sebagai pembela kita? Fikir-fikirkanlah.

RUMAH TRADISI KAUM BIDAYUH


KAUM Bidayuh juga dikenali sebagai “Land Dayak” merupakan etnik kedua terbesar selepas kaum Iban di Sarawak.  Dikenali dengan nama “Land Dayak” kerana suatu waktu dahulu penempatan mereka terletak jauh ke pedalaman dan tanah tinggi untuk tujuan keselamatan agar sukar untuk dikesan oleh musuh. 

Seperti kaum Iban yang terkenal dengan senibina rumah panjangnya, masyarakat Bidayuh juga turut mempunyai rumah panjang tradisi yang agak berbeza sedikit daripada masyarakat Iban. 

Kebiasaannya atap rumah panjang kaum Bidayuh diperbuat daripada atap rumbia atau sagu manakala dindingnya pula diperbuat daripada buluh.  Pelantar atau lantai rumah panjangnya pula diperbuat daripada papan atau buluh dan struktur tiangnya diperbuat daripada jenis kayu yang tahan lama iaitu kayu belian. 

Rumah panjangnya pula terbahagi kepada 3 bahagian iaitu ruangan bilik utama, awah dan tanju.  Bilik utama merupakan ruang utama kediaman yang mana disinilah akan diletakkan barangan peribadi keluarga seperti gong, tempayan, tembikar dan sebagainya.  Ianya juga berfungsi sebagai tempat tidur bagi sesuatu keluarga.

Awah pula adalah bahagian pelantar terletak di luar rumah tradisi kaum Bidayuh dan ianya bolehlah disamakan dengan ruangan verandah untuk kediaman moden sekarang.  Di Awah inilah kebiasaannya para wanita Bidayuh akan melakukan kerja harian mereka seperti menganyam serta bergaul sesama komuniti masyarakat Bidayuh.  Awah juga merupakan satu tempat untuk mereka mengadakan majlis selepas upacara keagamaan atau adat.

Tanju pula adalah satu ruangan yang terdedah di luar rumah tradisi kaum Bidayuh.  Ianya adalah ruangan terbuka dan kebiasaannya digunakan untuk menjemur hasil pertanian kaum Bidayuh seperti padi, lada dan banyak lagi. 

Pada dasarnya rumah tradisi kaum Bidayuh agak sama dengan fungsi rumah panjang kaum Iban Cuma keunikan dan perbezaannya terletak pada rumah Baruk.  Baruk mempunyai senibina yang unik seperti rumah bulat dan disinilah sebenarnya menjadi nadi kepada musyawarah kaum Bidayuh. 

Baruk dikategorikan sebagai rumah adat yang mana disinilah segala upacara keagamaan serta tradisi kaum Bidayuh bermula.  Di Baruk juga akan diletakkan tengkorak-tengkorak kepala musuh yang dipenggal suatu waktu dahulu dipamerkan. 


Friday 18 March 2016

22 JULAI DIISTIHARKAN CUTI UMUM BAGI NEGERI SARAWAK

HAMPIR 53 tahun kita dimomokkan dengan tarikh kemerdekaan yang mengelirukan bagi rakyat Sarawak dan akhirnya semalam iaitu ketika di Program Sejiwa Senada di Mukah, Datuk Adenan sendiri mengumumkan bahawa 22 Julai secara rasminya dinobatkan sebagai tarikh hari kemerdekaan sebenar dan juga cuti umum bagi Sarawak Bumi Kenyalang.
Ini merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan oleh rakyat Sarawak kerana 22 Julai adalah tarikh yang tertera di dalam lipatan sejarah sebenar Sarawak. Pada tarikh inilah bendera Union Jack diturunkan dan dinaikkan bendera Sarawak bagi menandakan munculnya sebuah Negara baru yang kemudiannya pada tanggal 16 September 1963 menjadi salah satu 4 entiti yang membentuk Gagasan Malaysia. 
Syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sarawak dibawah pimpinan Datuk Adenan yang terus memperjuangkan sejarah sebenar Sarawak Bumi Kenyalang. Inilah yang rakyat Sarawak mahukan kerana sejarah itu tidak boleh diubah walau dengan tinta darah sekalipun.
#SupportMyCM 
#22JulySarawakIndependenceDay

DAP AKAN TERUS DIPAKSA MENELAN “ANGGUR MASAM”

