Saturday, 12 March 2016

TUDUNG KERINGKAM MELAYU SARAWAK


TUDUNG Keringkam atau juga dikenali dengan nama Selayah merupakan tudung atau skaf tradisional wanita Melayu Sarawak.  Ianya menjadi antara pelengkap busana tradisional Sarawak yang sering dipakaikan ketika menghadiri majlis-majlis khas seperti majlis perkahwinan dan juga perayaan besar yang lain. 

Hasil sulaman berseni yang diwarisi berabad lamanya ini mempunyai keunikan yang tersendiri yang mana ianya dijahit dengan benang emas mahupun perak.  Selain daripada itu, motif-motif sulamannya juga bersandarkan motif flora dan fauna seperti bunga tanjung, bunga ros malah juga pucuk rebung yang kemudiannya disulam di atas kain jenis bawal. kasa rubiah dan kain jojet.  

2 jenis tudung keringkam dibezakan dengan pendek dan panjang saiznya.  Yang bersaiz pendek digelar tudung keringkam tradisional manakala yang bersaiz panjang dikenali sebagai selayah. 
  
Tudung keringkam merupakan lambang kepada keindahan busana tradisional wanita Melayu Sarawak yang mempunyai nilai sentimental sehingga hampir setiap keluarga Melayu Sarawak ada menyimpannya sebagai salah satu warisan keluarga yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. 

Memang agak payah untuk mendapatkannya di pasaran terbuka kerana proses penyulaman ini memakan masa yang cukup lama dan kebiasaannya tempahan dibuat terus daripada individu-individu yang sememangnya mengusahakannya secara kecil-kecilan di rumah.

Harganya sudah tentu setanding dengan kualitinya yang cukup dijaga sehingga sekarang. 

No comments:

Post a Comment