Thursday 17 March 2016

INSIDEN “PINTU KACA” PECAH DI THE SPRING’s, KUCHING





SEMALAM satu kejadian yang tidak diduga terjadi ketika seorang anak Sarawak baru sahaja hendak memasuki gedung membeli belah terkenal di Kuching iaitu The Spring’s.  Menurut yang empunya diri menyatakan hanya dalam  3 langkah sahaja beliau hendak memasuki ruang masuk utama gedung membeli belah itu tiba-tiba pintu kaca utama pecah terhempas ke lantai.
Kita sendiri boleh bayangkan apakah senario terburuk yang boleh berlaku walaupun ianya hanya pintu kaca atau “tempered glass” yang dikatakan sekiranya ianya pecah sekalipun ianya akan berkecai halus dan tidak boleh mendatangkan kecederaan yang lebih serius.  Namun jangan lupa, “tempered glass” juga boleh memberikan kecederaan serius terutamanya di bahagian mata jika tiada perlindungan. 
Sebenarnya ini merupakan kejadian ketiga yang berlaku di gedung-gedung membeli belah yang baru dibina di Kuching. Pada pertengahan Januari 2016 sahaja, keretakan yang berlaku di tempat letak kereta iaitu di VivaCity Megamall menjadi viral. Walaupun pada ketika itu dikatakan bahawa ianya merupakan satu masalah teknikal dan tidak memberi impak kepada struktur bangunan namun begitu sehingga sekarang sudah tentu ramai warga Kuching masih fobia dengan isu retak meretak pada bangunan.
Kejadian kedua pula juga turut berlaku di sebuah gedung membeli belah yang baru dibuka di Kuching yang mana ketika itu dikatakan salah satu struktur yang di dalam pembinaan telah jatuh mengenai sebuah café yang beroperasi di luar bangunan tersebut.  Ini juga turut memberi keresahan kepada warga Kuching sehingga ada yang mempersoalkan bagaimana sebenarnya prosedur keselamatan bangunan-bangunan di Sarawak. 
Untuk itu, ada baiknya penguatkuasaan yang lebih itu harus dipertingkatkan umpamanya kekerapan pemeriksaan secara berkala daripada pihak yang berwajib mahupun daripada yang empunya bangunan biarpun CF sudahpun dikeluarkan.  Penguatkuasaan sewaktu pembinaan juga harus dipertingkatkan agar segalanya “tiptop” apabila ianya siap.  Risiko kemalangan untuk bangunan awam seperti gedung membeli belah menuntut sesuatu yang serius kerana ianya melibatkan nyawa orang awam. 
Sudah 3 kejadian berlaku hanya setakat bulan Mac 2016, walaupun belum ada lagi kes yang melibatkan orang awam cedera atau kehilangan nyawa.  Namun begitu kita tidak boleh hanya memandang sebelah mata kerana tiada siapa yang boleh meramal apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Yang mampu kita buat adalah untuk menghindarnya melalui penguatkuasaan seperti kata bidalan lama mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

No comments:

Post a Comment