SUDAH hilang modal! Itulah yang boleh diperkatakan mengenai YB Violet Yong Wui Wui, ADUN Pending yang sekali lagi cuba memperlekehkan usaha Datuk Adenan berkenaan dengan pemansuhan cukai tanah pertanian (dibawah 100 ekar) dan kediaman. Beliau turut memberi usulan “tidak masuk akal” apabila mengatakan permansuhan cukai juga harus meliputi pemansuhan cukai tanah komersial dan industri.
Mungkin YB Violet “buat-buat lupa” bahawa apa yang dilakukan oleh Datuk Adenan adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah serta penduduk luar bandar yang ternyata terhimpit dengan kos hidup yang semakin tinggi sekarang.
Inisiatif Datuk Adenan ini benar-benar sampai kepada golongan sasar di Sarawak apabila ianya membolehkan 173,753 pekebun kecil dan 186,670 pemilik tanah kediaman sudah mampu menghela nafas lega kerana tidak terbeban untuk membayar cukai lagi. 
Dan apakah pula realistik idea pincang YB Violet untuk cuba menjadi “jaguh kampung” bagi pemilik tanah komersil dan industri yang ternyata terdiri daripada mereka yang mampu untuk membayar cukai tersebut.
Tiada salahnya pihak DAP waima menjadi pembangkang sekalipun untuk menyokong usaha Datuk Adenan ini kerana ianya untuk kepentingan bersama rakyat Sarawak. Tetapi ego pihak DAP melebihi daripada kebenaran kerana mereka hanya berjuang untuk kepentingan diri. 
Tetapi yang pasti, YB Violet dan teman seangkatannya selepas ini akan terus dipaksa untuk menelan “anggur masam” apabila diberitakan berkemungkinan besar Datuk Adenan juga pada masa sekarang turut mencongak untuk mengurangkan atau memansuhkan cukai taksiran rumah atau cukai pintu bagi setiap kediaman di Sarawak.
Kita nantikan dengan penuh kesabaran berita gembira itu kelak.

#SupportMyCM

Thursday 17 March 2016

INSIDEN “PINTU KACA” PECAH DI THE SPRING’s, KUCHING





SEMALAM satu kejadian yang tidak diduga terjadi ketika seorang anak Sarawak baru sahaja hendak memasuki gedung membeli belah terkenal di Kuching iaitu The Spring’s.  Menurut yang empunya diri menyatakan hanya dalam  3 langkah sahaja beliau hendak memasuki ruang masuk utama gedung membeli belah itu tiba-tiba pintu kaca utama pecah terhempas ke lantai.
Kita sendiri boleh bayangkan apakah senario terburuk yang boleh berlaku walaupun ianya hanya pintu kaca atau “tempered glass” yang dikatakan sekiranya ianya pecah sekalipun ianya akan berkecai halus dan tidak boleh mendatangkan kecederaan yang lebih serius.  Namun jangan lupa, “tempered glass” juga boleh memberikan kecederaan serius terutamanya di bahagian mata jika tiada perlindungan. 
Sebenarnya ini merupakan kejadian ketiga yang berlaku di gedung-gedung membeli belah yang baru dibina di Kuching. Pada pertengahan Januari 2016 sahaja, keretakan yang berlaku di tempat letak kereta iaitu di VivaCity Megamall menjadi viral. Walaupun pada ketika itu dikatakan bahawa ianya merupakan satu masalah teknikal dan tidak memberi impak kepada struktur bangunan namun begitu sehingga sekarang sudah tentu ramai warga Kuching masih fobia dengan isu retak meretak pada bangunan.
Kejadian kedua pula juga turut berlaku di sebuah gedung membeli belah yang baru dibuka di Kuching yang mana ketika itu dikatakan salah satu struktur yang di dalam pembinaan telah jatuh mengenai sebuah cafĂ© yang beroperasi di luar bangunan tersebut.  Ini juga turut memberi keresahan kepada warga Kuching sehingga ada yang mempersoalkan bagaimana sebenarnya prosedur keselamatan bangunan-bangunan di Sarawak. 
Untuk itu, ada baiknya penguatkuasaan yang lebih itu harus dipertingkatkan umpamanya kekerapan pemeriksaan secara berkala daripada pihak yang berwajib mahupun daripada yang empunya bangunan biarpun CF sudahpun dikeluarkan.  Penguatkuasaan sewaktu pembinaan juga harus dipertingkatkan agar segalanya “tiptop” apabila ianya siap.  Risiko kemalangan untuk bangunan awam seperti gedung membeli belah menuntut sesuatu yang serius kerana ianya melibatkan nyawa orang awam. 
Sudah 3 kejadian berlaku hanya setakat bulan Mac 2016, walaupun belum ada lagi kes yang melibatkan orang awam cedera atau kehilangan nyawa.  Namun begitu kita tidak boleh hanya memandang sebelah mata kerana tiada siapa yang boleh meramal apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Yang mampu kita buat adalah untuk menghindarnya melalui penguatkuasaan seperti kata bidalan lama mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Wednesday 16 March 2016

APA DAH JADI TOUR OF SARAWAK 2016 GAGAL?


TOUR Of Sarawak 2016 yang merupakan pertandingan berbasikal bertaraf dunia yang dijadualkan berlangsung pada 16 – 20 Mac 2016 dengan lokasinya bermula di Miri dan berakhir di Kuching, Sarawak DIBATALKAN pada saat-saat akhir.
Mengimbau cerita Tour of Sarawak 2016 ini merupakan cetusan idea dari seorang anak Sarawak yang kemudiannya mendapat sokongan daripada Kerajaan Sarawak kerana ianya berpotensi untuk menaikkan nama Sarawak sebagai satu destinasi acara bertaraf dunia. Cuma yang menjadi kengkangan adalah “budget”. Kekurangan ini dipanjangkan kepada Kerajaan Pusat dan akhirnya ianya mendapat sejumlah dana.
Sebuah syarikat iaitu Fadz Industries Sdn Bhd yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan yang kemudiannya diberi kepercayaan untuk menganjurkannya. Untuk menganjurkan acara ini dikatakan dana yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia tidaklah mencukupi maka syarikat ini diberikan kebebasan untuk mencari lebihan dana melalui tajaan iklan dan sebagainya. Manakala Kerajaan Sarawak pula hanya memberi bantuan daripada segi logistik dan sebagainya.
Dan apabila ianya terbatal di saat-saat akhir dengan sudah ramai peserta-peserta dari beberapa Negara di dunia sudahpun berada di Sarawak beberapa hari sebelum jadual pertandingan dan mereka menghadapi kesulitan dan kepayahan hanya kerana sifat penganjur yang “cuci tangan” dan tidak bertanggungjawab sudah tentu nama Sarawak juga turut sama “terconteng arangnya”.
Pihak penganjur yang pasti sudah hampir setahun membuat persediaan dengan promosi serta tajaan di peringkat internasional juga cukup menyatakan ianya berjaya dan mengapa hal ini boleh terjadi? Ramai yang menuding jari kepada Kerajaan Sarawak namun hakikatnya segala wang ringgit mahupun dana bukan dibawah bidang seliaan Sarawak.
Pembatalan ini telah memberikan imej yang negatif kepada Sarawak di peta dunia secara total dan sewajarnya hal seperti ini menjadi pengajaran kepada kita untuk lebih baik memantau setiap acara yang menggunakan nama Sarawak dan harus ada satu badan yang menyelia setiap progress setiap acara ini dari “Day 1” sehingga tamat.
Mungkin lebih baik setiap penganjur yang terpilih untuk menguruskan acara di Sarawak adalah daripada kalangan syarikat anak tempatan sendiri paling tidak secara usahasama kerana ini negeri kita. Sarawak tidak pernah kurang dengan mereka yang berkeupayaan untuk mengadakan acara ini lebih sukses lagi. 

Tuesday 15 March 2016

CUKAI TANAH DI SARAWAK DIMANSUHKAN SERTA MERTA

BERPEGANG pada janji beliau yang diwar-warkan pada 26hb Februari 2016, Datuk Adenan semalam iaitu 15hb Mac 2016 telah mengumumkan permansuhan cukai tanah di Sarawak yang berkuatkuasa serta merta.  
Sejajar dengan pengumuman itu juga, sejarah turut tercipta dengan sendirinya kerana Sarawak Bumi Kenyalang merupakan satu-satunya negeri berani tampil dengan idea pemansuhan cukai ini sejak 53 tahun Malaysia ditubuhkan.
Ianya adalah satu lagi durian runtuh buat rakyat di Sarawak lebih-lebih lagi pekebun-pekebun kecil kerana pemansuhan cukai tanah ini termaktub kepada pemilikan tanah yang kurang daripada 100 ekar dan juga semua jenis tanah untuk kediaman.
Selain itu, Datuk Adenan turut mengumumkan bagi memberi keadilan kepada semua, mana-mana individu yang telah membayar cukai awal atau terlebih bayar cukai, Kerajaan Sarawak bersedia untuk memulangkan semula wang tersebut. 
Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh Datuk Adenan dan Kerajaan Sarawak ini merupakan “rahmat” buat rakyat Sarawak yang sudah tentu dicemburui oleh mana-mana rakyat di negeri-negeri yang lain di dalam Malaysia. Di kala ramai yang mengeluh dengan kos sara hidup yang semakin melonjak naik, berita baik dari Datuk Adenan ini sudah tentu boleh memberikan kelegaan sedikit kepada rakyat Sarawak.  
Terima kasih Datuk Adenan dan Kerajaan Negeri Sarawak kerana begitu memahami kepayahan rakyat sekarang.

#SupportMyCM